Thursday, October 9, 2014

Percubaan SPM 2014 - 13 Kelantan

Kelulusan akademik semata-mata tidak lagi menjadi penentu kejayaan seseorang pelajar setelah mereka meninggalkan institusi pendidikan formal.  Berikan pandangan anda tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang pelajar sebagai pelengkap diri memasuki alam pekerjaan.

          Dalam persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita perlu memaksimumkan keberhasilan sistem pendidikan supaya memastikan kebolehpasaran pelajar dalam bidang kerjaya selepas tamat persekolahan. Kerajaan telah memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran.Walau bagaimanapun, pentafsiran dalam Programme for International Student Assessment atau PISA 2012, Malaysia berada pada kedudukan ke-52 bagi penguasaan Matematik manakala Sains(kedudukan pada ke-53) dan bacaan (kedudukan ke-59)  daripada 65 buah negara yang dinilai. Sesungguhnya, tidak ada tongkat ajaib atau azimat yang boleh menjelmakan impak maksimum dalam sekelip mata. Bertitik tolak daripada kesedaran ini, Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia(2013-2025) telah menyasarkan pelajar yang bercirikan aspirasi seperti pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.
          
              Anjakan paradigma dominan pelan ini ialah menyediakan pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Hakikatnya, seseorang pelajar mestilah memenuhi ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi sebagai pelengkap diri memasuki alam pekerjaan.  Menurut Benjamin Franklin, “Genius yang tidak dididik adalah ibarat permata tenggelam di dalam lombong.” Maka, pelajar mestilah dilatih mempunyai kecekapan berfikir yang luar biasa semasa melayan pelbagai kerenah dalam kehidupan. Sesungguhnya, perkembangan kognitif termasuk berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, serta mengaplikasi ilmu secara kreatif. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi. Untuk menjamin akses pendidikan bertaraf antarabangsa kepada semua pelajar, Dato’ Sri Najib Tun Razak telah menyasarkan 60 peratus daripada pelajar memilih pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) supaya mencapai status negara yang berdaya saing tinggi. Ijmalnya, kemahiran berfikir aras tinggi dalam pelbagai bidang merupakan kerangka untuk menebusi pasaran global selepas tamat persekolahan.
         
          Dari segi penguasaan bahasa, program LINUS bertujuan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dengan melatih 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dan sekali gus memperkenalkan modul Sastera Inggeris kepada murid sekolah menengah. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kegagalan seseorang individu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan pada masa ini disebabkan ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris. Beliau juga pernah menyifatkan bahawa pembubaran PPSMI pada tahun 2012 adalah satu kesalahan memandangkan penguasaan pelbagai bahasa adalah untuk memenuhi keperluan era globalisasi sejagat masa kini. Dalam era dunia tanpa sempadan sekarang, pelbagai bahasa utama dunia seperti Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis dan Jepun perlu dikuasai untuk memudahkan seseorang itu merebut peluang pekerjaan. Walau bagaimanapun, Dasar MBMMBI yang digubal pada tahun 2011 bertujuan untuk melahirkan anak watan yang berupaya menguasai bahasa Inggeris tetapi masih mempunyai identiti nasional atau integrasi yang tinggi. Prakarsa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewajibkan setiap pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lulus dalam kursus Bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian memanglah perlu kerana kemampuan berbahasa yang terhad akan menyebabkan kita tertinggal daripada arus perdana bak kata peribahasa, sepuluh jong masuk pelabuhan, anjing tetap bercawat ekor.

          Dalam melestarikan dunia tanpa sempadan kini, setiap individu yang memiliki kemahiran mengakses internet dan literasi komputer sudah tentu akan lebih kompetensi semasa memasuki pasaran kerja. Di bawah Dasar Langit Terbuka, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT merupakan wahana untuk memacu agenda pembangunan negara. Sebagai contohnya, Program Pemangkin Kebolehpasaran Graduan menyediakan pelajar ke alam pekerjaan di Cyberjaya dengan memberikan latihan dan pendedahan kepada pelajar yang celik komputer. Sesungguhnya, usaha melahirkan lebih ramai modal insan bertaraf antarabangsa dalam segala bidang terutama teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan kerangka ke arah status negara maju. Pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet dan akses kepada rangkaian 4G di sekolah memastikan kementerian akan memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kemahiran ini memanglah penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan serta sentiasa berada pada landasan yang betul dalam memenuhi perubahan landskap berkaitan usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkualiti serta memenuhi permintaan industri.
         
         
          PPPM juga menggarisbawahi ciri-ciri kemahiran memimpin. Ilmu dan kemahiran berfikir sebagai pelengkap untuk meningkatkan kemahiran memimpin pelajar. Sistem pendidikan negara akan menggilap potensi diri pelajar supaya bakat kepimpinan terbina. Nilai kepimpinan merangkumi empat dimensi iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan. Tegal itu, pemimpin harus memiliki nilai etika yang tinggi dan mampu menyantuni cabaran yang semakin kompleks. Daya kepemimpinan ini bakal menjadi uswah hasanah kepada yang lain. Kualiti kepimpinan kini terserlah dalam  aspek kesukarelaan dan fahaman yang merentasi global. Seyogianya, kemahiran berkomunikasi memberi ruang kepada individu memperluas rangkaian pasaran global dan bakal menembusi peluang kerjaya.

          Selain itu, perhiasan diri atau kemahiran penampilan diri adalah menjadi sebahagian daripada perkara yang dinilai sama ada individu tersebut berketrampilan atau tidak. Pakej keterampilan diri amatlah penting kepada seseorang sejajar dengan kata-kata Imam al Ghazali, “Ingin mengenal wajah lihatlah cermin, ingin mengenal diri bercerminlah pada wajah, yakni cerminan peribadi seseorang adalah daripada penampilannya. Sehubungan dengan itu, sebagai penjawat profesional, diri kita bukan dinilai hanya pada kualiti kerja semata-mata, sebaliknya personaliti yang meyakinkan turut menjadi pertimbangan. Oleh itu, sebelum melamar sesuatu pekerjaan bersiaplah diri supaya dapat meyakinkan    pihak yang menilai diri kita. Wajar sekali diambil perhatian, dalam alam pekerjaan seseorang itu bukan hanya bertanggungjawab terhadap bidang tugasnya sahaja, sebaliknya perlu berkomunikasi dengan pelbagai peringkat klien. Sejajar dengan itu, agar kita senang untuk berkomunikasi dengan semua pihak perihal kekemasan diri sangatlah penting diambil kira kerana nilai peribadi kita akan dinilai dalam aspek rohani dan jasmani, bak kata peribahasa indah rupa dengan hiasnya, indah budi dengan bahasanya.


                 
           Intihannya, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bertujuan memaksimumkan kualiti pendidikan dan pentingnya kebolehpasaran tenaga kerja selepas tamat persekolahan. Ijmalnya, aspek  latihan kemahiran dan vokasional sangat relevan dalam lonjakan transformasi ke arah sebuah negara yang mempunyai tenaga pekerja yang berpendapatan tinggi. Sebagai pelajar, anjakan paradigma mengikut peringkat amatlah perlu supaya melahirkan barisan modal insan yang berfikir secara global tetapi bertindak secara lokal.

No comments: