Budaya
hormat merupakan teras kekuatan masyarakat dan sendi ikatan kesatuan antara komuniti. Budaya ini sememangnya perlu dipertahankan
dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi bak pepatah tak lekang dek
panas, tak lapuk dek hujan. (I) Sayang seribu kali sayang, budaya ini yang
sepatutnya menjadi tanggar amanat telah makin ditelan arus globalisasi sehingga
menimbulkan senario mengoyak-ngoyakkan panji-panji negara, mencemarkan nama
kedaulatan sistem kerajaan dan memporak-perandakan situasi negara. (K)
Memandangkan keseriusan kepompong sosial ini, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah menggarisi 6 agenda
yang perlu dilengkapi oleh setiap generasi pelapis bangsa, yakni berminda kelas
pertama, identiti nasional dan beretika.(U) Dipercayai bahawa kejutan budaya
telah tercetus sejak beberapa dekad yang lalu ekoran perkembangan teknologi dan
sains yang pantas melanda jagatraya. (P) Persoalannya, sejauh manakah saya sebagai anak muda telah mengorak
langkah untuk mengembalikan budaya hormat dalam era atom ini?
Sesungguhnya, keteguhan jati diri merupakan tonik mujarab
untuk memastikan saya mengamalkan budaya hormat terhadap warisan budaya yang
ditinggalkan oleh nenek moyang. (AJ) Jati diri merupakan perwatakan pada mata
kasar untuk dikenali oleh masyarakat luar. Menurut Prof Dr Baharul Bahaman,
jati diri merupakan identiti nasional yang melambangkan kebudayaan sesebuah
negara. (M) Contohnya, jati diri bangsa akan membentuk perasaan
kebersamaan, kesatuan, dan kesefahaman dalam diri seseorang. Maka, saya
mestilah mengasimilasi dan mengadaptasi setiap perbezaan seperti berusaha
memahami latar
belakang sosiaekonomi setiap bangsa yang berbeza. (C) Secara langsung,
kefahaman terhadap budaya bangsa yang berbeza akan meneguhkan jati diri saya
supaya mengurangkan kecelaruan minda dan krisis identiti lantaran
terlalu mengagung-agungkan budaya kebaratan yang berkiblatkan liberalisme,
sekuralisme dan hedonisme. (K) Tegasnya, pemahaman terhadap warisan budaya akan
menyemarakkan budaya hormat terhadap keturunan leluhur yang tidak ternilai harganya.
Dari sudut sejarah, saya telah dididik
untuk menyusuri salasilah atau asal usul sesebuah bangsa dan negara. Oleh itu,
saya mestilah berusaha untuk menelaah pelajaran berkaitan dengan jasa bakti
yang telah dicurahkan oleh tokoh negara.(A) Melalui ilmu yang ditimba, saya
akan memahami setiap pengorbanan dan jasa mereka untuk membentuk negara
berdaulat yang telah menaungi rumah tangga saya sejak berkurun-kurun lagi. (C)
Menurut Tun Dr Mahathir, “ sejarah akan menuntut kita tidak mengulangi setiap
kesalahan yang telah dilakukan.” Maka, saya meyakini bahawa selepas memahami
sejarah, saya akan lebih mendekati tokoh yang berjasa sekali gus menyuntik
penghormatan terhadap pahit maung yang telah diharungi oleh mereka. (K)
Mukhtasarnya, ilmu yang diperoleh bukan sahaja membentuk sahsiah diri yang tahu
mengenang budi malahan membentuk sikap menghormati setiap insan. Kepentingan
ilmu untuk menzahirkan perasaan yang murni ini dapat diungkapkan dalam pantun
di bawah,
Jika
ilmu dikaji teliti,
Sungai
cabaran tersedia titi,
Ilmu
dituntut dengan tabah
Budaya hormat akan bertambah.
Dari
sudut etika sosial, budi pekerti merupakan pakaian peribadi yang mampu
menonjolkan personaliti yang unggul. (A) Dalam hal budaya hormat, saya meyakini
konsep orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa dapat
mewujudkan persekitaran kondusif di mana-mana sahaja saya berada. (M) Amsalnya,
saya mestilah memahami bahawa warga tua yang telah menginjak ke usia senja
lazimnya senang berasa tersinggung dan berada dalam kesunyian. Tegal itu, saya
mestilah menjaga gerak laku, tutur kata, cara hidup, perasaan dan pemikiran semasa bergaul dengan golongan ini. (C)
Impaknya, warga tua yang berasa diri dihormati akan mentarbiah dan mengakultrasi
saya supaya memahami prinsip yang elok itu budi, yang indah itu bahasa. Ijmalnya, budi pekerti yang saya tunjukkan setiap masa mestilah dilahirkan
daripada hati pemurah dan keluhuran peribadi supaya mewujudkan masyarakat penyayang, saling memaafkan dan bekerjasama seperti pantun di bawah;
hidup dengan kemulian dan kesederhanaan,
bertindak penuh dengan kebijaksanaan.
ketinggian peribadi jadi amalan,
ketelusan hati jadi bekalan.
Dari aspek keagamaan, saya mestilah
melengkapkan diri menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. (AJ)
Hal ini terbukti dalam surah yang berbunyi, “ seelok-elok manusia ialah manusia
yang berbaik-baik kepada setiap insan dan menghormati jiran yang terdekat.” Tegal
itu, saya akan mematuhi setiap tuntutan agama dan amalan ibadat supaya
dilimpahi keredaan, restu, rahmat dan rezeki yang berlipat ganda. Sesungguhnya,
setiap agama menekankan kepentingan ketelusan hati dan keikhlasan untuk melayani
setiap insan dengan takzimnya. Saya akan selalu berdoa, bermunajat dan
bermuhasabah supaya mendapat taufik dan hidayah daripada Tuhan. Melalui
amalan ini, saya telah dididik supaya memahami setiap insan mempunyai kekurangan
dan kekuatan diri yang perlu dihormati dengan konsep yang tua dohormati, yang
muda disayangi, yang lemah dibantui dan yang miskin disedekahi. Nabi Muhammad
SAW bersabda, “ selepas anak adam meninggal dunia, terputus segala-galanya kecuali
tiga benda, iaitu ilmu yang memanfaatkan, anak soleh atau solehah, dan amalan
jariah. “ Tegasnya, saya akan membudayakan penghormatan ini terhadap ilmu, ibu bapa dan
amalan ibadat sepanjang hayat selagi badan dikandung tanah.
Akhirnya, tidak kurang dan tidak penting ialah penghormatan dan pengiktirafan terhadap sistem pemerintahan kenegaraan yang menaungi kita. Sejak menghela nafas kemerdekaan selepas 57 tahun, negara kita telah menuju ke mercu kegemilangan yang mengagumkan jagatraya. Namun, provokasi dan perselisihan faham antara kaum masih perlu dikawal agar rusuhan kaum yang pernah menjadi titik hitam dalam sejarah silam sejak pembangunan negara dielakkan daripada tercetus lagi. Rukun Negara yang digubal sejak 1970 masih diwara-warakan oleh warga sekolah dalam setiap perhimpunan rasmi di sekolah menunjukkan perkongsian etos dan budaya patriotisme yang memberangsangkan. Darurat 13 Mei masih meninggalkan trauma dalam kenangan generasi dahulukala, betapa sakit hati menyaksikan pengorbanan nyawa semasa kebakaran pewagam Odean semasa tercetusnya rusuhan pada 13 Mei 1969. Kuala Lumpur yang wajarnya dibangunkan untuk menjadi citra negara pernah ditumpah darah akibat rusuhan kaum dan hasutan syaitan. Bagi saya, hujan emas di negeri sendiri, hujan batu negara lain, lebih baik di negara sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, setingggi-tinggi bangau terbang, akhirnya hinggap di belakang kerbau jua menuntut saya sebagai anak watan pewaris bangsa mestilah mempertahankan budaya hormat terdapat perlembagaan persekutuan tanpa mempersoalkan isu-isu sensitif tentang perkauman, budaya dan bangsa.
Sebagai penghias penutup bicara, peribahasa Cina mengungkapkan menghormati orang lain, kita akan dihormati jua. Hubungan dan budaya hormat adalah saling bergantungan bagai lagu dan irama yang perlu direntakkan bersama demi membentuk melodi yang artistik. Pendek kata, budaya hormat menuntut kita membatasi pergaulan kita, tahu mengenal erti segan silu dan berpegang pada ajaran agama. Nabi Muhammad pernah bersabda, "hubungan seperti badan, rosak satu bahagian musnah seluruh badan." Hati nurani kita perlu disulami dengan nilai-nilai kemanusiaan untuk membezakan kita daripada makhluk lain sebagai khalifah di buana yang bertauh ini.
No comments:
Post a Comment