Latihan
6 : Belakangan ini jasa tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul
Rahman, Tun H.S.Lee, dan Tun Sambanthan semakin dilupakan.Bincangkan cara-cara
anda menghargai jasa tokoh-tokoh kemerdekaan (T4, Unit 2 bhg 3).
Jasa dan pengorbanan
tokoh kemerdekaan sinomin dengan sumbangan wirawan atau wirawati nasional dalam bentuk kudrat, jiwa, kewangan
dan masa demi mendaulatkan institusi kerajaan Melayu dan mempertahankan
kemerdekaan negara. (I) Jasa tokoh kemerdekaan seperti Almarhum Tunku Abdul
Rahman, Tun Sambanthan dan Tun HS Lee tidak wajar ditelan dalam arus perdana
kerana hutang budi dikandung tanah, jasa baik dikenang jua.(I) Namun, kisah
silam tokoh kemerdekaan semakin luput dalam ingatan masyarakat khasnya generasi
muda lantaran pergeseran budaya dan kenipisan jati diri bangsa. (K) Sesungguhnya,
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025) telah menyasarkan 6 aspirasi
untuk memperkasakan kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikrah, dan kemahiran
memimpin, sekali gus berilmu, beridentiti nasional dan beretika dalam kalangan
pelajar. (U) Persoalannya, sejauh manakah saya sebagai anak bangsa Malaysia
menghargai jasa tokoh-tokoh kemerdekaan negara? Tepuklah benak tanyalah minda.
Memang tepatnya
dikatakan bahawa tiada yang lama, tidak ada yang baharu. Susur galur dan salasilah
sesebuah pembangunan negara memerlukan pengorbanan dan jerih perih daripada
golongan leluhur. Jasa pembangunan sesebuah negara bukan hanyalah bergantung
pada seorang tokoh, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang bersatu hati untuk
mengisi kemerdekaan yang dikurniai oleh Tuhan Pencipta Alam. Sebagai pelapis
negara, saya perlulah menyelami sejarah pembangunan negara agar menghayati jasa
yang telah ditaburkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan ini. Tanpa sumbangan mereka,
kita tidak akan hidup selesa dan dinaungi di bawah payung sistem pentadbiran
negara yang berdemokrasi. Walhal, sejarah merupakan peristiwa yang merakamkan
segala kisah yang benar dan mencatatkan setiap akibat dan sebab sesuatu
peristiwa yang berlaku. Menurut Tun Dr Mahathir,” sejarah menuntut kita tidak
mengulangi kesalahan yang telah berlaku.” Jika rakyat Melaysia tidak pernah
menghayati masa penjajahan asing yang zalim dan menangguk ikan di air keruh,
kita akan senang terhanyut dalam kemewahan dan kealpaan untuk meneruskan
kedaulatan negara. Peristiwa Lowyat yang berlaku baru-baru ini merupakan
petanda kita telah mengulangi darurat 13 Mei 1969 yang hampir-hampir menggugat
kepercayaan negara British bahawa rakyat Malaysia mampu mentadbir negara kita
sendiri tanpa campur tangan mereka. Oleh itu, tidak keterlaluan dinyatakan
bahawa sekiranya saya memahami sejarah dan pengorbanan tokoh kemerdekaan, saya
akan teruja dan berbangga menjadi rakyat yang bermaruah. Mukhtasarnya, sejarah
akan mengasuh setiap anak watan supaya meneguhkan jati diri bangsa dan
menelusuri pahit maung yang pernah ditempuhi oleh golongan leluhur atau tokoh
yang sanggup meredah hutan atau mengharungi belantara semata-mata demi
mempertahankan kedaulatan negara.
Laungan Merdeka oleh
seramai 100,000 orang di Dataran Merdeka selepas rombongan London yang diketuai
oleh Tunku Abdul Rahman bersama dengan 6 orang ahli jawatankuasa pada tahun 20
Feb 1956 telah meningkatkan kesedaran seluruh anak bangsa tanpa mengira kaum
dan agama bahawa kita mampu merdeka dan hidup dengan kebebasan. UMNO di bawah
kepimpinan Tunku Abdul Rahman telah menegakkan slogan “merdeka” daripada “hidup
Melayu”. Merdeka membawa makna yang lebih luas lagi, kemerdekaan bukan sahaja
dari sudut pentadbiran negara atau kebebasan daripada belenggu asing, tetapi
merdeka dari segi mentaliti dan kebebasan bernafas atau memilik kekayaan di
bawah tanah tumpah diri yang telah dikurniai oleh Tuhan. Hari ini, saya wajar
selalu berwaspada terhadap sebarang anasir peledak yang mungkin mengulangi
peristiwa yang dijajah oleh negara asing. Maka, jati diri bangsa atau identiti
nasional mestilah diperkasakan demi berdaya tahan maju untuk menentang anasir
subversif atau hasutan yang hanya memporak-perandakan negara. Segala sumbangan
yang ditaburkan oleh tokoh kemerdekaan mestilah saya jejaki demi memperingati
setiap detik yang diharungi oleh mereka. Tanpa sumbangan mereka yang bersifat
patriotik, saya mungkin terhanyut dalam arus perdana dan terbawa-bawa oleh
pengaruh barat yang hanya mengagungkan Uncle SAM. Pendek kata, Gagasan 1M
mendekatkan diri saya kepada tokoh kemerdekaan dan mengapresiasi apa-apa yang
telah diwarisi demi hidup berbangga sebagai anak watan yang bermaruah diri.
Sudah terang lagi bersuluh, jati diri bangsa yang teguh akan menyemarakkan
semangat empunya dan kekitaan kepada negara dan setiap sumbangan yang telah
diberikan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan.
Peribahasa menyatakan
bahawa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Bahawasanya, jasa dan pengorbanan tokoh kemerdekaan tidak wajar hanya berkisar
pada parti yang bersayap kanan sahaja seperti Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng
Loke, Tun Sambantha dan sebagainya. Namun, tokoh kemerdekaan daripada parti
bersayap kiri seperti Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Helmi, Pak Sako, Ibrahim
Yaakod, Lim Kean Chye dan sebagainya tidak wajar diketepikan juga. Saya sebagai
anak bangsa mestilah menyelami kisah silam yang berlaku sebelum dan selepas
penjajahan asing selama 446 tahun yang bersifat sebagai perombak yang
mengghairahkan kemewahan khazanah alam di negara kita . Tamsilannya, peristiwa
10 tahun sebelum kemerdekaan, Putera-AMCJA telah bersinergi dengan PKMM, UMNO
dan persatuan lain untuk membantah pembentukan Malayan Union. Jawatankuasa
Hartal yang dibentuk atas kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Tanah Melayu
telah menggugat keyakinan penjajah British untuk mencengkam pucuk pimpinan
negara selepas penyerahan tentera Jepun pada tahun 1945. Tegal itu, pengorbanan
mereka wajarlah dijadikan sebagai ikon kebangsaan dan tersemat dalam sanubari
setiap anak watan. Tegasnya, Hari Pahlwan dan Makam Pahlawan mestilah saya
peringati dan ditelusuri selagi hayat terkandung dalam badan.Selain itu, Rakan Waja Diri yang ditubuhkan oleh ProgramRakan Muda menggembleng seluruh belia Malaysia untuk memperingati jasa tokoh kenegaraan pada hari perayaan tertentu manakala program PLKN pula akan saya ceburi dengan sukarela kerana modul dalam program tersebut akan membangkitkan kesedaran muda-mudi tentang jasa yang telah disumbangkan oleh golongan tokoh mulia tersebut.
Bekas presiden
Indonesia pernah mengatakan bahawa berikan saya 10 belia yang waja, bolehlah
saya gegarkan dunia. Slogan ini telah menyedarkan seluruh rakyat Tanah Melayu
pada tahun 40-an bahawa kemerdekaan boleh dicapai dan bukan hanya fata morgana.
Sesungguhnya, saya sebagai anak watan pewaris negara, mestilah saya menerapkan
konsep kepimpinan melalui teladan supaya terus menerajui pucuk kepimpinan
negara sebagai tanda kesyukuran kepada tokoh-tokoh yang berjasa. Sebagai pemimpin pelajar, saya mestilah
menyediakan platform seperti menubuhkan Kelab Rukun Negara untuk mengerahkan dan
merangsang rakan seperjuangan supaya menyumbangkan idea dan kudrat demi mengisi
kemerdekaan negara. Untuk mengenang jasa tokoh kemerdekaan, saya mestilah
menggalakkan rakan sealiran untuk membuat lawatan sambil belajar seperti
mengunjungi muzium negara, Arkib Negara, Makam Pahlawan dan sebagainya. Tidak
dilupai juga pelbagai aktiviti seperti sayembara menulis esei tentang jasa
tokoh juga perlu dipergiat sama ada di peringkat sekolah mahupun selepas alam
persekolahan. Sememangnya, jasa mereka terus mekar dalam ingatan anak Melayu
kerana biar putih tulang, jangan putih mata. Mukhtasarnya, kejayaan tokoh-tokoh
kemerdekaan bukan hanya diraikan semasa hari perayaan tertentu tetapi perlu
mendidik generasi muda tentang sumbangan mereka tanpa mengira sebarang balasan.
Maka, sebagai pemimpin pelajar mahupun pemimpin di mana-mana organisasi, saya
mestilah turun padang untuk menyertai perbarisan pada Hari Kemerdekaan atau mengesyorkan
jasa mereka diabadikan melalui penamaan pada bangunan, jalan, monumen dan tugu
yang tertentu. Sebagai contohnya, jalan Yap Ah Loy, Bangunan Sultan Samad Said
dan Memorial Tunku Abdul Rahman. Nama yang disebut-sebut diharapkan menjadi
iktibar dan bahan rujukan kepada generasi akan datang.
Akhirnya, saya sebagai
pelajar yang terdedah dengan teknologi maklumat dan komunikasi, media massa
seyogia dijadikan sebagai media perdana untuk menyebar luas sumbangan mereka.
Walhal, media massa merupakan agen pentafsir dan pemantau yang dominan untuk
mencatatkan setiap peristiwa yang pernah berlaku pada masa silam dan
mengingatkan pembaca tentang setiap pergerakan yang perlu diawasi. Tamsilannya,
Astro pernah menyiarkan tayangan Anak Gemilang Malaysia telah menjadi wadah
penghubung untuk menjemput waris para tokoh kemerdekaan supaya mengenang kisah
silam yang pernah berlaku. Saya sebagai anak watan, perlulah menghayati filem
dan mendokumentasikan setiap riwayat mereka melalui penulisan atau lisan supaya
menjadi tatapan generasi akan datang. Sesungguhnya, media massa sebagai alat
penghubung utama untuk merapatkan generasi muda dengan tokoh yang berjasa, sesi
temu bual atau program bicara akan meningkatkan kesedaran masyarakat kini
tentang kepentingan mencontohi semangat patriotik para tokoh kemerdekaan.
Menurut kata Tan Sri Lee Lam Thye,” semangat patriotik merupakan ikatan utama
antara generasi lampau dengan generasi kini.” Sesungguhnya, saya sebagai anak
bangsa perlu juga mempergiat aktiviti seperti pementasan drama dan penfileman
tentang riwayat tokoh kemerdekaan. Contohnya, filem Leftenan Adnan dan
pementasan drama Rosli Dolby telah meniupkan semangat patriotik justeru
mengimbau kembali jasa para tokoh kemerdekaan yang sanggup bertarung nyawa demi
mempertahankan negara daripada penjajahan asing.
Akhirul karam, memetik
kata mantan Presiden AS” jangan tanya apa boleh diberikan oleh negara, tetapi
apa yang boleh anda sumbang kepada negara.” Semangat Tunku Abdul Rahman sebagai
bapa kemerdekaan telah meninggalkan kata keramat yang mengagumkan anak watan,
iaitu “Merdeka” . Laungan ini betul-betul termakbul tanpa tumpahan darah tetapi
hanya rundingan meja yang bersifat muafakat. Bahawasanya, Datuk Oon Jaafar juga
sering mengkritik masyarakat Melayu dan mendesak agar perubahan dilakukan.
Selepas 58 tahun menghela nafas kemerdekaan, kita tidak patut melupakan jerih
perih yang pernah diharungi, tetapi terus mara ke hadapan dan memahatkan
kesinambungan jasa mereka agar Malaysia berdaya maju dan terus menghayati makna
kemerdekaan dalam dimensi yang lebih luas lagi. Berbanggalah rakyat Malaysia
kerana hidup bermaruh di bawah satu negara, satu bangsa dan satu bahasa.Ingatkah bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Dari masa ke masa, kerjasama antara pemimpin, rakyat dan sistem diraja ibarat selirat akar umbri yang tidak dapat diasingkan, manakala tokoh kemerdekaan merupakan semangat dan lambang sejarah yang menerangi seluruh rakyat Malaysia, bahawasanya selagi obor masih dinyalakan, anak watan teguh bersifat keberanian dan ketabahan untuk memastikan kesinambungan semangat tokoh kemerdekaan biarpun masa bertahun-tahun lalu.
No comments:
Post a Comment