Sunday, July 25, 2010

karangan kenegaraan-1

Pelbagai langkah perlu dijalankan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Pada pandangan anda apakah cara-cara yang boleh dijalankan oleh pihak sekolah untuk memupuk semangat ini.Jelaskan.

Presiden John F Kennedy pernah berseru kepada rakyat Amerika dengan berkata ‘Jangan ditanya apakah pemberian negara kepada kamu sebaliknya tanyalah apakah yang dapat kamu sumbangkan untuk negara.’ Kata-kata ini merupakan satu sentuhan rohani untuk membentuk jiwa patriotik dalam kalangan rakyat agar lebih mencintai dan sentiasa berusaha memberikan sumbangan yang terbaik untuk kemajuan dan pembangunan negara. Dalam merealisasikan matlamat ini, para pelajar merupakan angkatan sasaran yang dominan agar elemen positif ini disuntik dalam jati diri mereka. Oleh itu, semua pihak khususnya sekolah hendaklah melaksanakan tugas-tugas profesional mereka untuk menterjemahkan cita-cita murni ini menjadi satu kenyataan.
Usaha utama untuk melaksanakan wadah ini adalah melalui penerapan nilai murni iaitu mencintai negara yang disemai melalui pendidikan.Melalui beberapa subjek seperti Pendidikan Sejarah, Bahasa Melayu, Sivik dan Kenegaraan, Pendidikan Islam dan Moral, sukatan pelajaran ini sewajarnya diterapkan dengan unsur-unsur menghayati negara tercinta. Subjek sejarah adalah antara yang relevan untuk mendidik pelajar mengenali asal-usul pembentukan dan jatuh bangun sesebuah negara itu, justeru pejuang-pejuang terdahulu akan menjadi sumber inspirasi untuk mengajak generasi pelajar supaya lebih sayang dan cinta akan tanah tumpah darah mereka. Selain itu, sejarah perjuangan tokoh-tokoh untuk menjadikan bangsa yang berdaulat wajar menyuntik kesedaran kepada generasi pelajar supaya mereka insaf bahawa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung dan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri . Generasi muda akan berasa bertuah dilahirkan di negeri sendiri. Peribahasa ada menyatakan tak jauh seluang melaut akhirnya balik ke muara menggambarkan betapa jauh dan lama seseorang itu merantau akan balik ke pangkal ibu pertiwi.Oleh itu, perasaan patriotik seyogianya tidak laput dek hujan, tidak lekang dek hujan untuk menjana individu yang lebih luhur peribadinya dan bersahsiah tinggi.
Sementara itu, nilai agama pula akan membentuk jiwa yang taat dan patuh terhadap Rabbani(tuhan) dan sentiasa beristiqamah agar tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai hidup universal dan nilai-nilai ketuhanan. Sekolah juga bertanggungjawab untuk membentuk insan pelajar yang berilmu dan berkemahiran.Kedua-dua mekanisme ini amat bermakna untuk membentuk warganegara yang bersedia membangunkan tanah air sendiri. Sesungguhnya kita patut bersyukur dengan keiltizaman yang tinggi terhadap ilmu dan kepakaran teknologi tinggi kini Malaysia juga mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang telah lama mendominasi bidang industri. Walaupun masih berusia setahun jagung, namun industri otomobil nasional, iaitu Proton dan Perodua telah mula mendapat pengiktirafan dunia.
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang berteraskan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu untuk membentuk pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani hendaklah dijadikan teras paksi. Falfasah ini sekiranya dihayati dan diimplementasikan dengan penuh iltizam sudah pasti akan dapat membentuk insan yang cukup ideal terhadap dirinya sendiri
sementelahan kepada masyarakat, bangsa dan negara. Oleh itu, guru ialah individu yang wajar berada di garisan paling hadapan untuk melaksanakan tugas berat ini. Oleh itu, guru wajar mempersiapkan diri mereka agar menjadi insan yang tanpa cacat cela untuk diteladani oleh para pelajar. Guru wajar mengelak daripada terdedah kepada elemen yang negatif kerana semua pembawaan personaliti mereka dirujuk oleh pelajar-pelajar, ibarat guru kencing berdiri, pelajar kencing berlari. Oleh itu, setiap guru hendaklah menjadikan kandungan FPN sebagai doktrin rujukan mereka yang utama dalam hal mendidik.
Angkatan pelajar ialah generasi penentu dalam memastikan hala tuju negara berada pada landasan yang betul. Justeru, sekolah dan guru menjadi kanvas dan arkitek untuk menjayakan falsafah negara. Sesungguhnya Saidina Ali pernah berkata, ‘Tiada perkara yang paling bernilai melainkan ilmu kerana ilmu menjaga kamu dan menjaga harta.’ Oleh itu, para pelajar harus diasuh sejak dari bangku
persekolahan untuk menjadi generasi yang berjiwa patriotik dan berguna kepada Negara.

No comments: