Anda mengambil bahagian dalam pertandingan pidato peringkat
sekolah. Tajuk pidato anda ialah “Ibu Bapa Pendorong Kepada Anak-anak dalam Merealisasikan Budaya Membaca.”Sediakan
teks pidato itu selengkapnya.
Burung Kericip berterbangan di udara,
Bunga teratai terapung di lautan;
Lafazkan Bismilah pembuka bicara,
Selamat sejahtera saya ucapkan.
Salam sejahtera saya
rakamkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi
bijaksana, Yang dihormati Tuan Pengetua SMK JD, guru-guru, rakan seperjuangan
dan murid2 sekalian. Pada pagi nirmala ini, saya terlebih dahulu memanjatkan kesyukuran kepada
hadirat Ilahi kerana dilimpahi rahmat untuk menyampaikan pidato yang bermakna ini.
Mauduk pidato saya ialah xx.
Para hadirin sekalian,(IKUK)
Membaca atau dalam
bahasa Arab ‘iqra’ merupakan inti sari wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasullah
SAW. Maksudnya ialah membaca agar dapat menerangi alam daripada kejahilan. Ilmu dalam bahasa Arab ialah calima yang bermaksud mengetahui sesuatu
dalam kegelapan. Menurut Prof Dr HM Iskandar, tambahlah
maklumat baharu setiap hari supaya mengelakkan diri daripada terperdaya. (I) Menurut profil laporan
Perpustakaan Negara Malaysia(PNM) pada tahun 2010, secara puratanya penduduk Malaysia membaca 8
buah buku dalam setahun . Namun, penduduk di negara Jepun yang membaca buku telah
mencecah 40 buah dalam setahun.
Statistik ini amat memalukan negara kita yang bersiap siaga untuk melangkah ke
status negara maju menjelang 2020. (K) Tegal itu, Pelan Transformasi Pendidikan telah dilaksanakan melalui PPPM(2013-2025) dengan menyasarkan 6
aspirasi untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran dwibahasa, kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin, sekali gus berilmu, beridentiti nasional, dan
beretika. (U) Persoalannya, sejauh manakah ibu bapa memainkan peranan untuk
merealisasikan budaya membaca dalam kalangan anak?
Memang tidak dapat
dinafikan, ibu bapa merupakan uswah hasanah yang dominan kepada anak. Ibu
bapalah tempat pelindungan, tempatan luahan rintihan dan juga sandaran jiwa
yang tiada tokok banding atau galang gantu lagi. Memetik sepotong hadis dalam surah Bukhari dan
Muslim yang bermaksud,” anak dilahirkan secara fitrah,ibu bapalah yang
mencorakkannya menjadi Yunani, Nasrani dan Majusi.” Dalam konteks budaya
membaca, ibu bapa perlu menghayati konsep Kepimpinan Melalui Teladan yang
diwara-warakan oleh mantan Perdana Menteri kita sejak tahun 1983.(A) Sebagai
tamsilannya, ibu bapa seyogia mengerahkan ahli keluarga dan merangsang minat
anak mereka dalam arah pembentukan keperibadian yang dahaga akan ilmu yang
dimanifestasikan dalam sajak pendeta Za’ab;
Ilmu alat yang berguna,
idaman orang bijaksana;
hamparan luas terbentang saujana,
sempadan ajal tepian fana.
Sebagai pemimpin di
rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan platform untuk merangsang anak
menyumbangkan idea dan perkongsian etos tentang ilmu yang terdapat dalam
sesebuah buku. Penghargaan yang berbentuk pujian, motivasi dan
dorongan mampu mengakulturasikan anak supaya bersebati dengan tabiat membaca. Yang
dominannya, ibu bapa perlu mempamerkan sikap kerajinan dan sanggup melakukan
refleksi diri agar menerapkan budaya membaca sebagai amalan sepanjang hayat.
Tanpa kegigihan
menuntut ilmu yang berkonsepkan keagamaan, yakni beribadat, berakidah dan
berakhlak, budaya membaca sepanjang hayat mustahil diterjemahkan dalam rutin
kehidupan kita. Mukhtasarnya, ibu bapalah pencorak karakter anak agar menjadi
insan kamil yang lubuk akal tepian ilmu atau laut budi tepian akal.
Sesungguhnya, ikon membaca kebangsaan
merupakan sumber inspirasi dan motivasi untuk mendorong seseorang anak soleh ke
arah yang positif. Sebagai ibu bapa mithali, perlulah menceritakan ikon membaca
kebangsaan yang diiktirafkan, antara lainnya ialah Datuk Dr Sheikh Mustaphar
Shukor, Datin Michelle Yeoh, Tun Dr Mahathir, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan
Sri Dr. Ali Hamsa. Tun Mahathir terkenal dengan sikap kegigihan untuk menuntut
ilmu sehingga menyimpan koleksi buku yang tidak ternilai dalam khazanah gedung
ilmu beliau di rumah. Tun Mahathir sanggup mengikat perut pada masa usia
remajanya untuk membeli buku sebagai terapi mindanya. Sepanjang perjalanan di
pesawat, beliau bersengkang mata untuk menghabiskan buku yang dibaca. Kejayaan
mereka bukan bulat datang bergolek, nipis datang melayang tetapi berpegang pada
prinsip sehari selembar lama-lama menjadi bukit. Kisah mencintai ilmu ini
perlulah disebar luas melalui bibir ibu bapa. Tanpa ilmu, hidup akan kejumudan
dan minda akan kecelaruan. Sambutan Hari Membuca Sedunia pada tanggal 23 April
setiap tahun perlulah diraikan di rumah tangga. Sebagai ibu bapa yang
berintektual tinggi, penulis terkenal seperti Mevlana Celaladdin Rumi dan
Nasreddin Hodja perlulah dijadikan sebagai ikon dalam kehidupan anak sejak
berhingus lagi.
Saudara dan saudari sekalian,
Dalam pembentukan minat membaca, anak mestilah membudayakan disiplin diri sehingga membiasakan diri dengan amalan membaca, bak pepatah alah bisa tegal biasa.
Amsalnya, ibu bapa menjauhi sikap bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Sebagai pemimpin di keluarga, penerapan budaya membaca perlulah dijalankan
melalui pembentukan jadual waktu belajar yang sistematik. Selepas penat
membanting empat tulang di pejabat, keseimbangan masa antara kerja dengan hidup
berkeluarga mestilah dicapai agar budaya membaca diterapkan melalui sesi
muzakarah atau perbincangan dalam hidup berkeluarga. Tokoh motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah menegaskan bahawa
amalan positif akan diterapkan selepas seseorang mengulangi perbuatan itu
sebanyak 100 kali. Dalam erti kata lain, anak sekiranya dilatih membiasakan
diri membaca buku pada waktu malam, selepas satu tempoh tertentu, anak akan
bersebati dengan amalan mahmudah itu tanpa membazirkan masa. Bahawasanya, disiplin merupakan
peraturan atau tatacara yang menatijahkan kejayaan dalam kehidupan seseorang. Tanpa
tahap disiplin diri yang tinggi, segala impian terkecai dan pelaksanaan
strategi hanya kandas terburai. Jelaslah bahawa ibu bapa mestilah melatih anak
melalui pembudayaan disiplin yang secara langsung akan merealisasikan budaya
membaca dalam rutin kehidupan anak mereka.
Para hadirin sekalian,
Keimanan dan
ketakwaan kepada Tuhan akan menjadikan seseorang anak kamil yang biasanya
mendekatkan diri kepada kesempurnaan dan amalan membaca. Walhal, ibu bapa merupakan mursyid kepada anak mereka. Sejak dalam alam rahim lagi,
janin mestilah disalurkan budaya membaca melalui terapi muzik atau teknik
psikoterapi oleh ibu bapa. Menuntut ilmu merupakan amalan ibadat dan wadah
untuk bermunajat kepada Tuhan yang Maha Esa. Nabi Muhammad pernah bersabda,”
tuntutlah ilmu sampai ke Negara Cina.” “sesiapa yang membaca pintu syurga akan
terbuka.” Jika membuka sejarah keislaman, banyak tokoh keislaman menegaskan
kepentingan membaca dalam kehidupan manusia. Contohnya Saidina Ali Abu Talib
pernah mengatakan bahawa ilmu jika diperdagangkan akan bertambah, tetapi harta
jika diperdagangkan akan berkurang. Maksudnya, ibu bapa wajarlah menjadikan
anak sebagai khalifah di buana ini yang bakal menerajui pucuk kepimpinan
negara. Sejak kecil lagi, anak mestilah dihadiahi surah, kitab dan sunah yang mengisahkan sifat kesabaran dan keimanan yang tinggi. Selepas solat berjemaah di
rumah, ibu bapa digalakkan mengumpulkan ahli keluarga untuk perkongsian ilmu
dan pengisahan cerita Nabi kepada anak soleh. Lebih-lebih lagi, sesi perbincangan atau penceritaan di sebelah katil
sebelum tidur sejak azali lagi akan menanamkan minat membaca, bak pepatah melentur bulih
biarlah dari rebungnya.
Hadirin yang dikasihi,
Akhirnya, ibu bapa
perlu meluangkan masa menemani anak mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa
PWTC yang diadakan setahun sekali
sempena Hari Buku Sedunia. Koleksi buku yang heterogen bagai akal lautan budi tepian akan
mengagumkan anak untuk menyelami aura yang mencintai ilmu. Ilmu merupakan
perawat kesunyian dan penghibur lipur lara dalam mengendalikan bahtera kehidupan di
tengah samudera. Selain itu, setiap rumah tangga mestilah menyediakan prasarana
yang lengkap seperti perpustakaan mini dan kemudahan untuk akses maklumat dalam
dunia maya. Kemudahan jalur lebar di rumah akan memudahkan akses kepada dunia membaca dalam kalangan anak. Pada era
globalisasi ini, budaya membaca perlulah diarusperdanakan melalui peranti
elektronik seperti e-book, tablet dan telefon pintar yang berinteraktif dan
animatif. Sebagai guru pertama di rumah tangga, ibu bapa mestilah mencelikkan
mata dan memanfaatkan dunia teknologi maklumat dengan memupuk minat membaca dalam kalangan anak. Walakin begitu, ibu bapa mestilah menetapkan kata laluan
dan perisian antipenggodaman dalam perisian komputer. Memanglah, melangkah ke
gedung ilmu elektronik, segala informasi dapat kita jangkau tanpa sempadan. Namun perlulah
batasannya melalui kebijaksanaan dan daya kepemimpinan seseorang ibu bapa.
Pendek kata, ibu
bapa merupakan peran dan pembentuk sahsiah diri anak yang utama. Memetik
sepotong hadis yang bermaksud,” seorang anak Adam selepas meninggalkan dunia,
terputuslah segala-galanya, hanyalah anak soleh yang berdoa sejahtera kepada
ibu bapa, ilmu yang memanfaatkan dan amal jariah.” Jelaslah bahawa ibu bapa
berperanan untuk melahirkan anak soleh atau solehah yang mencintai ilmu dan
mentaati warisan tradisi budaya yang berintipatikan amalan membaca. Kualiti
hidup tinggi berdasarkan tiga komponen yang utama, iaitu harga kendiri tinggi,
hubungan interpersonel yang tinggi dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah rumit. Musim berubah zaman beralih, ilmu merupakan wadah untuk
mentransformasikan ekosistem baik di duniawi atau di akhirat. Sama ada menjadi
pendeta yang berilmu tinggi mahupun musafir yang kejahilan ilmu, terpulanglah obligasi insan yang bergelar ibu
bapa untuk melakar kehidupan seorang anak yang dilahirkan ibarat kain suci
kudsi. Nampaknya sudah cukup panjang lebar saya terangkan. Sampailah masa saya
berundur diri dengan menghulurkan sepuluh jari sekiranya saya terlanjur kata.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment