Amalan kejiranan semakin terpinggir dalam masyarakat pada masa ini.
Masyarakat semakin melupakan amalan bergotong royong, kunjung-mengunjungi, dan
bertegur- sapa sesama jiran tetangga. Dalam hal ini, keluarga berperanan
penting untuk menghidupkan amalan kejiranan ini agar menjadi ikutan anak-anak.
Ulas pernyataan ini.
Sedia kita maklum bahawa, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat
dianjurkan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk. “Sepakat
membawa berkat,” begitulah kata-kata filsuf silam. Malahan, menurut laporan
majalah The Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di
Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Kualiti taraf hidup sesebuah negara adalah bergantung
pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakatnya.
Hubungan mesra akan mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka bahkan
menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangunkan dan
memajukan negara , khususnya dalam masyarakat majmuk. Agama menuntut setiap
penganut supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran seperti kata hadis yang
berbunyi;
' berbuat baik kepada
kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran
tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh'.
Ahli
keluarga memainkan peranan penting untuk menghidupkan amalan kejiranan dalam
jiwa raga anak sejak kecil lagi. Amalan gotong-royong merupakan warisan tradisi
yang menerapkan budi pekerti dan moral dalam kalangan masyarakat. Budi pekerti
ialah pakaian peribadi manakala akal fikiran pakaian insani. Apabila elok
pekerti nescaya terserlahlah nilai-nilai insani seperti nilai kerjasama dan
tolong-menolong. Sudah sewajarnya,
anak-anak mesti ditarbiah untuk mencerminkan diri dengan akhlak dan suka
membantu jiran tetangga, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah
pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu,
anak-anak mesti menghiaskan diri dengan hati pemurah seperti suka memberi
bantuan kepada sesiapa sahaja, khasnya jiran tetangga yang terdekat dengan kita.
Rasullulah pernah bersabda, “ tangan di atas lebih baik tangan di bawah.” Maka,
ahli keluarga mestilah berkecimpung dalam aktiviti gotong-royong yang membawa
seribu satu berkat seperti semangat perpaduan dan semangat kerjasama akan
disuntik dalam jiwa raga anak. Yang terpentingnya, persekitaran akan menjadi
bersih dan menjauhi wabak penyakit seperti nyamuk Aedes, Ebola, dan lalat,
sekali gus semangat kejiranan akan disemarakkan melalui aktiviti gotong-royong
yang diusahakan bersama antara ahli keluarga, umpama rangkap pantun di bawah;
Gunung Pahang sama didaki, Sungai Pahang sama
direnang,
Kalau kita bersatu hati,Kerja payah menjadi senang.
Untuk menghidupsuburkan
amalan kejiranan, ibu bapa mestilah menerapkan nilai kasih sayang terhadap
setiap jiran tetangga dengan sejati dan lahir daripada tulus hati. Ahli keluarga mestilah menghayati hikmah di
belakang pepatah pepatih yang berbunyi ‘memiat daging, sama sakit sama rasa.’
atau ‘ berat mata memandang, berat bahu lagi memikul.’ Semasa kecil lagi, anak yang
diibaratkan kain yang suci kudsi mestilah digalakkan mengamalkan budaya
kunjung-mengunjungi antara jiran tetangga khususnya semasa jiran tetangga
ditimpa kesakitan atau dilanda kemalangan. Sejak azali lagi, anak mesti
memahami bahawa setiap ummah di bumi adalah saling bergantungan dan hidup
secara simbiosis. Kunjungan dan perkongsian suka duka akan melahirkan
perasaan saling memerlukan, saling membantu dan saling merasai. Sudah menjadi fitrah kepada manusia bahawa perasaan
kasih sayang sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kasih sayang dan hubungan umpama lagu dan melodi
yang saling bergantungan demi membentuk suatu tempo yang artistik serta
estetik. Dalam apa-apa jua
situasi, hubungan kasih sayang menjadi pengikat
hubungan untuk mengukuhkan akar kejiranan . Dengan perasaan kasih sayang yang
ikhlas, fenomena seperti salah faham, cemburu, dan dendam kesumat yang berpaksikan hukum beraja di mata dan bersultan di hati antara jiran tetangga akan
dikikis sama sekali. Sudah terang lagi bersuluh, anak yang diajar nilai kasih
sayang akan belajar menyayangi orang lain di buana ini.
Bagi menyemarakkan
semnagat kejiranan, keluarga khususnya ibu bapa mestilah menjadi peran contohan
kepada anak muda. Maulana Elyas iaitu seorang ulamak termasyhur di India pernah
bertamsil bahawa jika kepala kereta api sampai ke destinasi, gerabak juga akan
sampai ke destinasi. Tamsilan ini bermaksud jika seseorang pemimpin menunjukkan
teladan yang baik, anak-anak juga akan mengikut jejak yang sama. Pepatah
pepatih sering terngiang-nging dalam masyarakat kita, bagaimana acuan begitulah
kuihnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik. Dalam
konteks amalan kejiranan, ibu bapa mestilah giat menyertai aktiviti
kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Skim Rukun Tetangga, Jawatankuasa Kemajuan
dan Keselamatan Kampung(JKKK) atau pasukan sukarela di kawasan sejiran yang berperanan
untuk melestarikan kesejahteraan sejiran justeru memelihara kebajikan, keamanan
dan keharmonian di kawasan kediaman. Ibu bapa seyogia meluangkan masa menemani
anak-anak berjinak-jinak dengan aktiviti amal seperti Hari keluarga dan
sukaneka. Dengan itu, aktiviti bersuka ria seperti acara tarik tali, senam robik,
dan beraneka pertandingan akan menjalinkan hubungan silaturahim sesama jiran
yang berbilang kaum dan lebih mengenali latar belakang mereka, justeru sikap
‘siapa lu siapa wa’ akan dikikis kerana tak
kenal maka tak cinta. Tepat sekali disebut oleh seorang aktivis masyarakat,
Tan Sri Lee Lam Thye yang juga Pengerusi Kelab Pencegah Jenayah Malaysia,
kewujudan masyarakat madani adalah dengan mengamalkan kehidupan berjiran. Ijmalnya,
muafakat membawa berkat dan hidup berjiran membawa jutaan rahmat.
Dari sudut negara, ahli
keluarga mestilah bersama menghayati prinsip Rukun Negara yang digubal pada
tahun 1970 selepas kejadian silam hitam 13 Mei 1969. Pertelingkahan dan
perselisihan faham antara komuniti telah mencetuskan musibah kepada negara.
Doktrin kepercayaan kepada Tuhan
menuntut setiap rakyat Malaysia agar memahami bahawa jiran ialah komuniti yang
terdekat dengan kita, oleh itu ikatan ukhuwah mestilah diperkasakan melalui
sikap kesyukuran kepada setiap jiran tetangga sebagai darah daging yang tidak dapat dipisahkan.
Selain itu, doktrin kesopanan dan kesusilaan merupakan resipi paling mujarab
supaya menjadi teras kekuatan masyarakat atau sendi ikatan kesatuan antara
komuniti yang berbilang kaum. Dalam konteks keselamatan di kawasan kediaman,
ibu bapa mestilah mengingatkan anak supaya setiap peraturan negara dipatuhi
kerana prinsip kedaulatan undang-undang merupakan tunjang utama untuk
mempertahankan kemerdekaan negara. Sejak kecil lagi, semangat patriotik
mestilah ditanam dalam akal budi setiap anak watan pelapis bangsa kerana
jenayah di kawasan kediaman merupakan sikap masyarakat yang semakin mengabaikan
semangat kejiranan. Sewajarnya, anak-anak mestilah melengkapkan diri dengan
nilai penghormatan kepada setiap kaum dan memelihara hak asasi bumiputera yang
bernaung di bawah kerajaan yang mempertahankan prinsip demokrasi. Ijmalnya, ibu
bapa mestilah membimbing anak ke jalan betul dengan menyelami warisan tradisi
yang sudah lama bersebati dengan kehidupan nenek moyang lagi, bak kata tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Akhir sekali dan tidak
kurang pentingnya, setiap ibu bapa mestilah menjadi kaunselor kepada anak
mereka. Ilmu keibubapaan merupakan prasyarat untuk meningkatkan kemahiran
komunikasi supaya menyelami hati budi anak dengan mengurangkan jurang generasi
yang semakin meluas. Ibu bapa mestilah menggalakkan diri supaya lebih cenderung
hidup bermasyarakat. Tamsilannya, rumah terbuka mestilah dianjurkan pada setiap
hari perayaan selepas bulan Ramadan supaya menyerikan kehidupan berjiran.
Ketika mengadakan rumah terbuka, setiap ahli keluarga bolehlah mengundang jiran
tetangga atau sahabat handai yang berbilang kaum ke majlis berkenaan. Secara
implisit, pengenalan adat resam, pantang larang, dan kesenian warisan
kebudayaan seperti makanan tradisional akan diperkasakan melalui perayaan
bersama ini. Apabila ahli masyarakat memahami rambut sama hitam, hati
lain-lain, perasaan toleransi dan bertolak ansur akan menebal dalam jiwa raga
mereka. Setiap hari perayaan merupakan satu keunikan untuk menjadi kelainan
dalam pandangan masyarakat di luar negara. Sikap cinta akan negara akan
terselam sekiranya perasaan curiga, prasangka dan syak wasangka telah diganti
dengan hati yang bersatu, seperti peribahasa sejunjung bak sirih, seikat bak
serai. Situasi perasaan muhibah dimanifestasikan melalui rangkap pantun di
bawah;
Harum sungguh bunga melati,Hiasan sanggul amat
memikat;
Bertolak ansur,hormat-menghormati,Mengukuhkan perpaduan
ikatan muafakat.
Sebagai
penghias penutup bicara, keluarga ialah urat nadi dan nukleus untuk membentuk
zuriat dan keturunan yang bertamadun. Memandangkan keluarga bahagia ialah
struktur sosial yang asas untuk menjana kesejahteraan dan kemakmuran negara
kita. Sesungguhnya, semua ahli masyarakat mestilah seia sehati dan sederap
langkah untuk menghidupsuburkan semangat kejiranan yang bertunjang di negara
kita;
Beras segantang sudah disukat,Lalu disimpan di atas
para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,Negara damai rakyat
sejahtera.
LEAVE YOUR NAME HERE IF HAVE COPIED THIS ESSAY
No comments:
Post a Comment