Tuesday, July 13, 2010

komsas tingkatan 1

Sinopsis
Prosa Tradisional
Taju’l Muluk

Raja Zainu’l Muluk yang memerintah Syarqastan dalam keadaan gering. Menurut nujum, penyakit baginda akan sembuh sekiranya memperoleh bunga bakawali. Keempat-empat anak baginda pergi mencari bunga bakawali, kecuali Taju’l Muluk. Sudah lama merantau, putera baginda tidak juga kembali kerana termasuk perangkap Puteri Jenuh Hati, yang pandai bermain catur menyebabkan Taju’l Muluk pergi mencari.

Taju’l Muluk bekerja dengan seorang amir dan setiap hari selama dua jam dihabiskan bermain catur. Setelah dia mahir, dia pun pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati untuk menyelamatkan adik-adiknya. Untuk mendapat masuk ke mahligai tersebut, Taju’l Muluk terpaksa mengaku seorang perempuan tua sebagai neneknya. Menurut nenek itu, kehebatan Puteri Jenuh Hati bermain catur kerana memelihara seekor kucing dan tikus. Sekiranya baginda hendak kalah, segera diisyaratkan kepada kucing, kemudian kucing akan menggoyangkan kepalanya, lalu padamlah pelita itu. Ketika itulah tikus akan keluar mengacau buah catur. Strategi ini digunakan menyebabkan baginda dapat mengalahkan berates-ratus orang raja.

Apabila mengetahui akan rahsia itu, Taju’l Muluk membeli seekor musang dan dajar anak musang itu. Apabila dia memetik tangan, keluarlah musang itu. Dengan menggunakan kuda dan memakai pakaian lengkap, Taju’l Muluk pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati. Puteri Jenuh Hati melayan kedatangan Taju’l Muluk dengan baik. Kemudian Taju’l Muluk mengajak Puteri Jenuh Hati bermain catur. Dalam pusingan pertama, Taju’l Muluk kalah. Ketika pusingan kedua, Puteri Jenuh Hati hamper kalah, lalu baginda member isyarat kepada kucing, menyebabkan pelita terpadam dengan sendirinya. Taju’l Muluk kemudian member isyarat kepada anak musangnya, lalu anak musangnya itu mengejar tikus yang hendak mengacau catur. Oleh sebab Puteri Jenuh Hati tidak dapat menipu, baginda kalah teruk di tangan Taju’l Muluk.

Setelah harta benda Puteri Jenuh Hati habis, Taju’l Muluk membuat pertaruhan dengan Puteri Jenuh Hati. Menurutnya, jika dia kalah, baginda boleh mengambil harta yang dimenanginya. Manakala, sekiranya baginda yang kalah, dia akan mengambil semula harta yang tinggal milik Puteri Jenuh Hati. Akhirnya pertandingan itu memihak kepada Taju’l Muluk. Dia kemudian menceritakan tujuan dia datang ke mahligai tersebut. Akhirnya, adik Taju’l Muluk dibebaskan.

Menurut cerita Puteri Jenuh Hati, Bakawali merupakan anak raja yang besar kerajaannya. Di dalam taman piteri itu terdapat sebuah kolam dan di tengah kolam tersebut terdapat bunga bakawali yang dicari Taju’l Muluk selama ini. Untuk mencari kekuatan, Taju’l Muluk menceritakan kisah seekor harimau dengan Brahman. Dengan semangat yang kuat, Taju’l Muluk pergi ke sempadan negeri Bakawali. Setelah melalui pelbagai cabaran, akhirnya Taju’l Muluk menemui raksasa dan dia terpaksa berbaik-baik dengan raksasa tersebut. Dengan bantuan raksasa, jin telah membawa Taju’l Muluk terbang menemui Dewi Hamalah. Taju’l Muluk menunjukkan surat yang ditulis oleh raksasa. Apabila jin itu pulang, Dewi Hamalah mengahwinkan Taju’l Muluk dengan Puteri Mahmudah.

Nilai
Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Taju’l Muluk kasih akan ayahandanya menyebabkan dia pergi merantau untuk mendapatkan bunga bakawali agar penyakit ayahandanya dapat disembuhkan. Seterusnya baik hati, contohnya perempuan tua yang dianggap penghulu mahligai Puteri Jenuh Hati telah melayan Taju’l Muluk dengan baik dan menganggap Taju’l Muluk seperti cucunya sendiri. Akhir sekali keberanian, contohnya Taju’l Muluk seorang yang berani, antaranya sanggup berhadapan dengan raksasa.

Pengajaran
Pengajaran daripada petikan ialah kita perlulah berkorban terhadap darah daging sendiri, contohnya Taju’l Muluk sanggup menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan saudaranya yang diculik Puteri Jenuh Hati dapat dibebaskan dan ayahandanya yang gering dapat disembuhkan. Seterusnya kita hendaklah jujur dalamsetiap tindakan, contohnya yang ditunjukkan oleh Puteri Jenuh Hati yang menggunakan tipu muslihat untuk menang dalam permainan catur janganlah diikuti. Akhir sekalikita sewajarnya bijak menggunakan akal ketika menghadapi kecemasan, contohnya Taju’l Muluk menggunakan tipu muslihat apabila berhadapan dengan raksasa yang sebesar gunung yang mahu memakannya.

Sinopsis
Prosa Tradisional
Maharaja Keinderaan

Bab 1
Betara Angkasa Indera Dewa seorang raja yang gagah dan memiliki kerajaan yang besar. Setelah memohon kebenaran daripada Betara Guru, baginda pun turun ke dunia bersama isterinya.

Bab 2
Maharaja Indera memerintah Anta Beranta, sebuah kerajaan yang besar. Pada satu hari Angkasa Indera Dewa menghadap Maharaja Indera dalam keadaan tubuh yang compang-camping. Melihat keadaan Angkasa Indera Dewa itu (Si Miskin), orang ramai mengetawakannya dan melontar tubuhnya dengan kayu dan batu, sehinggakan tubuh baginda berdarah. Raja mengusir Si Miskin dari istana.
Disebabkan Si Miskin dalam keadaan lapar, dia mencari makanan dalam timbunan sampah. Bersama isterinya, mereka makan daun taruk kayu, ketupat, dan tebu yang besi. Tiga bulan kemudian, isteri Si Miskin pun hamil. Sebenarnya ketupat dan tebu itu ialah anak kepada Betara Karma Jaya, yang telah dipuja dan dijatuhkan dari kayangan menjadi ketupat (lelaki) dan tebu (perempuan).
Sebulan sebelum bersalin, isteri Si Miskin mengidam memakan buah mempelam yang ada dalam taman Maharaja Indera Dewa. Si Miskin memperoleh buah tersebut di pasar, tetapi tidak diterima oleh isterinya. Jalan yang terakhir, Si Miskin pergi menghadap Maharaja Indera Dewa. Baginda mengizinkan diambil buah tersebut. Isteri Si Miskin berasa gembira kerana hajatnya telah dipenuhi. Selang tiga hari, isteri Si Miskin mengidam buah nangka yang terdapat dalam taman raja juga. Sekali lagi Si Miskin menghadap Maharaja Indera Dewa. Baginda memperkenankan hajat Si Miskin.

Bab 3
Isteri Si Miskin melahirkan seorang anak lelaki dan diberikan nama Marakarma. Si Miskin mendirikan pondok untuk kediaman mereka sekeluarga. Ketika mengali untuk membina pondok. Si Miskin telah menemui tempayan besar yang mengandungi emas. Pada hari yang lain, ketika dia sedang memangku anaknya, dia mengatakan sekiranya anaknya itu anak dewa, jadikanlah sebuah negeri di dalam hutan ini. Dengan takdir Allah, wujudlah sebuah negeri dan Si Miskin memberikan nama negeri itu Puspa Sari. Manakala namanya ditukar kepada Maharaja Indera Angkasa dan isterinya diberikan nama Tuan Puteri Ratna Dewi.
Beberapa tahun kemudian, Tuan Puteri Ratna Dewi melahirkan seorang puteri dan diberikan nama Tuan Puteri Nila Kesuma.

Nilai

Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Si Miskin berusaha menunaikan hajat isterinya yang mengidam dengan menemui Maharaja Indera Dewa untuk memperoleh mempelam dan buah nangka. Seterusnya tanggungjawab, contoh Si Miskin bertanggungjawab terhadap keluarganya dengan membina pondok untuk mereka sekeluarga tinggal. Selain itu hemah tinggi, contohnya Si Miskin tunduk dan menyembah tanda hormat apabila menemui Maharaja Indera Dewa.

Pengajaran

Antara pengajaran ialah kita perlu mendengar nasihat orang yang lebih tua, contoh yang ditunjukkan oleh Betara Angkasa Indera Dewa yang tidak mendengar nasihat Betara Guru bahawa hidup di dunia ini akan mengalami kesusahan, janganlah diikuti. Selain itu kita hendaklah mengasihi isteri kita, contohnya Si Miskin berusaha menunaikan hajat isterinya yang mengidam dengan berusaha mendapatkan buah mempelam dan nangka. Akhir sekali pemerintahan perlu bersikap adil terhadap rakyat, contohnya Maharaja Indera Angkasa memerintah Puspa Sari dengan adil menyebabkan rakyat menyayanginya dan negerinya makmur.

Sinopsis
Prosa Tradisional
Budi Baik Seorang Bapa Angkat

Kemangkatan Tuanku Si helang Laut dan permaisurinya di Bandar Mengkalih menyebabkan anaknya Awang Sulung Merah Muda dipelihara oleh Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjang. Kemudian Awang Sulung dihantar mengaji Quran dan merawi di rumah Tuan Kadi Alim. Awang dapat membaca hingga khatam pada malam ketujuh. Seterusnya Awang Awang Sulung diajar belajar ilmu bahasa akal dan bahasa Arab di rumah Tuan Malik Kecil. Dalam masa yang singkat sahaja Awang Sulung dapat menguasai ilmu yang dipelajarinya.

Awang Sulung kemudian diajar ilmu persilatan oleh bapa saudara yang memeliharanya, Datuk Batin Alam. Sesudah mahir, Awang Sulung dikhatankan oleh Datuk Mudim Raja dalam satu majlis yang gemilang. Setelah sembuh daripada khatan, tukang mengasah gigi di panggil ke istana. Baja kayu disapukan ke gigi Awang Sulung menjadikan sesiapa yang terpandang wajah Awang Sulung akan terpikat.

Nilai
Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Datuk Batin Alam amat mengasihi anak saudaranya Awang Sulung Merah Muda menyebabkan perhatian dan segala ilmu diberikan kepada kanak-kanak itu. Selain itu tanggungjawab, contohnya Datuk Batin Alam memberikan pendidikan hal berkaitan dunia dan akhirat kepada Awang Sulung Merah Muda. Akhir sekali ketaatan, contohnya Awang Sulung Merah Muda taat kepada arahan bapa saudaranya kerana dia mengetahui tindakan bapa saudaranya untuk kebaikannya juga.

Pengajaran
Pengajaran yang diperolehi ialah kita perlu bertanggungjawab terhadap saudara yang terdekat, contohnya Datuk Batin Alam mengambil keputusan memelihara Awang Sulung Merah Muda setelah kedua-dua orang tua kanak-kanak itu meninggal dunia. Selain itu kita hendaklah memberikan ilmu yang secukupnya kepada anak-anak, contohnya Datuk Batin Alam memberikan ilmu dalm hal berkaitan dunia dan akhirat kepada anak angkatnya, Awang Sulung Merah Muda. Akhir sekali seorang anak perlu patuh kepada kedua-dua orang tua, contohnya Awang Sulung Merah Muda patuh setiap arahan dan nasihat bapa angkatnya, Datuk Batin Alam

Tempang
Sinopsis

Hafizi seorang murid yang cacat. Dia tidak mampu bermain bola sepak dengan teman-temannya. Dia seorang yang pintar dalam pelajaran, menyebabkan Kamil selalu menghinanya. Pada satu hari, Kamil menolak Hafizi sehinggakan dia tersungkur dilantai. Raja ingin membalas, tetapi ditegah oleh Hafizi. Sikap Mei Ling yang menegur Kamil menyebabkan Kamil tidak berpuas hati. Pertengkeran tersebut terhenti apabila Cikgu Lee masuk ke kelas. Pada hari perkelahan, Kamil hampir lemas. Hafizi terjun ke dalam kolam dan menyelamatkan Kamil. Peristiwa tersebut menyebabkan Kamil insaf dan dia memohon maaf kepada Hafizi.

Nilai
Antara nilai murni ialah hemah tinggi, contohnya Hafizi tetap bersikap rendah diri walaupun daripada keluarga berada dan selalu dihina oleh Kamil. Selain itukeberanian, contohnya Hafizi sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan Kamil daripada lemas. Seterusnya baik hati, contohnya Raja selalu mendampingi dan memberi semangat kepada Hafizi. Akhir sekali tanggungjawab, contohnya Cikgu Ridzuan dan Cikgu Lee bersama-sama muridnya ketika pergi berkelah.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita jangan suka menghina atas kekurangan orang lain, contohnya yang ditunjukkan oleh Kamil yang selalu menghina Hafizi janganlah diikuti. Selain itu kita perlu bersikap pemaaf, contohnya Hafizi memaafkan kesalahan yang telah dilakukan oleh Kamil. Seterusnya guru hendaklah selalu memberikan motivasi kepada anak-anak muridnya, contohnya Cikgu Lee menekankan kepada anak muridnya akan kepentingan berusaha jika ingin berjaya. Akhir sekalikita perlu mengambil tindakan yang cepat, contohnya Hafizi cepat menyelamatkan Kamil daripada lemas.

Tukang Lama
Sinopsis

Sejak kembalinya Manas ke kampung setelah menamatkan kursus di sekolah Seni Bina, sambutan masyarakat terhadap Pak Talib terhadap kerja-kerja membina rumah semakin kurang. Orang sekarang tidak menyukai bentuk rumah berkelepak dua yang dibuat olehnya. Jika ada yang menjemput Pak Talib, hanya membina reban ayam. Hal ini menyebabkan isterinya Mak Lamah selalu meleterinya.

Hari itu dia berjaya menyudahkan membina reban kepunyaan Mamat. Setelah selesai kerja yang dilakukan selama empat hari, dia diberikan upah sebanyak RM 10.00, Jumlah tersebut menyebabkan dia terasa terhina terhadap kerjaya yang dipilihnya. Dia pulang dalam keadaan kecewa dan bimbang akan dimarahi oleh isterinya. Pada waktu malam, Mak Lamah memberitahu ada orang merisik anaknya, Si Timah. Apabila diberitahu calon menantunya ialah Manas, hati Pak Talib berbunga keriangan.

Nilai Murni
Nilai murni daripada cerpen ialah berdikari, contohnya Pak Talib meneruskan kerjanya sebagai tikang membina rumah. Selain itu tanggungjawab, contohnya Pak Talib bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarganya. Akhir sekali kasih sayang, contohnya Pak Talib dan Mak Lamah berasa gembira kerana anaknya Si Timah sudah dirisik oleh keluarga Manas.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu mengikuti perkembangan semasa untuk dihargai oleh masyarakat, contoh yang ditunjukkan oleh Pak Talib yang kekal dengan reka bentuk lama dalam pembinaan rumah janganlah diikuti. Selain itu masyarakat perlu menghargai kerja berdasarkan kualiti dan masa yang diambil, contohnya yang ditunjukkan oleh Mamat dengan memberi upah sebanyak RM 10.00 setelah Pak Talib menyiapkan reban tidak patut dicontohi. Akhir sekali kita hendaklah bersikap baik dengan orang lain, contohnya walaupun Manas memberikan persaingan kepada Pak Talib, tetapi dia tidak pernah membenci lelaki itu.

Yuran
Sinopsis

Amin meminta wang sebanyak RM60.00 daripada emaknya, Mak Jah untuk membayar yuran sekolah. Mak Jah tidak dapat memberi kerana tiada wang. Di sekolah, Cikgu Arsad mendesak Amin membayar yuran sukan dan yuran PMR esok. Desakan itu membuatkan Amin berasa malu dan tertekan, lalu mengambil keputusan ponteng sekolah.

Ketika dia desang melihat permainan video, dia dilanggar dari arah sisi oleh seseorang, menyebabkan buku dalam begnya bertabur. Seorang wanita menjerit meminta pertolongan. Beberapa orang pemuda dilihatnya berlari-lari ke satu arah. Amin segera mengejar pemuda ditu dan berjaya menangkap lelaki itu. Anggota polis segera memberkas pemuda tersebut.

Wanita yang dibantu tadi menyoal Amin. Apabila dirinya dikatakan ponteng sekolah, Amin segera meninggalkan wanita itu. Apabila Amin tiba di rumah dan melihat Amin tidak membawa beg, Mak Jah tahu anaknya ponteng sekolah. Ketika Mak Jah sedang meleteri akan sikap Amin, wanita tadi muncul dengan keretanya. Wanita itu menceritakan hal yang sebenar kepada Mak Jah. Kemudian wanita tersebut menyerahkan sedikit wang sebagai membalas jasa Amin. Amin berasa terharu dan berjanji akan meneruskan cita-citanya.

Nilai Murni

Antara Nilai murni ialah keberanian, contohnya Amin berani menangkap pemuda yang meragut beg seorang wanita. Selain itu hemah tinggi, contohnya Mak Jah tidak segera menerima pemberian wang daripada wanita yang ditolong oleh anaknya, sebaliknya pada peringkat awal ditolak secara baik. Akhir sekali kesyukuran, sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada wanita menyerahkan sejumlah wang kepada keluarga Amin.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu memahami masalah yang ditanggung oleh orang lain, contohnya yang ditunjukkan oleh Cikgu Arsad yang mendesak Amin membayar yuran tidak patut diikuti. Selain itu kita hendaklah mengutamakan pelajaran, contohnya yang ditunjukkan oleh Amin yang ponteng sekolah janganlah diteladani. Seterusnya kita seharusnya membalas jasa orang, contohnya wanita itu memberikan sagu hati kepada keluarga Amin kerana Amin pernah menolongnya.

Trauma Embah
Sinopsis

Untuk menjaga kesihatan, ibu memakan pelbagai jenis vitamin. Ibu berasa gembira apabila anak dan cucunya pulang ke kampung. Untuk mengisi masa terluang, ibu menjalankan perniagaan dari jam 3.00 petang hingga 6.00. Perniagaan berbentuk ”parti serbaneka” dijalankan tanpa asas perniagaan. Ibu belajar setakat darjah enam dan disuruh kahwin dengan abah yang bertugas sebagai guru.

Ketika muda, datuk bekerja sebagai penoreh getah. Manakala embah akan membantu mengutip getah susu. Embah tidak mengabaikan tugasnya membesarkan lima orang anak kandung dan empat orang anak tiri. Datuk meninggal dunia kerana sakit tua. Apabila datuk meninggal, embah dijaga oleh anaknya, mak cik penulis. Sejak embah tiada, ibu terasa kehilangan dan rumah embah dirobohkan.

Embah pulang ke kampung kerana rindukan kampung halaman. Kemudian embah ke Kuala Lumpur lagi dan tinggal di rumah anaknya. Apabila embah sakit, ibu berulang alik ke Kuala Lumpur. Seterusnya, apabila suami mak cik meninggal dunia, embah dibawa pulang ke rumah ibu di kampung, setelah hampir 20 tahun tinggal di kota.

Ibu menjaga embah dengan penuh kasih sayang. Pada satu malam, embah mengigau dan menyebut ”budak itu”. Sebenarnya embah masih trauma tentang kematian dua anaknya dahulu;seorang berusia tiga tahun diserang demam panas dan seorang lagi berusia dua tahun terjatuh ke dalam kolam. Embah menyimpan penderitaan di dalam jiwa kerana datuk melarang embah menangis. Kesabaran ibu telah menginsafkan penulis untuk menjadi seorang anak yang dapat menjaga ibunya satu hari nanti.

Nilai Murni
Nilai murni cerpen ialah kasih sayang, contohnya ibu menjaga embah yang uzur dengan penuh kasih sayang. Selain itu berdikari, contohnya ibu tidak terlalu mengharapkan wang daripada suaminya, sebaliknya berniaga untuk menambahkan pendapatan. Seterusnya tanggungjawab, contohnya datuk bekerja sebagai penoreh getah untuk menyara keluarganya. Akhir sekali ketaatan, contohnya embah akur dengan kata-kata datuk dan tidak sesekali dia membantah.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menjaga ibu kita dengan penuh kasih sayang, contohnya ibu menjaga embah yang nyanyuk dengan penuh kasih sayang. Seterusnya kita hendaklah mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah, contohnya ibu berniaga dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang untuk menambahkan pendapatan. Selain itu kita wajib mengutamakan pendidikan, contohnya yang ditunjukkan oleh datuk yang merang ibu melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah janganlah diikuti. Akhir sekali kita perlu menjadikan pengalaman sebagai penduan hidup, contohnya penulis menginsafi akan pengorbanan ibunya menjaga embah dan berazam untuk menjaga ibunya dengan baik satu hati kelak.

Sepucuk surat daripada kawan
Sinopsis

Penulis berasa gembira apabila menerima surat daripada Abe. Penulis membaca surat itu sebanyak lima kali. Abe yang kini belajar di Kelantan memberitahu akan berpindah dan bersekolah di tempat penulis. Penulis menyambut kedatangan Abe di stesen bas. Petang itu penulis dan Abe berjalan-jalan di sekitar Jalan Cenderawasih. Pada hari Sabtu, penulis dan Abe bersiar-siar di Berjaya Megamall, Kuantan selama lima jam.

Abe ditempatkan di kelas bersebelahan dengan penulis. Abe cemerlang dalam pelajaran Matematik. Pada satu hari, Abe mengadu sakit, lalu penulis membawanya pulang ke rumah. Ketika keputusan PMR mahu diumumkan, ibu bapa Abe membawanya pulang ke Kelantan. Abe meninggalkan penulis dengan sepucuk surat. Dalam surat itu Abe memberitahu keinginan untuk menjadi seorang pelakon dan Abe menulis tentang kesihatannya.

Belum sempat penulis habis membaca surat itu dan mengetahui penyakit yang dihidapi oleh Abe, adik penulis merampas surat tersebut. Penulis mengejar adiknya, tetapi adiknya mencampak cebisan surat itu ke dalam unggun api. Penulis terus tertanya-tanya tentang penyakit misteri Abe.

Nilai murni
Nilai murni daripada cerpen ialah baik hati, contohnya penulis melayan Abe dengan baik ketika Abe tinggal bersama-samanya. Selain itu berdikari, contohnya Abe tinggal bersama penulis, sedangkan keluarganya berada di Kelantan. Akhir sekali memanfaatkan waktu, contohnya sejak kedatangan Abe, penulis lebih banyak mengulang kaji pelajaran dan ke perpustakaan, tidak lagi bersama Zul dan Fadli.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menghargai kunjungan rakan lama, contohnya penulis berbesar hati dan melayan dengan baik kedatangan Abe dari Kelantan. Selain itu kita hendaklah bersikap terus terang, contoh yang ditunjukkan oleh Abe yang merahsiakan penyakitnya membuatkan penulis tertanya-tanya janganlah diikuti. Akhir sekali kita wajar membantu orang yang dalam kesusahan, contohnya penulis membawa Abe pulang ke rumah apabila Abe mengadu sakit.

Drama
Surat untuk Ina
Sinopsis

Zali memberitahu keinginannya mengenali pengawas bernama Zalina dengan lebih lanjut. Jais mencadangkan agar Zali menulis sepucuk surat tanpa meletakkan nama dan dalam surat itu dinyatakan ingin berkenalan dan bersahabat. Badar memberitahu agar Zali menyatakan keinginannya berbincang tentang pelajaran. Jais terus mencadangkan agar meletakkan surat itu di dalam meja Zalina, kemudian melihat reaksi pengawas itu. Apabila Zalina muncul, Badar mengusik tetapi tidak dilayan oleh Zalina.

Zali telah meletakkan surat di dalam meja Zalina. Kini dia sedang menanti reaksi daripada Zalina. Tiba-tiba Zalina mengajak Fatimah bertemu Cikgu Halil. Zali mengingatkan Badar supaya jangan mengaku dan Badar pula yakin Zalina tidak berani memberitahu hal itu kepada guru.

Apabila Cikgu Halil masuk, guru itu meminta semua murid mengeluarkan buku latihan dan karangan. Daripada pengecamannya, Cikgu Halil mendapati tulisan Zali mirip tulisan dalam surat yang diberikan oleh Zalina kepadanya. Setelah didesak, akhirnya Zali mengaku. Cikgu Halil tidak mengambil tindakan terhadap Zali kerana Zalina telah memaafkan kesalahan Zali.

Nilai murni
Nilai murni daripada cerpen ialah saling memaafkan, contohnya Zalina memaafkan kesalahan Zali yang menulis surat kepadanya kerana dia tidak mahu memanjang-manjangkan kisah tersebut. Selain itu rasional, contohnya Cikgu Halil mengambil tindakan yang tepat dengan mengesan tulisan penulis surat menerusi buku latihan dan karangan. Akhir sekali kejujuran, contohnya Zali akhirnya mengakui dia yang menulis surat kepada Zalina.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menyerahkan kepada guru untuk menyelesaikan masalah berkaitan disiplin, contohnya Zalina menyerahkan surat yang diterimanya kepada Cikgu Halil untuk guru itu mengambil tindakan. Selain itu kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain, contohnya Zalina memaafkan kesalahan Zali yang menulis surat kepadanya. Akhir sekali kita wajar memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah, contoh yang ditunjukkan oleh Zali, Jais dan Badar yang suka berborak kosong janganlah diikuti.

Arah ke mana
Sinopsis
Haji Pakir menegur sikap isterinya, Hajah Derisah yang memanjakan anaknya, Rohani. Bagi Hajah Derisah, anak daranya itu sudah besar dan tahu menjaga diri. Bagi Haji Pakir, terlalu memanjakan anak buruk padahnya. Walaupun Rohani sudah berjaya dalam pelajaran, tetapi ilmu agama perlu diberikan perhatian. Ketika suami isteri bertengkar, Rohani pulang. Haji Pakir melayan Rohani dengan baik tetapi Rohani bersikap biadap. Haji Pakir ingin tahu hala tuju Rohani hari itu, tetapi bagi Rohani ayahnya terlalu mengambil tahu hal peribadinya, malah sikap ayahnya menyekat kebebasannya dan berfikiran kolot. Haji Pakir membangkitan pergaualan Rohani yang kerterlaluan. Pertengkaran itu berakhir dengan Rohani mahu keluar dari rumah itu. Perbuatan Rohani yang terlibat dalam najis dadah telah menyebabkan dia meninggal dunia. Di tanah perkuburan, Haji Pakir dan Hajah Derisah mengakui kesilapan yang dilakukan oleh mereka dalam mendidik anak.

Nilai murni
Nilai murni menerusi drama ialah kasih sayang, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah teramat menyayangi anaknya, sebab itu keterlanjuran anaknya dalam kehidupan telah ditegur oleh bapanya. Selain itu keinsafan, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah insaf atas kesilapan mereka dalam mendidik anak sehinggakan anak mereka mati terjebak dalam najis dadah.

Pengajaran
Pengajaran daripada drama ialah kita perlu menghormati kedua-dua ibu bapa kita, contoh yang ditunjukkan oleh Rohani yang biadap terhadap ayah dan ibunya janganlah diikuti. Selain itu setiap ibu bapa hendaklah mengimbanginya antara akademik dan akhirat dalam mendidik anak, contoh yang ditunjukkan oleh Haji Pakir dan Hajah Derisah yang mengutamakan akademik dan kurang menekankan soal akhlak dalam mendidik Rohani janganlah dicontohi. Akhir sekali kita wajib mengakui ajal maut ketentuan Allah, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah menerima ketentuan Ilahi bahawa anaknya sudah meninggal dunia.

Mendung Hitam Beralih Jua
Sinopsis
Pak Jusuh mengeluh apabila anaknya Jamilah meminta wang sebanyak RM75.00 untuk membayar yuran SPM, sedangkan pendapatannya sebagai nelayan tidak seberapa dan hutangnya di kedai Mutusami semakin banyak. Mak Limah menegur sikap suaminya yang pernah menolak tawaran ke tanah rancangan. Akan tetapi bagi Pak Jusuh, nasib nelayan juga baik seperti Haji Dolah yang mempunyai rumah besar dan kereta. Ketika itu Mutusami datang dan meminta hutang daripada Pak Jusuh. Oleh sebab Pak Jusuh tidak mempunyai wang, radio miliknya menjadi cagaran.

Pak Seman datang bertujuan mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya untuk majlis kenduri doa selamat. Kemudia Pak Jusuh meluahkan kesusahan hidupnya. Pak Seman memujuk Pak Jusuh ke tanah rancangan agar hidupnya boleh berubah. Pak Jusuh bersetuju dan mereka berjanji untuk ke rumah tuk penghulu pada esok hari.

Nilai murni
Nilai murni daripada drama ialah baik hati, contohnya Pak Seman mempelawa Pak Jusuh ke tanah rancangan agar nasibnya lebioh baik. Selain itu kerajinan, contohnya Haji Dolah gigih berusaha sebagai nelayan menyebabkan nasibnya lebih baik berbanding Pak Jusuh. Seterusnya rasional, contohnya Mutusami tidak berterusan mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh. Akhir sekali semangat bermasyarakat, contohnya Pak Seman mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya yang akan mengadakan kenduru doa selamat

Pengajaran
Pengajaran daripada drama ialah patut merebut peluang yang baik, contoh yang ditunjukkan oleh Pak Jusuh pada mulanya menolak ke tanah rancangan janganlah diikuti. Selain itu kita perlu mengamalkan sikap tolak ansur, contohnya Mutusami tidak lagi mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh. Seterusnya kita wajib mengamalkan sikap bermasyarakat, contohnya Pak Jusuh menerima undangan Pak Seman untuk ke rumah menantu rakannya itu yang akan mengadakan majlis kenduri doa selamat. Akhir sekali kita perlu memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah, contohnya Jamilah mengisi masa terluang dengan melibatkan diri dalam kegiatan pertubuhan belia di balai raya kampungnya.

2 comments:

Anonymous said...

Why no answer 4the latihan komsas de??????????????Cepat upload la!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

BM Class said...

dun worry, i also enjoy my holiday ma..we stil got time, so.. SLOW.. be RELAX