Karangan 1: cerpen/cerita
Sempena sambutan Hari keluarga, sebuah akhbar telah menganjurkan pertandingan bercerita yang bertemakan pengorbanan. Anda berminat untuk menyertai pertandingan yang diadakan. Tuliskan cerpen tersebut selengkapnya. ( 45minit. 40%)
Iman bersandar di atas sofa sambil membelek-belek surat khabar. Tiba-tiba suara nenek melayang dari luar. “Tadi, ayah telefon,”. Iman tersentak sambil menatap wajah nenek sedalam-dalamnya.Nenek memberitahunya ayah akan balik dua hari lagi. “Ayah ada tanya pasal ibu?” Nenek menggeleng-gelengkan kepala. Air muka Iman berubah secara tiba-tiba. Raut wajahnya menjadi sayu. Pandangannya dilontarkan ke halaman rumah. Satu keluhan dilepaskan. Dia mengetap bibirnya. Jelas terpancar kekecewaan pada wajahnya. Kakinya melangkah menuju ke bilik. Daun pintu bilik ditolak perlahan-lahan. Beg sekolahnya diletakkan di atas katil. Segenap ruang bilik itu diperhatikan satu-persatu, pandangannya tertumpu ke atas meja tulisnya.Dia merenung tepat gambar ibu dan ayah yang diletakkan di atas meja tulis.Entah apa malang nasibnya, tatkala dia berusia 12 tahun, ayah dan ibunya terpisah. Iman sendiri tidak mengetahui puncanya. Walaupun telah berpisah, hubungan mereka sebagai sahabat masih diteruskan. Namun kasih sayang Iman terhadap kedua-duanya tidak pernah luntur walau sedikit pun. Malah ayah dan ibu mengharapkan agar Iman belajar berdikari dan menerima hakikat bahawa mereka bukan suami isteri lagi.
Keputusan mahkamah menetapkan bahawa ibu mendapat hak penjagaan ke atas Iman, tetapi Iman boleh menziarahi ayah sekali-sekala.Semenjak itulah hidup Iman berubah. Iman tinggal bersama-sama dengan ibu di Kuala Lumpur.Tidak berapa lama kemudian, ibu mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ibu mahu Iman tinggal bersama dengan datuk dan nenek di kampung.
Kini Iman bertekad. Sejak mereka berpisah setahun yang lalu, visi Iman mahu menyatukan mereka kembali sebagai pasangan suami isteri. Dia ingin membina semula keluarganya yang runtuh. Iman menatap potret ibu yang disisip ke dalam bingkai berwarna emas. Ibunya berada jauh di New Zealand untuk menyambung pengajian pada peringkat ijazah kedoktoran. Pada minggu yang lepas, datuk dan nenek mengadakan kenduri kesyukuran sempena keberangkatan ibunya. Ibu akan menetap di sana selama dua tahun.
Jika diikutkan rasa hati, dia mampu melakukan apa-apa sahaja selain terpaksa merelakan kepergian ibunya. Dia ingin terbang bersama dengan ibunya. Namun, apabila difikirkan tentang persekolahannya, Iman menyingkirkan perasaan itu jauh-jauh. Dia pelajar yang bertanggungjawab dan sentiasa bersemangat. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan ibu dan ayahnya, serta-merta semangatnya berkobar-kobar untuk Berjaya dalam pelajaran. Yang penting, Iman tidak mahu menghampakan harapan ibu, datuk, dan nenek. Walau bagaimanapun, Iman bertekad ingin menyatukan ayah dan ibu. Setiap malam sebelum masuk tidur inilah rutin Iman, dia akan membalas e-mel-e-mel yang dikirim oleh ibunya. Baik ibu mahupun Iman, tidak pernah terlupa menulis e-mel antara satu sama lain. Inilah penawar rindu dan sepi Iman kepada ibunya yang jauh beribu-ribu batu.
Mata Iman melirik kea rah kotak e-melnya dengan semyuman melebar.Dia berpuas hati kerana dapat mengirimkan e-mel yang bermakna kepada ibunya. 15 haribulan ialah hari jadi ibunya. Iman tersenyum sendirian .. dia sudah mempunyai rancangan yang tersendiri. Lampu kamar dimatikan, Iman dilamun dalam mimpi.
Iman telah dipilih untuk menjuarai pertandingan berpidato sekali gus mewakili sekolah ke pertandingan peringkat daerah.Namun hatinya tergores juga apabila dicabar oleh kawan sekelasnya Linda. Melalui e-mel daripada ibu, ibu telah memberi dorongan kepada Iman dan menasihati Iman agar bersabar untuk menghadapi segala dugaan yang ditimpa. Yang penting, kita ikhlas dengan niat kita.
Pagi ini, Iman benar-benar gembira apabila mendengar suara ayah, Yusri di corong telefon. Dulu, Yusri dan Ruhaida, ibu Iman pernah bertugas sebagai pensyarah di kolej yang sama. Ayahnya agak sibuk menguruskan perniagaan perhotelan yang sedang meningkat maju. Dia sering berulang-alik ke luar negara sampai tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Iman. Namun, Yusri tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap anak tunggalnya. Walaupun menetap di Kuala Lumpur, Yusri sering menghubungi anak tunggalnya. Dia rajin menelefon dan bertanya khabar kepada bapa dan emak mertuanya sungguppun kurang menjenguk Iman.
Iman mengambil kesempatan mengingatkan hari jadi ibu terjatuh pada 15 haribulan. Iman mendesak ayahnya mengirimkan kad ucapan sempena ulang tahun kelahiran ibu yang ke-38 tahun.Namun, Yusri hanya berdiam. Iman mohon untuk mengirimkan kad ucapan bagi pihak Yusri. Ayahnya tidak melarang atau mengeyakan cadangan Iman. Iman menganggap ayahnya bersetuju dengan cadangan itu. Iman sering terkedu dan leka melayan fikirannya, dia memikirkan ayahnya sudah lama tidak menjenguknya malahan emak jauh di luar negara.
Hari pertandingan telah tiba. Sebelum sampai gilirannya, dia bertafakur sebentar sambil mengingati wajah-wajah kesayangannya. Wajah ibu dan ayah silih berganti dalam ingatannya. Tiba-tiba, tatkala dia ingin memulakan pidatonya, dia terpandang seorang lelaki melambaikan tangan kepadanya. Iman tersenyum dan tambah bersemangat. Ayah muncul akhirnya. Keputusan telah memihak kepada Iman, dia diumumkan sebagai juara untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pidato pada bulan hadapan.Iman terlalu gembira sehingga menitiskan air mata. Iman mendapatkan bapanya sambil menguntum senyuman terhadap bapa yang sedang rancak berbual dengan beberapa orang guru.
Malam ini, Yusri membawa anaknya makan malam di sebuah restoran yang terletak berhampiran dengan sebuah tasik. Pemandangan di kawasan ini sungguh indah. “Cantik anak ayah hari ini,” puji Yusri sambil menatap wajah anak kesayangannya. Iman memakai baju berwarna ungu, iaitu baju sedondon dengan ahli keluarga sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri. “MAsihkah ayah ingat lagi baju ini?” ujar Iman cuba mengingati kenangan masa lalu. Yusri hanya tersenyum. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil melihat telatah anak tunggalnya. “Jangan ingati lagi kenangan yang dah berlaku,”ujar Yusri secara berjenaka. “ Kenangan itu sudah berlalu daripada hidup kita. Sekarang, kita perlu membina hidup baharu.” Pandangan Yusri dilemparkan jauh, “Alangkah baik jika keluarga kita dapat bersatu semula, Iman saying akan ayah dan ibu,” ujar Iman dengan nada perlahan. Yusri terdiam, bibirnya seakan-akan bergerak-gerak bagaikan ingin menuturkan sesuatu. “Ayah tahu niat Iman selama ini. Iman mahu ayah membina hubungan kita sekeluarga semula, Iman…dalam dunia ini, ada kalanya apa yang kita harapkan tidak akan menjadi kenyataan. Ayah fikir, Iman terlalu mentah untuk memikirkan hal ini. Kini, ayah telah temui pengganti ibu…” Kata-kata ayah sebentar tadi amat mengejutkan dirinya malah menyinggung perasaan Iman. Sepasang matanya masih terpaku tepat ke wajah ayahnya. Hatinya bergetar dan berdebar-debar apabila mengetahui hakikat bahawa ayah telah menemui jodohnya, iaitu Sofia yang kematian suami. Iman mengalihkan pandangannya ke tengah-tengah tasik, dia cepat-capat menyeka air matanya yang hamper mencecah pipinya yang gebu itu.Iman melepaskan keluhan yang panjang.Nasi goring yang masih berbaki, tidak terasa untuk dijamah lagi. Seleranya hilang secara tiba-tiba.
Hasrat Iman untuk menyatukan kembali ayah dan ibu tidak kesampaian. Dia bakal menerima seorang ibu tiri.Yusri memahami apa yang bermain dalam fikiran anak gadisnya itu. Dia tidak mendesak malah membiarkan Iman melayani fikirannya. Selepas itu, Yusri menghantar Iman balik ke rumah mentuanya. Wajah nenek berseri-seri sambil menyambut cucu kesayangannya. Tiba-tiba, air mukanya berubah menjadi redup, dia tidak dapat menyembunyikan keresahan yang bertapak di sudut hatinya lagi. Iman memandang tepat ke wajah nenek. Air mata yang menanti masa untuk gugur tidak dapat dibendung lagi. Iman memeluk nenek erat-erat.
Iman meluahkan perasaannya dalam e-mel. Tanpa disedari, air mata telah membasahi pipinya.Iman tersedu-sedu menahan tangisannya.Dia berasa kecewa tentang kehancuran hasratnya. Akan tetapi, dia tetap menyemarakkan semangatnya untuk menghadapi pertandingan berpidato yang akann berlangsung pada minggu depan. Segala teks pidatonya disisipkan di dalam diari berwarna ungu. Iman tidak pernah berenggang dengan diari itu.
Kira-kira pukul 8.15 pagi, Iman sudah sampai di sekolah. Iman ialah peserta kedua terakhir yang akan menyampaikan pidatonya. Kawan setianya, Pei Wen menjadi peneman setia dan pendorong Iman tatkala itu. Tiba-tiba, Pei Wen menuding jari ke arah lelaki yang sedang masuk ke dalam dewan. “Eh, lelaki itu macam ayah engkau,” ujar Pei Wen. Iman bingkas bangun.Memang benar, kelihatan ayah sedang bersalaman dengan datuk dan nenek. Perlahan-lahan rasa gementar yang menyelubungi hatinya sebentar tadi kian pudar. Iman tidak tersangka, ayah sudi dating menyaksikan persembahannya pada hari ini. Siapa yang memberitahu ayah ? Iman sudah berpesan kepada datuk dan nenek agar tidak memaklumkan tarikh pertandingan kepada ayah. Setahu Iman, mereka berdua amat berpegang teguh pada janji. Ah, Iman harus memberikan tumpuan kepada persembahannya. Dia berjanji akan memberikan persembahan yang cukup mantap.
Sebagaimana yang diharapkan, Iman muncul sebagai johan dalam pertandingan itu. Datuk dan nenek mengadakan kenduri kesyukuran sebagai tanda kesyukuran kerana kejayaan Iman dalam pertandingan pidato dan peperiksaan baru-baru ini. Selain itu, datuk dan nenek juga mengharapkan kesejahteraan mereka sekeluarga berpanjangan sentiasa. Iman mendapatkan ayahnya yang berada di muka pintu kerana menunggu kehadiran tetamu. “Mak Cik Sofia pun datang bersama dengan anaknya,Adif.” Ujar ayah sambil mengerling ke arah Iman. Ayah menuding jari nya ke arah sebuah kereta yang memasuki perkarangan rumah. Pada pandangan Iman, Mak Cik Sofia merupakan wanita yang lemah lembut dan berbudi bahasa. Tingkah laku Mak Cik Sofia hamper sama dengan tingkah laku ibunya. “Kenapa Iman pandang mak cik begitu?” soal Mak Cik Sofia tiba-tiba. Iman tersentak. Dia tersipu-sipu malu. Rupa-rupanya Mak Cik Sofia menyedari bahawa dirinya diperhatikan. “Iman, sebenarnya, buat pengetahuan Iman, mak cik dan ayah Iman tiada hubungan lagi. Kami sekadar berkawan baik.” Iman diamkan diri sambil merenungi kepekatan malam. Iman dapat melihat ada sinar yang terang menantinya di hujung sana.
Malam itu, Iman duduk di anjung rumah sambil menghirup udara malam. Suasana riuh rendah kembali sunyi sepi. “ Iman fikir pasal apa?” ujar suatu suara secara tiba-tiba. Iman menoleh sambil tersenyum. Iman menggeleng-geleng, “ Cuti Iman masih panjang. Jadi, ayah pun ambil cuti. Ayah nak bercuti bersama dengan Iman.” “Kita nak pergi ke mana?” soal Iman dengan nada yang ceria. Ayah terdiam. Dia merenung wajah Iman sedalam-dalamnya. “Kita ke New Zealand. Ayah sudah fikir masak-masak tentang keluarga kita. Iman amat memerlukan ayah dan ibu di sisi Iman,” ujar Yusri sambil merenung kegelapan malam. “setelah berfikir sedalam-dalamnya, ayah tidak mahu melakukan kesilapan kali kedua lagi. Bagi ayah, Iman adalah segala-galanya,” Yusri menahan sebak. Iman menggengam telapak tangan ayahnya erat-erat. Mata ayahnya direnung sedalam-dalamnya. “Ayah berkorban demi kebahagiaan Iman?” Tanya Iman. Ayah tidak menjawab. Pandangannya masih lagi merenung tepat ke arah kepekatan malam. Kali ini, ayah telah menunaikan pengorbanan yang tidak ternilai buat dirinya.
“ Iman, kita bina semula ikatan keluarga kita yang runtuh selama ini,” tegas Yusri dengan semangat. Iman faham dari sanubarinya, ayah berkorban demi kebahagiaannya. Dia merenung ayah, pandangan ayah masih tepat merenung kea rah kepekatan malam.
No comments:
Post a Comment