Saturday, October 4, 2014

SOALAN RAMALAN - NOVEL 2014 SPM

SOALAN RAMALAN - NOVEL 2014

Beri perhatian:
1. Sumbangan penulis
2. Teknik plot
3. Latar masyarakat
4. Peranan watak sampingan
5. Konflik watak utama
6. Peristiwa saspens dlm novel
7.Tema
8.Nilai Kemasyarakatan = nilai keberanian, nilai kesabaran
9.Peristiwa yang menarik
10.Klimaks.

Percubaan SPM 2014 -7 ( Cara Keluarga Bahagia)

Sering ini kcukenang, pada masa yang berat,
Pada kala hidup mendesak dan nyaris aku sesat,
Melintas gambar ibuku, sewaktu bertelut,
Kembali sayup kudengar.... Namaku disebut.

Baris-baris dalam lirik lagu di atas telah membawa persoalan yang amat bermakna untuk semua umat manusia. Hal ini demikian kerana semua orang akan mengalami pengalaman yang sama seperti lirik lagu tersebut. Apabila kita menghadapi pelbagai masalah, anggota keluarga akan sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kita. Oleh itu, keutuhan institusi keluarga sangat penting untuk melahirkan masyarakat yang harmoni. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk menyuburkan ikatan kekeluargaan yang semakin longgar itu kembali sebagai akibat perubahan zaman?

Kerajaan seharusnya mengambil langkah perdana untuk merancakkan kempen-kempen kesedaran yang telah lama dilaksanakan tetapi hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Contohnya, pelbagai aktiviti yang melibatkan peryertaan anggota keluarga harus diadakan dari semasa ke semasa terutamanya pada hari minggu seperti sukaneka dan mengadakan pelbagai pertandingan dengan menyediakan hadiah yang lumayan. Dengan ini, hubungan kekeluarga dapat dieratkan di samping dapat mengisi masa yang terluang dengan lebih bermakna persis peribahasa menyelam sambil minum air.

Seterusnya, ibu bapa perlulah mengikis sikap mereka yang lebih mementingkan kerjaya dan mementingkan materialistik berbanding dengan kehidupan keluarga mereka. Kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menyebabkan ibu bapa terpaksa keluar bekerja untuk menampung keperluan kehidupan keluarga. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkomunikasi dan mengambil berat akan keadaan anggota keluarga mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah meluangkan masa yang lebih banyak untuk keluarga mereka seperti berkelah dan melancong pada musim cuti persekolahan atau cuti hujung tahun supaya hubungan tidak akan menjadi semakin renggang.

          Media massa pula sewajarnya mengorak langkah dengan lebih banyak menayangkan filem dan drama yang bertemakan kekeluargaan. Pada zaman yang dilingkari oleh kemajuan sains dan teknologi, filem-filem yang bertemakan kekeluargaan semakin dipinggirkan kerana dianggap sebagai sesuatu yang telah ketinggalan zaman. Yang sebenamya, filem-filem ini haruslah ditayangkan secara berterusan bak kata mutiara, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas kerana filem-filem ini menerapkan pelbagai nilai murni yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat sekarang.

          Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh mengabaikan peranan pihak sekolah sebagai institusi pendidikan formal untuk mengatasi isu keruntuhan institusi keluarga yang semakin menjadi-jadi. Nilai- nilai kekeluargaan perlu diterapkan kepada anak- anak yang baru berumur setahun jagung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, guru-guru di sekolah seharusnya mengambil pelbagai inisiatif untuk menerapkan nilai-nilai seperti sayang- menyayangi, hormat-menghormati, dan toleransi dalam kalangan murid agar sifat-sifat terpuji ini dapat dipraktikkan di rumah.


          Kesimpulannya, keluarga yang bahagia dapat diwujudkan sekiranya semua pihak bekerjasama dan mengabaikan sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan cara yang lebih bersunguh-sungguh maka masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan dan imej negara dapat ditingkatkan di persada dunia kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Percubaan SPM 2014 - 6 (Sumber Cikgu Israk)

Latihan 11 :  Anak-anak remaja hari ini dikatakan sangat liat untuk masuk ke dapur sedangkan amalan ke dapur telah menjadi warisan turun-temurun.Bincangkan pendapat anda tentang peranan ibu bapa untuk memperkasakan budaya ke dapur dalam kalangan anak-anak.

Pendahuluan : Menghayati lirik lagu klasik yang berbunyi, “Anak dara kalau menyanyi di dapur, alamat mendapat suami tua”. Walaupun kata-kata tersebut agak sinis untuk menasihati anak-anak gadis supaya lebih bersopan, namun di sebalik kata-kata tersebut mengandung hakikat bahawa anak-anak perempuan sangat sinonim dengan kerja-kerja di dapur terutama memasak. Sejak fasa silam lagi nilai diri seseorang turut diukur berdasarkan kecekapannya menguruskan hal-hal di dapur. Sebaliknya, selepas melalui beberapa peringkat pemodenan, anak remaja sama ada perempuan atau lelaki amat liat untuk ke dapur. Fenomena ini jelas menunjukkan gejala ketandusan budaya tradisional. Oleh itu, sebelum warisan turun-temurun ini pupus ditelan arus pemodenan, ibu bapa hendaklah memainkan peranan hakiki untuk melatih anak-anak agar mesra ke dapur.
Isi 1 : Mengamalkan pendidikan bermula di rumah – rumah sebagai paksi membentuk peribadi anak-anak - ibu bapa hendaklah membudayakan amalan tradisional – membiasakan anak-anak dengan latihan memasak, mengemas rumah – ibu bapa hendaklah menjadi role model dan kepimpinan melalui teladan – memanfaatkan cuti sekolah untuk melatih anak-anak
Isi 2 : Kurangkan tabiat suka makan di luar – anak-anak berasa tiada keperluan untuk masuk ke dapur – tiada peluang untuk mendidik anak-anak secara formal
Isi 3 : Mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti panjang – ketika semua ahli keluarga bertemu – ibu hendaklah mengajak anak-anak masuk ke dapur – anak-anak perlu belajar dan membantu si ibu di dapur – memberi peluang anak-anak mencuba resipi mereka – anggota keluarga hendaklah memberikan kerjasama dan memberi penghargaan
Isi 4 : Mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin – dengan disiplin anak-anak mudah menerima tunjuk ajar - setiap anak hendaklah diberikan tugas yang sepadan – tidak wajar ada yang terlalu berat tugasan dan ada yang berehat panjang (menunggu makanan terhidang ke lutut
Isi 5 : Memberi motivasi kepada anak-anak – anak-anak perlu diberikan semangat dan dorongan dari awal - menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan rumah tangga (majalah Anjung Seri, Majalah Laman, Saji, Didik, Muslimah dan pelbagai bentuk perisian CD/DVD) – membuka minda anak-anak mengikuti teladan daripada ikon keluarga yang berjaya

Kesimpulan : Pepatah Melayu yang menyatakan, anak gadis walau setinggi mana sekalipun ilmunya akan ke dapur bukanlah membawa konotasi yang negatif. Sebaliknya, maksud yang tersirat adalah untuk mengilhamkan setiap individu akan kepentingan menghidupkan suasana kekeluargaan yang harmoni dan jannati. Seyogia, sebelum tradisi dan budaya murni ini luput, wajarlah semua pihak terutama ibu bapa mendidik anak-anak semula ke landasan yang betul.

Percubaan SPM 2014 - 5

2.  Selaku pegawai kesihatan daerah, anda diminta untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Amalan Baik Penjagaan Kesihatan’ sempena Hari Kesihatan Sedunia kepada masyarakat setempat. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.

atau
Sejak belakangan ini terdapat pelbagai penyakit baru yang berpunca daripada amalan dan gaya hidup yang tidak baik. Selaku doktor pakar dalam bidang kesihatan masyarakat, anda dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang kegiatan hidup sihat.Tulis teks ceramah anda itu selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengerusi Badan Musyawarah Masyarakat Taman Perdana Sejahtera, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Hadirin sekalian,
                Orang tua-tua sering mengungkapkan bahawa, kesihatan itu ialah harta yang paling bernilai daripada wang ringgit dan harta benda. Sementara itu, dalam sepotong Hadith Nabi turut diungkapkan akan nilai kesihatan adalah amat bermakna, seperti sabda baginda, “Jagalah masa sihatmu sebelum tiba sakit”. Apabila diteliti daripada dua ungkapan tersebut, justeru tanggungjawab menjaga kesihatan amatlah diberi penekanan sama ada dalam bidang agama malah masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang penuh pancaroba dan manusia sentiasa diancam kesibukan, pelbagai ragam kehidupan telah mendatangkan pelbagai ancaman terhadap kesihatan. Oleh hal yang demikian, dengan peluang yang diberkan ini, saya ingin berkongsi maklumat dengan hadirin sekalian tentang gaya hidup yang positif berdasarkan polisi ilmu kesihatan.

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,
                Banyak orang yang berfikir bahawa terminologi sihat itu hanya terletak kepada tubuh badan yang sihat tegap dan sasa. Sebenarnya kesihatan adalah merangkumi kesejahteraan fizikal dan rohani iaitu yang meliputi tubuh badan, mental, emosi, dan rohani. Untuk memperoleh kesihatan seumpama itu, justeru setiap individu hendaklah memberikan perhatian dalam semua aspek kesihatan. Penjagaan fizikal yang sihat seperti memperoleh makanan yang berzat dan seimbang adalah amat penting. Hal tersebut memang penting kerana minda dan emosi yang sihat adalah terjana daripada tubuh badan yang sihat.
                Prasyarat terpenting untuk memperoleh kesihatan fizikal, kita hendaklah sentiasa peka terhadap alam sekitar. Dengan kata lain, kawasan sekitar hendaklah sentiasa bersih, bebas daripada sebarang anasir penyakit. Bagi memastikan persekitaran sentiasa dalam suasana bersih, amalan menjaga kebersihan seperti sistem pembuangan sampah yang teratur hendaklah dititikberatkan. Alam sekitar perlu dijaga juga terutama dalam aspek pelesterian iaitu penjagaan alam semula jadi.
                Dalam dunia yang kaya dengan sistem maklumat dan akses maklumat yang semakin canggih pula, kita haruslah proaktif mencari info tentang  kesihatan. Maklumat sama ada yang berkaitan dengan penularan penyakit-penyakit baru, serangan wabak penyakit yang berpunca daripada bawaan seperti Selesema Burung, SARS, dan pelbagai penyakit berbahaya harus diketahui. Selain mengetahui pelbagai jenis penyakit dan bahaya penularannya, kita wajar mendalami kaedah-kaedah penjagaan penyakit. Hal ini tepat seperti pepatah Inggeris yang menyatakan mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat. Dengan kemudahan teknologi tersebut kita mampu mengakses sumber maklumat primer untuk mengawal penyakit. Sesungguhnya tanggungjawab membendung pelbagai gejala penyakit bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa kerajaan sahaja malah tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh individu atau organisasi terutamanya NGO.
                Aspek pemakanan turut menjadi penentu kadar serangan penyakit kepada individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang terutama gula dan lemak sebenarnya telah mendedahkan diri kita kepada pelbagai bahaya. Memanglah jikalau diturut ‘hukum lidah’ setiap yang manis dan lemak itu sedap dan berselera, namun kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh badan harus difikirkan juga. Pada hari ini isu pengambilan makanan segera sedang meledak di tengah-tengah polemik masyarakat. Pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi yang bebeza apabila Kementerian Kesihatan tampaknya cukup tegas mahu membatalkan semua lesen pengiklanan makanan segera. Walaupun tindakan Kementerian Kesihatan itu dianggap terlalu drastik dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap ekonomi negara, tetapi kita harus berfikir bahawa reaksi tersebut memberi isyarat bahawa pelbagai gejala penyakit yang berpunca daripada bawaan makanan turut menjadi ancaman besar kepada kesihatan sejagat.

Hadirin sekalian
                Seperkara lagi yang wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat adalah berkaitan dengan langkah membendung pelbagai gejala penyakit. Kita harus membuang budaya salah apabila sakit baru hendak berjumpa doktor. Doktor bukan sahaja berfungsi sebagai penyembuh penyakit, sebaliknya mereka amat profesional sebagai perunding dalam mengawal penyakit. Namun keadaan sebalik yang berlaku apabila majoriti daripada masyarakat hari ini akan hanya berjumpa doktor apabila sudah tiada harapan sembuh lagi. Ada segelintir pihak pula enggan berjumpa doktor kerana takut penyakit terpendam akan terbongkar. Daripada terpaksa memendam rasa kerana mengetahui menghidapi pelbagai masalah kesihatan, mereka berpendapat lebih baik tidak diketahui langsung. Akhirnya ramai yang menemui ajal sedangkan kemungkinan boleh diselamatkan sekiranya diketahui lebih awal. Oleh itu, kita wajar mengubah tanggapan yang salah itu dengan cara berusaha mengesan dan mengenal pasti punca penyakit yang mungkin boleh mengancam nyawa kita.
                Selain itu, tabiat merupakan bawaan sepanjang hayat oleh seseorang itu. Sekiranya dia mengamalkan tabiat yang baik, natijahnya baiklah seluruh amalan hidupnya. Sebaliknya jikalau habit yang buruk menjadi bawaan nescaya individu itu akan menanggung sengsara seumur hayat. Hal demikian amat berkait rapat dengan usaha mengubah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pemabuk, dan makan secara membujur lalu melintang patah. Ubahlah kepada tabiat yang sihat seperti bersenam secara berjadual, mengawal emosi, dan bergaul dengan rakan-rakan yang berfikiran positif. Semua yang tersebut boleh membantu menstabilkan kesihatan kita memperoleh umur yang panjang. Ingatlah kita kepada nasihat pepatah iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku bahaya padahnya.

Sekian terima kasih.

Percubaan SPM 2014 - 4 ( Tanggungjawab Masyarakat Membanteras Jenayah)

Selaku Ketua Polis Kontinjen Negeri, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam suatu majlis perhimpunan masyarakat. Tajuk ceramah yang disampaikan ialah, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”.
Tulis teks ceramah anda itu selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
                Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Beramang, Yang Dihormati Ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.
                Dengan penuh rasa bangga saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana dijemput dan diberi peluang untuk menyampaikan ceramah dalam majlis himpunan yang julung-julung kali diadakan di kawasan ini. Kebanggaan saya adalah kerana wujud sikap prihatin yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat di sini untuk turut sama terlibat dalam usaha mengembalikan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Kewujudan masyarakat prihatin seperti ini memberi isyarat bahawa agenda keselamatan dan ketenteraman dalam masyarakat dan negara terus diberi perhatian. Bersempena dengan pertemuan pada hari ini, saya diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan ceramah keselamatan yang bertajuk, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”. Terima kasih sekali lagi atas kesediaan semua pihak untuk turut berkongsi pengalaman bersama-sama dengan saya.

Hadirin sekalian,
                Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah ialah sebuah ungkapan yang menerangkan tuntutan terhadap keprihatinan orang ramai dalam mendepani segala risiko jenayah dan apakah langkah-langkah yang boleh disumbangkan oleh masyarakat untuk membasmi gejala tersebut? Hal ini amat wajar sekali diambil berat oleh setiap anggota masyarakat memandangkan selama ini apabila diperihalkan sahaja persoalan jenayah, maka tanggungjawabnya diserahkan 100 peratus kepada polis. Oleh hal yang demikian, apabila masyarakat di kawasan ini mula prihatin dengan gejala ini, saya bagi pihak yang bertanggungjawab dengan persoalan keselamatan amat berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dengan tuan-tuan dan puan-puan.
                Jikalau kita berfikir secara rasional, isu jenayah bukanlah menjadi milik eksklusif pihak polis semata-mata. Usaha tersebut menyentuh secara langsung kepada kepentingan rakyat. Secara logiknya, apabila berlaku sesuatu kes jenayah jarang sekali pihak polis yang menjadi mangsa. Mangsanya ialah masyarakat umum. Oleh itu, apabila masyarakat tidak prihatin dengan masalah jenayah memberi maksud masyarakat tidak mementingkan keselamatan mereka. Orang yang cerdik tidak membiarkan perihal keselamatan dirinya dijaga oleh pihak lain dengan sepenuhnya. Walaupun pihak polis sedar bahawa tugas menjaga keselamatan adalah menjadi tanggungjawab profesional mereka, namun tanpa komitmen tinggi orang ramai, masalah jenayah tidak mungkin dapat dibanteras sampai bila-bila.
                Seyogia dengan pertemuan pada hari ini, saya mengambil peluang untuk menggariskan beberapa langkah perlu yang boleh disumbangkan oleh masyarakat. Jenayah sebenarnya boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu jenayah am dan jenayah berat. Jenayah berat meliputi penggunaan senjata berbahaya dan mengancam nyawa mangsa. Sekiranya terbukti bersalah, penjenayah boleh dihukum antaranya dalam Seksyen 302 yang boleh membawa hukuman mati mandatori atau Seksyen 304 yang membawa denda penjara sehingga 20 tahun. Jenayah berat boleh dikategorikan sebagai merompak, rompakan bersenjata, membunuh, merogol, dan pengedaran dadah. Sementara jenayah am termasuklah perbuatan salah laku yang boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat seperti mencuri, bergaduh dan lain-lain. Peningkatan kes jenayah dalam masyarakat adalah berpunca daripada sikap yang terlalu menurut hawa nafsu. Selain itu, pengaruh dadah telah dikenal pasti sebagai pendorong utama menularnya gejala jenayah dalam masyarakat. Pada hari ini suasana dalam masyarakat bertambah kompleks dengan kehadiran lebih ramai warga asing. Situasi tersebut turut mempertingkatkan kuantiti perlakuan jenayah terutama jenayah ragut.

Tuan-tuan dan puan-puan,
                Walaupun pihak polis tidak putus-putus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan, namun kudrat polis juga terhad dalam memastikan jenayah sifar. Oleh itu, tibalah masanya gemblengan tenaga dan sumbangan masyarakat untuk memastikan keselamatan sosial terjamin. Langkah terpenting ialah semua kawasan kediaman hendaklah diwujudkan satu pasukan Rakan Cops. Rakan Cops ialah organisasi sukarela masyarakat yang mengadakan hubungan langsung dengan pihak polis. Mereka bertanggungjawab menyalurkan segala maklumat keselamatan di sesuatu kawasan kepada pihak polis. Keberkesanan Rakan Cops diyakini berjaya terutama di bandar-bandar besar apabila gejala ragut semakin terkawal.
                Selain itu, masyarakat hendaklah sensitif juga terhadap persekitaran tempat tinggal mereka. Mereka hendaklah mengadu kepada polis sekiranya mengetahui di kawasan tersebut terdapat penagih dadah, kewujudan orang-orang yang tidak dikenali, dan sekiranya berlaku perkara-perkara yang luar biasa. Fenomena tersebut seperti wujud kekerapan kelompok-kelompok tertentu di sesuatu tempat sehingga lewat malam. Kehadiran warga asing di kawasan anda juga hendaklah sentiasa dipantau dan jikalau berlaku kesangsian segera melaporkannya kepada polis. Polis juga menasihatkan setiap rumah atau sekurang-kurangnya ketua-ketua unit menyimpan nombor telefon kecemasan polis. Saya amat yakin, sekiranya ditanya pada waktu ini hanya beberapa orang sahaja yang menghafal nombor telefon pondok polis yang terdekat. Demikianlah gambaran ketidakprihatinan masyarakat terhadap persoalan keselamatan.
                Dalam memastkan usaha membantu polis mengawal keselamatan juga, pihak penduduk boleh menjalankan rondaan  secara berkala atau tidak berjadual pada waktu malam untuk mendapat gambaran penuh senario pada waktu malam di kawasan tempat tinggal anda. Apabila berbuat demikian, anda akan memperoleh banyak info tentang pergerakan tanpa jadual pihak-pihak tertentu apabila menjelang malam. Dengan berbuat begitu, tuan-tuan dapat menyampaikan maklumat yang mudah kepada pihak keselamatan apabila berlaku sebarang peristiwa yang tidak diingini. Saya amat berharap akan ada insan yang berhati mulia untuk mengambil insiatif menggerakkan pasukan sukarela menjaga kemaman di kawasan tempat tinggal masing-masng. Hasrat ini diletakkan sepenuhnya di atas pundak dan batu jemala tuan-tuan untuk melaksanakannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,
                Bersatu teguh, bercerai roboh merupakan slogan yang sentiasa mendidik kita agar sentiasa bersatu, bersama, dan berusaha untuk mengelakkan ketenteraman dan keamanan di tempat kita. Marilah bersama-sama polis kita mempastikan slogan, ‘Hidup Sejahtera Tanpa Jenayah’.

                                    Kalau ada jarum patah,
                                                Jangan simpan dalam peti;
                                    Kalau ada silap salah,
                                                Jangan simpan dalam hati.

Sekian terima kasih

Percubaan SPM 2014 - 3

Pelbagai masalah mula menekan keluarga seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.
Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga.

            Semua pihak telah maklum bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
          Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM2O justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuma. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
          Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta sesuatu yang di luar upaya ibu bapa seperti ingin akan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan di tempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
          Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung pada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.
                             Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakarsa yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendiri”. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpahan kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.

SPM Percubaan - 2

SPM 2014-2. Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Selaku pengerusi kelab pengguna di sekolah, anda diminta menyampaikan ucapan tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak. Tuliskan ucapan anda selengkapnya.

Salam sejahtera dan selamat pagi. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang, dif-dif jemputan, guru-guru, dan seterusnya saudara saudari rakan-rakan seperjuangan. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan-Nya dapat kita berkumpul di Dewan Wawasan SMK JD pada pagi yang nirmala ini.

Hadirin sekalian,
Tikar pucuk tikar mengkuang,
 Alas nikah raja Melayu,
 Ikan busuk jangan dibuang,
 Buat perencah sidaun kayu.
          Pantun di atas membawa maksud sesuatu yang kurang baik atau rosak janganlah dibuang kerana berkemungkinan masih boleh digunakan. Sewajarnya, berjimat cermat atau hemat berbelanja merupakan resipi utama untuk menangani krisis kegawatan ekonomi yang semakin genting berikutan dengan kenaikan harga minyak yang baru-baru diumumkan oleh Dato’Sri Najib Tun Razak. Taraf hidup yang semakin meningkat telah membawa tempias kepada kos sara hidup yang menekankan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  telah melancarkan Kempen Jom Membawa Bekalan ke sekolah pada bulan April 2014. Selaku pengerusi Kelab Pengguna, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan yang bertemakan langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak demi kesejahteraan hidup dan keharmonian rumah tangga.
          Bagi mengurangkan bahang krisis ekonomi yang gawat , tidak lain dan tidak bukan, kita mestilah  meningkatkan pengetahuan dan cakna dengan hak kita sebagai pengguna. Dengan kemajuan teknologi dan pembangunan yang pesat, corak dan budaya hidup juga telah berubah. Malah trend hidup ini menyumbang ke arah pembaziran dan akhirnya meningkatkan kos sara hidup sesebuah keluarga. Untuk mengelakkan bebanan ekonomi yang ditanggung oleh ibu bapa, kita mestilah bijak dalam hal ehwal kepenggunaan. Pelajar perlu menjadi pengguna bijak yang boleh membezakan antara keperluan dan kehendak. Contohnya, dalam pembelian seharian, sentiasa membuat perbandingan harga, memilih perkhidmatan yang terbaik, membuat pilihan yang tepat serta membeli barangan yang berkualiti kerana alah membeli menang memakai.
           Sebenarnya amalan berjimat cermat dalam sesebuah keluarga banyak bergantung pada sikap kerjasama dan mempunyai persefahaman yang sama. Sebagai ketua keluarga, ibu bapalah yang berperanan untuk menyediakan belanjawan kewangan keluarga manakala anak mestilah dibawa berunding bersama. Melalui belanjawan kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Anak mestilah disuntik kesedaran bahawa ketiadaan belanjawan kewangan akan menyebabkan kita membeli apa-apa sahaja yang difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan semakin berkurangan. Malah, perancangan kewangan penting untuk pengurusan masa depan anak. Ramai daripada kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk bekerja. Amalan tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada kerana hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tumbuh. Oleh itu, ibu bapa dicadangkan masak sendiri di rumah untuk makanan keluarga. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga dan lebih terjamin kebersihannya. Manakala anak mestilah bersama-sama membantu emak untuk menyediakan sajian atau membersihkan pinggang mangkuk selepas menjamu selera. Perbuatan ini bagai menyelam sambil minum air kerana hubungan mawaddah akan semakin rapat sekali gus bebanan ekonomi rumah tangga juga akan mengurang.
Hadirin yang dikasihi,
          Selari dengan matlamat Dasar Pengguna Negara 2020, Program Pendidikan Kepenggunaan memberi fokus kepada usaha membudayakan amalan berjimat cermat dalam merancang perbelanjaan harian. Sejak peringkat akar umbi, pelajar telah dididik tentang aspek pengurusan kewangan dan amalan pemakanan sihat, sama ada melalui modul di dalam kelas atau aktiviti kokurikulum. Oleh itu, Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjayakan Kempen “Jom Bawa Bekal Ke Sekolah”. Untuk mengurangkan bebanan ekonomi keluarga, anak mestilah menyahut seruan pihak kerajaan sebagai langkah menjimatkan wang saku harian. Anak juga akan dapat menikmati pemakanan seimbang yang disediakan dari rumah masing-masing.
          Sewajarnya, anak mestilah memahami bahawa hubungan manusia dengan alam sekitar adalah secara simbiosis. Negara kita masih tidak berjaya mencapai sasaran untuk menjayakan program kitar semula jika berbanding dengan negara yang mesra alam seperti Jerman dan Norway. Malaysia adalah antara negara dengan kadar tertinggi 'Single-Occupancy Vehicles' (SOV) di dunia.Manakala masalah pelupusan sampah semakin kronik seolah-olah tidak terasing lagi dalam kehidupan kita. Anak perlulah dididik supaya memahami bahawa barangan buangan bolehlah dikitar semula supaya menjanakan pendapatan untuk menampung kos sara hidup harian justeru mengurangkan kos perbelanjaan rumah tangga. Contohnya, buku rujukan bolehlah dipinjam daripada pusat sumber dan bukan semata-mata untuk membeli buku yang baharu sahaja. Ijmalnya, tindakan ini akan menerapkan kesederhanaan sikap dan keluhuran akal budi dalam perbelanjaan seharian.
Hadirin sekalian,
          Selain mempunyai ilmu kepenggunaan, mendisiplinkan diri dalam perbelanjaan, mendukungi Kempen Membawa Bekalan ke Sekolah, mempraktikkan Program Kitar Semula, anak juga mestilah diberikan didikan agama sejak kecil lagi. Falsafah masyarakat jahiliah seakan-akan telah menerjah benak minda generasi muda pada zaman pascamodenisasi ini. Pengagungan jenama yang bercorakkan budaya Barat seperti makanan francais.Maka, anak mestilah dididik supaya mengamalkan gaya hidup yang bercorakkan nilai kesederhanaan dan budaya berhemat dalam berbelanja. Kata hadis, pemborosan ialah kawan syaitan telah memanifestasikan bahawa sikap pembaziran bukan sahaja dilaknat oleh Tuhan malahan akan meranapkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat kita. Falsafah ‘rezeki secupak menjadi segantang’ telah lama lenyap ditelan arus pemodenan kerana hidup masyarakat kini lebih bertunjangkan kehendak dan bukan lagi berasaskan keperluan asas. Bayangkanlah, peranti teknologi mewah seperti telefon bimbit sering ditukar-tukar oleh generasi muda tanpa mempedulikan harga mahal. Tegasnya, anak mestilah dilengkapi dengan keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan sejak kecil lagi kerana hanyalah berhemat akan menjamin kecerahan masa depan.        

          Sebagai penghias penutup bicara, memanglah membimbangkan apabila jumlah kes kebankrapan meningkat saban tahun daripada 16,228 orang pada tahun 2009 kepada 21,987 orang pada tahun 2013. Mengikut data tahun 2012 daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, kes kebankrapan turut dialami oleh belia yang berumur di bawah 25 tahun iaitu seramai 130 orang, manakala seramai 3,970 orang berusia antara 25-34 tahun. Memandangkan keseriusan situasi ini, kerajaan mengumumkan satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat. Sebagai anak yang diamanahkan oleh Tuhan untuk menyerikan rumah tangga dan membahagiakan kedua-dua ibu bapa mestilah menggalas obligasi mutlak supaya menanggung bebanan ekonomi ibu bapa bersama pada pundak sejak kecil lagi. Keadaan bagai ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan mestilah ditangani bersama ahli keluarga kerana hanyalah sehati sejiwa dan sederap langkah akan membawa kesejahteraan dan kejayaan kita pada hari muka.

Saudari dan saudari sekalian,
Berhujah sudah, berdebat pun sudah,
Hujah harap bernas sentiasa;
Andai hadirin terasa gundah,
Maafkanlah segala keterlanjuran saya.

Sekian, terima kasih.


leave your name here if you copy this essay

Friday, October 3, 2014

PERCUBAAN SPM 2014 - 1

Amalan kejiranan semakin terpinggir dalam masyarakat pada masa ini. Masyarakat semakin melupakan amalan bergotong royong, kunjung-mengunjungi, dan bertegur- sapa sesama jiran tetangga. Dalam hal ini, keluarga berperanan penting untuk menghidupkan amalan kejiranan ini agar menjadi ikutan anak-anak. Ulas pernyataan ini.
            Sedia kita maklum bahawa, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat dianjurkan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk. “Sepakat membawa berkat,” begitulah kata-kata filsuf silam. Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia.  Kualiti taraf hidup sesebuah negara adalah bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakatnya. Hubungan mesra akan mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangunkan dan memajukan negara , khususnya dalam masyarakat majmuk. Agama menuntut setiap penganut supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran seperti kata hadis yang berbunyi;
' berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh'.
            Ahli keluarga memainkan peranan penting untuk menghidupkan amalan kejiranan dalam jiwa raga anak sejak kecil lagi. Amalan gotong-royong merupakan warisan tradisi yang menerapkan budi pekerti dan moral dalam kalangan masyarakat. Budi pekerti ialah pakaian peribadi manakala akal fikiran pakaian insani. Apabila elok pekerti nescaya terserlahlah nilai-nilai insani seperti nilai kerjasama dan tolong-menolong.  Sudah sewajarnya, anak-anak mesti ditarbiah untuk mencerminkan diri dengan akhlak dan suka membantu jiran tetangga, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri  lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, anak-anak mesti menghiaskan diri dengan hati pemurah seperti suka memberi bantuan kepada sesiapa sahaja, khasnya jiran tetangga yang terdekat dengan kita. Rasullulah pernah bersabda, “ tangan di atas lebih baik tangan di bawah.” Maka, ahli keluarga mestilah berkecimpung dalam aktiviti gotong-royong yang membawa seribu satu berkat seperti semangat perpaduan dan semangat kerjasama akan disuntik dalam jiwa raga anak. Yang terpentingnya, persekitaran akan menjadi bersih dan menjauhi wabak penyakit seperti nyamuk Aedes, Ebola, dan lalat, sekali gus semangat kejiranan akan disemarakkan melalui aktiviti gotong-royong yang diusahakan bersama antara ahli keluarga, umpama rangkap pantun di bawah;
Gunung Pahang sama didaki, Sungai Pahang sama direnang,
Kalau kita bersatu hati,Kerja payah menjadi senang.
            Untuk menghidupsuburkan amalan kejiranan, ibu bapa mestilah menerapkan nilai kasih sayang terhadap setiap jiran tetangga dengan sejati dan lahir daripada tulus hati.  Ahli keluarga mestilah menghayati hikmah di belakang pepatah pepatih yang berbunyi ‘memiat daging, sama sakit sama rasa.’ atau ‘ berat mata memandang, berat bahu lagi memikul.’ Semasa kecil lagi, anak yang diibaratkan kain yang suci kudsi mestilah digalakkan mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi antara jiran tetangga khususnya semasa jiran tetangga ditimpa kesakitan atau dilanda kemalangan. Sejak azali lagi, anak mesti memahami bahawa setiap ummah di bumi adalah saling bergantungan dan hidup secara simbiosis.  Kunjungan  dan perkongsian suka duka akan melahirkan perasaan saling memerlukan, saling membantu dan saling merasai. Sudah menjadi fitrah kepada manusia bahawa perasaan kasih sayang sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kasih sayang dan hubungan  umpama lagu dan melodi yang saling bergantungan demi membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik. Dalam apa-apa jua situasi, hubungan kasih sayang menjadi pengikat hubungan untuk mengukuhkan akar kejiranan . Dengan perasaan kasih sayang yang ikhlas, fenomena seperti salah faham, cemburu, dan dendam kesumat yang berpaksikan hukum beraja di mata dan bersultan di hati antara jiran tetangga akan dikikis sama sekali. Sudah terang lagi bersuluh, anak yang diajar nilai kasih sayang akan belajar menyayangi orang lain di buana ini.
            Bagi menyemarakkan semnagat kejiranan, keluarga khususnya ibu bapa mestilah menjadi peran contohan kepada anak muda. Maulana Elyas iaitu seorang ulamak termasyhur di India pernah bertamsil bahawa jika kepala kereta api sampai ke destinasi, gerabak juga akan sampai ke destinasi. Tamsilan ini bermaksud jika seseorang pemimpin menunjukkan teladan yang baik, anak-anak juga akan mengikut jejak yang sama. Pepatah pepatih sering terngiang-nging dalam masyarakat kita, bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik. Dalam konteks amalan kejiranan, ibu bapa mestilah giat menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Skim Rukun Tetangga, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) atau pasukan sukarela di kawasan sejiran yang berperanan untuk melestarikan kesejahteraan sejiran justeru memelihara kebajikan, keamanan dan keharmonian di kawasan kediaman. Ibu bapa seyogia meluangkan masa menemani anak-anak berjinak-jinak dengan aktiviti amal seperti Hari keluarga dan sukaneka. Dengan itu, aktiviti bersuka ria seperti acara tarik tali, senam robik, dan beraneka pertandingan akan menjalinkan hubungan silaturahim sesama jiran yang berbilang kaum dan lebih mengenali latar belakang mereka, justeru sikap ‘siapa lu siapa wa’ akan dikikis kerana tak kenal maka tak cinta. Tepat sekali disebut oleh seorang aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye yang juga Pengerusi Kelab Pencegah Jenayah Malaysia, kewujudan masyarakat madani adalah dengan mengamalkan kehidupan berjiran. Ijmalnya, muafakat membawa berkat dan hidup berjiran membawa jutaan rahmat.
            Dari sudut negara, ahli keluarga mestilah bersama menghayati prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 selepas kejadian silam hitam 13 Mei 1969. Pertelingkahan dan perselisihan faham antara komuniti telah mencetuskan musibah kepada negara. Doktrin kepercayaan kepada Tuhan menuntut setiap rakyat Malaysia agar memahami bahawa jiran ialah komuniti yang terdekat dengan kita, oleh itu ikatan ukhuwah mestilah diperkasakan melalui sikap kesyukuran kepada setiap jiran tetangga sebagai  darah daging yang tidak dapat dipisahkan. Selain itu, doktrin kesopanan dan kesusilaan merupakan resipi paling mujarab supaya menjadi teras kekuatan masyarakat atau sendi ikatan kesatuan antara komuniti yang berbilang kaum. Dalam konteks keselamatan di kawasan kediaman, ibu bapa mestilah mengingatkan anak supaya setiap peraturan negara dipatuhi kerana prinsip kedaulatan undang-undang merupakan tunjang utama untuk mempertahankan kemerdekaan negara. Sejak kecil lagi, semangat patriotik mestilah ditanam dalam akal budi setiap anak watan pelapis bangsa kerana jenayah di kawasan kediaman merupakan sikap masyarakat yang semakin mengabaikan semangat kejiranan. Sewajarnya, anak-anak mestilah melengkapkan diri dengan nilai penghormatan kepada setiap kaum dan memelihara hak asasi bumiputera yang bernaung di bawah kerajaan yang mempertahankan prinsip demokrasi. Ijmalnya, ibu bapa mestilah membimbing anak ke jalan betul dengan menyelami warisan tradisi yang sudah lama bersebati dengan kehidupan nenek moyang lagi, bak kata tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
            Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, setiap ibu bapa mestilah menjadi kaunselor kepada anak mereka. Ilmu keibubapaan merupakan prasyarat untuk meningkatkan kemahiran komunikasi supaya menyelami hati budi anak dengan mengurangkan jurang generasi yang semakin meluas. Ibu bapa mestilah menggalakkan diri supaya lebih cenderung hidup bermasyarakat. Tamsilannya, rumah terbuka mestilah dianjurkan pada setiap hari perayaan selepas bulan Ramadan supaya menyerikan kehidupan berjiran. Ketika mengadakan rumah terbuka, setiap ahli keluarga bolehlah mengundang jiran tetangga atau sahabat handai yang berbilang kaum ke majlis berkenaan. Secara implisit, pengenalan adat resam, pantang larang, dan kesenian warisan kebudayaan seperti makanan tradisional akan diperkasakan melalui perayaan bersama ini. Apabila ahli masyarakat memahami rambut sama hitam, hati lain-lain, perasaan toleransi dan bertolak ansur akan menebal dalam jiwa raga mereka. Setiap hari perayaan merupakan satu keunikan untuk menjadi kelainan dalam pandangan masyarakat di luar negara. Sikap cinta akan negara akan terselam sekiranya perasaan curiga, prasangka dan syak wasangka telah diganti dengan hati yang bersatu, seperti peribahasa sejunjung bak sirih, seikat bak serai. Situasi perasaan muhibah dimanifestasikan melalui rangkap pantun di bawah;
Harum sungguh bunga melati,Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur,hormat-menghormati,Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.
            Sebagai penghias penutup bicara, keluarga ialah urat nadi dan nukleus untuk membentuk zuriat dan keturunan yang bertamadun. Memandangkan keluarga bahagia ialah struktur sosial yang asas untuk menjana kesejahteraan dan kemakmuran negara kita. Sesungguhnya, semua ahli masyarakat mestilah seia sehati dan sederap langkah untuk menghidupsuburkan semangat kejiranan yang bertunjang di negara kita;
Beras segantang sudah disukat,Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,Negara damai rakyat sejahtera.


LEAVE YOUR NAME HERE IF HAVE COPIED  THIS ESSAY



Monday, September 30, 2013

jawaban objektif

1. D
2.D
3.C
4.D
5.B
6. D
7. C
8. C
9.D
10.C11.C12.C 13. A
14. B 15. A 16. C 17. A 18. C 19. B 20. D

++ KESALAHAN PADA SOALAN PELEPASAN:  masa pelepasan (salah), saya dah lupa mana satu soalan, tolong check saat PELEPASAN

PMR 2013

Langkah-langkah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan
                    “Rumahku , syurgaku”. Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang . Kini , banyak gejala sosial yang berkaitan dengan keluarga sering menghiaskan dada akhbar . Hubungan kekeluargaan yang erat akan menjamin keluaraga bahagia . Tepuk dada tanya selera , apakah langkah-langkah yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan ?
                     Hakikatnya , ibu bapa berperanan signifikan dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan . Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab , kita seyogianya mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh . Hal ini demikian kerana Dr. Fadzilah Kamsah telah memberitahu bahawa , “ pendidikan bermula dari rumah” . Dengan mempunyai kasih sayang yang penuh , anak-anak akan berasa mereka telah diberi perhatian dan seterusnya keluarga itu akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan . Walhasil , sudah terang lagi bersuluh bahawa kasih sayang yang penuh dapat menjamin keluarga bahagia .
                      Selain itu , ibu bapa juga harus memberikan didikan agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya . Ibu bapa wajar mengajar anak-anka untuk membezakan intan daripada kaca supaya mereka tidak mudah terjerumus dalam kegiatan yang bersifat negatif . Anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka . Oleh itu , ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya . Melalui tindakan ini , keluarga itu akan mempunyai hubungan yang erat dan bahagia .
                     Di samping itu , ayah merupakan nakhoda sesebuah keluarga . Oleh itu , ayah haruslah selalu meluangkan masa untuk membawa keluarganya melakukn aktiviti yang berfaedah seperti melancong ke luar negara , berkelah di tepi pantai dan bergotong- royong membersihkan halaman rumah . Hal ini dikatakan demikian kerana dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan . Sememangnya , bersuluh di tengah hari bahawa ibu bapa sewajarnya meluangkan masa yang lebih untuk menemani dan membimbing anak-anak mereka supaya dapat menjamin keluarga bahagia .
                        Seterusnya , anak-anak juga berperanan penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaaan . Anak-anak sewajarnya memberikan prihatin kepada ibu bapa mereka yang baru pulang dari pekerjaan . Hal ini dibuktikan demikian kerana ibu bapa akan berasa gembira kerana mengetahui anak-anak mereka sangat menyayangi mereka . Selain itu , anak- anak juga boleh menyambut kelahiran atau perkahwinan ulang tahun ibu bapa dengan menghadiahi  mereka hadiah yang dibuat sendiri seperti kad hari jadi , bunga kertas dan lain-lain lagi . Anak-anak juga patut belajar dengan bersungguh-sungguh supaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan . Dengan ini , ibu bapa akan berasa besar hati kerana anak-anaknya sangat baik dalam  bidang akademik .
                      Selanjutnya , anak-anak wajib memuliakan dan menjaga maruah diri serta keluarga dengan tidak terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalism , lumba haram , menagih dadah dan sebagainya . Anak-anak yang berjaya wajar mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit . Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik , membimbing dan manjaga kita . Kalau bukan ibu bapa , siapakah kita ? Bahawasanya , bergelanggang di mata orang banyak bahawa anak-anak juga berperanan penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan .

                       Tuntasnya , semua ahli keluarga berperanan dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menjamin keluarga bahagia . Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu . Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur seperti kasih sayang , kerjasama , bertolenransi dan sebagainya . Semua lapisan masyarakat wajar bekerjasama untuk menjamin keluarga bahagia dalam kalangan masyarakat semakin banyak supaya negara kita dapat memacu kegemilanagan di persada dunia .