Monday, August 1, 2016

2016-2-kelas tambahan

3.Anda telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan peringkat daerah. Tajuk syarahan anda ialah “Sumbangan Rakyat untuk Memajukan Negara”.Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.
            
    Selamat pagi dan salam sejahtera saya rakamkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, barisan pentadbir, para hakim, guru pengiring, dan rakan sekalian. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberikan saya peluang untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk, “Sumbangan rakyat untuk memajukan negara.”
Hadirin sekalian,

                Isu kemajuan negara sering menghiasi dada akhbar atau terpampang di media elektronik pada era globalisasi ini. Sedia kita maklum, polemik ini bukan lagi isu tabu dalam kehidupan kita kerana seluruh marhaen Malaysia giat memperkatakannya baik di warung kopi mahupun di persidangan parlimen. Berbanding dengan zaman dahulu, generasi nenek moyang kita mempunyai semangat patriotik yang membara untuk memperjuangkan kedaulatan negara. Kini, sifat ini semakin meluntur. Sayang seribu kali sayang, apakah punca yang menyebabkan kejadian ini? Bekas presiden Amerika John F Kennedy pernah berkata,”Jangan tanya apa yang boleh diberi oleh negera kepada kita tetapi apa yang boleh kita sumbangkan kepada negara.”. Persoalannya, apakah sumbangan kita sebagai rakyat untuk memajukan nusa tercinta ini?

                Sebagai remaja, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Hal ini disebabkan ilmu pengetahuan mampu meningkatkan daya saing global dan produktiviti sesebuah negara. Dengan menguasai kemahiran sains dan teknologi, kita mampu meneroka bidang  yang selama ini dikuasai oleh negara maju. Hanya dengan barisan rakyat yang bermentaliti tinggi, penghasilan produk tempatan akan berjaya menembusi pasaran global. Seluruh  masyarakat sejagat akan mengagumi rakyat Malaysia yang mempunyai kreativiti yang tinggi. Antaranya, penciptaan enjin berkuasa tinggi untuk kenderaan automotif F1 dan kereta nasional telah menjadikan negara kita setanding dengan negara maju. Sebagai pekerja yang bermentaliti tinggi, kita perlu bekerja dengan produktif untuk merancakkan perkembangan ekonomi negara. Maka,  negara akan mendapat pulangan yang lumayan hasil jualan dan eksport pelbagai produk.

                Sebagai rakyat, kita perlulah melengkapkan diri agar menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Hal ini sejajar dengan prinsip dalam Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan. Sifat takwa menuntut umat-Nya agar bersifat patriotisme dan bersikap integriti dalam hal pentaksiran cukai negara.Maklumlah, kutipan cukai amatlah diperlukan untuk pembangunan prasarana dan memenuhi keperluan rakyat dalam pelbagai bidang. Rakyat yang beriman akan sabar semasa berhadapan dengan sebarang angkara laknatullah yang akan mencalarkan imej negara seperti rasuah dan bersubahat dengan musuh negara.  Negara amatlah memerlukan barisan rakyat yang mempunyai akal budi yang analitis, mata hati yang tajam dan hati nurani yang tenang. Walhal, sabda Allah yang bermaksud, “ mencintai watan sebahagian daripada iman.” Rakyat yang soleh akan selalu berdoa, bermunajat dan bermuhasabah agar mendapat taufik dan hidayah-Nya demi kemakmuran negara.

                Sebagai rakyat yang berdisiplin, kita mestilah berpegang pada prinsip dalam Rukun Negara, iaitu kedaulatan undang-undang.   Dengan memahami bahawa biar berputih tulang, jangan berputih mata, anak watan tidak akan sanggup mencalarkan imej negara dengan melakukan angkara yang menjejaskan nama negara. Baru-baru ini, gejala rasuah dan jenayah pembunuhan sering terhidang dalam media massa. Senario seperti mempersendakan kalimat lirik Negaraku, mengoyakkan Jalur Gemilang dan memfitnah pemimpin negara bukan lagi isu tabu dalam persidangan parlimen. Amatlah meloyakan apabila ternampaknya generasi muda yang tidak beretika dan sanggup menjadi penjenayah yang tidak berhati perut. Ingatlah bahawa pisang tidak berbuah dua kali, negara kita tidak betah lagi untuk berdepan dengan risiko rusuhan kaum, provokasi antara sentimen perkauman dan anasir-anasir lain yang akan memudaratkan masa depan negara. Maklumlah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
              
                 Sebagai rakyat yang berjiwa patriotik, kita mestilah memegang prinsip dalam Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara. Dalam konteks ini, rakyat Malaysia akan sentiasa berbangga dan berasa bertuah kerana bernaung di nusa yang berdaulat. Selepas di bawah jajahan golongan kolonial selama 446 tahun, kita kini mampu mendabik dada kerana pencapaian negara kita semakin terserlah dalam pelbagai bidang. Rasa kecintaan kepada negara disebabkan kefahaman terhadap asal usul negara, bak peribahasa tak kenal maka tak cinta. Kita mestilah beriltizam untuk mendukung dasar negara seperti NKRA, gagasan 1Malaysia, dan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk memastikan kemajuan negara sejajar dengan keadilan dalam pembahagian kekayaan negara. Tiada mana-mana pihak yang akan tersisih kerana atas prinsip terapung sama kering, terendam sama basah atau berkuah sama dihirup, bersambal sama dicolek.  
                
                         Akhirnya, setiap rakyat juga perlu mempunyai jati diri bangsa yang tinggi.Hal ini bererti, jati diri ialah sifat istimewa dari segi bahasa, adat, budaya dan agama yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti nasional merupakan teras kekuatan masyarakat dan sendi pengikat kesatuan antara masyarakat yang berbilang kaum. Dengan jati diri bangsa yang kukuh, kita akan mengadaptasi, mengasimilasi  dan mengakulturasi setiap ideologi yang berbeza. Maka, perasaan kesatuan dan kebersamaan akan dibibitkan melalui persefahaman antara satu sama lain. Segala salah faham dan dendam kesumat yang berpaksikan hukum sultan di hati, raja di mata pastilah akan dihindari. Insiden rusuhan kaum yang pernah berlaku di Jalan Petaling pada 13 Mei 1969 tetap menjadi iktibar kepada kita bahawa bersatu teguh, bercerai roboh. Hanyalah kestabilan politik dan kemapanan ekonomi akan menjanjikan suasana pelaburan yang lebih aktif.

Hadirin sekalian,

                Intihanya, sumbangan rakyat mampu menjanakan kemajuan dan keutuhan negara. Walakin begitu, sumbangan tersebut bergantung pada kemampuan dan kebolehan masing-masing. Sebelum berundur diri, saya ingin mengucapakan ribuan terima kasih dan meminta maaf sekiranya terlanjur dalam perbicaraan hari ini.

No comments: