Pelbagai
masalah mula menekan keluarga seperti peningkatan kos hidup dan masalah
kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk
mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.
Berikan
pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk
membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Semua pihak telah maklum bahawa sepanjang tahun 2008
hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran
tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan
mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan
makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia
masih dalam suasana yang tidak menentu. Beban kewangan adalah antara fenomena
yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak
hendaklah memahami susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai
prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan
apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam
menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat
memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa
berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah
terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik
dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang
dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan
kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat
itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak
mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada
sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan
utilitinya di bawah daripada paras RM2O justeru penggunaan domestik tersebut
adalah percuma. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak yang baik adalah
yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan
kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa
simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah
akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak
seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan
minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali
apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas
kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup
rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta sesuatu yang di luar
upaya ibu bapa seperti ingin akan pakaian yang berjenama dan berselera untuk
makan di tempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak
daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang
sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap
mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa,
anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah
mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa.
Mereka hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab
terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga,
apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah
mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah
besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil
perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar
remaja tetapi masih bergantung pada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan
sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan.
Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik
membuang saudara.
Kaya atau miskin, susah mahupun senang
adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan
terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan
cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih
gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakarsa yang
paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa.
Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai
anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan
sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai
insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan
bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan
dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan
mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib
mereka sendiri”. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon
petunjuk-Nya, nescaya limpahan kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama
kita.
No comments:
Post a Comment