Thursday, September 8, 2011

aspek kendiri-remaja cemerlang


langkah-langkah untuk mencapai kecemerlangan diri.
       Setiap manusia ingin akan kecemerlangan dalam semua aspek kehidupannya. Untuk itu. mereka akan cuba melakukan sesuatu perkara dengan sebaik mungkin. Kejayaan tersebut merupakan suatu kepuasan dan keseronokan yang tidak terhingga yang tidak boleh dinilai dengan wang. Salah satu daripada kejayaan yang perlu dicapai ialah kecemerlangan diri. Apabila diri cemerlang semua perkara yang dilakukan akan membuahkan hasil  yang diidamkan.
      Bagi mencapai kecemerlangan diri, murid hendaklah menjaga kesihatan. Murid perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang serta menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Di samping itu, murid juga perlu bersenam dan melakukan aktiviti riadah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Kecerdasan dan kecergasan amat penting dalam kehidupan seseorang agar mencapai kecemerlangan, Kita juga hendaklah sentiasa berfikiran positif dan melakukan tindakan yang rasional dalam apa-apa juga situasi. Segala tindakan kita akan diperhatikan oleh orang lain dan mereka akan membuat penilaian terhadap sahsiah kita. Hanya mereka yang memiliki keperibadian atau personaliti yang baik akan berjaya dalam hidupnya.
        Murid yang cemerlang mempunyai  jadual belajar yang sistematik. Mereka dapat membahagikan masa dengan bijak dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Semua perkara yang dilakukan dicatat, bertanya sekiranya tidak faham tajuk-tajuk yang dipelajari, dan sering mengulang kaji pelajaran. Budaya ini jika diteruskan akan membolehkan murid memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik.
        Para pemimpin yang ada sekarang merupakan bukti hasil daripada kecemerlangan diri yang diamalkan. Ketokohan dan kepimpinan telah diasuh dan terdidik sejak bangku sekolah lagi. Justeru, tidak hairanlah murid yang cemerlang ialah murid yang pernah menjadi pemimpin ketika bersekolah serta aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti berpidato, perbahasan. dan forum. Oleh itu, murid yang cemerlang ialah murid yang mengamalkan sikap positif dalam kehidupannya.

1. Berikan maksud frasa membuahkan hasil  yang diidamkan.
2. Apakah amalan postif yang harus dilakukan bagi menjamin seseorang cemerlang dalam bidang akademik?
3. Pada pendapat anda,mengapakah kita perlu menjaga kesihatan?

 Kendiri: tulis sebuah ringkasan tentang ciri-ciri murid cemerlang.
Semua orang mempunyai impian untuk berjaya. Bagi seseorang murid, kejayaan bermakna apabila mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, selain ingin menjadi anak kebanggaan ibu bapa. Dia perlu menjadi murid dan anak yang baik bagi mencapai kejayaan yang diimpikan itu. Murid yang baik mempunyai sikap yang prihatin akan keadaan sekeliling dan akan menghulurkan pertolongan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.
Murid yang baik sentiasa yakin akan potensi diri untuk meraih kejayaan dalam akademik mahupun kokurikulum. Murid ini juga mampu berdikari dan tidak mengharapkan bantuan daripada guru sepenuhnya di samping suka menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Mereka percaya bahawa badan yang cergas akan menghasilkan otak yang cerdas. Selain itu, murid yang baik sentiasa menghormati guru sama ada guru sedang mengajar atau sewaktu berada di luar kelas. Mereka menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dan percaya bahawa setiap peraturan sekolah bertujuan untuk melatih mereka agar berdisiplin.
Murid yang baik juga mempunyai hubungan yang mesra dan akrab dengan rakan-rakan yang lain. Mereka suka berbincang tentang mata pelajaran yang telah dipelajari. Perbincangan biasanya dilakukan dalam kelas, sewaktu kelas tambahan, dan dalam kumpulan belajar.
Di samping itu, mereka juga suka memberikan sumbangan dalam apa-apa bentuk jua seperti mengutip dan membuang sampah ke dalam tong sampah. Bagi mereka, hal ini merupakan tanggungjawab yang harus dilakukan tanpa mempersoalkan ganjaran yang bakal diperoleh.
Murid yang cemerlang merupakan harapan keluarga. Mereka juga amat disenangi oleh rakan dan masyarakat. Mereka juga merupakan aset negara pada masa akan datang. Oleh itu, keperibadian murid yang baik harus dibentuk mulai sekarang agar mereka dapat menjadi generasi yang berkualiti dan unggul.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata otak yang cerdas?
2. Mengapakah sikap yang baik dalam kalangan murid harus dibentuk mulai sekarang?
3. Apakah yang harus anda lakukan supaya cemerlang dalam pelajaran dan bidang lain?

No comments: