Thursday, October 9, 2014

Percubaan SPM 2014-Kuantan- Faktor-faktor kejayaan usahawan

Usahawan Malaysia yang tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Datuk Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Memetik kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menentukan kejayaan seseorang usahawan? Tepuk dada, tanya selera.
          Sesungguhnya, penguasaan ilmu pengetahuan merupakan kayu ukur untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan. Untuk menjadi usahawan yang berjaya, setiap individu mestilah melengkapkan diri menjadi insan yang berilmu pada era milenium yang pantas bergolak ini. Ilmu keusahawanan seperti Ekonomi, Perakaunan dan Perdagangan memanglah penting untuk meningkatkan daya saing dan kemahiran insaniah seseorang individu. Tegal itu, ilmu akan meningkatka kualiti hidup masyarakat kita dan menguasai sosiolinguistik supaya dapat bergaul dengan seantero strata komuniti di persada dunia. Ijmalnya, memetik sepotong hadis, “ sesiapa yang menuntut ilmu, pintu syurga akan terbuka untuknya.”.
          Untuk memastikan impian menjadi realiti, setiap individu mestilah mengambil inisiatif yang gigih bagai genggam bara api sampai menjadi arang atau bagai hilang kapak berganti beliung tanpa mengenal erti putus asa. Setiap individu mestilah menerapkan disiplin diri bagai jurupandu untuk melunaskan rutin harian kita kerana mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, kata berpangkal. Segala kejayaan bukan sekadar takdiran tuhan, tetapi memerlukan suatu sistem atau tatatertib yang betul. Tanpa disiplin, hasrat akan longlai, impian akan berkecai. Kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Maka, kita perlulah memiliki hala tuju yang baik, cita-cita yang jelas, dan gigih menterjemahkan matlamat hidup dengan perancangan yang teliti. Jelas sekali bahawa disiplin merupakan anak kunci untuk sesiapa jua seperti menepati masa, menguruskan hal-hal kewangan serta mengelak daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah adalah terlalu penting bagi seseorang usahawan.
              Akhirnya, modal yang mencukupi merupakan prasyarat untuk memenuhi aspirasi seorang usahawan.  Tanpa modal, cita-cita bagai bahtera tanpa nakhoda di tengah samudera. Sejak di bangku sekolah lagi, kita mestilah mengambil peluang untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau sebagai pembantu kedai pada waktu cuti persekolahan. Modal juga dapat dikumpul melalui pinjaman mikro atau insentif daripada agensi kewangan tertentu seperti TEKUN, Bank Rakyat, SIMEDEC dan sebagainya. Sebagai usahawan yang kreatif, kita diberi peluang untuk memulakan perniagaan dengan bantuan kerajaan atau sektor swasta kerana ada padi semua jadi, ada beras semua deras. Mukhtasarnya, modal dan inisiatif bagai melodi dengan irama yang saling bergantungan supaya menghasilkan tempo yang estetik.

              Sebagai penghias penutup bicara, prakrasa yang pragmatik bagai menarik rambut dalam tepung, tepung tidak selerak dan rambut tidak putus untuk memastikan segala aspirasi untuk menjadi usahawan akan menjadi realiti. Memetik kata hadis, 9 daripada 10 kekayaan adalah berasal daripada perniagaan. Oleh itu, penerokaan dalam bidang perniagaan memanglah halal dari sudut agama atau budaya dalam masyarakat kita.

No comments: