Sunday, July 28, 2013

Program keceriaan sekolah - syarahan

( untuk ceramah, syarahan, ucapan, hafallah pantun sebagai pembuka bicara dan penutup bicara)

Sungguh rendah pohon cemara, 
Bergayut kera di balik pohonan;
Lafaz Bismilah pembuka bicara,
Salam sejahtera saya ucapkan.

Selamat pagi dan salam sejahtera saya lafazkan kepada Yang dipertua Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan BM, Tuan haji Muhammad bin Ali, barisan penolong-penolong kanan , guru-guru, rakan pelajar sekalian, serta tuan-tuan dan puan-puan.

Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi saya peluang untuk menyampaikan syarahan sempena sambutan Hari Alam Sekitar. Sempena hari yang mulia ini, izinkanlah saya untuk memperkatakan maksud yang tersirat dalam program 3K, yaini keceriaan, keselamatan, dan kebersihan. Keceriaan jitu ditakrifkan sebagai amalan kudsi yang dilakukan oleh sekumpulan individu yang beretika secara konsisten di institusi pendidikan. Program ini semakin pudar dalam kalanga pelajar kerana kurangnya kesedaran permuafakatan dalam usaha untuk mewujudkan sekolah yang ceria dan harmoni. Sampailah masa untuk menopang dagu dan merenungi kepentingan program ini dalam gawang minda, apakah kemaslahatan program ini kepada warga sekolah? Apakah usaha-usaha paling pragmatik untuk menceriakan sekolah? Tepuklah dada tanya selera.

Sidang dewan yang saya hormati,

       Dari segi pandangan dan persepsi masyarakat, aktiviti rewang untuk membersihkan persekitaran kawasan sekolah merupakan wadah yang mendatangkan dampak kepada setiap individu. Hal ini memanglah wajar kerana amalan ini dapat mewujudkan sekolah yang ceria, sekali gus dapat menjanakan sahsiah diri ampuh dalam kalangan anak didik. Amalan  ini wajarlah dijadikan iktibar oleh semua warga sekolah kerana sekolah akan dijauhi pembiakan wabak penyakit dan tempat pembiakan vektor  penyakit juga akan dibersihkan sama sekali. Kerjasama sesama warga sekolah bagai antan dengan lesung akan memudahkan kerja yang rumit, di samping menyemarakkan nilai murni dan amalan mahmudah dalam lubuk kalbu setiap warga sekolah. Alangkah baiknya sekiranya aktiviti bergotong-royong tetap digalakkan setiap bulan mengikut kelas yang berbeza ataupun sebagai hukuman amal kepada pelajar yang bermasalah disiplin. Sudah terang lagi bersuluh bahawa hanya dengan usaha bagai bukit sama didaki, lurah sama dituruni akan mewujudkan sekolah yang harmoni dan ceria.

        Warga sekolah juga mesti berpegang pada slogan 'sekolahku, syurgaku' agar menyuntik semangat cinta akan sekolah dalam atma setiap warga sekolah. Sukakan guru kerana ilmunya, sukakan gaharu kerana harumnya. Pembangunan fizikal sesebuah sekolah mestilah seiring dengan pembangunan persekitaran yang menghijau. Sebagai analoginya, sekolah dalam taman merupakan idaman setiap manusia supaya alam kita terus dipelihara dan dilestarikan dengan pokok yang menghijau. Menurut kajian dan tinjauan dalam Laporan Alam Sekitar, pencemaran akan melunturkan minat seseorang pelajar untuk belajar dengan selesa. 

      Setakat ini sahaja yang dapat saya sampaikan pada pagi ini. Sebelum saya mengundurkan diri dari pentas ini, terimalah serangkap pantun daripada saya:
Burung kelicap terbang sekawan,
Terbang segera dari pohon baiduri,
Salah dan silap harap dimaafkan,
Izinkan saya untuk bermohon diri.Sekian, terima kasih. 

No comments: