Sunday, August 9, 2015

percubaan SPM 2015 - 14



SBP 2013......(2) Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan Sambutan Hari Polis di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah “Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama
1.   Kerajaan menggubal akta yang menetapkan hukuman berat kepada pesalah

3.   Masyarakat melaporkan kejadian jenayah secara terus kepada pihak berkuasa
4.   Ibu bapa mendidik anak-anak dengan agama dan nilai moral yang tinggi


Tajuk : Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama
Penulis : Azaman Bin Zakaria
Warga emas dibunuh ... Utusan Malaysia
Guru maut ditembak berhampiran sekolah …. Berita Harian
Peniaga nasi kukus disamun….Kosmo
          Tajuk-tajuk akhbar di atas menggambarkan sekelumit kes jenayah yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini. Kadar jenayah di Malaysia sama ada jenayah indeks atau jenayah jalanan menunjukkan senario yang membimbangkan ramai pihak. Menurut statistik daripada ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun 2010, sebanyak 177,520 kes jenayah indeks dan 24,837 kes jenayah jalanan telah direkodkan di seluruh negara. Kes-kes seperti tembak, bunuh, samun bersenjata api, rompakan, rogol, mencuri dan sebagainya sering meniti di dada-dada akhbar tempatan. Masyarakat semakin bimbang akan situasi ini kerana jenayah yang berlaku bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan harta benda tetapi lebih menyedihkan lagi mangsa menemui ajal. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memainkan peranan secara kolektif bagi menangani kejadian jenayah di negara kita agar masyarakat dapat hidup dengan aman dan tenteram.
          Kerajaan memainkan peranan dominan dalam usaha mencegah jenayah di Malaysia. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggubal undang-undang berkaitan jenayah yang lebih ketat lagi bagi mengekang kejadian jenayah di negara kita. Undang-undang bagi menggantikan Akta Rahsia Rasmi (ISA) dan Akta Hasutan yang telah dimansuhkan oleh kerajaan sebelum ini perlu diganti dengan akta lain yang setaraf supaya kes-kes jenayah berat dapat ditangani. Usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan kedua-dua akta yang telah dibubarkan itu diharap mampu mengekang kejadian jenayah indeks dan jenayah jalanan. Akta ini perlu lebih tegas lagi supaya penjenayah takut untuk melakukan jenayah. Kerajaan juga perlu komited melaksanakan inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah. Kadar jenayah di seluruh negara menyaksikan penurunan mendadak sejak inisiatif-inisiatif NKRA mengurangkan jenayah diperkenalkan oleh kerajaan. Statistik menunjukkan sepanjang tahun 2010, berlaku pengurangan sebanyak 5 peratus bagi jenayah indeks dan 20 peratus bagi jenayah jalanan di seluruh negara.  Langkah-langkah kerajaan melalui inisiatif NKRA seperti penambahan sebanyak 496 kamera litar tertutup (CCTV) di 50 kawasan panas di seluruh negara dan Program Bandar Selamat yang telah diaktifkan semula  menampakkan kesan yang agak ketara.  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kesungguhan beliau untuk memberi fokus kepada usaha membanteras jenayah supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan selamat. Menurut beliau lagi, kerajaan komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan berusaha memerangi penjenayah dalam Operasi Cantas Khas yang sedang beroperasi sekarang agar kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti PDRM tidak menurun. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan merupakan pihak yang dominan dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.
          Selain itu, masyarakat juga turut berperanan dalam usaha membanteras kejadian jenayah di negara kita. Masyarakat perlu peka akan keadaan persekitaran di kawasan kediaman mereka. Mereka perlu melaporkan segera kepada pihak polis jika mempunyai maklumat atau melihat kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman mereka. Masyarakat perlu mewujudkan hubungan yang erat dengan pasukan polis supaya usaha membanteras jenayah menjadi efektif. Masyarakat tidak boleh menyembunyikan maklumat tentang aktiviti jenayah yang berlaku di tempat mereka kerana hal ini akan menyebabkan pasukan polis tidak dapat membanteras jenayah dengan segera. Sebagai contoh, masyarakat boleh menyalurkan maklumat segera melalui sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menerusi talian POLISKN32728 jika mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah. Penyaluran maklumat awal daripada masyarakat tentang aktiviti yang mencurigakan akan mampu memberi peluang dan ruang kepada pihak polis membanteras aktiviti jenayah dengan pantas sebelum berlaku. Masyarakat juga perlu menubuhkan Rukun Tetangga di kawasan kediaman mereka untuk mencegah jenayah daripada berlaku di kawasan kejiranan mereka. Penubuhan Rukun Tetangga ini membolehkan Sistem Rondaan Sukarela (SRS) dapat dilakukan pada waktu malam mengikut giliran. Masyarakat akan meronda kawasan kejiranan untuk memastikan keadaan selamat. Rondaan ini bukan sahaja mampu mencegah kejadian jenayah tetapi juga secara tidak langsung hubungan antara masyarakat juga menjadi rapat dan mesra ibarat sambil menyelam minum air. Peranan masyarakat ini juga turut dikongsi oleh Tan Sri Lee Lam Thye merangkap Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang menyatakan bahawa masyarakat merupakan agen membanteras jenayah yang efektif selain pihak polis. Beliau menyeru supaya masyarakat memainkan peranan mereka dengan membantu pihak polis mencegah jenayah. Hubungan yang erat antara komuniti dengan pihak polis mampu menangani jenayah jalanan seperti ragut, samun, curi dan sebagainya. Jadi, jelas menunjukkan bahawa masyarakat harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.
     Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, berkata langkah kerajaan untuk menambah sebanyak 11,757 anggota polis seperti diumumkan dalam Bajet 2015 akan membantu mengurangkan kadar jenayah serta menjaga keselamatan rakyat. Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah pasukan polis Malaysia yang beribu pejabat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Dalam menjaga keamanan awam, PDRM dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri daripada sukarelawan polis, kadet polis dan kakitangan awam. Rakan Cop merupakan program komuniti polis yang telah dilancarkan pada 2006. PDRM turut mengadakan kerjasama dengan pasukan polis diseluruh negara termasuk empat jiran terdekatnya iaitu Polis Nasional Republik Indonesia, Polis Diraja Thailand , Polis Diraja Brunei dan Pasukan Polis Singapura.Baru-baru ini Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa Akta Pencegahan Jenayah 1959 akan digubal semula untuk memperkasakan PDRM dalam menangani jenayah yang semakin meningkat di Malaysia.  Hampir setiap hari kita disajikan dengan kes-kes jenayah yang seharusnya tidak patut ada di negara maju.  Ketegasan pihak polis adalah perlu bagi menjamin Malaysia terus aman makmur tanpa sebarang kekacauan. Sungguhpun kadar jenayah sifar itu suatu yang amat mustahil, namun dengan adanya inisiatif dan gerak kerja berterusan daripada pihak polis, rakyat akan berasa lebih selamat dan keamanan negara juga akan terpelihara. Pihak merupakan satu entiti penguatkuasaan yang neutral, terutamanya dalam bidang jenayah. Rakyat amat memerlukan kehadiran satu pasukan polis yang berani, jujur dan iklas.Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib membantu pihak polis dalam menyelesaikan sebarang kes jenayah.Jabatan Siasatan Jenayah terlibat dengan penyiasatan, penangkapan dan pendakwaan bagi jenayah yang keganasan terhadap manusia dan jenayah harta benda. Selain itu jabatan ini menguatkuasakan undang-undang berhubung perjudian, maksiat dan kongsi gelap di Malaysia.Misi utama jabatan ini adalah membebaskan negara dan masyarakat Malaysia daripada jenayah. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pula berfungsi memerangi dadah berbahaya sebagai musuh utama negara dengan menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat dan mengurangkan permintaan dan bekalan dadah berbahaya. Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam berperanan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam adalah terpelihara. Jabatan ini merangkumi sebahagian besar daripada operasi PDRM daripada pengawalan trafik, pencegahan jenayah lanun dan pencerobohan sempadan negara. Selain itu, mereka juga membantu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perusahaan Awam dalam penguatkuasaan Akta Lalu lintas.
          Pendekatan dalam tindakan pencegahan jenayah ini juga melalui reka bentuk persekitaran yang selamat agar peluang untuk melakukan jenayah dapat dikurangkan. Di Malaysia, Konsep bandar selamat telah diilhamkan oleh MCPF pada tahun 1998. Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Konsep bandar selamat yang mempunyai 3 ciri utama, yakni pewujudan bandar yang bebas daripada semua ancaman fizikal, sosial dan mental.  Persekitaran yang sentiasa dalam keadaan terpelihara dan penghuni sentiasa berada dalam keadaan yang paling selamat. Konsep bandar selamat merupakan satu contoh yang baik menunjukkan kerjasama antara kerajaan dengan orang ramai dalam usaha pencegahan jenayah. Secara ringkas konsep ini merupakan satu program yang mengandungi aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk mewujudkan persekitaran yang selamat. PBT perlu memandang berat kepada aspek keselamatan penduduk di dalam kawasannya di samping mempertingkatkan sistem kerja dan penyampaian yang efektif.Dalam memberi kelulusan perancangan pembangunan, PBT perlulah mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan penduduk seperti memperketat semua jenis hiburan yang ada kemungkinan menyumbang kepada gejala sosial dan jenayah. Anggota penguat kuasa yang berintegriti perlu dilatih bagi menjalankan tugas. Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan pelbagai kemudahan beriadah dan bersukan yang praktikal bagi kegunaan semua peringkat umur.  Pihak pengusaha pusat kafe siber perlu diberikan panduan yang jelas dari segi penguatkuasaan undang-undang. Pusat karaoke boleh menyumbang kepada aktiviti yang tidak bermoral dan menggalakkan gejala sosial dalam kalangan remaja sekiranya tidak dikawal dan dipantau.Pihak penguasa PBT juga harus memastikan syarat-syarat perlesenan kelab malam sentiasa dipatuhi supaya premis tersebut tidak menjadi pusat penyalahgunaan dadah atau aktiviti maksiat dan yang lain. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia,  Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye, mempromosikan kesedaran dan penyertaan awam dalam usaha pencegahan jenayah sepanjang masa, sejajar dengan usaha bersama kerajaan dan organisasi swasta yang berminat. 
          Tuntasnya, proses urbanisasi dan kemiskinan berkait rapat dengan isu jenayah.Jenayah berlaku hasil daripada penyalahgunaan dadah, penurunan nilai moral dan akhlak, keruntuhan struktur dan institusi sosial, pendedahan kepada bahan-bahan lucah dan pengaruh persekitaran 75% daripada jumlah kes jenayah berlaku daripada tindak-tanduk mangsa yang cuai. Indeks jenayah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun 2014 mencatatkan sejumlah 111,678 kes, iaitu menurun sebanyak 19 peratus berbanding 130,608 kes direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu. Pendek kata, kita perlu menangani masalah jenayah dari pelbagai sudut. Dari sudut pendidikan kita memerlukan program secara berterusan untuk mendidik remaja dan belia. Ibu bapa pula tidak boleh mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang secara efektif tanpa pilih kasih. Sekolah pula perlu mengetatkan disiplin terhadap pelajar. Peranan badan kehakiman juga harus menjatuhkan hukuman setimpal yang dilakukan oleh penjenayah.



 contoh 2
Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan Sambutan hari Polis di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah, “Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama Selaku Ketua Polis Kontinjen Negeri, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam suatu majlis perhimpunan masyarakat. Tajuk ceramah yang disampaikan ialah, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”.Tulis teks ceramah anda itu selengkapnya.
Assalamualaikum dan salam muhibah,
                Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Beramang, Yang Dihormati Ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.
                Dengan penuh rasa bangga saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana dijemput dan diberi peluang untuk menyampaikan ceramah dalam majlis himpunan yang julung-julung kali diadakan di kawasan ini. Kebanggaan saya adalah kerana wujud sikap prihatin yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat di sini untuk turut sama terlibat dalam usaha mengembalikan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Kewujudan masyarakat prihatin seperti ini memberi isyarat bahawa agenda keselamatan dan ketenteraman dalam masyarakat dan negara terus diberi perhatian. Bersempena dengan pertemuan pada hari ini, saya diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan ceramah keselamatan yang bertajuk, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”. Terima kasih sekali lagi atas kesediaan semua pihak untuk turut berkongsi pengalaman bersama-sama dengan saya.
Hadirin sekalian,
                Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah ialah sebuah ungkapan yang menerangkan tuntutan terhadap keprihatinan orang ramai dalam mendepani segala risiko jenayah dan apakah langkah-langkah yang boleh disumbangkan oleh masyarakat untuk membasmi gejala tersebut? Hal ini amat wajar sekali diambil berat oleh setiap anggota masyarakat memandangkan selama ini apabila diperihalkan sahaja persoalan jenayah, maka tanggungjawabnya diserahkan 100 peratus kepada polis. Oleh hal yang demikian, apabila masyarakat di kawasan ini mula prihatin dengan gejala ini, saya bagi pihak yang bertanggungjawab dengan persoalan keselamatan amat berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dengan tuan-tuan dan puan-puan.
                Jikalau kita berfikir secara rasional, isu jenayah bukanlah menjadi milik eksklusif pihak polis semata-mata. Usaha tersebut menyentuh secara langsung kepada kepentingan rakyat. Secara logiknya, apabila berlaku sesuatu kes jenayah jarang sekali pihak polis yang menjadi mangsa. Mangsanya ialah masyarakat umum. Oleh itu, apabila masyarakat tidak prihatin dengan masalah jenayah memberi maksud masyarakat tidak mementingkan keselamatan mereka. Orang yang cerdik tidak membiarkan perihal keselamatan dirinya dijaga oleh pihak lain dengan sepenuhnya. Walaupun pihak polis sedar bahawa tugas menjaga keselamatan adalah menjadi tanggungjawab profesional mereka, namun tanpa komitmen tinggi orang ramai, masalah jenayah tidak mungkin dapat dibanteras sampai bila-bila.
                Seyogia dengan pertemuan pada hari ini, saya mengambil peluang untuk menggariskan beberapa langkah perlu yang boleh disumbangkan oleh masyarakat. Jenayah sebenarnya boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu jenayah am dan jenayah berat. Jenayah berat meliputi penggunaan senjata berbahaya dan mengancam nyawa mangsa. Sekiranya terbukti bersalah, penjenayah boleh dihukum antaranya dalam Seksyen 302 yang boleh membawa hukuman mati mandatori atau Seksyen 304 yang membawa denda penjara sehingga 20 tahun. Jenayah berat boleh dikategorikan sebagai merompak, rompakan bersenjata, membunuh, merogol, dan pengedaran dadah. Sementara jenayah am termasuklah perbuatan salah laku yang boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat seperti mencuri, bergaduh dan lain-lain. Peningkatan kes jenayah dalam masyarakat adalah berpunca daripada sikap yang terlalu menurut hawa nafsu. Selain itu, pengaruh dadah telah dikenal pasti sebagai pendorong utama menularnya gejala jenayah dalam masyarakat. Pada hari ini suasana dalam masyarakat bertambah kompleks dengan kehadiran lebih ramai warga asing. Situasi tersebut turut mempertingkatkan kuantiti perlakuan jenayah terutama jenayah ragut.
Tuan-tuan dan puan-puan,
                Walaupun pihak polis tidak putus-putus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan, namun kudrat polis juga terhad dalam memastikan jenayah sifar. Oleh itu, tibalah masanya gemblengan tenaga dan sumbangan masyarakat untuk memastikan keselamatan sosial terjamin. Langkah terpenting ialah semua kawasan kediaman hendaklah diwujudkan satu pasukan Rakan Cops. Rakan Cops ialah organisasi sukarela masyarakat yang mengadakan hubungan langsung dengan pihak polis. Mereka bertanggungjawab menyalurkan segala maklumat keselamatan di sesuatu kawasan kepada pihak polis. Keberkesanan Rakan Cops diyakini berjaya terutama di bandar-bandar besar apabila gejala ragut semakin terkawal.
                Selain itu, masyarakat hendaklah sensitif juga terhadap persekitaran tempat tinggal mereka. Mereka hendaklah mengadu kepada polis sekiranya mengetahui di kawasan tersebut terdapat penagih dadah, kewujudan orang-orang yang tidak dikenali, dan sekiranya berlaku perkara-perkara yang luar biasa. Fenomena tersebut seperti wujud kekerapan kelompok-kelompok tertentu di sesuatu tempat sehingga lewat malam. Kehadiran warga asing di kawasan anda juga hendaklah sentiasa dipantau dan jikalau berlaku kesangsian segera melaporkannya kepada polis. Polis juga menasihatkan setiap rumah atau sekurang-kurangnya ketua-ketua unit menyimpan nombor telefon kecemasan polis. Saya amat yakin, sekiranya ditanya pada waktu ini hanya beberapa orang sahaja yang menghafal nombor telefon pondok polis yang terdekat. Demikianlah gambaran ketidakprihatinan masyarakat terhadap persoalan keselamatan.
                Dalam memastkan usaha membantu polis mengawal keselamatan juga, pihak penduduk boleh menjalankan rondaan  secara berkala atau tidak berjadual pada waktu malam untuk mendapat gambaran penuh senario pada waktu malam di kawasan tempat tinggal anda. Apabila berbuat demikian, anda akan memperoleh banyak info tentang pergerakan tanpa jadual pihak-pihak tertentu apabila menjelang malam. Dengan berbuat begitu, tuan-tuan dapat menyampaikan maklumat yang mudah kepada pihak keselamatan apabila berlaku sebarang peristiwa yang tidak diingini. Saya amat berharap akan ada insan yang berhati mulia untuk mengambil insiatif menggerakkan pasukan sukarela menjaga kemaman di kawasan tempat tinggal masing-masng. Hasrat ini diletakkan sepenuhnya di atas pundak dan batu jemala tuan-tuan untuk melaksanakannya.
Tuan-tuan dan puan-puan
                Bersatu teguh, bercerai roboh merupakan slogan yang sentiasa mendidik kita agar sentiasa bersatu, bersama, dan berusaha untuk mengelakkan ketenteraman dan keamanan di tempat kita. Marilah bersama-sama polis kita mempastikan slogan, ‘Hidup Sejahtera Tanpa Jenayah’.
Sekian terima kasih.



No comments: