11.
MRSM 2012
Bahagian
A[30 markah][Masa dicadangkan: 45 minit]
Huraikan
pendapat anda tentang usaha-usaha untuk menggalakkan masyarakat membeli barangan buatan Malaysia
Mengadakan
kempen berterusan
Memperluas
perniagaan/ ekspo
Meningkatkan
kualiti barangan
( saya mengarang esei ini mengikut permintaan skop bahagian B)
Isu sikap
prejudis masyarakat yang memandang rendah barangan buatan Malaysia dan
mengagung-agungkan barangan berjenama luar negara memang bukan lagi kes yang
berasingan dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, harga
barangan import lebih mahal dan membebankan berbanding dengan barangan tempatan
yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Namun, rakyat murba masih
tidak sedar lagi bahawa kualiti barangan tempatan telah lama diiktiraf pada
peringkat antarabangsa. Oleh itu, prakarsa yang efektif dan pragmatik wajarlah
digarapkan untuk menggalakkan masyarakat tempatan membeli barangan buatan
Malaysia kerana hujan emas di negeri lain, hujan batu di negeri sendiri, lebih
baik di negeri sendiri.
Memang tidak
dapat dipertikaikan lagi bahawa kempen kesedaran yang dilancarkan secara berterusan
merupakan pelantar untuk mendidik masyarakat lokal tentang peri
pentingnya membeli barangan tempatan kepada pembangunan ekonomi yang mampan. Menurut mantan Menteri Perdagangan dalam Negeri,
jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan tempatan terutamanya makanan, negara
kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan tersebut.
Walhal, penjenamaan semula Kempen Belilah Barangan Buatan
Malaysia merupakan kesinambungan daripada kempen yang diperkenalkan sejak 4
April 1984 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dilancarkan
semula pada tahun 1998. Bahawasanya, pelaksanaan kempen ini tidak lain tidak
bukan bertujuan untuk mengekang aliran wang ke luar negara justeru bersedia
untuk menghadapi suasana ekonomi
global yang tidak menentu dan diramal bertambah gawat dalam tempoh akan mendatang
ini. Tegasnya, kempen yang dilaksanakan ini sejajar
dengan seruan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA tentang hal-ehwal
kepenggunaan, iaitu membeli barangan buatan Malaysia, amalan berjimat
cermat serta tidak membeli secara sewa beli. Lantaran
itu, Fomca dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh
negara telah mengumpul senarai barangan buatan
tempatan untuk diedarkan kepada pengguna.
Kini, pengayuh sudah di tangan, perahu sudah di air, rakyat murba perlulah
berganjak dari takuk lama untuk mengenali produk yang dihasilkan oleh
pengusaha tempatan.
Seterusnya, strategi pemasaran yang berkesan memangkinkan keberhasilan kempen yang dijalankan. Buktinya, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran
pertanian Persekutuan (Fama) , Matrade dan syarikat terbabit telah bersinergi untuk memperluas jaringan perniagaan
mereka melalui Ekspo Cintailah Barangan Tempatan atau pameran barangan tempatan
ke luar negara. Baru-baru ini, lebih daripada 400 buah gerai telah dipamerkan untuk tatapan
masyarakat lokal tentang jenama produk tempatan di PWTC. Antara lainnya ialah barangan
elektronik, keperluan rumah dan perhiasan, barangan keperluan harian seperti makanan. Walhasil, ekspo yang
dijalankan setiap tahun secara besar-besaran bertujuan untuk mengurangkan
bebanan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat dari masa ke masa sekali
gus membantu membangunkan perindustrian tempatan. Pada masa yang sama, pameran
di luar negara terbukti berhasil melalui usaha sama antara syarikat tempatan
dengan agensi pemasaran di luar negara. Contohnya, anak syarikat Proton Holdings Bhd. Lotus
Group International Ltd. merancang untuk memulakan pengeluaran sebanyak 30,000
buah kenderaan Lotus di China pada tahun ini. Sebenarnya Malaysia telah muncul sebagai pengeluar dan pengeksport
yang utama peranti semikonduktor dan pembekal ketiga terbesar diod dan
transistor ke Amerika Syarikat. Negara kita juga
berjaya menghasilkan enjin kenderaan antarabangsa berkuasa tinggi untuk
Perlumbaan Formula 1 (Fl) ke pasaran kenderaan antarabangsa. Pendek kata,
strategi pemasaran yang berkesan akan memangkinkan pengembangan jaringan perniagaan
syarikat tempatan ke mercu jagatraga.
Sedia kita
maklum bahawa, perbelanjaan yang dikeluarkan rakyat untuk membeli barangan
tempatan dapat merangsang sektor perkilangan supaya meningkatkan keupayaan
penyelidikan dan pembangunan(R&D). Untuk
menjamin kualiti barangan Malaysia, para pengusaha sama ada kaum petani,
pengusaha industri kecil dan sederhana serta usahawan konglomerat harus
memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% pendapatan syarikat sebagai perbelanjaan
untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pengusaha harus berusaha
meningkatkan mutu hasil barangan tempatan sama ada bahan pertanian, penternakan
atau buatan perkilangan sehingga mencapai kriteria ISO atau SIRIM. Dengan
ilmu sains dan teknologi yang canggih, barangan Malaysia bukan sahaja perlu
bermutu malah harus terjamin dari segi kesihatan, keselamatan dan mesra alam. Salah contoh yang nyata ialah setiap tahun,
Syarikat Apple telah berbelanja berpuluh-puluh bilion ringgit dalam
penyelidikan dan pembangunan supaya produk mereka sentiasa di takuk mercu di
pasaran dunia. Steve Job sendiri pernah mengatakan bahawa budaya R&D tidak
wajar dikira dengan nilai wang kerana produk yang dihasilkan melalui inovasi
akan menimbal balik pulangan yang berlipat ganda. Seperti pepatah Cina, “ketika
menongkah arus, kita tidak maju ke depan bermaksud kita telah mundur.”
Ijmalnya, budaya R&D merupakan pendekatan yang ampuh untuk mengadaptasikan barangan
Malaysia kepada pasaran tempatan dan dunia.
Selain kualiti, para pengusaha
harus sentiasa meneliti cita rasa dan trend semasa pasaran serta pembungkusan
yang unik. Perniagaan yang tradisional tidak dapat bersaing dalam dunia
perdagangan yang penuh dengan cabaran dan kompetitif. Tegal itu, dalam usaha untuk bersaing dengan syarikat
gergasi dunia, pengusaha tempatan perlu mencontohi syarikat multinasional di
negara ini, terutamanya dalam aspek promosi, pengiklanan serta budaya
kreativiti dan inovasi untuk memartabatkan jenama Malaysia agar lebih dikenali
di persada antarabangsa. Walhal, pihak
pengusaha perlu mempertingkatkan aspek kualiti
penjenamaan, pembungkusan, promosi dan pengiklanan supaya setaraf dengan
piawaian antarabangsa dan menjadi pilihan utama. Dalam hubungan ini, syarikat
pengeluar produk tempatan digalakkan mengembangkan pemasaran produk ke pasaran
serantau. Syarikat tempatan perlu lebih inovatif serta menggunakan teknologi
terkini dengan membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk
soal penjenamaan barangan sendiri. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih
awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak
yang menembusi pasaran luar negara.Barangan elektronik seperti televisyen, peti
sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia
membanjiri pasaran dan menandingi produk luar negara. Pendek kata, Bajet 2015
telah menyasarkan sektor francais terus menyumbang kepada Keluaran Kasar Dalam
Negara(KDNK) dengan membuka 2000 cawangan di luar negara termasuk Timur Tengah
dan Indonesia. Maksudnya, jenama negara kita akan terus berkembang melalui
strategi perniagaan yang berkesan. Budaya kreativiti dan inovasi merupakan formula penyelesaian untuk berjaya menjenamakan produk tempatan di persada jagatraya.
Sementara itu, perubahan dari segi mentaliti dan sikap dalam
kalangan komuniti dapat melahirkan generasi muda yang mengagungkan produk
tempatan. Pendidikan di bangku sekolah penting untuk mengakulturasi pelajar
tentang kesan buruk kejatuhan nilai
ringgit sekiranya terus menyokong bahan import. Dalam konteks ini, sekolah
merupakan tempat mencorakkan minda generasi muda yang bersemangat patriotik
manakala media massa menyediakan platform dominan untuk memaparkan jenama
produk tempatan kepada rakyat murba. Dalam usaha membantu kerajaan mengatasi
masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang, daya tahan ekonomi amat penting
dengan menyokong produk tempatan. Sehubungan dengan itu, media sosial
berperanan untuk menghebohkan aktiviti memperkenalkan barangan tempatan seperti
ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempatan dan ekspo
industri kecil dan sederhana dari semasa ke masa. Hakikatnya,
Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo
barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat.
Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai
jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik
perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia. Kini, hanyalah dengan perubahan mentaliti rakyat murba tentang kehebatan
pengeluaran barangan tempatan dapat menongkah krisis kegawatan ekonomi global.
Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya,
sektor swasta seperti tapak niaga dan
pasar raya masing-masing turut serta
berkempen dengan menggalakkan PKS menggunakan logo buatan Malaysia secara
meluas untuk mempromosikan produk tempatan yang kurang dikenali tetapi
berpotensi. Sesungguhnya, membeli barangan tempatan dapat mencapai imbangan bayaran negara kesan pengurangan
kebergantungan pada produk import. Karnival
beli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Malaysia dengan
premis perniagaan di seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan
pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus
menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga
yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung
beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jasco, Tesco, Mertojaya,
Parkson, dan sebagainya boleh
mengadakan jualan mega tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Sebagai
tanggungjawab sosial, pasar raya Mydin telah diberi mandat oleh kerajaan untuk
menjadi operator kepada KR1M. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para
pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut
terpukau oleh potongan harga yang istimewa. Di samping memajukan industri
pelancongan, Karnival beli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan
Malaysia. Hal ini bagai menyelam sambil minum air. Barangan buatan Malaysia kini berjaya diperkenalkan melalui Program
1Malaysia 1Harga, KR1M, Kedai
Coop1Malaysia, Agrobazar Kedai Rakyat, dan kedai FAMA kepada golongan marhaen. Situasi ini ibarat tak kenal maka tak cinta, perasaan kecintaan terhadap produk negara akan berjaya ditanam melalui kefahaman yang mendalam dalam jiwa raga setiap individu yang bergelar sebagai orang Malaysia.
Tuntasnya, demi meningkatkan
permintaan domestik; usaha sama antara semua pihak adalah mustahak untuk
menjadikan rakyat murba kita berbangga dengan produk tempatan. Tema Hari
Kebangsaan Malaysia ke-58 dan ke-57, ‘sehati sejiwa’ dan ‘Malaysia, di sini
lahirnya sebuah cinta’ menuntut seantero strata komuniti supaya berusaha untuk
membangkitkan semangat kekitaan dan kecintaan yang mendalam terhadap ibu pertiwi
yang berdaulat.Memetik kata Presiden John Kendeny, jangan tanya apa-apa yang boleh diberikan oleh negara, tetapi tanyalah diri apa-apa yang boleh diberikan kepada negara. Anjakan paradigma terhadap kualiti produk tempatan akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat Malaysia memahami bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung atau bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Ayuhlah anak watan Malaysia, banggailah produk Malaysia dan mendabik dada bahawa Malaysia Boleh!
No comments:
Post a Comment