Saturday, October 11, 2014

Percubaan SPM Bahagian A - Kelantan 2014

       Sesungguhnya, disiplin ialah suatu sistem tatacara mengurus diri yang menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan kita. Sebagai contohnya, kita mestilah menetapkan jadual belajar atau jadual ke perpustakaan. Jadual yang sistematik amatlah penting untuk membuat pengurusan masa, perancangan belajar dan penyelenggaran personel bersama dengan semua orang. Semasa di perpustakaan, kita akan dilatih memiliki kawalan dalaman diri seperti tidak melanggar peraturan yang ditetapkan, justeru mengawal tingkah laku yang suka mengikut hawa nafsu semata-mata. Jelaslah, disiplin ialah asas kejayaan.
      Dari skop lain, setiap pelajar mestilah mempunyai ikon yang baik. Memetik kata hadis, perumpamaan kepada kawan baik seperti penjual minyak wangi, manakala kawan buruk seperti tukang besi. Maka, kita mestilah mencari kawan yang sealiran seperti membentuk kumpulan perbincangan. Melalui sesi bermusyawarah, perasaan antagonis seperti salah faham, dendam kesumat dan sikap bersultan di hati, beraja di mata akan dikikis sesama kawan. Ijmalnya, aktiviti ini bukan sahaja mewujudkan sifat setia kawan, malahan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran berfikir supaya meningkatkan pencapaian akademik, bak kata pepatah bagai sambil menyelam minum air, atau muafakat membawa berkat.
      Jikalau meninjau dari akar umbinya, sikap kegigihan dan kerajinan merupakan prasyarat untuk meningkatkan prestasi akademik. Sebagai contohnya, setiap pelajar mestilah memahami isi tersirat di sebalik peribahasa, tak pecahkan ruyung, masakan dapat sagu. Oleh itu, setiap pelajar mestilah rajin mengulang kaji pelajaran sebelum waktu peperiksaan, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Tegasnya, setiap pelajar mestilah menetapkan cita-cita untuk mendapat 10A dalam peperiksaan SPM. Memetik kata Sukarno, “ .Gantunglah cita-cita di langit sekalipun kaki di perlimbahan.” Cecil B DeMille(pengarah filem terkenal di Amerika Syarikat) juga pernah berkata, tetaplah hala tuju dan tidak akan menyimpang lagi sebelum berjaya.

      Sebagai penghias penutup bicara, setiap pelajar mestilah bertawakal kepada Tuhan, justeru menjalinkan hubungan harmonis dengan guru. Sikap yang berani bertanya sebarang permasalahan dengan guru amatlah penting kerana segan bertanya sesat jalan, malas berkayuh perahu hanyut. Keinginan untuk berjaya dalam akademik mahupun sahsiah amatlah penting untuk memastikan kesejahteraan dan kecerahan hidup pada hari muka.

No comments: