2011 Pahang
Pendahuluan :
Di Malaysia, memasuki alam pekerjaan adalah menjadi destinasi akhir
kepada kebanyakan pelajar. Sama ada di peringkat sijil, diploma atau ijazah
mereka sudah mencongak-congak akan peluang pekerjaan yang bakal diceburi. Walau
bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran pekerjaan, kelulusan
akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu boleh menjawat jawatan
yang dicita-citakan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di
samping akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan
oleh para majikan. Justeru, seseorang pelajar itu wajarlah memperlengkapkan
dirinya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang
pekerjaan.
Isi 1 : Memiliki kemahiran dalam berkomunikasi - petah berbicara, matang
mengeluarkan hujah dan pendapat, dan berani berhadapan dengan pelbagai
peringkat klien - berinteraksi dalam gaya yang sopan
Isi 2 : Kemahiran menguasai pelbagai bahasa - mampu berinteraksi dengan
pelbagai lapisan dan peringkat - menguasai bahasa-bahasa penting di dunia
seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Perancis, Arab, Jepun, dan banyak lagi -
berpeluang meneroka pelbagai peluang dengan pendapatan lebih lumayan di
seberang laut
Isi 3 : Kemahiran teknologi - penting selaras dengan kemajuan teknologi
global - hala tuju negara menjadi negara maju yang dipacu oleh sektor
perindustrian - teknologi pembuatan, kejuruteraan, dan penciptaan - memiliki
aset utama untuk mencari peluang dalam pelbagai sektor - (pembuatan, pemesinan,
perkakasan, dan operasi)
Isi 4 : Kemahiran dalam ICT - selaras dengan kemajuan teknologi langit
terbuka - mempercepat proses penyebaran dan pemerolehan maklumat melalui
rangkaian internet dan laman web - boleh bersaing dalam gelanggang maklumat
yang menguasai gaya hidup moden (peribahasa tidak boleh hidup seperti katak di
bawah tempurung)
Isi 5 : Kemahiran dalam penampilan dan penyesuaian diri - penampilan
fizikal, gaya bersosial, mengawal emosi, dan matang berfikir - meyakinkan orang
lain terhadap keupayaan diri - mudah diterima dalam kelompok
Isi 6 : Kemahiran-kemahiran seni istimewa - seni suara, seni muzik,
memasak, ketukangan, hiasan, dan dekorasi - sebagai aset tambahan untuk lebih
berdaya saing
Kesimpulan :
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada sesiapa pun yang tahu
mengajari kita agar berusaha mencipta tuah. Oleh yang demikian, penampilan diri
dengan pelbagai kemahiran merupakan tuah yang boleh dicipta demi mencapai
kejayaan peribadi seperti yang diidam-idamkan.
Contoh:
Kemahiran
merupakan kebolehan yang diperlukan untuk menguruskan sesuatu tugasan dengan
pantas dan berkesan. Di bawah RM ke- 11, pembangunan modal insan merupakan
agenda yang dominan untuk dicapai sebelum menginjak tahun 2020 sebagai status negara
maju berpendapatan tinggi. (I) Senario yang menunjukkan kebergantungan sumber
tenaga manusia mahir pada warga asing telah menimbulkan banyak skeptikal
terhadap sistem pendidikan negara Malaysia. Menurut laporan Pusat Perpustakaan Negara pada tahun 2005, jumlah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia ialah sebanyak 8 –
12 buah buku dalam setahun sedangkan sebanyak 40 buah buku dibaca
setahun oleh rakyat Jepun. Statistik ini menunjukkan kadar literasi negara kita masih
jauh ketinggalan daripada negara maju. Oleh itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggarisbawahi 6 aspirasi yang
perlu dipenuhi oleh seorang anak bangsa, iaitu mempunyai kemahiran dwibahasa, kemahiran
berfikrah, dan kemahiran memimpin, di samping berilmu, beridentiti nasional,
dan beretika. Persoalannya, sejauh manakah pelapis negara menguasai kemahiran
untuk mentransformasikan bidang pendidikan pada era globalisasi yang melewati
sempadan negara dan autonomi ekonomi?
Memang tidak dapat disangkal bahawa budaya kreativiti
dan inovasi merupakan pencetus kemahiran berfikrah atau kemahiran berfikir aras
tinggi(KBAT). Kreativiti merupakan
gagasan, idea, dan pemikiran yang baharu. Manakala inovasi merupakan
penambahbaikan pemikiran yang sedia ada sehingga memberi nilai tambah baharu
untuk menghasilkan produk yang dapat dikomersialkan. (M) Amsalnya, teknik
pengajaran dan profesional keguruan akan menyerlahkan bakat dan keberanian
pelajar untuk meneroka pelbagai bidang yang mendatangkan manfaat kepada diri atau
negara. © Secara langsung, budaya berkenaan akan meningkatkan kemahiran
berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, justeru menonjolkan sikap ketabahan
untuk berdepan dengan kegagalan yang berterusan. Sebagai contoh, Thomos Edison
mengatakan bahawa 1000 kali kegagalan cuma mengingatkannya tentang 1000 kali
untuk mencari cara yang baharu. Albert Eistein juga menukilkan bahawa imaginasi
lebih penting daripada pengetahuan. Tegasnya, kata-kata keramat ini menunjukkan
budaya inovasi menjanakan kelangsungan tamadun dan bangsa di persada jagatraya.
Mukhtasarnya, sistem pendidikan negara mestilah meneladani pedagogi negara maju supaya
melibatkan pelajar dalam sumbang saran, mengembara dan pandai menaakul selepas
setiap pembelajaran. Dengan itu, kemahiran KBAT barulah menjamin kegemilangan pelajar selepas tamat alam persekolahan.
Dari sudut lain, kemahiran menguasai pelbagai bahasa
juga merupakan tonik mujarab untuk memartabatkan diri dalam mercu kegemilangan. Dalam konteks ini, setiap pelajar mestilah
didedahi dengan 6 bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Cina, bahasa Arab, bahasa
Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Inggeris dan bahasa Rusia yang telah
diiktirafkan dalam majlis persidangan Persekutuan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai bahasa rasmi antarabangsa. Justifikasinya,
penguasaan bahasa antarabangsa bukan sahaja menyenangkan diri untuk
berkecimpung dalam urusan diplomatik, malahan meningkatkan peluang untuk
menembusi kerjaya di syarikat multinasional. Menurut kajian, kekurangan
penguasaan kamahiran bahasa asing membantutkan kebolehpasaran graduan selepas
tamat alam persekolahan. Contohnya, Sekolah Berasrama Penuh yang mewajarkan
pelajarnya mempelajari bahasa asing merupakan inisiatif yang cukup bersesuaian
dengan kehendak pasaran global. Tegasnya, Mahadzir Lokman telah dinobatkan
sebagai duta Perancis lantaran penguasaan beliau dalam bahasa asing. Ijmalnya,
setiap pelajar mestilah mengambil peluang untuk meningkatkan kebolehan diri
dalam penguasaan pelbagai bahasa.
Konsep kepimpinan melalui teladan diwara-warakan oleh
Tun Dr Mahathir pada tahun 1983. Sesungguhnya, kemahiran memimpin merupakan
tanggar amanat yang perlu digalas oleh anak watan pewaris bangsa. Dalam konsep
ini, setiap pelajar mestilah mengaktifkan diri dalam aktiviti kokurikulum
supaya dilatih menjadi pemimpin yang berkarismatik. Pemimpin yang berwibawa
pandai mengerahkan dan merangsang rakan seperjuangan untuk melunaskan sesuatu
amanah yang dibertanggungjawabkan. Lumrahnya,
setiap pemimpin menyediakan platform untuk si penyumbang idea dan sekali gus
mengamalkan sifat keadilan untuk memberikan penghargaan kepada setiap rakan
seperjuangannya. Yang pentingnya, disiplin diri yang tinggi memastikan setiap
pemimpin diteladani oleh rakan sekeliling justeru tidak kurang pentingnya mempraktikkan
sifat tawaduk dan bersiap siaga turun padang untuk menterjemahkan setiap misi dan visi yang
ditetapkan oleh organisasi. Mukhtasarnya, ciri-ciri kepemimpinan mestilah
berteraskan konsep keislaman, iaitu jom akidah, beribadat dan berakhlak.Dalam
kata lain, kemahiran memimpin ditunjukkan dalam gurindam di bawah,
Pengaruh kepimpinan melalui teladan.
Baik buruk jadikan sempadan
Menjadi kewajipan menjalankan tugas.
Walaupun sederhana tetapi tegas.
Jika diselami
keluhuran peribadi dan kemurahan hati, kemahiran dalam bidang linguistik bukan
kayu ukur untuk menentukan kemahiran komunikasi seseorang. Maka, untuk
memastikan kita disenangi dan disegani oleh sesiapa sahaja dalam sesebuah
organisasi, penampilan diri dan perwatakan yang menyerlah memanglah merupakan
pemangkin untuk memastikan diri berada di barisan hadapan. Sesungguhnya, akal
fikiran pakaian insani, budi pekerti pakaian peribadi. Budi pekerti seseorang
berkait rapat dengan gerak laku, tutur kata, cara hidup, perasaan, pemikiran
dan cara pergaulan dalam hidup berkhalayak. Tanpa keikhlasan dan ketelusan hati
sebagai bekalan, tidak mustahil kita diterima dan dimartabatkan sebagai insan
yang diyakini. Pendek kata, budi pekerti merupakan jambatan penghubung
silaturahim di samping pelajar juga mesti menguasai kebolehan untuk petah berbicara
dan meluahkan pendapat bernas supaya berdaya melayan kerenah klien yang
berbeza. Kemahiran komunikasi dan budi pekerti adalah saling bergantungan demi memastikan setiap pelajar berjaya meyakini majikan dan klien semasa hidup berkerjaya.
Menurut laporan
PISA( Program of International students assessment) pada tahun 2009, negara kita berada pada
kedudukan ke-57 daripada 74 buah negara yang menduduki ujian untuk sains,
matematik dan literasi bahasa Inggeris. Kedudukan ini amatlah memalukan negara
kita yang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau
Asia ini. Sebagai persediaan untuk berdepan dengan kehendak pasaran global,
sumber tenaga yang mahir dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan memanglah
merupakan pemangkin untuk memastikan negara kita mempunyai barisan sumber
tenaga yang berkemahiran tinggi. Maka, usaha sama antara Malaysia dengan negara
maju seperti Korea, United Kingdom dan Jepun penting untuk memacu pendidikan Latihan
vokasional dan teknik negara ini justeru memastikan
kebolehpasaran graduan atau lepasan SPM di pasaran setempat. Namun, tanggapan negatif
masyarakat terhadap laluan akademik sekolah teknik dan vokasional masih perlu
dianjak demi mencapai aspirasi negara sejajar dengan RMke-11. Di bawah usaha
Pelan Transformasi Ekonomi Negara, diramalkan 3.3 juta pekerjaan akan
ditawarkan menjelang tahun 2020, manakala 40% daripada pekerjaan terdiri
daripada tenaga mahir yang memerlukan kelayakan dan profesional tinggi dalam
bidang kemahiran berkenaan. Justifikasi, pelajar perlulah diasah bakat dan
menentukan kebolehan diri sejak sekolah rendah untuk memilih hala tuju yang
tepat sebelum menembusi kerjaya pada masa kelak.
Akhirnya, kemahiran ICT tidak lain tidak
bukan lagi merupakan penjana kreativiti dan kekayaan. Misalannya, pencipta
ajaib Mircosoft Bill Gates, pengasas facebook Mark Zurkerberg, Pelopor Alibaba
Jack Ma, pencipta laman Google Page dan Brian telah menunjukkan kebakatan mereka
mengikut minat masing-masing. Kejayaan mereka dalam bidang ICT menyatakan sifat
keberanian untuk menterjemahkan impian diri. Dalam erti kata lain, kemahiran
ICT melepasi segala urusan agar mengoptimumkan keberhasilan dalam semua bidang
seperti perdagangan, penyelidikan, perubatan dan sebagainya. Maka, setiap
pelajar perlulah meneroka alam maya demi menjadi penginovasi yang berjaya
menongkah arus perdana. Pada masa sama,
kita perlu mengakui bahawa kemahiran ICT berjaya menjadikan kita sebagai makhluk
yang berani mencipta impian, banyak barangan telah dijenamakan semula melalui
akses maklumat dalam Internet. Penjenamaan semula sesuatu barangan melalui
pelabelan, penyelidikan dan pemasaran akan dimangkinkan jika menguasai
kemahiran ICT yang tidak lagi terkecuali dalam kehidupan harian setiap manusia.
Sebagai penghias penutup bicara, kemahiran dan ilmu
merupakan prasyarat untuk memastikan kita berjaya berfikir secara global dan
bertindak secara glokal. Walau bagaimanapun, kejayaan seseorang memartabatkan
diri sebagai insan berguna tidak akan terjadi sekiranya tidak menghayati nilai
murni yang syumul. Kegigihan dan usaha merupakan pelengkap kepada kemahiran
yang diperoleh, yang bulat tak dapat bergolek, yang pipih tak datang melayang.
Dengan itu, setiap kemahiran yang dilengkapi seyogianya diimbangi melalui akal
budi dan akidah yang benar-benar berniat untuk berbakti kepada negara dan
bangsa.
No comments:
Post a Comment