Soalan 1. Semangat
patriotik perlu ada dalam diri generasi muda pada hari ini kerana mereka
bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan
oleh remaja untuk memupuk patriotisme dalam diri mereka.
Tanggal 31 Ogos
1957, laungan merdeka telah menggegarkan rakyat Tanah Melayu untuk membebaskan
diri daripada belenggu penjajah asing yang diibaratkan lintah yang menghisap
darah. Dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh
penjajah British gagal membantutkan semangat nasionalis dalam kalangan anak Melayu yang berpatriotik padu . (I) Walakin begitu, selepas menghela nafas kemerdekaan selama 58 tahun, kita
mendabik dada untuk mencapai status negara yang berdaya maju, namun semangat
patriotik untuk bertapak di bumi yang bertuah ini nampaknya semakin luput dalam
kalangan anak watan pewaris bangsa. (K) Walhal, rombakan sistem pendidikan dengan
usaha melahirkan generasi pelapis yang beridentiti nasional dan berpatriotik
telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lagi, antara lainnya PLKN, program RIMUP, Dasar
Perpaduan Nasional, Akta Hasutan ISA dan sebagainya, namun dalam dasar benak
setiap lapaisan marhaen, tertanya-tanya akan sejauh manakah modus operandi ini berjaya menganjak
paradigma muda-mudi tentang betapa pentingnya patriotisme dalam memastikan
kelangsungan nusa dan bangsa? (K)
Dalam perkataan
bahasa Arab, sejarah bermaksud syajaratun, iaitu pokok atau peristiwa yang
berdasarkan fakta yang sahih serta berkaitan dengan kesan dan akibat perbuatan
manusia. KPM mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai teras pelajaran dan syarat
kelulusan dalam peperiksaan SPM sebenarnya telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan
masyarakat amnya. Sebagai pewaris negara, kefahaman yang mendalam tentang
salasilah sesebuah negara, masyarakat dan keluarga akan membangkitkan kesedaran
untuk menjejaki susur galur golongan leluhur. Kata pujangga, tiada lama, tidak
akan ada yang baharu. Sesungguhnya, sejarah merupakan iktibar yang perlu
diambil oleh generasi baharu, perjuangan wira negara untuk menegakkan kedaulatan negara telah menyedarkan generasi muda bahawa jatuh
bangun sesebuah negara bergantung pada komitmen dan patriotisme mendalam dalam
kalangan rakyat jelata. Memetik kata Tun Dr Mahathir Mohammad,” tidak
mengulangi kesalahan jika memahami sejarah.” , remaja perlulah didedahkan
tentang pengorbanan yang telah ditaburkan oleh golongan lelulur demi
membangunkan Tanah Melayu. Tanpa mengenal pahit maung dan jerih perih, mereka meneroka hutan di nusantara sehingga tersergamlah
bangunan pencakar langit yang mengagumkan penduduk jagatraya. Tegasnya, ilmu
Sejarah bukan untuk penghafalan semata-mata namun perlulah diselit dengan
perasaan patriotisme yang mendalam supaya melahirkan generasi muda yang berbangga
dengan setiap darah yang ditumpah oleh para tokoh negara.
Dalam sudut lain, semangat
patriotik merupakan teras kekuatan masyarakat dan sendi ikatan kesatuan antara
individu dengan komuniti yang multiagama, multibudaya dan multietnik. Walhal,
kasih sayang merupakan sifat Tuhan yang menjadi anutan manusia. Sifat tersebut
merupakan limpahan rahmat-Nya kepada setiap makhluk di buana ini untuk
memperjuangkan kelangsungan bangsa dan nusa. Sesungguhnya, sebagai generasi
pelapis, kita mesti memahami bahawa mencintai nusantara merupakan sebahagian
daripada keimanan.Secara fitrahnya, setiap insan memerlukan tempat berteduh dan
memerlukan kasih sayang yang mendalam, sama ada terhadap negara, manusia
mahupun alam sekitar. Hubungan dengan kasih sayang terhadap negara ibarat lagu
dengan irama yang saling bergantungan dan hidup secara simbiosis demi
menghasilkan tempo yang syahdu. Tanpa sifat mahmudah ini, perasaan salah faham,
dendam kesumat yang berpaksikan hukum bersultan di hati, beraja di mata akan mengaburi akal budi manusia. Amsalnya,
pada tahun 13 Mei 1969, rusuhan kaum telah tercetus lantaran salah faham dan hasutan yang tidak diselesaikan
melalui muafakat dan perundingan. Darurat ini telah menyebabkan kebakaran
pawagam Odeon di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sekitar Chow Kit. Remaja pada
zaman pascamerdeka mestilah mengambil iktibar ini supaya memahami semangat
patriotik mampu mewujudkan kemersaan, muhibah, mawaddah antara kaum yang
heterogen, bak pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat.
Tun Dr Mahathir
telah melancarkan Kempen Beli barangan Tempatan pada tahun 1984 dan dijenamakan
semula pada tahun 1998. Kempen Belilah Barangan Tempatan baru-baru ini
dilancarkan semula oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan. Sebagai pelapis negara, nilai patriotisme dapat disuntikkan
melalui penyemaian tentang kepentingan membeli produk tempatan dan
diperkenalkan jenama yang dapat melambangkan kecanggihan teknologi negara. Sebagai
contohnya, rantaian francais seperti Merry Brown, Oldtown, Ayamas dapat
dipasarkan di seantero pelosok dunia, produk tempatan makin bertempat di hati
penduduk global dan lokal. Produk pakaian seperti PADINI, BONIA dan kasut
berjenama BATA semakin terkenal di negara luar sebagai produk yang berkualiti
tinggi. Logo Buatan Malaysia bukan sahaja menunjukkan kebanggaan rakyat Malaysia
malahan menggembleng kudrat rakyat tempatan yang padu untuk menjenamakan produk
dan nama negara di peringkat antarabangsa. Lebih-lebih lagi, teknologi semikonduktor hasilan negara Malaysia memanglah bertempat di pasaran global, inikan pula produk automotif seperti PROTON dan motor enjin Formula1 yang mampu mengungguli produk keluaran negara lain. Sudah tepat pada masanya, barisan
remaja diasuh untuk mengamalkan budaya kreativiti dan inovatif supaya
menghasilkan produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan. Dasar Pandang
ke Timur menunjukkan kesungguhan dan kebijaksanaan Tun Dr Mahathir untuk
menonjolkan negara Jepun dan Korea yang selalu berbangga dengan teknologi
sendiri. Kini, jenama Korea dan Jepun telah melambak dalam pasaran global, satu
hari nanti, kita berharap agar kejayaan yang ternanti-nanti di negara kita yang
mampu melahirkan produk yang berlogo buatan Malaysia dan mengibar-ngibarkan bendera Malaysia di setiap acara temasya sukan antarabangsa.
Dalam buku “Malaysia
hilang di dunia’ oleh Khalid Malek, sifat empunya dan kekitaan yang mengurang
akan menyebabkan krisis identiti dan kecelaruan minda dalam kalangan remaja. Dalam
konteks ini, Gagasan 1Malaysia yang diuar-uarkan sejak tahun 2009 perlulah
diperkukuh agar meneguhkan jati diri dalam kalangan remaja. Prof Dr Naquid
Al-Attas menegaskan bahawa kenipisan keimanan menyebabkan krisis identiti dalam
generasi muda. Amsalnya, generasi muda sanggup menghinakan kedaulatan sistem
diraja dan Perlembagaan Persekutuan demi mengagung-agungkan budaya kebaratan
yang ditinggalkan oleh penjajah asing. Selepas dijajah selama 446 tahun,
penularan fahaman mereka telah melanda kehidupan kita secara tidak disedari. Maka,
peneguhan jati diri tidak wajar ditangguhkan lagi. Sifat keterbukaan untuk
mengakulturasi dan mengadaptasi terhadap
setiap perbezaan dan ketidaksefahaman tentang adat resam, pantang larang,
warisan tradisi yang heterogan akan merapatkan ikatan pepaduan sekali gus
melakukan perkongsian etos untuk memacu pembangunan ekonomi negara. Ijmalnya,
tanpa jati diri bangsa, generasi muda akan terperangkap dalam konflik perkauman
dan pidana yang merosakkan negara tanpa segan silu. Kini, remaja kita tidak
wajar terhanyut dalam dunia fata morgana lagi tanpa memikirkan nilai
patriotisme untuk hidup dengan merdeka baik dari segi kenegaraan mahupun dari
sudut mentaliti rakyat jelata. Laungan lagu negaraku patutlah dihidupsuburkan dalam setiap majlis perasmian negara.
Akhirnya dan tidak kurang penting
ialah remaja perlulah didedahkan dengan cerita pengorbanan dan jasa yang telah
ditaburkan oleh para ikon kenegaraan. Demi memperjuangkan kemerdekaan, Rosli
Dolby sanggup bersenjatakan pisau untuk melukakan penjajah British Sir Duncan
Stewerd di Bumi Kenyalang. Keberanian Rosli Dolby telah memahamkan generasi muda bahawa yang kecil
sangat disangkakan anak, yang besar jangan disangkakan bapa. Pada zaman penjajahan asing, ikon kebangsaan negara
seperti Datuk Bahaman, Tuk Janggut, Dol Said, Datuk Maharajalele dan sebagainya
telah berkorban demi membebaskan negara daripada belenggu asing yang menagih
kekayaan dari negara kita. Kita perlu menghayati maksud yang tersirat dalam
peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata. Hidup di negara yang berdaulat
akan melahirkan anak watan yang betul-betul berdikari dan mampu berkhidmat
kepada negara tanpa mengenal jemu. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan
nama. Sekali lagi, kata orang tua-tua ini memanifestasikan hidup pokok biar berkayu,
hidup manusia biar berjasa. Tanpa hidup dengan bermaruah tinggi dan mendabik
dada sebagai rakyat yang bernilai tinggi, kita akan mengulangi penganiayaan yang
berlaku pada pelari mangsa Rohingya yang hdup tanpa
bermaruah bagai melukut di tepi gantang atau hidup segan mati tidak mahu. Kejayaan
Jimmy Choo untuk menakluki bidang fesyen di London sehingga dianugerahi oleh
Ratu Elizeberth menandakan rakyat Malaysia berpotensi besar untuk bermaju ke
hadapan lagi.
Akhirul
kalam, tanpa negara, di manalah kita yang kerdil? Memetik kata presiden John
Kennedy, “ jangan tanya apa yang akan diberi oleh negara, tetapi apakah yang
boleh disumbang kepada negara.” Hidup manusia kini dipenuhi dengan nikmat
anugerah Tuhan sehingga kealpaan untuk mensyukuri nikmat yang telah dilimpahi. Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sayang seribu kali sayang, rata-rata
generasi kini sanggup meninggalkan kampung halaman dan berkhidmat di luar
negara sedangkan mereka ditawarkan bantuan biasiswa JPA, tanpa barisan generasi
muda yang berintelektual tinggi, negara kita akan ketinggalan dan kejumudan
tanpa sebarang kemajuan. Ingatlah, setinggi-tinggi bangau terbang, akhirnya
hinggap di belakang kerbau jua. Janganlah kita sekali-kali membelakangkan
tanggar amanat golongan leluhur tetapi hidup bertunjangkan doktrin Rukun
Negara, iaitu
Kepercayaan
kepada Tuhan
kesetiaan kepada raja dan negara
kesetiaan kepada raja dan negara
Kesopanan
dan kesusilaan
Kedaulatan
undang-undang
Keluhuran
perlembagaan
Sebagai penutup bicara, pemuda-pemudi aset negara, janganlah harapkan pagar pagar makan padi, ikutlah pesanan dalam lagu rasmi,
Sebagai penutup bicara, pemuda-pemudi aset negara, janganlah harapkan pagar pagar makan padi, ikutlah pesanan dalam lagu rasmi,
- Negaraku
- Tanah tumpahnya darahku,
- Rakyat hidup,
- Bersatu dan maju,
- Rahmat bahagia
- Tuhan kurniakan,
No comments:
Post a Comment