Tuesday, October 20, 2015

RAMALAN 2015 BHG B-1

beware of KBAT
Idea Utama : Budaya membaca telah dikenal pasti sebagai wahana perdana dalam melahirkan masyarakat yang berfikir lagi bijaksana.

H1 - mengapa dikatakan bijaksana?
H2 - apakah bentuk kebijaksanaan itu?
H3 - bagaimanakah kebijaksanaan itu diperoleh
H4 - apakah bidang ilmu yang terjana?
H5 - Rumus semula huraian anda.

Huraian lengkap :

 Budaya membaca telah dikenal pasti sebagai wahana perdana dalam melahirkan masyarakat yang berfikir lagi bijaksana. Hujah tersebut adalah amat pasti sekali kerana membaca merupakan santapan rohani untuk menggerakkan minda supaya berfikir. Sehubungan dengan wahana tersebut, tabiat membaca mampu merangsang individu untuk berfikir di luar kotak dan mampu menyerap pelbagai maklumat sepanjang pembacaannya. Kebijaksanaan tersebut sudah tentu terbentuk melalui otak yang sentiasa berfikir dan memproses segala maklumat baru yang diperoleh melalui pembacaan. Seandainya bahan sejarah yang menjadi santapan bacaan, justeru pelbagai maklumat ilmu yang berhubungan dengan tamadun manusia, pengalaman masa silam dan pelbagai ragam jatuh bangun sesebuah kerajaan pasti dipelajari. Oleh hal yang demikian, di sinilah ufuk kebijaksaan mula terbentuk di dalam minda. Manusia akan cepat insaf untuk menauladani yang baik dan menolak yang buruk. Sesungguhnya, di situlah permulaan tingkah laku insan yang berilmu apabila pembacaannya mula membina tingkah laku daripada yang jumud kepada yang cendekia.


1.‘MENYUBURKAN BUDAYA MEMBACA’. Bincangkan
Saban tahun lautan pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa KL membuktikan rakyat sememangnya masyarakat yang cinta akan buku. Perkembangan ini mampu merangsang industri buku, di samping menjadi momentum kepada tahap literasi negara pada masa hadapan. Dasar Buku Negara turut meningkatkan tabiat membaca rakyat Malaysia. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara 2008, kadar literasi rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding dengan negara Asia Tenggara lain. Statistik ini berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang dilaksanakan. Perkembangan ini memberangsangkan, namun usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia.
            Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju ialah rakyatnya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun. Sebuah negara yang sedang menuju ke tahap negara maju seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju  banyak bergantung pada kemampuan ilmu dan pemikiran rakyatnya. Akan tetapi, kadar membaca di negara kita masih rendah dan belum menjadi budaya hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia antara 8 hingga 12 buah buku setahun menunjukkan negara masih berada di belakang. Kadar itu dilihat petanda positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca ialah dua buku setahun ketika itu. Fenomena ini tidak boleh terhenti pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah pembentukan sebuah negara maju.
            Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan sahaja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat, tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca ada semacam kekosongan dalam hidup dan sebab itu mereka mampu menempa kemajuan dan perubahan. Jika diambil contoh negara Jepun, purata rakyatnya membaca 40 buah buku setahun, manakala di Amerika kajian dilakukan Pusat Kajian Pew mendapati rakyat negara itu yang berusia 16 tahun ke atas membaca 17 buah buku setahun. Teras Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia adalah untuk menjadikan masyarakat Malaysia kaya dengan ilmu. Pemimpin yang menjadikan buku sebagai teman ialah pemimpin yang berfikiran matang dan berilmu luas. Dengan kata lain, budaya membaca dalam kalangan warga negara maju sudah berada pada tahap tinggi. Banyak orang memegang buku ketika beratur, membaca di dalam kapal terbang, membaca sambil menunggu bas apabila ada sahaja masa terluang.
            Pesta buku sungguhpun diadakan setiap tahun, namun budaya membaca masih lagi rendah. Pesta tahunan di Edinburgh, London dan Frankfurt yang diadakan pada Mac dan Oktober bukan sahaja melariskan jualan buku bahkan mengekalkan suasana pembacaan. Mereka juga mesra buku terpakai, karya terbuang yang dibaik pulih. Pesta Buku Edinburg tidak pernah sunyi dengan kempen pembacaan untuk kanak-kanak atau  Kempen Bookstart yang diiktiraf oleh organisasi perbukuan dan diguna pakai di pelbagai negara untuk melatih ibu bapa mendidik anak membaca sejak bayi. Mereka juga mempunyai Oxfam peruncit buku lama yang terbesar di Eropah dengan jualannya lebih 11 juta buah buku setiap tahun. Buku dijual hasil daripada derma orang ramai. Petugasnya terdiri daripada tenaga sukarela. Budaya membaca Jepun sehangat sukan judo dan bola sepak dalam kalangan rakyatnya. Di mana-mana sahaja buku menjadi teman sejati termasuk di dalam tren selaju 250 kilometer sejam. Budaya membaca diamalkan seawal kanak-kanak di tadika. Mereka disogokkan dengan buku cerita sebagai info ulang kaji kanak-kanak awal persekolahan. Setiap kali selesai membaca, kanak-kanak diarahkan mewarna gambar sebagai latihan minda.
            Negara kita masih berada di belakang kerana cara hidup kita berbeza dengan masyarakat negara maju walaupun kita sering klise陈腔滥调dengan Wawasan 2020. Budaya membaca belum lagi menjadi rutin dalam kalangan kita. Kajian membuktikan banyak orang yang membaca semata-mata untuk mendapat sijil atau ijazah , tetapi meninggalkan bahan bacaan apabila sudah berkerjaya. Ironisnya, di pusat pengajian tinggi negara kita budaya membaca hanya pada musim peperiksaan sahaja. Perpustakaan akan kembali lenggang apabila musim peperiksaan berakhir dan kebanyakan buku di dalamnya tidak tersentuh oleh generasi hari ini. Sesetengah pihak berpendapat bahawa setelah tamat persekolahan atau pengajian, membaca tidak perlu lagi. Banyak masa mereka dihabiskan di hadapan media elektronik bagi mendapat bahan yang bercorak hiburan, picisan malah melalaikan. Tanggapan sebegini perlu dikikis daripada persepsi masyarakat yang menuju status negara maju kerana pembelajaran adalah sepanjang hayat.
            Budaya membaca menjadi salah satu kayu pengukur yang menilai tahap intelektual rakyat di negara berkenaan. Kemajuan sesetengah negara itu tidak bermakna jika jiwa rakyatnya 'kosong' tanpa diisi dengan ilmu. Rakyat di negara maju menjadikan amalan membaca sebagai cara hidup kerana bagi mereka biarpun berpelajaran tinggi, ilmu perlu terus ditimba. Kini, membaca bukan lagi merujuk pada bahan bacaan konvensional, tetapi boleh dilakukan dengan media elektronik. Lambakan bahan bacaan digital seperti surat khabar elektronik turut membantu masyarakat mengakses maklumat secara percuma serta mudah melalui Internet. Masyarakat hari ini seharusnya tiada alasan untuk tidak membaca kerana selain bahan bacaan yang ada di serata tempat, teknologi yang ada turut memberi kemudahan untuk mendapat bahan bacaan. Dengan maklumat di hujung jari,  pelbagai cabaran dapat diatasi. Oleh itu, budaya membaca perlu disuburkan dari semasa ke semasa melalui dasar yang lebih menyeluruh. Agenda nasional perlu diperkasakan melalui budaya membaca untuk membina tamadun bangsa dan pembangunan modal insan.
            Institusi kekeluargaan haruslah memupuk budaya membaca kepada anak seawal mungkin supaya mereka membesar dengan membawa bersama amalan itu. Untuk menyemai budaya membaca, ibu bapa harus memastikan tabiat anak mereka terhadap pembacaan adalah berkekalan. Anak akan berjinak-jinak dengan buku jika melihat ahli keluarga membaca pada masa lapang. Amalan pembacaan dalam kalangan ibu bapa dijadikan contoh kepada anak untuk menjadikan buku sebagai rakan karib mereka. Berdasarkan hakikat ini, setiap keluarga perlu mengadakan sudut perpustakaan untuk menyemai tabiat suka membaca dalam kalangan keluarga. Sudut perpustakaan keluarga ialah ruang bagi menempatkan bahan bacaan serta bahan elektronik yang mengandungi khazanah ilmu terkumpul untuk dimanfaatkan oleh seisi keluarga. Tegasnya, penglibatan ibu bapa turut membaca bersama anak diyakini mampu memberikan dorongan kepada mereka untuk menerapkan budaya berkenaan pada masa hadapan.
            Budaya ini harus bermula dari alam persekolahan sehinggalah ke alam pekerjaannya. Dalam konteks pendidikan formal, alam persekolahan menjadi destinasi terbaik untuk menyuburkan tradisi budaya membaca.Pelaksanaan program‘Nadi Ilmu Amalan Membaca’ di peringkat persekolahan merupakan usaha murni yang cukup bermakna dalam membina budaya ilmu masyarakat Malaysia sejajar dengan harapan Falsafah Pendidikan Negara. Program NILAM mula dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah sejak 1999. Anugerah Nilam Kebangsaan dan Tokoh Pembaca Kebangsaan merupakan penghormatan kepada pelajar yang komited dengan dunia pembacaan.Anugerah peringkat kebangsaan sedemikian merupakan langkah untuk membina budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia secara terancang.
     Falsafah tersirat program NILAM bertujuan melahirkan pelajar yang mengamalkan budaya membaca bukan sahaja selepas tamat persekolahan tetapi berterusan ke alam pekerjaan. Jadi, kita dapat melahirkan pembaca yang holistik dan merentas pelbagai disiplin ilmu. Tujuan akhir NILAM termasuk melahirkan 'ulat buku’, atau 'pencinta buku’. Oleh itu, kejayaan terbesar program NILAM adalah apabila kita dapat melahirkan Nur Amalina Che Bakri sebagai Tokoh Pembaca Kebangsaan yang pertama pada tahun 2004 dari sekolah kawasan luar bandar yang akhirnya muncul sebagai pelajar terbaik SPM tahun 2004. Hal ini dengan jelas menunjukkan amalan membaca berterusan memberi impak yang besar kepada keputusan akademik malah memenuhi makna kehidupan itu sendiri.
            Pada umumnya, tabiat membaca mendedahkan diri seseorang kepada ilmu dan peristiwa. Tabiat membaca seperti orang memakan nasi dan tanpa makanan, ibarat tidak lengkap hidup ini. Tanpa membaca ibarat tidak sempurna kehidupan hariannya. Pembacaan merupakan santapan minda yang yang berkualiti. Lord Bacon, ahli falsafah Inggeris mengatakan bahawa membaca menjadikan seseorang itu berisi. Maksudnya manusia yang berisi dengan ilmu, cara berfikir, pandangan hidup, kemampuan untuk membezakan sesuatu yang buruk dan yang benar. Seseorang yang mempunyai tabiat membaca bukan sahaja mempunyai minat yang tinggi terhadap pengetahuan.Mereka akan menjadi resah jika tidak membaca kerana membaca bagi mereka suatu kepuasan.
            Dari perspektif agama pula, Islam sentiasa menganjurkan manusia membaca. Ayat yang pertama daripada Tuhan kepada Nabi ialah ‘iqra’ atau ‘Bacalah’. Al-Quran mengingatkan manusia tentang kepentingan akal untuk berfikir dan jalan mengembangkan pemikiran menerusi membaca. Tuhan juga memberikan pedoman bahawa tidak sama darjat orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Masyarakat yang miskin ilmu akan terus ketinggalan kerana ilmu asas bagi pembentukan negara yang makmur.
            Pembudayaan amalan membaca dalam kalangan masyarakat bukanlah perkara yang mudah.Tidak ada jalan pintas untuk menjadikan seseorang itu berilmu dalam sekelip mata, tetapi kita hanya boleh mendapat pengetahuan dengan selalu membaca dalam jangka masa yang panjang. Tegasnya, budaya membaca wajar mendarah daging dalam diri setiap individu selaras dengan matlamat membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.


2.(b) Kepentingan perpaduan kaum

Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara  agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini berkekalan .Hal  ini adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu,  perpaduan  penting agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada yang sama kita akan dapat mengekalkan kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh semua anggota masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi.

Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk negara kita.  Perpaduan dalam kalangan etnik di negara ini juga akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman  luar dan dalam negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan melahirkan kekuatan dalam mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar seterusnya memelihara kedaulatan negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.
 

Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur begitu sahaja  jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling menghormati yang dipupuk sejak kita kecil lagi.

(c) Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum


Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara ini. Hal ini demikian kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh jika ada  tindakan luar batasan dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan secukupnya. Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan kaum boleh menjadi bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa memandangkan terdapat sebahagian anggota masyarakat yang gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah untuk bangsa mereka. Selepas kejadian ini lahir kesedaran untuk menyatupadukan kaum di negara ini dengan terbentuknya Rukun Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota masyarakat. Dalam masa yang sama kekurangan orang Melayu dalam bidang ekonomi cuba diselesaikan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada 1970.

Rentetan peristiwa tersebut juga  telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran yang licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum. MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis Muhibah Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah ditubuhkan untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara. MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk menghapuskan perselisihan faham, membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan JPN telah digabungkan pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum

Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union  oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan UMNO , MCA dan MIC pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan kaum mula dibentuk apabila Parti Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan UMNO,MCA dan MIC yang merapatkan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha memuju kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini dilakkukan mulai 1948 hinggalah 1956 . Dapat dilihat pada masa ini kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk bagi  menjamin keadaan negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama dan sebagainya.

(d) Cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum


Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu  politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik, pastinya, ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Ianya ditambah lagi dengan usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi Malaysian Malaysia bagi  mendapatkan hak yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini.Sekali pandang ianya merupakan suatu isu yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan kontrak sosial yang dibuat sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa penjajahan British. Mereka menjalankan dasar “divide and rule” iatu dasar pecah dan perintah agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Masyarakat melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di kampong-kampung. Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala masyarakat India pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhada dan menjadi bertambah renggang.

Cabaran dari segi ekonomi yang paling nyata ialah perbezaan dari segi pekerjaan di mana perbezaan ini diwujudkan oleh pihak British melalui pecah dan perintah sepertimana dinyatakan sebelum ini. Masalah ini telah mewujudkan perasaan curiga dan telah mewujudkan jurang ekonomi antara kaum-kaum terbabit. Akibat daripada dasar yang dicipta oleh British itu, kesannya masih lagi dapat dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih lagi didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di lading-ladang. Perbezaan pekerjaan ini telah membataskan interaksi sosial antara mereka kerana masa banyak diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik yang sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum yang sama sahaja. Kesannya adalah di mana perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit.

Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, Pelajaran Cina telah memberi kesedaran kebangaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakah bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China. Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik – berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernakular  yang tidak mempunyai pandangan dunia (world – view) yang sama. Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.

Penyalahgunaan media sosial  telah mula menular sejak akhir-akhir ini. Media sosial seperti web dan blog serta face book menyebabkan timbulnya  kerenggangan kaum kerana banyak menimbulkan isu sensitif . Beberapa laman web yang bebas bergerak telah memperkatakan begitu banyak isu bersifat sensiti di samping menaburkan fitnah serta berita palsu menyebabkan wujudnya keresahan dalam masyarakat di negara ini. Beberapa kenyataan bersifat rasis dan berunsur perkauman begitu berleluasa pada masa sekarang. Keadaan ini pula tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana pertindihan tugas dan bidang kuasa antara badan penguatkuasa dan badan pengawal komunikasi.  Penyebaran berita palsu dan tohmahan juga menjadi punca perbalahan dan persengketaan terhadap anggota masyarakat di negara ini. Isu kalimah Allah dalam bible yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu contohnya  menyebabkan berlaku pertentangan pendapat dalam kalangan rakyat di negara ini. Ianya bakal menyebabkan wujudnya rasa benci dan dendam dalam masyarakat yang mampu mengguggat keamanan negara.

Campurtangan kuasa luar juga boleh menlunturkan perpaduan di negara ini.Beberapa individu yang dikenalpasti sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Amerika Syarikat dan Australia dalam usaha mendapatkan sokongan dan dokongan terhadap permasalahan yang mereka hadapi. Kehadiran beberapa pemimpin dari luar ini boleh dianggap cuba mencampuri urusan negara ini kerana cuba mempertikaikan isu hubungan sesama jenis dan hak golongan  lesbian, gay dan transgender di negara ini.Segelintir anggota masyarakat juga mengaitkan isu di atas sebagai isu hak asasi manusia di negara ini. Dengan menjadikan isu ini sebagai isu hak asasi maka ianya mendapat sokongan sebahagian daripada anggota masyarakat.

(e) Langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di Malaysia          

Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan , sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan persembahan pentas.

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan pemupukan budi bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi dan diamalkan dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan. Adat istiadat ini mencirikan Kebudayaan Kebangsaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati ialah Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w,
 

Slogan 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara evolusi.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi
 
Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar. Oleh yang demikian slogan ini sudah tentu menjadi satu pemangkin kepada perpaduan rakyat di negara ini.

Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.

(f) Rumusan

Pengetahuan
 

Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini menginjak menjadi sebuah negara maju menjelang tahnun 2020. Antara faktor  utama kejayaan ini boleh dicapai ialah melalui situasai keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin atau tidak boleh dikompromi oleh sebarang faktor lain.
 
Berdasarkan peristiwa  13 Mei 1969  kita wajar  memperkuat semula perpaduan kaum di negara ini agar semua anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negara yang kita cintai ini.
 
Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara negara ini yang terjajah sekian lama dan memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin penjajahan ke atas negara ini tidak lagi akan berlaku .

Iktibar
 

Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama angota masyarakat

Harapan
 

Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang/ peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar menjadi lebih bermakna akhirnya.

No comments: