Latihan 4: Amalan lama seperti budaya tegur-menegur dalam kalangan masyarakat hendaklah
disuburkan semula. Huraikan langkah-langkah
untuk mengembalikan budaya tersebut . (Ruj. Teks Tkn 4, Unit 1 Bhg 2).
Budaya
membawa maksud akal budi, peradaban dan ketamadunan yang terlibat dengan cara
hidup, perasaan, pemikiran dan pergaulan. (I) Budaya tegur-menegur sinonim
dengan teras kekuatan masyarakat dan sendi ikatan kesatuan sesama masyarakat yang multietnik,
multiagama, multibudaya dan berlatarbelakangkan sosioekonomi yang heterogan.(I)
Namun, budaya mahmudah ini semakin sirna ditelan arus globalisasi yang melewati
sempadan dan mentaliti. (K) Tegal itu, Dasar Perpaduan Negara dan Strategi
Lautan Biru Kebangsaan telah digarapkan selari dengan konsep Gagasan 1Malaysia,
yakni mewujudkan masyarakat madani dan uthopia di negara kita. (U)
Persoalannya, sejauh manakah strategi tersebut berhasil menghidupsuburkan budaya
tegur-menegur sesama masyarakat majmuk? Apakah pula langkah-langkah untuk
mengembalikan budaya tersebut? (K)
Pepatah Melayu berbunyi, adat bersendi syarak, syarak bersendi adat,
yakni pergaulan dalam masyarakat mestilah bersesuaian dengan tradisi dan
kerukunan. Untuk menghidupsuburkan budaya tegur-menegur dalam masyarakat,
warisan tradisi bangsa mestilah dididik kepada seantero strata masyarakat,
khasnya generasi muda.(A) Amsalnya, Rumah Terbuka Kebangsaan yang dianjurkan
membayangkan budaya perkongsian etos dan jalinan antara masyarakat yang berbeza
latar belakang. (C)Semasa kunjungan ke rumah terbuka sempena hari perayaan
tertentu, masyarakat berpeluang untuk menikmati juadah, makanan tradisional,
sekali gus mengintegrasikan diri dengan warisan tradisi masing-masing seperti kepercayaan
dan adat resam yang berbeza. (K) Mukhtasarnya, tahap kefahaman terhadap warisan
tradisi masyarakat silam dapat mewujudkan masyarakat yang mengenang budi,
sekali gus melapangkan dada untuk mengenali masyarakat lain kerana tak kenal
maka tak cinta.(P) Bertitik tolak daripada manifestasi ini, budaya
tegur-menegur seyogianya bermula daripada pengenalan dan persefahaman terhadap
warisan tradisi masyarakat silam, khasnya di negara bertuah yang sarat dengan
kebudayaan yang heterogan.(P)
Dari sudut keagamaan, budaya
tegur-menegur merupakan tuntutan agama yang perlu diamalkan. Bahawasanya, sifat
kasih sayang merupakan limpahan rahmat daripada Tuhan kepada umat di buana ini.
Jadi, sifat ini sepatutnya menjadi anutan manusia agar meluaskan kasih sayang
kepada semua makhluk sejagat. Secara fitrah, kehidupan hakiki manusia
memerlukan kasih sayang kerana manusia tidak dapat hidup bersendirian. Lantaran
itu, jiran tetangga amatlah diutamakan dalam agama Islam. Mengikut tafsiran syarak,
jiran ialah orang yang berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, di kiri,
di depan atau di belakang mahupun di tingkat atas ataupun di bawah hingga 40
rumah dari rumah kita. Nabi Muhammad bersabda, “ sebaik-baik manusia ialah
memberi manfaat kepada orang lain.” “Kami telah mencipta lelaki dan perempuan, pelbagai
bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara
satu sama lain.”. Maka, memanglah penting untuk menuntut setiap hidayah dan
petunjuk Tuhan supaya dilimpahi rahmat dan keredaan dalam kehidupan kita. Contohnya,
hari keluarga yang dianjurkan oleh Jawatankuasa keselamatan dan kemakmuran
kampung(JKKK) merupakan platform untuk berkongsi suka duka sesama jiran
tetangga. Solat berjemaah atau aktiviti amalan beribadat juga dapat mengumpul semua
komuniti setempat di bawah payung yang sama. Ijmalnya, budaya tegur-menegur
dapat dihidupkan semula melalui pengukuhan keimanan yang kental pada setiap
tuntutan agama.
Dari sudut etiket sosial, budi pekerti
merupakan tanggar amanat dan warisan tradisi golongan leluhur. Maka, amatlah
penting nilai mahmudah ini diterapkan dan bersebati dengan hidup kita sejak
azali lagi. Walhasil, Imam Al-Ghazali pernah berkata, “ ingin mengenali diri,
lihatlah pada cermin; ingin mengenali peribadi, lihatlah pada wajah.” Maksudnya,
perwatakan kita ditonjolkan melalui gerak laku, tutur kata, cara hidup,
perasaan, pemikiran dan pergaulan dalam hidup berkhalayak. Seyogianya, anak
bangsa kita diakulturasi sejak kecil untuk bermurah hati dan sifat
bersederhana. Bagi manusia yang beretika dan kerohanian, budaya tegur sapa,
bersenyum dan berterima kasih akan diterapkan dalam kehidupan rutin harian. Senario
ini diterangkan dalam gurindam di bawah;
Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.
Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.
Maka, setiap manusia mestilah berpegang pada prinsip hidup
pokok biar berkayu, hidup manusia biar berjasa dan ada ubi ada talas, ada budi
ada balas untuk mengembalikan kegemilangan tradisi silam ini.
Meninjau
skop yang lebih lanjut lagi, kasih sayang sesama manusia merupakan penawar
segala kekhilafan dan tonik mujarab untuk memperkasakan tautan bersama. Demi
mengembalikan kegemilangan budaya ini, amalan kunjung-mengunjung dan
unjuk-mengunjuk用手传递 sesama masyarakat majmuk dan berbeza status amatlah penting kerana
orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Dalam Teori Hierarki
Maslow, keperluan asas manusia ialah kasih sayang dalam hidup bersosial. Dengan
nilai kasih sayang, terwujudlah masyarakat yang saling memerlukan, saling membantu
dan saling merasai seperti peribahasa sedikit tanda ingat, banyak tanda ada. Tamsilannya,
semasa amalan kunjung-mengunjung pesakit atau mangsa musibah, kita akan
menyelami hati budi setiap manusia sekali gus merapatkan hubungan antara satu
sama lain. Senario ini didendangkan dalam lagu P Ramlee, lagu dengan irama. Walhasil,
hidup kita saling bergantungan dan hidup secara simbiosis, budaya tegur-menegur
merupakan pemangkin untuk memperkasakan konsep memberi dan menerima dalam
masyarakat. Pendek kata, kasih sayang yang sejati mestilah diperkukuh melalui pengalaman yang luas,
kerana jauh perjalanan luas pandangan.
Akhir sekali dan tidak kurang
pentingnya, jati diri bangsa merupakan identiti nasional yang penting untuk
mengembalikan budaya tradisi ini.(A) Peristiwa Low Yat baru-baru ini merupakan
satu petanda kepada masyarakat Malaysia bahawa sebarang ketidaksefahaman dan
konflik kebudayaan akan membawa kemudaratan yang dahsyat. Hal ini mengingatkan
kita tentang 13 Mei Darurat yang pernah melibatkan pertumpahan darah di pawagam Odeon.(C) Sesungguhnya, tak akan pisang berbuah
dua kali kerana sekali bersengat, lain kali kita tahu. Memetik kata Tan Sri Lee
Lam Thye, “ krisis identiti bangsa merupakan konflik yang mampu memusnahkan
ikatan perpaduan negara.” Maka, budaya tegur-menegur dalam masyarakat majmuk
melalui sekelumit senyuman mampu menangani sebarang perbezaan. (C) Izharnya, sifat
kekitaan dan empunya terhadap bangsa dan nusa bukan lagi isu tabu yang perlu
diperkasakan dalam hidup bersosial. Dengan ideologi Gagasan 1Malaysia, kita
mendabik dada menyatakan bahawa Malaysia mampu berkongsi sebarang kekayaan tanpa
mengira bangsa, kedudukan, pangkat, sosioekonomi kerana sudah lama negara kita
mengamalkan prinsip berkuah sama dicolek, bersambal sama dicecah. Pendek kata,
budaya tegur-menegur perlulah dijadikan prinsip dalam kehidupan selaras dengan doktrin
Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan.
Akhirulkalam, hidup sinonim dengan
pohon yang perlu berbuah. Memetik kata Confucius, “ ingin hidup sepuluh tahun,
tanamlah pokok; ingin hidup 100 tahun, tanamlah manusia.” Kesinambungan budaya
tradisi masyarakat silam amatlah penting agar hidup kita tetap berakar umbi dan
berpokok pangkal. Budaya tegur-menegur yang semakin mengikis lantaran
pertembungan budaya dan perkembangan peranti elektronik perlulah dikembalikan
secepat mungkin kerana
Tegak
rumah kerana sendi,
Runtuh
sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh
Budi runtuhlah bangsa.
Janganlah
kita bagai kacang melupakan kulit kerana amalan murni ini perlulah ditegakkan
demi menjanakan kelangsungan bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment