Monday, August 1, 2016

2016-3-kelas tambahan

1.Generasi muda perlu dipupuk dengan semangat kesukarelawanan agar mereka mampu menjadi warganegara yang berkualiti.Tulis tindakan-tindakan yang akan anda ambil bagi menggalakkan rakan-rakan di sekolah menyertai kegiatan kesukarelawanan ini.
               
Aktiviti kesukarelawanan bermaksud menjadi sukarelawan bagi menjalankan pelbagai kegiatan kemasyarakatan atas pelbagai alasan.(I)Namun begitu, banyak remaja pada hari ini yang menjauhi aktiviti ini kerana alasan sibuk dan banyak komitmen lain. (K) Sesungguhnya, isu ini bukan lagi polemik yang tabu diperdebatkan oleh seantero strata komuniti Malaysia.(K) Walhal, PPPM yang bertujuan untuk melahirkan remaja yang beridentiti nasional dan beretika amatlah sejajar dengan arus kemodenan pada abad ke-21 ini. (U) Tegal itu, saya seyogianya mengambil tindakan yang konkrit untuk menggalakkan rakan supaya melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan seperti MERCY, YAKIN, JPA, Persatuan Bulan Sabit Merah, RELA dan sebagainya.

 Afdalnya, saya akan memberikan penerangan kepada rakan tentang pengalaman, ilmu dan kemahiran yang akan diperoleh melalui aktiviti kesukarelawanan. (A) Hal ini bererti, aktiviti ini mendedahkan kita tentang kemahiran insaniah seperti kemahiran berfikir dan kemahiran memimpin yang akan mempertingkatkan daya saing, daya fikir dan daya juang seseorang. (M) Contohnya, semasa pergaulan antara ahli sukarelawan, seseorang individu akan meluaskan pengalaman dan menguasai bidang lingusitik agar mampu bergaul dengan sesiapa sahaja. (C). Secara langsung, pendedahan terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling kita - di dalam negara dan juga di luar negara dapat membuka minda remaja betapa amannya negara kita berbanding dengan sesetengah negara luar, maka  remaja tidak boleh hidup seperti katak di bawah tempurung. Ilmu sukarelawan juga melatih semua sukarelawan agar   menyelamatkan mangsa dalam masa yang pendek, sifat penyayang dan penderma ini sejajar dengan falsafah Islam bahawa tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Selain itu, saya juga akan memberitahu rakan saya bahawa penyertaan dalam aktiviti ini merupakan tuntutan semua agama. Hal ini bermakna, semua amalan ibadat menuntut umat-Nya agar sanggup berkorban dan membantu golongan yang lemah. Semua agama menuntut kita berbakti kepada masyarakat dan sentiasa memikirkan kebajikan orang lain dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Dengan mengadakan aktiviti membantu orang kelainan upaya, rumah orang tua dan rumah kebajikan anak yatim,  remaja tidak lagi bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sesungguhya, sifat iman dan takwa melahirkan insan yang mempunyai akal budi analitis dan mata hati yang tajam. Semasa membantu mangsa yang ditimpa bencana, kemalangan atau kesakitan, sifat takwa ini menuntut kita tidak mengharapkan apa-apa ganjaran dalam bentuk material atau pujian. Walhal, restu dan keredaan daripada Tuhan akan dikurniakan kepada insan yang berbuat baik.  Saya yakin, rakan saya akan memahami falsafah manusia ada asa, Tuhan ada kuasa dan sanggup memerah keringkat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan ini.

                Di samping itu, saya akan meyakinkan rakan bahawa perancangan dan pengurusan masa dengan bijak akan membuahkan hasil yang dicita-citakan. Hal ini ekoran daripada menyertai aktiviti ini membantu proses kemenjadian insan dan membentuk sifat kemandirian dalam diri seseorang individu. Contohnya, semasa mengadakan aktiviti berdarmawisata dan lawatan ke rumah kebajikan, kita akan memupuk sifat empati dalam diri, bak peribahasa betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Nilai disiplin yang ditanam juga mengukuhkan jati diri dan menjauhkan diri daripada kemelut sosial seperti bersikap nafsu-nafsi bagai raja di mata, sultan di hati. Tegasnya, rakan yang sealiran dengan saya mampu melayari bahtera ke hala tuju yang sama, yakni hidup kayu biar berpokok, hidup manusia biar berjasa.
              
  Sementara itu, saya tetap akan menjelaskan bahawa aktiviti ini mampu meneguhkan jati diri bangsa atau identiti nasional kepada rakan saya.  Hal ini disebabkan pergaulan dengan mangsa dari seluruh negara, kita mampu menyelami hati budi setiap mangsa yang berbeza dari segi ideologi dan latar belakang sosioekonomi. Melalui misi kemanusiaan ke Gaza,  misi bantuan ribut taufan di Filipina, dan misi kemanusiaan rohingya,  rakyat yang berbilang kaum mampu mengasimilasi, mengakulturasi dan mengadaptasi pemahaman yang berbeza antara manusia sejagat. Antaranya, Rakan Muda, Mycops, 1M4U dan JPAM mampu melahirkan pelapis yang bersemangat waja dan berpandangan jauh, bak peribahasa lautan budi tepian akal.

                Saya juga akan menyarankan rakan-rakan agar menyertai aktiviti kesukarelawanan kerana dapat mengasah bakat kepemimpinan. Hal ini disebabkan apabila sesuatu program dan aktiviti dirangka, remaja perlu tampil untuk merangka jadual tugas dan menggerakkan anggota sukarela. Maka, usaha ini dapat mengasah bakat kepemimpinan dalam diri remaja. Contohnya, apabila sukarelawan diperlukan di pusat pemulihan di seluruh negara bagi membantu insan yang kurang bernasib baik, pemimpin diperlukan untuk menyelaraskan kerja tersebut, hal ini sejajar dengan slogan kepemimpinan melalui teladan.

                Akhirnya, saya perlu mengingatkan rakan taulan saya bahawa prestasi akademik bukan kayu pengukur yang mutlak, tetapi perkembangan dari segi rohaniah juga mampu menjadikan diri kita seorang insan yang berjaya di persada dunia. (A) Antaranya, ikon sukerelawan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pernah ditembak semasa mengetuai misi kemanusian MERCY ke Iraq, namun Dr Jemilah masih tegar meneruskan bantuan kemanusian kepada sesiapa yang memerlukan.(C) Kini, kerajaan beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai hab sukarelawan dan negara contoh dalam memperjuangkan hak asasi manusia sejagat. Yayasan Siswa Sukarelawan telah menjadi platform kepada graduan untuk menjadi ikon sukarelawan yang akan diberikan anugerah dan pengiktirafan dalam bentuk wang atau sijil.

                Tuntasnya, wira malim Gunung Kinabalu yang sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas di  Gunung Kinabalu pada tahun 2015 lalu mengingatkan masyarakat bahawa aktiviti sukarelawan ialah usaha murni dan melepasi sempadan. Golongan remaja tidak harus melepaskan peluang untuk berbakti kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan ini. Aktiviti ini hanya memerlukan keikhlasan dan jiwa yang besar untuk menghulurkan bantuan tanpa mengira agama, bangsa dan negara atas dasar kemanusiaan sejagat . Usaha murni ini perlu dilakukan sejak bangku persekolahan agar sebati dalam jiwa kita, hal ini seperti yang terungkap dalam pantun;

Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga.

No comments: