Latihan
5: Guru memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu. Ulaskan
pernyataan tersebut(Ruj.TeksTkn 5, Unit 2 BhgC).
Memetik serangkap sajak oleh
Sasterawan Negara ke-3, Usman Awang, “ sekalipun raja, ahli parlimen, peguam,
penulis, doktor, semuanya dididik oleh guru.” Sesungguhnya, sajak Guru oh Guru
memanifestasikan bahawa guru merupakan insan yang menggalas obligasi mutlak
untuk melahirkan anak didik yang berintelektual dan bersahsiah tinggi.(I) Dari
sudut agama Islam, guru memainkan peranan yang tidak mempunyai galang ganti
untuk menaburkan ilmunya kepada semua umat di buana ini. Iman Al-Syafie sejak
berguru dengan Imam Malek, hampir sepanjang hayatnya Imam Syafie tidak pernah
berpisah dengan guru itu sehingga guru itu wafat. (I) Namun, budaya takzim dan
tawaduk terhadap golongan pendidik semakin sirna ditelan arus globalisasi,
walhal perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan
maklumat memerlukan guru peka terhadap perkembangan semasa.(K) Tegal itu, Pelan
Pembangunan Profesionalisme Berterusan telah dibangunkan untuk meningkatkan
kualiti guru dan pemimpin sekolah serta memperkasakan profesion keguruan. Selari
dengan hasrat tersebut, guru perlu memiliki kriteria yang telah digariskan
dalam PPPB, iaitu pemikir holistik dan kreatif,pemikir strategik, peneraju perubahan,
pembimbing dan mentor,penggerak kualiti PdP, serta pelaksana pengajaran
berkesan dan fasilitator pembelajaran murid. (U) Persoalannya, sejauh manakah
guru berperanan untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang, gemilang dan
terbilang?
Tema Hari Guru tahun 2015 ‘Guru:
Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak’ sangat bertepatan dengan dunia pendidikan
pada abad ke-21. Tegal itu, guru mesti mengadaptasikan diri dengan multidisiplin
ilmu dan pengalaman agar dapat mengoptimumkan potensi murid. Menurut teori perkembangan
kognitif, pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima dan disimpan dalam
pemikiran seseorang.Di bawah teori ini, guru berperanan sebagai penyampai
maklumat kepada pelajar. Seperti yang digarapkan进行 dalam PPPM 2013-2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk
melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi, iaitu pengetahuan, kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan
identiti nasional. Justeru guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat
tersebut. Pemerkasaan ilmu amat penting untuk memastikan murid dapat bersaing dan
menguasai ilmu setanding dengan kualiti pencapaian murid di persada dunia. Pentaksiran
Berasaskan Sekolah(PBS) menjadi satu elemen pentaksiran dalam mengukur keberhasilan
murid. Sejajar dengan itu, guru perlu mempunyai kredibiliti, integriti, dan
telus agar dapat menghasilkan penilaian yang adil. Sesungguhnya, di tangan
gurulah terletaknya penentu hala tuju masa hadapan murid. Jatuh bangun sesebuah
negara bergantung pada kualiti anak bangsa yang dihasilkan oleh warga pendidik,
jadi tuntutan pada abad ini memerlukan idea baharu untuk meningkatkan
profesionalisme guru. Lantaran itu, guru seharusnya mengaplikasikan konsep
pembelajaran sepanjang hayat, menghindari sikap egoistik lantas mendorong
dirinya untuk terus menimba ilmu dan kemahiran terkini melalui pelbagai sumber
termasuk daripada muridnya sendiri. Mukhtasarnya, sekolah sebagai tempat
menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat, dan mengasah budaya kepimpinan
kerana pelajar aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi
persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran
baharu yang perlu dikuasai sebelum produk kita melangkah ke alam pekerjaan.
Bagi membentuk dan menyempurnakan akhlak
anak didiknya, guru perlu menjadi teladan yang jitu. Guru perlu
memiliki jati diri dan personaliti unggul yang cemerlang. Sifat dan peribadi
ini sesungguhnya menjadi inspirasi murid dalam pembentukan sikap dan akhlak
terpuji. Seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang mewujudkan fenomena dunia tanpa sempadan telah mendedahkan generasi hari ini dengan
kepelbagaian sumber maklumat. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan
teknologi pintar dan kemajuan maklumat terkini telah memberi kesan serta menjadi
cabaran terhadap nilai,budaya,
pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan
penghayatan agama. Dengan erti kata sebenar, generasi muda masa ini bukan
sahaja berdepan dengan cabaran persaingan di peringkat global seperti kepesatan
ekonomi, keselamatan dan kebudayaan malah cabaran paling utama ialah konflik
akhlak. Di sinilah peranan guru dicabar dan diuji. Guru berperanan membimbing
dan menyempurnakan akhlak anak didiknya. Akhlak mulia dalam diri murid bermula dari rumah dan diteruskan oleh para guru seawal alam
persekolahan, bak pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Penguasaan
guru dalam
bidang teknologi maklumat sangat penting bukan sahaja bertujuan menyahut
cabaran pendidikan hari ini yang menuntut guru menggunakan pelbagai sumber
malah untuk memantapkan nilai-nilai
murni yang syumul dalam penyempurnaan akhlak mulia pelajar. Dalam hal ini, YAB
Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin
Yassin
menyatakan bahawa modal insan yang dibangunkan melalui sistem
pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi,
tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi.
Sebagai agen sosialisasi dan pembina
jati diri bangsa, guru perlu sentiasa mengamalkan corak pengajaran yang
pelbagai dan interaktif di dalam bilik darjah, menerapkan kemahiran menaakul,
di samping sentiasa mengambil berat perkembangan setiap murid. Walau
bagaimanapun, peranan guru tidaklah hanya terbatas di dalam bilik darjah semata-mata.
Guru juga harus bertindak sebagai agen perpaduan dan integrasi nasional dalam
kalangan murid. Menerusi kepimpinan dan kewibawaan, guru berupaya membina
atmosfera sosial yang sihat bagi menggalakkan interaksi pelbagai hala antara
murid berbilang kaum, latar belakang, dan budaya bagi mewujudkan satu identiti nasional
Malaysia yang dapat dibanggakan. Sudah tiba masanya warga pendidik mengetepikan
segala perbezaan yang menjadi punca diskriminasi dan prejudis. Guru perlu
sentiasa menonjolkan sifat bertanggungjawab sebagai wahana penyatu bangsa yang
sentiasa menyeimbangkan neraca keadilan untuk memastikan setiap anak murid menerima
pendidikan berkualiti. Dalam proses perkembangan kognitif seseorang murid, guru berperanan sebagai pentafsir untuk meningkatkan tahap kefahaman murid terhadap hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan alam sekitar serta hubungan sesama manusia. Di bawah langit yang sama, konsep menganyam cita-cita untuk melestarikan kesejahteraan manusia sejagat amatlah penting . Dari sinilah, guru berperanan sebagai musyid dan
pengaman sejagat yang penting.Sehubungan dengan itu, dalam usaha membangunkan
Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral
dan etika yang utuh serta sifat penyayang dan saksama dalam kalangan warga Malaysia
yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam
sistem pendidikan kita. Ijmalnya, guru
perlu menghayati prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
berdasarkan doktrin dalam Rukun Negara, yakni kepercayaan kepada Tuhan,
kesetiaan kepada raja negara serta kedaulatan undang-undang.
Di bawah Dasar Langit Terbuka dan projek
Multimedia Super Corridor (MSC), integrasi TMK dalam kehidupan sejagat telah
mengalami revolusi yang ketara dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Dalam
konteks pembelajaran, penggunaan TMK dikategorikan sebagai tutorial,
penerokaan, aplikasi dan komunikasi yang berpusatkan konsep pembelajaran kendiri.
Dalam konteks pengajaran pula, peranti elektronik sebagai tutor dan alat demonstrasi.
Walhasil, program Frog VLE dan projek jalur lebar telah
membenarkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan maklumat. Peranti tambahan
seperti CD Rom interaktif, teknologi video dan digital telah menyediakan satu
persekitaran media yang serba boleh untuk keperluan guru dan pelajar. BillGates
dalam bukunya Business @ The Speed of Thought menyatakan komputer peribadi dapat
mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan
kepada pendekatan demontrasi untuk merangsang sifat inkuiri yang ada dalam diri
pelajar. Maksudnya, peranan guru sebagai fasilitator perlu lebih fleksibel mengintegrasi
bahan multimedia interaktif, bahan visual grafik,teks, muzik, video serta
animasi yang membantu mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap pembelajaran
kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini membolehkan murid dan guru berkongsi maklumat
dalam pelbagai bentuk justeru mewujudkan hubungan kerja berpasukan dalam
kalangan murid di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Namun, guru
perlu memastikan disiplin murid semasa penggunaan e-mel dan ‘chat room’. Guru
sebagai penilai dengan mengadakan kumpulan pebincangan di dalam kelas untuk menggalakkan
percambahan pemikiran serta memantapkan kemahiran berfikir dan komunikasi murid.
Akhirnya,
tema hari guru pada tahun 2014, ‘Guru penjana inovasi pencetus kreativiti’
menegaskan transformasi pendidikan ke arah kecemerlangan pendidikan negara
menongkah arus abad ke-21. Dunia dan
ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan
lebih kritis, kreatif dan inovatif. Peranan guru sebenarnya tidak terbatas
hanya pada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif
dan inovatif dalam pembangunan ilmu dalam kalangan anak didik seiring dengan
perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru
yang berpusatkan pelajar serta penggunaan bahan sumber secara berkesan. Sistem
pendidikan hari ini menyandarkan harapan agar guru menyempurnakan tanggungjawab
dalam memastikan anak didik menguasai ilmu tulis, baca dan kira, tetapi lebih
jauh daripada itu guru perlu memperkasakan ilmu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT). Ilmu ini merupakan transformasi minda yang menguji keupayaan guru
menjana kemahiran berfikir aras tinggi bagi menggalakkan murid berfikir secara kritis,
analitis, kreatif, reflektif dan inovatif. Aktiviti PdP dalam KBAT ini juga hendaklah
dilaksanakan secara interaktif yang berfokus pada penyelesaian masalah untuk
mendorong murid sentiasa berfikir. Masalah yang diberikan pula mestilah di luar
rutin yang berupaya merangsang minat murid, seperti aktiviti main peranan,
kajian lapangan, temu bual pengembaraan, penciptaan replika sesuatu bangunan, forum,
perdebatan, sumbang saran, sesi muhasabah dan refleksi diri. Selanjutnya guru wajar
mentransformasikan kerangka minda dirinya kepada kerangka minda yang lebih
anjal, luwes, bersedia menerima perubahan dan kritikan serta bersedia untuk
terus berkembang.
Tuntasnya,
guru sebagai tunjang dalam sistem pendidikan negara merupakan faktor utama yang
akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu program pendidikan. Ekoran
daripada itu, keberhasilan program pendidikan negara yang menjurus kepada
pengisian wawasan pendidikan juga terletak di tangan guru. Sejajar dengan itu,
guru yang berdedikasi, bermotivasi berdaya gigih, mempunyai komitmen yang
tinggi dan semangat yang padu untuk merealisaskan cita-cita pendidikan negara
ini di samping melonjakkan transformasi pendidikan negara ke arah wawasan
pendidikan menjelang tahun 2020. Sejajar dengan pendapat Peter F. Druker dalam Post
Capitalist Society, menyatakan masa hadapan perkembangan ekonomi perindustrian
dan perdagangan sesebuah negara ditentukan oleh para pekerjanya yang
menggunakan kekuatan mental dan bukannya kemahiran tenaga semata-mata. Oleh
itu, setiap tenaga pekerja yang dihasilkan perlulah berilmu dan mampu
menyesuaikan diri dengan perkembangan sains dan teknologi. Hal ini secara
tidak langsung mengingatkan para guru bahawa keupayaan menyesuaikan diri dalam
persekitaran yang pancaroba hanyalah mampu diiktiraf sebagai arkitek manusia
yang benar-benar berjasa dan dianggap bagai dian yang membakar diri menerangi
dunia yang jahil.
No comments:
Post a Comment