Monday, July 29, 2013

percubaan PMR punca-punca pelajar tidak berminat membaca

1.    BERDASARKAN Laporan Profil Kajian Tahap Pembacaan Rakyat Malaysia pada tahun 2005, didapati bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun.
2.    program NILAM yang dijalankan di sekolah menunjukkan hanya  22.91% pelajar sekolah terlibat dalam program tersebut pada tahun 2012 walaupun pelaksanaannya adalah wajib dan mempunyai instrumen yang mantap.

3.    Oleh itu, sikap menjauhi ilmu atau muflis dalam intelek dalam kalangan remaja hari ini merupakan fenomena serius yang wajar diambil perhatian.
4. Sampailah masa terlintas dalam gawang minda, apaah punca menyebabkan fenomena remaja muflis dalam intelek?

_______________________________________________________
                       Budaya hedonisme dan hiburan berasaskan digital yang melingkari kehidupan para remaja masa kini menyebabkan mereka terhanyut dalam dunia fatamorgana. Stigma membaca yang membosankan menjadikan tiada rasa nikmat keseronokan membaca apatah lagi menjadikan tabiat ini sebagai hobi. Lebih-lebih lagi, komunikasi harian banyak ditunjangi oleh pembacaan berbentuk picisan dan maklumat yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Kemajuan juga menjadikan remaja seorang yang malas dan menghabiskan waktu senggang dengan berbual menerusi laman sosial. Hal ini akan mengakibatkan lahirnya masyarakat antisosial dan lebih cenderung bersikap individualistik. Senario ini sangat berbahaya kerana negara bukan sahaja ketandusan golongan pemikir malah sumber manusia pasti sukar digembleng untuk pembangunan negara.


                     Seterusnya, budaya hedonisme menyebabkan remaja hilang identiti. Kegilaan meniru dan mengikut gaya asing terus meresap di jiwa misalnya fenomena K-Pop yang menjadi kiblat remaja hari ini. Perubahan penampilan dari segi fesyen, rupa diri dan gaya hidup yang mudah menerima budaya asing berbanding dengan usaha melestarikan budaya sendiri bakal memberikan impak negatif kepada negara. Hal ini akan merencatkan usaha negara melahirkan bangsa Malaysia mengikut acuan yang dikehendaki. Lebih parah lagi, tempoh wawasan 2020 yang hendak dituju boleh dihitung dengan jari sedangkan negara masih berhadapan dengan masalah remaja yang hilang arah, lemah pemikirannya dan dibelenggu masalah sosial yang tiada berkesudahan. Semuanya berpunca daripada sikap tidak mementingkan ilmu apatah lagi bercita-cita untuk menjadi seorang yang intelek.

                      Pihak sekolah khasnya para guru juga menjurus kepada fenomena remaja muflis intelek. Guru kini yang sibuk dengan tanggungjawab hakiki perlu membuat anjakan paradigma agar kaedah pengajaran di dalam kelas bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa kerana pendidikan ialah sesuatu yang dinamik. Kaedah pengajaran kini kurang menggalakkan    penggunaan otak kiri dan otak kanan bagi meningkatkan kecerdasan berfikir dan fungsi otak digunakan sepenuhnya dalam menerima dan menyaring ilmu. Dalam hal ini, otak yang dapat dirangsang untuk berfikir lebih jauh akan cepat matang untuk membuat penilaian. Terbukti bahawa kanak-kanakyang mempunyai sifat ingin mencari ilmu sejak kecil dapat menjamin kehidupan masa hadapan yang lebih cerah dan berfikiran jauh. Ironinya, sistem pendidikan kini yang berkiblatkan prestasi akademik hanyalah mendorong pelajar berasa liat atau jemu untuk menuntut ilmu, apatah lagi untuk mereka yang sering kali terkandas dalam pelajaran.

                             

No comments: