SPM
2014-2. Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan
ekonomi dalam rumah tangga. Selaku pengerusi kelab pengguna di sekolah, anda
diminta menyampaikan ucapan tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh
dibantu oleh anak-anak. Tuliskan ucapan anda selengkapnya.
Salam
sejahtera dan selamat pagi. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia
Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang, dif-dif jemputan, guru-guru, dan
seterusnya saudara saudari rakan-rakan seperjuangan. Terlebih dahulu saya ingin
memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan-Nya dapat kita berkumpul di
Dewan Wawasan SMK JD pada pagi yang nirmala ini.
Hadirin
sekalian,
Tikar
pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu,
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah sidaun kayu.
Pantun di atas membawa maksud sesuatu
yang kurang baik atau rosak janganlah dibuang kerana berkemungkinan masih boleh
digunakan. Sewajarnya, berjimat cermat atau hemat berbelanja merupakan resipi
utama untuk menangani krisis kegawatan ekonomi yang semakin genting berikutan
dengan kenaikan harga minyak yang baru-baru diumumkan oleh Dato’Sri Najib Tun
Razak. Taraf hidup yang semakin meningkat telah membawa tempias kepada kos sara
hidup yang menekankan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Kementerian
Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah melancarkan Kempen Jom Membawa Bekalan
ke sekolah pada bulan April 2014. Selaku pengerusi Kelab Pengguna, saya telah
diamanahkan untuk menyampaikan ucapan yang bertemakan langkah-langkah hemat
berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak demi kesejahteraan hidup dan
keharmonian rumah tangga.
Bagi mengurangkan bahang krisis
ekonomi yang gawat , tidak lain dan tidak bukan, kita mestilah meningkatkan
pengetahuan dan cakna dengan hak kita sebagai pengguna. Dengan kemajuan
teknologi dan pembangunan yang pesat, corak dan budaya hidup juga telah
berubah. Malah trend hidup ini menyumbang ke arah pembaziran dan akhirnya
meningkatkan kos sara hidup sesebuah keluarga. Untuk mengelakkan bebanan
ekonomi yang ditanggung oleh ibu bapa, kita mestilah bijak dalam hal ehwal kepenggunaan.
Pelajar perlu menjadi pengguna bijak yang boleh membezakan antara keperluan dan
kehendak. Contohnya, dalam pembelian seharian, sentiasa membuat perbandingan
harga, memilih perkhidmatan yang terbaik, membuat pilihan yang tepat serta
membeli barangan yang berkualiti kerana alah membeli menang memakai.
Sebenarnya amalan berjimat
cermat dalam sesebuah keluarga banyak bergantung pada sikap kerjasama dan mempunyai persefahaman yang sama. Sebagai ketua
keluarga, ibu bapalah yang berperanan untuk menyediakan belanjawan kewangan
keluarga manakala anak mestilah dibawa berunding bersama. Melalui belanjawan
kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Anak mestilah disuntik kesedaran bahawa
ketiadaan belanjawan kewangan akan menyebabkan kita membeli apa-apa sahaja yang
difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan semakin berkurangan. Malah,
perancangan kewangan penting untuk pengurusan masa depan anak. Ramai daripada
kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk bekerja. Amalan
tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada kerana hemat pangkal kaya, sia-sia hutang
tumbuh. Oleh itu, ibu bapa dicadangkan masak sendiri di rumah untuk
makanan keluarga. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara
keluarga dan lebih terjamin kebersihannya. Manakala anak mestilah bersama-sama
membantu emak untuk menyediakan sajian atau membersihkan pinggang mangkuk
selepas menjamu selera. Perbuatan ini bagai menyelam sambil minum air kerana
hubungan mawaddah akan semakin rapat sekali gus bebanan ekonomi rumah tangga
juga akan mengurang.
Hadirin
yang dikasihi,
Selari dengan
matlamat Dasar Pengguna Negara 2020, Program Pendidikan Kepenggunaan memberi
fokus kepada usaha membudayakan amalan berjimat cermat dalam merancang perbelanjaan harian. Sejak
peringkat akar umbi, pelajar telah dididik tentang aspek pengurusan
kewangan dan amalan pemakanan sihat, sama ada melalui modul di dalam kelas atau
aktiviti kokurikulum. Oleh itu, Kementerian
Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjayakan
Kempen “Jom Bawa Bekal Ke Sekolah”. Untuk mengurangkan bebanan ekonomi
keluarga, anak mestilah menyahut seruan pihak kerajaan sebagai langkah
menjimatkan wang saku harian. Anak juga akan dapat menikmati pemakanan seimbang
yang disediakan dari rumah masing-masing.
Sewajarnya, anak mestilah memahami
bahawa hubungan manusia dengan alam sekitar adalah secara simbiosis. Negara
kita masih tidak berjaya mencapai sasaran untuk menjayakan program kitar semula
jika berbanding dengan negara yang mesra alam seperti Jerman dan Norway. Malaysia
adalah antara negara dengan kadar tertinggi 'Single-Occupancy
Vehicles' (SOV) di dunia.Manakala masalah pelupusan sampah semakin kronik
seolah-olah tidak terasing lagi dalam kehidupan kita. Anak perlulah dididik
supaya memahami bahawa barangan buangan bolehlah dikitar semula supaya
menjanakan pendapatan untuk menampung kos sara hidup harian justeru
mengurangkan kos perbelanjaan rumah tangga. Contohnya, buku
rujukan bolehlah dipinjam daripada pusat sumber dan bukan semata-mata untuk
membeli buku yang baharu sahaja. Ijmalnya, tindakan ini akan menerapkan
kesederhanaan sikap dan keluhuran akal budi dalam perbelanjaan seharian.
Hadirin sekalian,
Selain
mempunyai ilmu kepenggunaan, mendisiplinkan diri dalam perbelanjaan, mendukungi
Kempen Membawa Bekalan ke Sekolah, mempraktikkan Program Kitar Semula, anak
juga mestilah diberikan didikan agama sejak kecil lagi. Falsafah masyarakat
jahiliah seakan-akan telah menerjah benak minda generasi muda pada zaman
pascamodenisasi ini. Pengagungan jenama yang bercorakkan budaya Barat seperti
makanan francais.Maka,
anak mestilah dididik supaya mengamalkan gaya hidup yang bercorakkan nilai
kesederhanaan dan budaya berhemat dalam berbelanja. Kata hadis, pemborosan
ialah kawan syaitan telah memanifestasikan bahawa sikap pembaziran bukan sahaja
dilaknat oleh Tuhan malahan akan meranapkan kesejahteraan keluarga dan
masyarakat kita. Falsafah ‘rezeki secupak menjadi segantang’ telah lama lenyap
ditelan arus pemodenan kerana hidup masyarakat kini lebih bertunjangkan kehendak
dan bukan lagi berasaskan keperluan asas. Bayangkanlah, peranti teknologi mewah
seperti telefon bimbit sering ditukar-tukar oleh generasi muda tanpa
mempedulikan harga mahal. Tegasnya, anak mestilah dilengkapi dengan keimanan
dan ketakwaan kepada Tuhan sejak kecil lagi kerana hanyalah berhemat akan
menjamin kecerahan masa depan.
Sebagai penghias penutup bicara,
memanglah membimbangkan apabila jumlah kes kebankrapan meningkat saban tahun daripada
16,228 orang pada tahun 2009 kepada 21,987 orang pada tahun 2013. Mengikut data
tahun 2012 daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, kes kebankrapan turut dialami
oleh belia yang berumur di bawah 25 tahun iaitu seramai 130 orang, manakala
seramai 3,970 orang berusia antara 25-34 tahun. Memandangkan keseriusan situasi
ini, kerajaan mengumumkan satu Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian
Meningkat. Sebagai anak yang diamanahkan oleh Tuhan untuk menyerikan rumah
tangga dan membahagiakan kedua-dua ibu bapa mestilah menggalas obligasi mutlak
supaya menanggung bebanan ekonomi ibu bapa bersama pada pundak sejak kecil
lagi. Keadaan bagai ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan mestilah
ditangani bersama ahli keluarga kerana hanyalah sehati sejiwa dan sederap langkah
akan membawa kesejahteraan dan kejayaan kita pada hari muka.
Saudari dan saudari sekalian,
Saudari dan saudari sekalian,
Berhujah
sudah, berdebat pun sudah,
Hujah
harap bernas sentiasa;
Andai
hadirin terasa gundah,
Maafkanlah segala keterlanjuran saya.
Sekian,
terima kasih.
leave your name here if you copy this essay
No comments:
Post a Comment