Latihan
3: Warga emas merupakan golongan yang perlu dihormati oleh generasi muda masa
ini. Huraikan peranan ibu bapa untuk memupuk sikap menghormati warga tua dalam
kalangan anak-anak (Teks Tkn 4, Unit 2 Bhg 2).
“Warga
Emas Teras Masyarakat”. Itulah slogan yang memberikan pengiktirafan
atas keberadaan warga emas di tengah-tengah masyarakat. Walaupun sebahagian
mereka boleh dianggap sebagai Quran buruk, namun kewujudan mereka banyak
memberikan impak positif untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, prihatin
dan tahu membalas budi. Malahan berdasarkan sepotong pepatah Cina yang
bermaksud, “Apabila di dalam rumah kamu tersimpan seorang tua, tahulah bahawa
di dalam rumah itu sudah menyimpan suatu barang yang berharga”. Oleh hal yang
demikian, keberadaan warga emas perlu dianggap sebagai suatu rahmat dan
hendaklah diberikan penghormatan pada kedudukan tertinggi. Dalam hal ini, ibu
bapalah yang bertanggungjawab untuk mendidik generasi muda agar tahu
menghormati warga emas.
Sesungguhnya,
untuk memupuk sikap menghormati warga tua dalam kalangan anak, ibu bapalah yang
memainkan peranan penting untuk menjadi uswah hasanah kepada anak mereka.
Konsep kepimpinan melalui teladan menunjukkan sifat kesabaran,
keadilan dan selalu merefleksikan diri akan diwarisi oleh anak mereka. Sebagai ibu bapa mithali,
memanglah perlu menyediakan platform untuk mengerahkan dan merangsang anak
mereka supaya sering merapatkan hubungan ukhuwah dalam pertalian baik dalam
keluarga induk mahupun ahli keluarga yang tinggal berjauhan. Peribahasa
carik-carik bulu ayam bercantum menerangkan bahawa hubungan akrab dalam rumah
tangga sukar dipisahkan, inilah diterangkan juga dalam peribahasa sebusuk-busuk
daging dikincah dimakan jua, seharum-harum tulang dibuang jua. Maka, untuk
setiap hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, sesibuk atau sejauh mana pun,
setiap ahli keluarga mestilah pulang ke kampung untuk menziarahi kaum kerabat,
nenek moyang atau sahabat handai. Hubungan bagai bau-bau bacang sesungguhnya
tidak wajar wujud dalam hidup bermasyuarakat kerana hubungan antara generasi amatlah
penting untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan bangsa. Amalan yang
berkonsepkan berakidah, beribadat dan berakhlak memastikan warisan tradisi
budaya negara kita terus mekar pada zaman pascamodenisasi ini.
Dari
sudut keagamaan, memanglah dituntut oleh semua agama bahawa budaya menghormati
dan menyayangi warga emas merupakan amalan ibadat yang tidak wajar
dikesampingkan. Dalam konteks ini, ibu bapa mestilah memastikan diri dan
melengkapkan anak mereka menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan.
Bahawasanya, Nabi Muhammad telah bersabda,” rebutlah 5 perkara sebelum
kehilangannya, iaitu masa sihat, masa muda, masa lapang, masa kaya, dan masa
hidup.” Mafhumnya setiap umat di buana ini mestilah menghargai setiap detik
yang berpeluang bersama dengan keluarga induk khasnya generasi tua yang sedang
menginjak ke usia senja yang penuh dengan pelbagai ujian dan dugaan oleh Ilahi.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa waktu senja sungguhpun penuh dengan
warna,namun masanya amatlah singkat dan hampir-hampir sirna dalam pandangan
kita. Sebagai anak soleh atau solehah, amatlah perlu mentaati setiap taufik dan
hidayah supaya dilimpahi rahmat dan terbukanya pintu syurga kepada seluruh ahli
keluarga. Mukhtasarnya, angkara laknatullah seperti menderhaka, menengking dan
menghina sesama ahli keluarga, khususnya kepada warga tua amatlah dilarang sama
sekali dalam sudut agama kerana;
Biarlah sabar menjadi lambat,
Inilah orang yang beriman,
Tak patah digoncang iblis,
akhirnya tuan menang berjaya.
Dalam
perspektif etiket sosial, setiap gerak laku, tutur kata, cara hidup, pemikiran,
perasaan dan cara pergaulan dalam hidup berkeluarga mahupun bermasyarakat
berkait rapat dengan keperibadian kita. Tegal itu,ibu bapa mestilah menerapkan
budaya budi pekerti dalam rutin harian khasnya semasa berhadapan dengan
orang-orang tua yang memerlukan penghargaan dan penghormatan daripada masyarakat.
Menurut pepatah-pepatih, ada ubi ada talas, ada budi ada balas, orang memberi
kita merasa, orang berbudi kita berbahasa, hutang budi terkandung tanah, budi
baik dikenang jua memenifestasikan bahawa budi pekerti merupakan jambatan
penghubung silaturahim antara generasi sekali gus menjadi sendi ikatan kesatuan
antara generasi muda dengan generasi tua. Lumrahnya, kemurahan hati dan
ketelusan hati akan melahirkan keperibadian yang bersifat tawaduk dan
kesederhanaan semasa berurusan
dengan golongan tua. Yang dominannya, bahasa jiwa bangsa, kemahiran berbahasa
dan sensitiviti yang tinggi semasa melayan kerenah golongan tua dapat mengelakkan
konflik dan jurang generasi yang memanglah dilarang sama sekali dalam sudut agama
mahupun budaya tradisi ketimuran. Pendek kata, akal fikiran pakaian insani,
budi pekerti pakaian peribadi diterangkan dalam gurindam di bawah
ketelusan
hati jadi amalan,
ketinggian
peribadi jadi bekalan.
sifat
baik hati kekuatan hati,
bertimbang
rasa, bersimpati.
Selain itu, ibu bapa perlulah
menceritakan sumbangan nenek moyang kepada anak-anak supaya menjadikan nenek moyang sebagai
ikon dalam institusi kekeluargaan. Pada zaman dahulukala, potrait nenek moyang
akan bergantung pada dinding atau tempat beribadat. Semasa hari perayaan, semua
ahli keluarga akan bermusyawarah dan berkumpul untuk berkongsi suka duka
selepas sepanjang tahun melayari bahtera hidup. Dalam sesi muzakarah ini,
dipercayai bahawa pertalian istimewa antara generasi akan terus mekar dan
terjalin. Contoh ini jelas ditunjukkan dalam keluarga besar atau yang berada,
kehebatan nenek moyang telah berjaya meneroka perniagaan keluarga dan diwarisi
dari satu generasi ke satu generasi sebagai lambang kewibawaan dalam sesebuah keluarga. Sebagai contoh, kehebatan Khoo Gongxi di Pulau Pinang
sehingga mendapat pengiktirafan oleh UNESCO sebagai pusat tradisi sedunia telah menjadi lambang kemegahan atau ikon kepada cucu cicit beliau. Atas sumbangan dan pengorbanan yang telah
dicurahkan oleh nenek moyang, atas setiap jerih perih yang ditempuhi, banyak keluarga dapat hidup bermewah dan hidup di negara yang bertuah ini. Maka, ibu bapa mestilah mengabadikan jasa warga tua dalam sesebuah keluarga dengan mencatatkan nama nenek moyang dengan jelas supaya menjadi sumber rujukan kepada generasi akan datang. Di samping itu, perkuburan nenek moyang
atau majlis tahlil mendoakan kesejahteraan nenek moyang dan pembacaan surah Yasin
kepada arwah nenek moyang juga dapat memastikan generasi muda sering menyematkan jasa
mereka dalam sanubari selagi hayat terkandung dalam tanah.Mukhtasarnya, setiap
kenduri-kendara ahli keluarga merupakan wadah penghubung antara generasi supaya
tidak putus-putus untuk saling mengenali dan saling berutus perkhabaran bak pepatah tak kenal maka tak cinta.
Akhirnya,
lantaran perubahan sistem sosial dan perubahan hidup dalam berkeluarga, ibu
bapa akan tinggal berjauhan dengan nenek moyang. Oleh itu, sudah menjadi satu
adat dan kebudayaan untuk bertandang ke rumah nenek moyang setiap kali musim
perayaan atau cuti persekolahan. Kempen yang Tua dihormati, Yang Muda
disayangi, Kempen Makin hari makin mesra, Kempen Ternanti-nanti Kepulangan
selalu terpapar melalui media arus perdana. Selitan iklan yang ditaja oleh
syarikat multinasional menjelang hari perayaan memangah menyentuh perasaan.
Walhal, sifat kasih sayang merupakan sifat Tuhan yang melimpah rahmat-Nya
kepada setiap umat di buana ini. Jadi, sifat Tuhan ini sepatutnya menjadi
anutan manusia supaya meluaskan limpahan rahmat-Nya kepada setiap makhluk
jagatraya, inikan orang-orang tua yang bersebati dengan kita. Dengan lahirnya
perasaan mesra, muhibah dan mawaddah sesama ahli keluarga, ternyatalah hubungan
akrab akan terpahat sepanjang hayat bagai simpulan tali yang bertaut bersama.
Sesungguhnya, daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu. Sejauh mana kita
berada, pertalian dan darah daging merupakan sendi yang perlu dilestarikan.
Sebagai penghias penutup bicara, warga emas ialah insan yang amat banyak meninggalkan jasa kepada
generasi masa ini. Segala jerih payah mereka perlu dihargai dan diberi balasan
yang setimpal dengan sumbangan mereka. Biarlah pengorbanan tersebut terus
lestari dengan sikap tahu membalas budi daripada anak-anak dan cucu-cucu.
Inilah hakikat hidup dalam rangkaian generasi dan salasilah keturunan yang
tidak putus buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment