Wednesday, September 25, 2013

formula ibu bapa

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak agar berjimat cermat. Huraikan pendapat anda.
(Selangor 2012 Percubaan)
          Pada zaman inflasi ini, amalan berjimat cermat merupakan nilai mahmudah untuk menyelesaikan masalah kesuntukan wang. Negara kita kini sedang memacu arus kemodenan, namun kadar inflasi yang melambung tinggi akibat harga minyak yang mendadak tinggi telah membebani kebanyakan isi keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah. Situasi ini bagai telur di hujung tanduk telah merimaskan pelbagai pihak kerana keadaan hutang sekeliling pinggang dan masalah bankrap telah mencerminkan citra masyarakat negara Malaysia yang dilanda krisis ekonomi yang halimun. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang bukan alang kepalang agar mendidik anak mereka agar menerapkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian.

Memang tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa perlu memberikan pendidikan tentang pengurusan kewangan kepada anak-anak sedari kecil. Golongan remaja sedang memikirkan hala tuju dalam kehidupan. Oleh itu, pendidikan tentang pengurusan dan perancangan kewangan seperti mengitar semula bahan buangan, mencatat perbelanjaan harian, membuat perbandingan harga barangan sebelum pembelian secara tidak langsung akan menyuntik nilai mahmudah ini dalam lubuk kalbu anak. Ingatlah kata-kata pujangga,”segalanya bermula di rumah’ kerana rumah ialah tempat berteduh dan tempat membesar anak muda. Sekiranya corak pendidikan ibu bapa yang mementingkan amalan berjimat cermat diberikan sejak kecil lagi, anak akan mengurus kewangan dengan sistematik dan berhemat. Tanpa amalan berjimat cermat, keselesaan keluarga tidak akan terjamin justeru mengalami kepincangan kewangan atau kemuflisan. Tegasnya, ibu bapa perlu melengkapkan diri dalam bidang kewangan agar anak-anak akan dilatih agar memahami bahawa hendak kaya berdikit-berdikit,hendak tuah bertambah ura atau hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tambah.

Demi menerapakan amalan berjimat cermat, ibu bapa perlu menjadi suri teladan atau uswah hasanah kepada anak. Ibu bapa ialah idola anak-anak kerana anak akan mewarisi sebahagian besar pembawaan dan fiil ibu bapa.Contohnya, ibu bapa mengaturkan program perancangan kewangan atau membawa anak mengunjungi institusi kewangan sejal kecil lagi agar persekitaran yang mempropagandakan iklan tentang berjimat cermat akan menyelami isi hati mereka. Sekiranya contoh negatif seperti perbelanjaan memboros, mengghairahkan barangan berjenama, memajak gadai harta pusaka, berhutang kepada ceti haram dan sebagainya ditunjukkan, maka perkembangan jiwa anak akan terjejas.Sebaliknya, jika ibu bapa bersikap kesederhanaan dan mementingkan sikap  menghargai setiap kurniaan Tuhan, anak akan meneladani fiil ibu bapa kerana bapa borek anak rintik. Situasi ini persis sabda Rasulullah bahawa  anak ialah kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya.

Memetik kata Dr Fadzillah Kamsah, tabiat seseorang insan akan ditetapkan selepas berulang kali dilatih sebanyak 1000 kali. Perbuatan berjimat cermat perlulah diulangi sebanyak 1000 kali juga dalam kehidupan anak. Tidak lain dan tidak bukan, ibu bapa perlu menghulurkan galakan dan bimbingan tentang sikap berjimat cermat dalam sanubari anak mereka.  Sesungguhnya, anak muda mendambakan perhatian selain galakan dan bimbingan daripada orang tua. Tamsilannya, ibu bapa mesti merancang belanjawan keluarga bagi memenuhi keperluan asas. Peruntukan khas untuk perbelanjaan harian yang asas seperti menghadiri kelas tuisyen, membaca buku dilengkapi sepenuhnya. Ironinya, kehendak seperti membeli telefon mobile, gadget yang canggih dan barangan kemewahan perlulah ditegah sama sekali. Sekiranya anak membesar dalam suasana yang berjimat cermat, maka anak akan mengawal hawa nafsu dan bukan sekadar berfikiran liberalisme.
Maka, contohilah Rasulullah mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Setiap kesalahan mesti dibetulkan agar anak akan menanamkan sifat mahmudah dalam atma mereka. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kata-kata pujian perlu diberikan sekiranya didapati anak sanggup berjimat cermat dan menabung.

          Selain itu, ibu bapa perlu menerapkan didikan agama dalam kehidupan seharian.
Agama ialah penawar untuk segala duka lara atau benteng ketahanan yang kukuh.
Sebagai makhluk-Nya, kita perlu bersolat agar diredai-Nya. Contohnya, peraturan agama dididik kepada anak setiap kali bersolat. Memang diketahui bahawa berjimat cermat ialah tuntutan agama kerana perbuatan memboros  ialah kawan syaitan. Dalam erti kata lain, solat akan mendisiplinkan anak agar membezakan intan daripada kaca dan memahami nilai bertakawal dan pasrah kepada tuntuan agama. Sekiraanya nilai-nilai murni seperti penghargaan, kesyukuran, berhemat diterapkan, nescaya usaha ibu bapa membentuk anak yang berjimat cermat akan menjadi realiti. Marilah kita menopang dagu merenung kata-kata hadis Rasulullah ” suruhlah anakmu bersolat sejak berusia tujuh tahun.”

          Sebagai penghias penutup bicara, amalan berjimat cermat wajar dijadikan pedoman hidup dalam kalangan masyarakat. Penggemblengan kudrat bagai aur dengan tebing diperlukan agar semua strata komuniti dididik untuk memegang prinsip berhemat sebelum habis, bercermat sebelum kena supaya membangunkan negara menjelang ambang 2020. Jangan sekali-kali nafsu-nafsi bagai raja di mata, sultan di hati kerana ikut hati mati, ikut suka duka, ikut mata leta, ikut rasa binasa. Persekitaran hedonisme dan mengejar barangan kemewahan bukan sekadar api kecil tetapi akan meranapkan pembangunan negara. Dengan itu, kita perlu bersyukur dan berjimat cermat agar membendung masalah inflasi yang semakin melanda negara.

No comments: