1.Generasi muda perlu dipupuk dengan semangat kesukarelawanan
agar mereka mampu menjadi warganegara yang berkualiti.Tulis tindakan-tindakan yang akan anda ambil bagi menggalakkan
rakan-rakan di sekolah menyertai kegiatan kesukarelawanan ini.
Aktiviti
kesukarelawanan bermaksud menjadi sukarelawan bagi menjalankan pelbagai
kegiatan kemasyarakatan atas pelbagai alasan.(I)Namun begitu, banyak remaja
pada hari ini yang menjauhi aktiviti ini kerana alasan sibuk dan banyak
komitmen lain. (K) Sesungguhnya, isu ini bukan lagi polemik yang tabu diperdebatkan
oleh seantero strata komuniti Malaysia.(K) Walhal, PPPM yang bertujuan untuk
melahirkan remaja yang beridentiti nasional dan beretika amatlah sejajar dengan
arus kemodenan pada abad ke-21 ini. (U) Tegal itu, saya seyogianya mengambil
tindakan yang konkrit untuk menggalakkan rakan supaya melibatkan diri dalam
aktiviti kesukarelawanan seperti MERCY, YAKIN, JPA, Persatuan Bulan Sabit
Merah, RELA dan sebagainya.
Afdalnya,
saya akan memberikan penerangan kepada rakan tentang pengalaman, ilmu dan kemahiran yang akan diperoleh melalui aktiviti
kesukarelawanan. (A) Hal ini bererti, aktiviti ini mendedahkan kita tentang kemahiran insaniah seperti kemahiran berfikir dan
kemahiran memimpin yang akan mempertingkatkan daya saing, daya fikir dan daya juang seseorang. (M) Contohnya,
semasa pergaulan antara ahli sukarelawan,
seseorang individu akan meluaskan pengalaman dan menguasai
bidang lingusitik agar mampu bergaul dengan sesiapa sahaja. (C). Secara
langsung, pendedahan terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling kita - di
dalam negara dan juga di luar negara dapat membuka minda remaja betapa amannya
negara kita berbanding dengan sesetengah negara luar, maka remaja tidak boleh hidup seperti katak di
bawah tempurung. Ilmu sukarelawan juga melatih semua sukarelawan agar menyelamatkan
mangsa dalam masa yang pendek, sifat penyayang dan penderma ini sejajar dengan
falsafah Islam bahawa tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang
menerima.
Selain
itu, saya juga akan memberitahu rakan saya bahawa penyertaan dalam aktiviti ini
merupakan tuntutan semua agama. Hal ini bermakna, semua amalan ibadat menuntut
umat-Nya agar sanggup berkorban dan membantu golongan yang lemah. Semua agama
menuntut kita berbakti kepada masyarakat dan sentiasa memikirkan kebajikan
orang lain dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Dengan mengadakan
aktiviti membantu orang kelainan upaya, rumah orang tua dan rumah kebajikan
anak yatim, remaja tidak lagi bersikap
bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sesungguhya, sifat
iman dan takwa melahirkan insan yang mempunyai akal budi analitis dan mata hati
yang tajam. Semasa membantu mangsa yang ditimpa bencana, kemalangan atau
kesakitan, sifat takwa ini menuntut kita tidak mengharapkan apa-apa ganjaran
dalam bentuk material atau pujian. Walhal, restu dan keredaan daripada Tuhan akan
dikurniakan kepada insan yang berbuat baik. Saya yakin, rakan saya akan memahami falsafah
manusia ada asa, Tuhan ada kuasa dan sanggup memerah keringkat untuk menyertai
aktiviti kesukarelawanan ini.
Di
samping itu, saya akan meyakinkan rakan bahawa perancangan dan pengurusan masa
dengan bijak akan membuahkan hasil yang dicita-citakan. Hal ini ekoran daripada
menyertai aktiviti ini membantu proses kemenjadian insan dan membentuk sifat kemandirian
dalam diri seseorang individu. Contohnya, semasa mengadakan aktiviti
berdarmawisata dan lawatan ke rumah kebajikan, kita akan memupuk sifat empati
dalam diri, bak peribahasa betapa berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul. Nilai disiplin yang ditanam juga mengukuhkan jati diri dan menjauhkan
diri daripada kemelut sosial seperti bersikap nafsu-nafsi bagai raja di mata,
sultan di hati. Tegasnya, rakan yang sealiran dengan saya mampu melayari
bahtera ke hala tuju yang sama, yakni hidup kayu biar berpokok, hidup manusia
biar berjasa.
Sementara
itu, saya tetap akan menjelaskan bahawa aktiviti ini mampu meneguhkan jati diri
bangsa atau identiti nasional kepada rakan saya. Hal ini disebabkan pergaulan dengan mangsa
dari seluruh negara, kita mampu menyelami hati budi setiap mangsa yang berbeza
dari segi ideologi dan latar belakang sosioekonomi. Melalui misi kemanusiaan ke
Gaza, misi bantuan ribut taufan di Filipina,
dan misi kemanusiaan rohingya, rakyat
yang berbilang kaum mampu mengasimilasi, mengakulturasi dan mengadaptasi pemahaman
yang berbeza antara manusia sejagat. Antaranya, Rakan Muda, Mycops, 1M4U dan
JPAM mampu melahirkan pelapis yang bersemangat waja dan berpandangan jauh, bak
peribahasa lautan budi tepian akal.
Saya
juga akan menyarankan rakan-rakan agar menyertai aktiviti kesukarelawanan
kerana dapat mengasah bakat kepemimpinan. Hal ini disebabkan apabila sesuatu
program dan aktiviti dirangka, remaja perlu tampil untuk merangka jadual tugas
dan menggerakkan anggota sukarela. Maka, usaha ini dapat mengasah bakat
kepemimpinan dalam diri remaja. Contohnya, apabila sukarelawan diperlukan di pusat
pemulihan di seluruh negara bagi membantu insan yang kurang bernasib baik, pemimpin
diperlukan untuk menyelaraskan kerja tersebut, hal ini sejajar dengan slogan
kepemimpinan melalui teladan.
Akhirnya,
saya perlu mengingatkan rakan taulan saya bahawa prestasi akademik bukan kayu
pengukur yang mutlak, tetapi perkembangan dari segi rohaniah juga mampu
menjadikan diri kita seorang insan yang berjaya di persada dunia. (A) Antaranya,
ikon sukerelawan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pernah ditembak semasa mengetuai misi kemanusian
MERCY ke Iraq, namun Dr Jemilah masih tegar meneruskan bantuan kemanusian
kepada sesiapa yang memerlukan.(C) Kini, kerajaan beriltizam untuk menjadikan Malaysia
sebagai hab sukarelawan dan negara contoh dalam memperjuangkan hak asasi
manusia sejagat. Yayasan Siswa Sukarelawan telah menjadi platform kepada
graduan untuk menjadi ikon sukarelawan yang akan diberikan anugerah dan pengiktirafan
dalam bentuk wang atau sijil.
Tuntasnya,
wira malim Gunung Kinabalu yang sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan
mangsa yang terkandas di Gunung Kinabalu
pada tahun 2015 lalu mengingatkan masyarakat bahawa aktiviti sukarelawan ialah
usaha murni dan melepasi sempadan. Golongan remaja tidak harus melepaskan
peluang untuk berbakti kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan ini. Aktiviti
ini hanya memerlukan keikhlasan dan jiwa yang besar untuk menghulurkan bantuan
tanpa mengira agama, bangsa dan negara atas dasar kemanusiaan sejagat . Usaha
murni ini perlu dilakukan sejak bangku persekolahan agar sebati dalam jiwa kita,
hal ini seperti yang terungkap dalam pantun;
Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung Daik
bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah, budi baik
dikenang juga.