Sunday, July 19, 2015

percubaan SPM 2015 - 11



Latihan 4: “Ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi”. Tulis sebuah karangan berhubung dengan peribahasa tersebut.

Warga tua teras masyarakat
Hidup berjasa setia pada negara
Sudah lama kau hidup teruji
Di dalam negara bertuah
 berkorban jiwa untuk negara, masyarakat dan nusa
          Lirik lagu ‘warga tua teras masyarakat’di atas menunjukkan kesinambungan hubungan interpersonel antara generasi dalam hidup berkeluarga. Peribahasa menyatakan sebusuk-busuk daging dikincah makan jua, seharum-harum tulang, dibuang jua. Kasih sayang antara ibu bapa dengan anak merupakan pertalian istimewa antara dua insan. Menurut Coleman, tokoh psikologi Barat, keluarga merupakan hubungan yang diikat melalui perkahwinan, perdarahan atau anak angkat. Maklumlah bahawa daun dapat dilayangkan, getah balik ke perdu jua. Anak merupakan amanah daripada Ilahi yang dipertanggungjawabkan kepada dua insan yang bergelar sebagai ibu bapa. Amatlah ajaibnya kurniaan Tuhan, tanpa pengikat hubungan darah daging, memanglah susah membayangkan sebab pengorbanan seorang ibu yang tidak sanggup membenarkan seekor lalat terhinggap pada badan anaknya. Memanglah sukar dibayangkan jua kasih bapa terkandung ke tanah, sayang ibu bawa ke syurga.  Persoalannya, sejauh manakah pengaruh ibu bapa kepada anak mereka sehingga terlahirnya peribahasa yang berbunyi bapa borek anak rintik? 

          Walhasil,  manusia telahpun dicipta oleh Tuhan mengikut fizikal, tabiat dan kecenderungan tertentu yang diambil daripada gabungan baka, ataupun genetik ayah dan ibunya pada saat persenyawaan sehingga menghasilkan sel pertama anak yang bernama zigot. Memanglah tepatnya dikatakan bahawa anak sudah pasti mewarisi pembawaan serta rupa paras daripada ibu bapa. Ahli falsafah Yunani Aristotle telah mengetengahkan pendapat bahawa darah diperturunkan daripada ibu bapa kepada anak-anak dengan membawa bersamanya pelbagai ciri khusus. Pada hari ini, kemajuan sains genetik telah membuat analisis secara mendalam. Genetik diperbuat daripada lingkaran DNA yang dikompakkan pada unit kromosom dalam setiap sel tubuh manusia. Unit kromosom ini diperoleh pada masa persenyawaan dan berlakunya pewarisan ciri-ciri baka daripada generasi kepada generasi manusia. Kebanyakan daripada sifat baka yang berbentuk fizikal bergantung pada sifat biologi nenek moyang seperti paras rupa, bentuk badan malahan sesetengah penyakit. Kajian genetik juga menunjukkan anak mewarisi ciri perwatakan atau sifat kelakuan ibu bapa seperti ciri kepintaran dan personaliti.  Malahan didapati sesetengah sifat mental, emosional dan psikologi dikawal oleh genetik itu sendiri.
      
          Dari sudut lain, sains genetik juga menegaskan bahawa bayi yang baru lahir umpama kertas kosong dan personalitinya dilakari hanya melalui faktor persekitaran serta pengalaman yang didapatinya sepanjang hayatnya. Oleh itu, personaliti manusia tidak bersifat semula jadi, sebaliknya bersifat pembelajaran dan pengalaman secara evolusi bermula dari saat kelahirannya. Dalam makna lain, fitrah manusia dan faktor bimbingan dari persekitaran seperti ilmu, suasana dan pengalaman hidup saling bergantung antara satu sama lain dalam membentuk identiti manusia ini. Dalam hal ini bangsa Arab telah memberikan kesaksian bahawa baka Bani Hasyim mempunyai banyak kelebihan dalam sifat-sifat kemanusiaan yang melahirkan insan termulia Rasulullah. Mukhtasarnya, pentarbiahan ibu bapa selepas kelahiran bayi menentukan personaliti seorang kanak-kanak. Tegasnya, budaya dan iklim dalam keluarga bakal mewarnai setiap tindakan anak-anak. Dalam hal ini Tuhan telah mengambil kira persoalan inisiatif manusia sebagai mengimbangi  faktor baka. Faktor usaha dan inisiatif ini berperanan besar dalam mengembangkan baka sehingga terjanalah manusia yang berakhlak serta berperadaban mulia. Dalam hal ini, tanggungjawab terbesarnya bergantung pada ibu bapa sama ada berjaya melahirkan anak yang bersifat Yahudi, majusi atau Nasrani.

          Walakin begitu, sejarah di sesebuah institusi kekeluargaan akan diturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi. Senario yang berlaku di rumah tangga seperti penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan penceraian berhubung kait dengan kisah salam yang dialami oleh seorang anak. Sejarah akan diulangi selepas anak tersebut melangkah ke alam berumah tangga. Pensyarah yang juga pakar runding psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya berkata, kajian menunjukkan biasanya ibu bapa yang pernah didera berpotensi untuk menjadi pendera anak mereka. Akibatnya, sikap psikologi kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang masalah ini akan kelihatan ketakutan, menyendiri, pembelajaran yang semakin menurun dan kelakuan berubah. Oleh itu, inisiatif yang dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga seperti menganjurkan program keibubapaan dan kursus praperkhawinan amatlah tepat pada masanya. Kemahiran komunikasi amat penting untuk memastikan anak dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana rumah tangga yang bebas daripada anasir peledek dari luar. Konsep kepimpinan melalui teladan amatlah diperlukan untuk memupuk sikap keterbukaan anak supaya menerima segala bimbingan daripada Ibu bapa. Ijmalnya, perkembangan psikologi seseorang anak secara fitrahnya akan terbawa-bawa kepada alam dewasa dalam hidup berkeluarga.

          Akhirnya, bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu bapa akan disuburkan oleh pewaris mereka. Baik bidang seni kraf tangan, bidang seni lukis, seni tari, memasak mahupun ketukangan, kemahiran ini lumrahnya akan diwarisi secara turunan generasi bahkan meneruskan legasi keluarga. Oleh itu, kecemerlangan dan kegemilangan seseorang tokoh banyak dipengaruhi oleh kekuatan sokongan moral daripada ahli keluarga. Biasaanya pewaris akan mewarisi bakat dan kerjaya warisnya. Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri’ Mohd. NajibTun Razak mewarisi bakat kepimpinan politik daripada ayahandanya, Tun Abdul Razak mantan Perdana Menteri Kedua. Ketika usianya, 22 tahun beliau telah menjadi Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah politik di Malaysia. Nama Tan Sri Datuk Zeti Akhtar Aziz sememangnya amat disegani dalam dunia kewangan dan perbankan, bukan sahaja di Malaysia, malahan di seantero dunia. Tidak dapat dinatikan beliau mewarisi bakat intelektual dan kepimpinan daripada bapanya, Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang cendekiawan ulung negara yang banyak membawa perubahan dalam masyarakat baik daripada aspek ekonomi mahupun sosial. Kemunculan Sidek Bersaudara sekitar awal 1990-an telah menggegarkan sukan badminton antarabangsa dengan pelbagai koleksi kejayaan yang dipungut oleh pasukan negara, khususnya oleh pasangan adik-beradik Misbun, Rashid, Jalani dan Razif. Mereka menerajui sinar kegemilangan badminton negara daripada bapa mereka Datuk Sidek Abdullah Kamar yang berjaya membentuk keluarga badminton ulung di negara ini. Kumpulan NAZA merupakan konglomerat pembuatan dan pengedaran kereta yang amat disegani. Pengasasnya, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin meninggal dunia akibat penyakit barah paru-paru. Empayar perniagaan dan kepimpinan perniagaan NAZA diwarisi anaknya, SM Nasarudin SM Nasimuddin yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutit Kumpulan NAZA. Nama Yusof Haslam sememangnya tidak lekang daripada bibir peminat filem tanah air. Jutawan filem ini nampaknya meneruskan legasinya dalam dunia perfileman tanah air apabila anak beliau Shamsul Yusof turut mewarisi bakat kepengarahannya. Shamsul telah mengarahkan filemnya yang pertama, Evolusi KL Drift.

Tuntasnya, atas faktor hubungan darah dan baka, anak-anak biasanya akan mewarisi tampang容貌fizikal serta bakat daripada ibu bapa mereka. Daripada pewarisan zuriat yang turun-temurun itulah lahirnya peribahasa yang menyatakan, ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi. Baka dan keturunan adalah kejadian Ilahi yang paling unik. Tiada sesiapa pun yang mampu mengubah suai ciptaan Tuhan yang sungguh agung itu. Oleh hal yang demikian, kita sewajarnya menjaga zuriat dan keturunan daripada tercemar daripada pelbagai anasir luar yang boleh merosakkan darah daging sendiri. Wujudkan hubungan yang rapat antara ibu bapa dengan anak-anak agar tradisi keluarga dan baka keturunan yang baik terus produktif, ibarat benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.

No comments: