Tuesday, August 30, 2011

karangan aspek 1: ilmu , budaya membaca, bahan berunsur picisan


a)Tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan ilmu.
Ilmu ialah pengetahuan yang perlu dicari dan dipelajari oleh setiap insan. Untuk mencapai kemajuan diri masyarakat, dan negara, kita hendaklah mempunyai kesedaran tentang pentingnya ilmu. Dengan ilmu, kita akan dihormati dan dapat bersaing dengan negara maju.
Manusia yang tidak berilmu ibarat pokok yang tidak berbuah. Walaupun tumbuh segar menghijau, namun tidak mendatangkan hasil. Oleh itu, menuntut ilmu merupakan suatu kemestian kepada setiap individu, sama ada ilmu agama, matematik, sains, teknologi, geografi, dan seumpamanya. Sesuatu perkara yang baik dan bermanfaat kepada kehidupan kita merupakan pengetahuan yang amat berguna kepada bangsa dan negara. Justeru, ilmu berguna untuk membangunkan tamadun manusia. Kreativiti dan inovasi yang dimiliki berdasarkan sumber ilmu dapat mengubah situasi kehidupan.
Malaysia umpamanya, mampu menghasilkan kereta berjenama sendiri dan membina bangunan yang canggih dan moden kerana rakyatnya berpengetahuan dalam bidang teknologi.Selain itu, negara-negara luar juga mengambil dan memerlukan kepakaran rakyat negara ini. Umpamanya dalam bidang cari gali minyak dan juga pembinaan jalan raya. Penguasaan rakyat negara ini dalam bidang teknologi telah mengharumkan Malaysia di mata dunia. Jika semua rakyat di Negara ini berilmu, proses penerapan nilai-nilai murni mudah dilaksanakan. Hanya mereka yang tidak berpengetahuan akan mudah dipengaruhi dan mengamalkan perkara-perkara yang negatif. Mereka tidak dapat membezakan antara perkara baik dengan buruk dan tidak boleh berfikir secara rasional.
Semakin tinggi ilmu seseorang itu, semakin tinggilah darjat dan martabatnya dalam masyarakat. Jika ilmu tersemat di dada, ke mana-mana sahaja kita pergi kita tidak akan tertipu atau dihina. Ilmu yang diperoleh perlu diamalkan dengan sebaik-baiknya.
1. Berikan maksud frasa mengubali situasi kehidupan.
2. Apakah kelebihan orang yang berilmu?
3. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat Malaysia dikagumi oleh masyarakat antarabangsa?


b)Tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan budaya membaca dalam kalangan rakyat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.
 Membaca merupakan kaedah yang paling mudah untuk mendapatkan ilmu.Dengan membaca, minda kita akan terbuka luas di samping memperkasakan ilmu pengetahuan. Budaya membaca juga menjadi satu alat untuk menjana kemajuan dan peradaban bangsa. Masyarakat akan ke hadapan sekiranya budaya mencintai ilmu dapat dihayati sepenuhnya. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan rakyat negara Jepun yang terkenal sebagai masyarakat yang suka membaca dan sentiasa berminat untuk menjalankan kajian serta penyelidikan demi meningkatkan kualiti hidup mereka.
Walaupun terdapat perubahan persepsi membaca dalam kalangan masyarakat pada hari ini namun perkara yang membimbangkan kita ialah kelekaan sesetengah generasi muda dengan bahan-bahan berunsur picisan dan murahan. Mereka lebih mengutamakan televisyen untuk mendapatkan maklumat berbanding dengan membaca buku-buku yang dianggap sebagai membosankan. Justeru, budaya membaca wajar diterapkan di rumah dengan bimbingan dan panduan ibu bapa.
Usaha mewujudkan perpustakaan mini di rumah merupakan satu contoh yang baik untuk menerapkan budaya membaca pada peringkat awal. Dengan adanya bahan bacaan yang banyak di rumah, secara tidak Iangsung dapat membantu memperkaya kosa kata anak-anak, di samping membantu meningkatkan proses kematangan mereka.
Remaja yang membesar dalam suasana dan budaya membaca sejak kecil akan mewujudkan wawasan dan perspektf yang lebih luas terhadap kefahaman sesuatu perkara, malahan tabiat ini juga dapat membentuk masyarakat supaya berfikir dengan lebih kritis dan akhirnya melahirkan budaya pemikiran kreatif. Masyarakat yang kurang membaca tidak akan melahirkan budaya kreatif dan keadaan ini dapat menyebabkan sesuatu bangsa itu ketinggalan dari pelbagai aspek.
Ibu bapa harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dan jangan sekali-kali memaksa mereka melakukan sesuatu perkara yang tidak disukai, sebaliknya ibu bapa haruslah memupuk minat anak-anak mereka sedikit demi sedikit agar tidak timbul perasaan tidak suka atau tidak minat dalam kalangan anak. Perkara yang paling penting ialah minat membaca dapat dipupuk sejak anak-anak masih kecil, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah ketika rebung.

1. Apakah maksud rangkai kata perspektif yang lebih luas?


2. Apakah perkara yang dibimbangkan tentang generasi muda?





3. Cadangkan cara-cara untuk menyemai budaya membaca dalam kalangan murid sekolah.



 


No comments: