Semasa cuti persekolahan remaja
digalakkan membantu keluarga
masing-masing. Jelaskan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu keluarga semasa cuti persekolahan.
Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Kalau keluarga bersatu hari,
Kerja payah jadi senang.
Pantun di atas memanifestasikan bahawa daya usaha antara ahli keluarga akan
meleraikan semua permasalahan yang ditanggung kerana sepakat membawa berkat. Suatu hadis ada menyatakan, “kehidupan manusia diibaratkan satu badan.
Apabila salah satu daripada anggotanya sakit, maka seluruh tubuh akan terasa
sakit.” Demikianlah gambaran betapa akrabnya kehidupan kita, tambahan pula
apabila berada dalam sebuah keluarga daripada nasab dan darah daging yang sama. Hubungan ahli keluarga adalah
ibarat lagu dengan melodi yang saling bergantungan demi membentuk
suatu tempo yang artistik serta estetik. Maka, tangan ahli keluarga mestilah berpegang untuk melunaskan
tanggungjawab bersama, khasnya pada masa cuti persekolahan selama beberapa
minggu atau bulan yang diperuntukkan kepada anak.
Sebagai remaja yang soleh atau solehah, kita mestilah memahami bahawa
obligasi mutlak yang diamanahkan oleh Tuhan adalah untuk menyerikan atau
membahagiakan kedua-dua ibu bapa kerana anak ialah anugerah kepada ibu bapa.
Semasa cuti persekolahan panjang, anak mestilah menyalurkan bantuan berupa
kewangan untuk meringankan bebanan ekonomi rumah tangga. Contohnya, bekerja
sewaktu cuti persekolahan sebagai pembantu kedai atau peniaga kecil-kecilan
mampu membantu menyara kos sara hidup rumah tangga yang semakin membebankan.
Pada zaman krisis ekonomi yang semakin gawat, kadar inflasi telah menatijahkan
tanggungan ibu bapa semakin dirasai, khasnya dalam kalangan segelintir ibu bapa
atau ahli keluarga yang menganggur, menempuh kesakitan atau dilanda kecacatan. Bebanan ekonomi rumah
tangga bukan sekadar ditanggung oleh ibu bapa sahaja, malahan anak yang sudah
cukup akil baligh seyogia meletakkan bebanan itu pada pundak mereka. Tegal itu,
anak akan menerapkan sikap berdikari dan pasrah dengan takdiran Tuhan. Hidup
ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Anak mesti mengambil
inisiatif untuk mengubah nasib sendiri, seperti nasihat yang dikatakan oleh
Datuk Dr Fadzilah Kamsar bahawa hanya diri sendiri dapat mengubah nasib
sendiri. Sikap sudi membantu ahli keluarga dapat ditonjolkan oleh ikon Malaysia
yang tersohor seperti Tan Seri Syed
Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Datuk Seri Tony Fernandez yang
berjaya menjadi konglomerat dengan
memulakan peniagaan dari bawah.
Selain itu, anak remaja juga boleh memberikan bantuan berupa sumbangan fizikal
kepada ahli keluarga. Seyogianya, anak mesti memahami bahawa ibu ialah wanita
yang berjasa, bak kata pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu, tangan kiri ibu
yang menggoyang buaian akan menggegarkan dunia dengan tangan kanan. Izharnya, mereka
masih perlu membanting tulang empat kerat bekerja di sektor korporat masing-masing
selama berjam-jam seharian, wanita tersebut perlu bergegas balik ke rumah untuk
mengendalikan bahtera rumah tangga seperti memasak, mencuci, membersihkan dapur
dan sebagainya. Sebagai anak soleh atau solehah, kita mesti menghayati isi
tersirat di sebalik peribahasa, berat
mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sesungguhnya, tekanan emosi yg
dialami oleh wanita yang bergelar sebagai ibu adalah tidak berperi. Selain
memahami hati budi ibu, kita mestilah berbakti atau berusaha untuk meringankan
beban ibu di rumah.Realitinya, menjalankan urusan rutin harian di rumah akan membudayakan
disiplin diri yang kental.Secara implisit, pengurusan dan perancangan adalah bermula dari
rumah. Kebiasaan untuk menekankan kebersihan diri akan menjamin kesejahteraan
dalam semua segi. Sikap kepemimpinan dan sikap keterbukaan akan ditonjolkan
dalam urusan seharian supaya memartabatkan imej diri dalam pandangan masyarakat
. Melalui latihan mengurus kerja rumah, anak akan dilatih memiliki kawalan
dalaman seperti menyelami nilai kerajianan dan ketelitian. Semasa di medan
perjuangan, keupayaan mengurus aktiviti harian dapat mempamerkan sistem
tatacara atau tatatertib kerana alah
bisa tegal biasa.
Dalam perspektif keagamaan, bantuan
dari segi mentaliti merupakan resipi efektif untuk menyenangkan ahli keluarga.
Dalam keluarga yang pincang, pasangan suami isteri biasanya berkahwin pada usia
muda tanpa ikatan hubungan mawaddah yang
kukuh. Kes keganasan di rumah tangga seperti penderaan dan penyeksaan yang
menyayat hati akan mencetuskan konflik dalam jiwa ahli keluarga. Sebagai anak yang bertakwa kepada Tuhan, kita mestilah selalu
menaburkan kasih sayang yang sejati kepada pihak yang lemah, bak kata pepatah yang lemah ditopang, yang tegak disokong.
Pada masa cuti sekolah, anak digalakkan menghadiri kursus bimbingan bina jati
diri dan keagamaan bersama dengan ahli keluarga. Anak remaja mestilah berusaha
untuk meyakinkan ahli keluarga lain bahawa nur akan menyuluhi manusia yang
menempuh kesusahan. Segala kepompong
dalam kehidupan merupakan dugaan daripada Tuhan untuk menguji umatnya sebagai
khalifah di bumi ini. Aktiviti keagamaan
dan program motivasi yang dianjurkan oleh majlis amal di kawasan setempat pada
masa cuti sekolah telah membuka peluang kepada ahli keluarga supaya berkumpul
dan bermusyawarah untuk mendengar
rintihan hati masing-masing dan segala konflik yang ditempuh sepanjang masa
akan diselesaikan semasa perkongsian suka duka dijalankan.
Jikalau diselami dengan lebih lanjut lagi, semasa cuti sekolah yang panjang, anak juga boleh menyumbangkan kudrat
untuk membantu ahli keluarga yang menjalankan perniagaan. Ada segelintir ibu
bapa ialah penjaja yang hidupnya bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang. Anak mesti bekerjasama untuk berkongsi jerih perih dan memerah keringat
untuk meringankan bebanan ibu bapa. Melalui sumbangan kudrat dan usaha sama
menjayakan sesuatu perniagaan, keluarga
bahagia akan berjaya direalisasikan justeru mengikis perasaan antagonis seperti
salah faham, dendam kesumat dan cemburu yang berpaksikan hukum bersultan di
hati, beraja di mata. Selain itu, anak juga dapat bekerjasama dengan ahli
keluarga lain untuk menghijaukan persekitaran dengan mengadakan aktiviti
gotong-royong. Kebersihan di rumah tangga akan memastikan kesejahteraan hidup
berumah tangga dan menjauhi wabak penyakit seperti nyamuk Aedes yang semakin
menular dalam masyarakat kita. Ijmalnya, persekitaran yang menghijau bukan sahaja
mesra alam bahkan mewujudkan landskap yang menyenangkan mata. Dalam konteks menerapkan budaya berjimat cermat, membantu keluarga menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah pada masa cuti sekolah juga merupakan alternatif yang diibarat sambil mendiang menanak nasi. Usaha ini akan membolehkan kita menikmati hasil titik peluh semasa memperkebuni tanaman di kawasan kediaman dan sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan rumah tangga.
Dalam sudut hubungan adik-beradik, bantuan dari segi pendidikan akan
menyenangkan ibu bapa yang mengalami masalah kewangan untuk menghantar anak ke
pusat tuisyen. Anak mesti memahami isi tersirat di sebalik peribahasa air yang
dicencang tidak akan putus, atau carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga.
Izharnya, pertelingkahan adik-beradik memerlukan kasih sayang seperti tolak
ansur, faham-memahami, percaya- mempercayai dan nilai keadilan . Sebagai abang long
atau kakak long, kita mesti mendidik adik-beradik yang lemah supaya
meningkatkan prestasi akademik mereka pada masa cuti sekolah. Ijmalnya, keluarga
yang tidak berilmu bagai cacing di perlimbahan, atau sampah masyarakat yang
hanya dipandang hina oleh masyarakat lain. Situasi bagai ayam di kepuk kelaparan, itik di
air kehausan, atau kias pagi makan pagi, kias petang makan petang membayangkan
kehidupan yang daif akan menimbulkan
perasaan antagonis seperti nafsu amarah dan kebencian antara satu lain. Kemiskinan
dalam rumah tangga hanya boleh diubah dengan tahap pendidikan yang tinggi.
Semakin tinggi ilmu, semakin tinggilah martabat dalam masyarakat kita kerana
ilmu penyuluh hidup. Lebih-lebih lagi, amalan bantu-membantu akan merapatkan
hubungan ukhuwah ahli keluarga agar menangani krisis tekanan emosi dalam
kehidupan seharian.
Sebagai penghias penutup bicara, keluarga adalah urat nadi dan nukleus
yang mampu membentuk zuriat dan keturunan yang bertamadun. Budaya
bantu-membantu merupakan nilai kasih sayang dan budi pekerti yang luhur. Tanpa budaya
sanggap berkorban dan bantu-membantu, wujudlah kisah anak-anak jalanan yang
tidak mempunyai harga diri, atau perebutan harta pusaka yang tanpa penghujung. Tanggungjawab anak
adalah sanggup berkorban demi kebahagian hidup ibu bapa. Anak-anak ibarat harta, bak kata
gurindam:
Anak itu umpama sepohon yang rendang,
Lebat daun tumpang teduhannya,
Berbatang sasa teguh teras kayuannya,
Berakar serat berkhasiat majorabat,
Berbuah lebat manis madu aromanya,
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.
No comments:
Post a Comment