Thursday, March 3, 2011

keburukan tabiat merokok

pendahuluan:
Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut. Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.(3 ayat)


Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Contohnya ammonia , arsenik (racun tikus),  DDT (racun serangga), etanol (alkohol), karbon monoksida , metanol,nikotin , tar. Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.



Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; . Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."


Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.

Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.

 
Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.


Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."

 ..........................................................................................................................................................
Dewan Siswa Jan 2011:
TABIAT merokok di negara kita semakin serius pada era ini. Masalah ini semakin menjadi-jadi umpama “bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru” yang amat mendukacitakan kerana boleh melumpuhkan kesihatan orang ramai. Masalah merokok semakin meningkat sejak belakangan ini ekoran njlai kemanusiaan yang semakin hilang dalam diri individu. Apakah keburukan tabiat merokok?
Merokok boleh menjejaskan kesihatan orang ramai. Rokok mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan badan seperti nikotin dan tar. Jika kita menghisap rokok, kita boleh  dijangkiti penyakit seperti sakit jantung dan sakit kanser. Selain itu, merokok boleh memendekkan nyawa seseorang. Selain nyawa perokok akan terjejas, nyawa orang di sekeliling mereka juga akan terjejas. Berdasarkan perangkaan terkini, didapati sebanyak 50 peratus mangsa perokok ialah penyedut  asap rokok  walaupun mereka tidak merokok. Pendek kata, merokok tidak akan mendatangkan kebaikan kepada kita.
Merokok juga membazirkan wang. Rokok-rokok yang dijuaI di pasaran harganya mahal. Selain itu, keinginan perokok untuk merokok  akan mendorong mereka untuk menghisap rokok yang lebih banyak. Hal ini menyebabkan mereka membazirkan wang untuk membeli rokok. Selain itu, ,bagi mereka yang berpendapatan rendah pembaziran wang membeli rokok boleh menjejaskan kewangan isi rumah. Mereka sanggup membazirkan wang untuk membeli rokok bagi mencari keseronokan yang hanya bersfat sementara.
Kesimpulannya, tabiat merokok yang semakin berleluasa disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. orang sekeliling dan keinginan  untuk mencuba bahan baharu. Oleh sebab itu, semua ôrang harus bergandinq bahu untuk membendung tabiat merokok. Melalui gandingan usaha yang mantap,nescaya tabiat merokok dapat dielakkan.Ungkapan “setiap sedutan membawa padah” dalam kempen AntiMerokok harus direalisasikañ untuk méngelakkan lebih banyak orang merokok.
SHIRLEY TIONG JING JING SMk KAI CHUNG, BINTAGOR, SARAWAK.

Isi penting:
1.       melumpuhkan kesihatan orang ramai
2.       menjejaskan kesihatan orang ramai
3.       Rokok mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan badan seperti nikotin dan tar
4.       kita boleh  dijangkiti penyakit seperti sakit jantung dan sakit kanser
5.       merokok boleh memendekkan nyawa seseorang.
6.       nyawa orang di sekeliling mereka juga akan terjejas
7.       Merokok juga membazirkan wang.
8.       keinginan perokok untuk merokok  akan mendorong mereka untuk menghisap rokok yang lebih banyak
9.       bagi mereka yang berpendapatan rendah pembaziran wang membeli rokok boleh menjejaskan kewangan isi rumah.
10.   Mereka sanggup membazirkan wang untuk membeli rokok bagi mencari keseronokan yang hanya bersfat sementara

Frasa menarik
1.       TABIAT merokok di negara kita semakin serius pada era ini
2.       Masalah ini semakin menjadi-jadi umpama “bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru” yang amat mendukacitakan
3.       Masalah merokok semakin meningkat sejak belakangan ini ekoran njlai kemanusiaan yang semakin hilang dalam diri individu
4.       Berdasarkan perangkaan terkini, didapati…\
5.       Melalui gandingan usaha yang mantap,nescaya tabiat merokok dapat dielakkan.Ungkapan “setiap sedutan membawa padah” dalam kempen AntiMerokok harus direalisasikañ untuk méngelakkan lebih banyak orang merokok.


No comments: