Friday, October 17, 2014

formula



Kepentingan PLKN/ kok-/ DAsar 1M1S/ pasukan sukarela/ seni pertahanan diri/ sukan lasak
1.           Pi( pengalaman-ilmu)
2.           BM-badan sihat minda cerdas
3.           Mai-kemahiran insaniah
4.           Sasimi-sahsiah – sikap berpasukan/ karisma
5.           Jadi – jati diri bangsa+perpaduan
6. Di – displin




Penglibatan murid -murid dalam bidang kokurikulum mendatangkan pelbagai faedah. Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada aktiviti kokurikulum tersebut.

       Aktiviti kokurikulum merupakan pelengkap kepada kurikulum di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Dasar 1M 1S yang selaras dengan Dasar Sukan Negara merupakan satu pendekatan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan aktiviti kokurikulum dalam kalangan murid. Perkembangan sains dan teknologi yang pesat telah menatijahkan kemalasan murid untuk bergerak di gelanggang padang dan kelembapan dalam penaakulan akal budi. Oleh itu, penekanan perkembangan seimbang fizikal dan mental dalam kalangan murid adalah penting supaya anak watan kita mampu berdiri teguh dan berwawasan tinggi untuk bertanding dengan barisan pemuda-pemudi dari negara maju. Kemaslahatan aktiviti kokurikulum bagai serampang dua mata, bukan sahaja membangunkan modal insan yang berminda kelas pertama, malahan merupakan wahana untuk menjulang prestig negara di persada dunia.


1.Pi-da sai-mai-kualin-gaul


Sesungguhnya, murid akan menambah pengalaman dan menimba ilmu melalui pelibatan dalam aktiviti kokurikulum. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025) menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan. Pengetahuan merupakan wahana untuk membina masyarakat yang berdaya intelektual dan melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam pasaran global supaya setanding dengan negara-negara maju. Contohnya, Persatuan Bulan Sabit Merah melatih pelajar tentang disiplin ilmu seperti perubatan dan kemahiran rawatan kecemasan. Kelab Cinta Alam akan memberikan ilmu pengurusan baja atau kompos dalam bidang teknologi mesra alam. Kelab Keusahawaan atau Kelab Kepenggunaan akan melatih pelajar berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan pengurusan kewangan sebagai persediaan untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan selepas waktu persekolahan. Lebih-lebih lagi, penyertaan dalam aktiviti kokurikulum merupakan pelengkap kurikulum untuk menambah markah semasa memohom kemasukan institusi pengajian tinggi awam. Pendek kata, ilmu tentang sosiolinguistik melalui pelibatan dalam pelbagai persatuan akan menambah teknik pergaulan pelajar justeru menguasai pelbagai teknik untuk meningkat kualiti hidup selepas tamat alam persekolahan. Ijmalnya, ilmu itu perisai yang penting untuk mengemudi bahtera di tengah-tengah samudera, kepentingan ilmu telah diungkapkan oleh Nabi Muhammad, “tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad”. 


2.BM-bang bang sofitmen – ps iii – sipeme – betah - kuto

Dari sudut gaya hidup sihat, aktiviti kokurikulum seperti sukan penting untuk mencergaskan badan dan mencerdaskan minda seseorang murid. Pembangunan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek dan kerohanian selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara amatlah penting supaya memastikan kesinambungan tamadun bangsa. Melalui aktiviti kesukanan, perkembangan seimbang dari segi sosiologi, fizikal, mental, dan psikometrik akan melahirkan modal insan yang mampu menongkah arus globalisasi yang pantas berubah bagai belut diketil ekor. Secara implisitnya, daya ingatan dan daya imunisasi pelajar akan meningkat supaya mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Melalui pelibatan dalam aktiviti bersukan, seseorang individu akan mempunyai sistem peredaran darah dan proses metabolisme yang lancar, maka bahan kumuhan dan toksik akan disingkir daripada tubuh badan melalui pepeluhan. Pendek kata, aktiviti kesukanan merupakan benteng ketahanan untuk menghadapi kekangan dalam hidup supaya menangani tekanan emosi dengan ceria dan tabah.


3. Mai = kemahiran insaniah
Pada era globalisasi tanpa sempadan ini, selain pencapaian akademik yang cemerlang, seseorang pelajar juga mestilah mempunyai pelbagai kemahiran supaya mempunyai kebolehpasaran dalam alam kerjaya selepas tamat waktu persekolahan.  Pelibatan dalam persatuan akademik, seseorang murid akan dilatih mempunyai kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikrah, kemahiran inovatif dan sebagainya. Sebagai tamsilannya, Persatuan Komputer akan melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif untuk menjanakan kesinambungan tamadun bangsa. Inisiatif pihak kerajaan untuk memajukan aplikasi ICT jelas diperlihatkan dalam Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia dengan memajukan makmal internet dan pembangunan projek 1Bestari Net. Murid yang kreatif dan inovatif akan menyerlahkan bakat dan potensinya melalui keberanian untuk meneroka sesuatu yang baharu. Sebagai contohnya, pelajar dari USM yang mencipta  teknik mengitar semula kertas dengan penyahwarnaan telah diiktiraf oleh pertubuhan Geneva dari luar negara. Kemahiran ini merupakan bekalan untuk melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang, khasnya daam bidang inovasi Pembangunan dan Penyelidikan, atau Sains, Matematik, Teknologi dan Inovasi.

4. Sasimi fiti kkr
Dari segi etika dan nilai integriti, aktiviti kokurikulum akan membentuk sahsiah diri yang ampuh dalam kalangan murid. Memetik kata Sukarno, “lihat masa depan negara lihatlah remaja hari ini.’ Murid merupakan perintis dan pelapis yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Sikap karisme seseorang pemimpin mestilah menonjolkan nilai-nilai integriti seperti amanah, keberanian dan budi pekerti. Melalui aktiviti kokurikulum, murid akan dilatih untuk menjadi pemimpin seperti pengerusi, setiausaha, bendahari atau ahli jawatankuasa sejak bangku sekolah. Kepimpinan melalui teladan merupakan satu prasyarat untuk memastikan murid mencapai kecemerlangan, kegemilangan, dan keterbilangan pada masa hadapan. Pendek kata, pelajar akan mematangkan minda dan berintelektual supaya berfikir serta bertindak dengan kreatif, kritis dan rational.

5. jadi pa
Sebagai agen perpaduan, aktiviti kokurikulum akan melahirkan murid yang mempunyai jati diri bangsa dan bersemangat patriotik. Gagasan 1Malaysia yang diwara-warakan menekankan agenda perpaduan supaya membentuk masyarakat yang dinamik dan pragmatik. Memetik kata Dato’ Sri Najib Tun Razak, “ kita berdiri, kita berfikir, kita bertindak satu bangsa.” Oleh itu, sebagai murid yang bakal menggalas tanggungjawab untuk membangunkan negara, agenda perpaduan merupakan salah satu obligasi yang perlu dipertahankan. Melalui aktiviti barisan perarakan semasa menyambut hari Kebangsaan, semua murid akan berbaris tanpa mengira latar belakang, sosioekonomi, etnik dan kepercayaan. Aktiviti perkhemahan yang terdiri daripada bangsa yang berbeza juga akan menjalinkan hubungan silaturahum justeru wasilah ini akan mengikis perasaan dendam kesumat, curiga dan prasangka antara murid yang berbilang etnik, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Pendek kata, budi pekerti seperti kasih sayang, kerjasama, dan hormat-menghormati akan terserlah dalam jiwa raga setiap murid kerana aktiviti berpasukan akan memahamkan murid bahawa rambut sama-sama hitam, hati lain-lain.

6. Disiplin
Dari dimensi lain, aktiviti kokurikulum seperti sukan, persatuan akademik dan pasukan seragam mampu membudayakan disiplin diri dalam kalangan murid sejak bangku sekolah. (AJ) Disiplin ialah jurupandu untuk melunaskan rutin harian kita kerana mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, kata berpangkal. (M) Contohnya, aktiviti kokurikulum seperti aktiviti berkawad, perkhemahan dan kem bina jati diri akan melatih murid dari segi perancangan masa, pengurusan kawalan dalaman, serta penyelenggaraan hubungan harmonis dgn semua orang dalam sesebuah organisasi. © Secara langsungnya, murid tidak akan membazirkan masa dalam aktiviti yang menghanyutkan diri dalam dunia hedonisme dan liberalisme. Masa ini memang penting kerana masa yang berlalu tidak kembali lagi, khasnya dalam usia remaja yang amat berharga. (K) Ijmalnya, murid yang berdisiplin akan berhati-hati dengan parasit yang akan mengancam konsentrasi. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Tegasnya, aktiviti kokurikulum dapat membentuk murid yang berdisiplin.

Sebagai penghias penutup bicara, murid berperanan untuk menentukan masa depan sesebuah negara. Sejak bangku sekolah, murid mesti dididik supaya memahami isi tersirat di sebalik peribahasa, hidup pokok biar berkayu, hidup manusia biar berjasa. Oleh itu, murid mesti memahami bahawa setiap tingkah laku dan pemikiran mestilah berbakti kepada nusa dan bangsa. Rasullulah pernah mengatakan bahawa anak watan yang mencintai negara ialah sebahagian daripada keimanan. Jelaslah, aktiviti kokurikulum sebagai pelengkap kepada kurikulum di sekolah pentingkan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua segi kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Percubaan Bahagian A - percubaan PP 2o14


 Percubaan Bahagian A - percubaan PP 2o14
 Kepentingan program kitar semula           

           Program kitar semula telah dilancarkan pada 20 Feb 2000 oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Pada 11 Nov setiap tahun, Hari Kitar Semula telah diraikan untuk memastikan kesinambungan alam sekitar. Mengikut laporan daripada kementerian berkenaan,  rakyat Malaysia telah membuang sebanyak 30000 tan sampah ke tapak pelupusan sampah setiap hari dan sebanyak 18 bilion beg plastik telah dibuang dalam tempoh sebulan. Oleh itu, masalah ini perlu ditangani segera sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah kepentingan kitar semula kepada nusa dan bangsa?
          Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan kitar semula dapat memelihara hutan di bumi ini.(AJ) Hutan memanglah penting sebagai sumber rezeki atau tempat rekreasi kepada penghuni di bumi. (M) Contohnya, hutan akan mengekalkan keseimbangan ekosistem untuk memastikan kesinambungan hayat makhluk di buana ini. © Kesannya, habitat di hutan seperti flora dan fauna dapat dipelihara melalui amalan kitar semula. (K) Jelaslah, hutan sebagai kawasan tadahan air akan tergugat sekiranya pokok terus ditebang untuk menghasilkan kertas. Sedia kita maklum, menghasilkan satu tan kertas memerlukan 17 batang pokok dan Malaysia dijangka mengimport kertas terpakai lebih daripada 25,000 tan dengan kos sebanyak RM 4 juta dari luar negara setiap bulan.(P)
          Dari dimensi lain, amalan kitar semula dapat menangani masalah pelupusan sampah yang semakin serius bagai duri dalam daging di Malaysia. (AJ) Mengikut statistik, tapak pelupusan sampah di Malaysia semakin tenat ekoran penambahan populasi yang mendadak. (M) Impaknya, persekitaran yang menjijikkan dan meloyakan akan menjejaskan kesihatan rakyat tempatan, dan sekali gus menyebabkan penularan  wabak penyakit seperti nyamuk Aedes, lalat dan tikus di kawasan setempat. (K) Sudah terang lagi bersuluh, amalan ini penting untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar seperti penambahan sampah di kawasan kediaman khasnya di bandar. (P)
          Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, amalan ini dapat mengelakkan kepupusan sumber alam seperti logam, kertas, dan petroleum. (A) Sumber alam penting sebagai punca pendapatan kepada rakyat seperti industri hijau, kompos, dan bioteknologi yang mesra alam. (M) Secara langsung, alaman ini akan menjimatkan kos dan perbelanjaan isi rumah tangga yang semakin meningkat ekoran kos sara hidup yang tinggi. (K) Contohnya, dengan mengitar semula 1 tin aluminium, kita akan menjimatkan tenaga untuk menghidupkan peti televisyen selama 3 jam. Oleh itu, pengasingan sampah mestilah diselenggara dengan teliti, yakni tong berwarna oren untuk bahan plastik, aluminium, dan logam. Tong berwarna perang untuk kaca manakala tong berwarna biru untuk kertas yang boleh dikitar semula. (C) Tegasnya, amalan kitar semula perlu disokong bersama untuk memastikan kesinambungan tamadun manusia dan bumi kita.
          Intihanya, amalan ini penting untuk genarasi akan datang dan merupakan teras kekuatan masyarakat. Oleh itu, semua pihak mestilah sehati sejiwa dan sehilir semudik bagai bukit sama didaki, lurah sama dituruni untuk menjayakan program kitar semula. © Jangan sekali-kali mengetepikan kepentingan pemeliharaan alam sekitar kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. (A) Dengan itu, diharapkan Malaysia akan mencontohi negara maju yang mendahulukan amalan kitar semula seperti Germany, Belgium, Australia, dan Belanda yang mencapai kadar kitar semula sebanyak 70% tetapi Malaysia hanya sebanyak 3% sahaja.( 48o patah perkataan]

Wednesday, October 15, 2014

Peranan ibu bapa memupuk amaln membca dlm klngn anak2..



Peranan ibu bapa memupuk amaln membca dlm klngn anak2..
1.     Sebagai ikon/ uswah hasanah
2.     Sebagai perunding atau guru pertama. Amalan perkongsian ilmu/ bercerita sebelum tidur/ amalan membawa kitab atau sunah
3.     Sebagai pelindung / menyediakan persekitaran di rumah yang menyerapkan budaya membaca
4.     Sebagai pendorong dan penyuntik semangat – kasih sayang dalam bentuk motivasi dan hadiah
5.     Sebagai pencetus minda – menyertai program satu bulan satu buku, Kempen Membaca Kebangsaan, Hari Buku Sedunia, perpustakaan,
6.     Sebagai penjana kreativiti dan inovatif anak – mengakses ilmu melalui transformasi pendidikan



          Intisari wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasullulah merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kejahilan kepada cahaya keilmuan. Amalan membaca sinonim dengan masyarakat madani yang berdaya intelektual untuk bersaing dalam pasaran global. Buku merupakan jendela pengetahuan yang menanti untuk dibuka. Apabila terpancar sinaran keilmuan yang menerangi kotak minda kita, pemikiran akan terbentang luas justeru mendapat ketenangan dan petunjuk untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Ibu bapa merupakan pembina karakter anak yang tiada galang ganti kerana mereka merupakan guru pertama kepada anak. Memetik sepotong kata hadis, anak ialah kain yang suci kudsi, ibu bapalah yang mencorakkan anak menjadi Majusi atau Nasrani. Sewajarnya, anak ialah anugerah yang diamanahkan oleh Tuhan supaya memastikan kesinambungan tamadun bangsa dan nusa, bak kata gurindam
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.

          Nafkah dan ilmu adalah dua perkara wajib yang perlu dilaksanakan ibu bapa kepada anak-anak. Ibu bapa merupakan mursyid kepada anak dalam hal pembinaan karakter yang mencintai ilmu. Sebelum tidur, selain bercerita, ibu bapa boleh mengumpulkan anak-anak supaya membaca kitab suci seperti Surah al Fatihah, Surah Yassin untuk ketenangan jiwa. Melalui pembacaan kitab sebelum tidur, anak-anak akan membiasakan diri dalam dunia buku yang akan sebati dengan hidup mereka selepas menuju ke alam kedewasaan. Memetik kata pakar motivasi Datuk Dr Fadzilah Kamsah, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Sebelum tidur, ibu bapa boleh mengamalkan budaya bercerita untuk menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita adalah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung mengukuhkan pemahamam minda bawah sedar mereka, dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa berperanan sebagai mursyid atau pelipur lara yang penting untuk membudayakan amalan membaca dalam lubuk kalbu anak.
          Selain kaedah penceritaan dan pendakwahan sebelum tidur, ibu bapa juga berperanan sebagai uswah hasanah yang penting untuk menentukan keperibadian dan minat anak. Sesungguhnya, hanya orang yang menghargai nilai ilmu pengetahuan sebagai kunci kekuasaan tidak akan mengabaikan amalan membaca dalam rutin kehidupannya. Walaupun kesibukan menjalankan tugas bagi memenuhi keperluan asas isi rumah tangga, ibu bapa mestilah menjadi pembaca tegar sepanjang hayat. Sebagai contohnya, ibu bapa mestilah mencontohi ikon membaca sebagai inisiatif untuk menanam sikap mencintai ilmu, seperti kata pepatah-pepatih, bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik, air cucuran atap, jatuhnya ke pelimbahan. Dalam usaha membudayakan amalan membaca, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bermula pada 2009 telah menobatkan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai Ikon Membaca Kebangsaan, Datuk Michelle Yeoh (2010), Tun Dr. Mahathir Mohamad (2012) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sebagai Ikon Membaca Kebangsaan 2014. Ijmalnya, tokoh-tokoh ikon ini perlu dijadikan pemangkin utama dalam mencorakkan pemikiran masyarakat yang suka mengisi masa lapang dengan amalan membaca, baik buku ilmiah mahupun buku picisan seperti kartun dan fiksyen.
          Selain itu, ibu bapa juga merupakan pemantau dan penguat kuasa peraturan di rumah. Dalam konteks pembudayakan disiplin dalam diri ahli keluarga, satu jadual waktu berkeluarga yang sistematik boleh dirangka demi memotivasikan minat membaca dalam kalangan ahli keluarga. Amsalnya, ibu bapa mestilah bijak membuat perancangan masa supaya meluangkan masa untuk menemani anak mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung setiap tahun. Sementara itu, Hari Buku Sedunia yang diilhamkan oleh UNESCO mestilah diraikan bersama sebagai hari sambutan kekeluargaan setiap tahun. Manakala Bulan Membaca Kebangsaan yang berlangsung pada bulan Julai sebagai alternatif lain untuk diraikan bersama oleh ahli keluarga. Sempena Bulan Membaca ini, ibu bapa boleh bertindak sebagai rakan baik kepada anak untuk menyertai pelbagai acara yang dianjurkan seperti pameran, sayembara menulis , Konvensyen Bercerita Asean, Program Take A Break Read@Putrajaya dan sebagainya. Jelaslah, ular yang menyusur akar pokok tidak akan hilang bisanya. Perancangan jadual waktu berkeluarga dan pelibatan dalam pelbagai acara akan mencernakan potensi anak dalam amalan membaca.
          Dari sudut keagamaan, Rasulullah pernah berfirman  “ sesiapa yang menuntut ilmu, pintu syurga akan terbuka untuknya.” Secara fitrahnya manusia memerlukan hubungan kasih sayang yang mengikat akar kekeluargaan yang teguh. Kasih sayang merupakan sifat tuhan yang menjadi anutan manusia supaya disuluhi cahaya keilmuan. Ibu bapa yang penyayang akan menanam budaya membaca dalam lubuk kalbu anak demi kesejahteraan anak pada masa hadapan. Amsalnya, amalan pemberian hadiah buku sempena hari jadi anak merupakan pendorong untuk menyemarakkan semangat membaca terutamanya pada fasa pembentukan jati diri seseorang anak dari usia satu hingga ke enam. Sebagai pelindung anak, ibu bapa juga berperanan untuk menentukan masa depan anak. Ibu bapa merupakan kaunselor kepada anak, sesi diskusi dan perkongsian ilmu selepas pembacaan amatlah berkesan untuk mencambahkan perkembangan kerohanian anak supaya berfikir secara rasional, kritis dan analitikal. Muktasarnya, kemahiran berfikrah anak akan ditanam secara tidak langsung melalui hubungan intim dan hubungan mawaddah dalam persekitaran yang kondusif di rumah tangga.  
          Dari perspektif keilmuan, ibu bapa mestilah menyelami pelbagai disiplin ilmu supaya tidak ketinggalan bagai katak di bawah tempurung. Memetik kata mutiara Cina, hidup setahun tanamlah jagung, hidup sepuluh tahun, tanamlah pokok. Hidup sepanjang hayat, tanamlah manusia. Oleh itu, ibu bapa pada zaman pascamodenisasi ini mestilah berinovatif dan berkreativiti seperti berani menerokai pelbagai sumber ilmu dalam media massa. Contohnya, aplikasi dan peranti teknologi mewah telah mendedahkan masyarakat dalam dunia penerbitan buku yang baharu. Ibu bapa mesti memanfaatkan peranti canggih seperti e-book dan pembelajaran maya yang bersifat interaktif dan animasif. Ibu bapa mestilah mendahului transformasi pendidikan supaya anak-anak didedahkan dengan amalan membaca sejak kecil tetapi pada landasan yang terkawal. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan mengasimilasikan inisiatif Library on Wheels iaitu perpustakaan mini yang disediakan dalam bas-bas awam di Putrajaya hasil usaha sama Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn. Bhd. (PAPSB) dan Jabatan Perdana Menteri. Di rumah, perpustakaan mini yang dilengkapi dengan media teknologi maklumat, alat pendingin hawa, dan perabot yang selesa merupakan aura yang penting untuk membudayakan minat membaca.
          Intihanya, Menurut kajian profil oleh Perpustakaan Negara Malaysia,  kadar bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun bertambah daripada dua buah pada 1996 kepada lapan pada 2010. Sungguhpun kadar bahan bacaan rakyat Malaysia dalam setahun meningkat, namun masih tidak menandingi rakyat di beberapa negara yang berpendapatan tinggi seperti Jepun dan Amerika Syarikat.  Sesungguhnya, kalimah pertama dalam kitab Al - Quran ialah Iqra, bermaksud “Bacalah Kamu”. Sebagai umat manusia, membaca merupakan amanah yang pertama dilaksanakan demi melestarikan kesinambungan tamadun bangsa, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.  Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.




Tuesday, October 14, 2014

Percubaan SPM 2014 - 14 - kelantan



Percubaan Kelantan
2.Sokongan dan dorongan perlu diberikan oleh keluarga terhadap anak-anak yang mempunyai bakat dan potensi dalam bidang tertentu seperti akademik, sukan, dan kesenian. Berikan hujah-hujah anda untuk menyokong pernyataan di atas.

Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia(2013-2025) merangka pembangunan modal insan yang seimbang dari semua segi. Pelajar dilatih supaya memiliki empat sifat utama iatu mempunyai pengetahuan, kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikrah, kemahiran memimpin, dan beretika dan beragama. Kesemua sifat ini merupakan bakat dan potensi dalam bidang tertentu. Tanggungjawab untuk mengesan dan mengembangkan bakat ini  mestilah digalas bersama antara guru, ibu bapa dan komuniti. Sememangnya, keluarga merupakan urat nadi dan nuklues untuk melahirkan zuriat dan keturunan yang bertamadun. Memang tidak dapat dipertikaikan lagi, anak dilahirkan bagai kain yang suci kudsi, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi majusi atau nasrani. Oleh itu, sokongan dan dorongan daripada keluarga merupakan penggerak untuk menggerakkan momentum anak supaya membuahkan putik-putik bakatnya dalam bidang yang diidamkan, bak kata gurindam di bawah
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.

          Sesungguhnya, usaha untuk menyerlahkan bakat dan potensi anak mestilah dilakukan pada fasa yang awal. Menurut kajian psikososial, perkembangan anak dari segi linguistik, biogenetik, atau kesenian adalah semasa berada dalam peringkat embrio. Pada peringkat usia satu ke enam, anak-anak berada dalam persekitaran yang meniru dan menyerap segala informasi yang didedahkan. Oleh itu, sokongan dan dorongan daripada keluarga memanglah merupakan perencah untuk meyakinkan anak-anak supaya mengorak langkah untuk menentukan hala tuju dengan beraninya. Ibu bapalah yang mesti memasang tekad anak supaya menentukan impian  mengikut minat dan kemampuan, bak kata mengukur baju pada badan sendiri. Bakat dan potensi perlulah bertakhta dalam jiwa raga anak agar digilap dan dicungkil menjadi kerjaya pada masa kelak. Pelbagai inisiatif perlu dilakukan oleh ahli keluarga supaya selalu menemani anak melakukan aktiviti kesenian yang bersesuaian dengan minat mereka. Jelaslah impian yang disasarkan berkenaan dengan bakat dan potensi yang dicungkil oleh ahli keluarga sejak kecil lagi.
          Selain sokongan dan dorongan, ahli keluarga mestilah melengkapkan anak supaya menjadi insan yang  beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Melalui pelaksanaan segala tuntutan agama dan amalan ibadat, anak akan melahirkan nilai kesyukuran kepada kurniaan Tuhan dari segi kecerdasan minda atau kecergasan badan. Pakej asas dari segi jasmani, emosi, kerohanian dan intelek akan membentuk sahsiah diri dan ketahanan teguh untuk meneruskan bidang yang diminati seperti sukan, akademik atau kesenian. Oleh itu, selepas menunaikan solat jemaah, ahli keluarga mestilah bermusyawarah untuk mendengar luah hati sambil menyelami akal budi masing-masing. Bakat dan potensi anak lazimnya akan terpendam dalam jiwa yang memerlukan kefahaman daripada ahli keluarga. Memetik kata Granham Bell, “ Tuhan yang menutup sebelah pintu, akan membuka pintu di sebelah yang lain. “ Maka, terbuktilah bahawa Tuhan adalah adil kepada semua makhluk-Nya, segala bakat dan potensi yang dikurniakan kepada anak-anak sebenarnya adalah sama, cuma terpulanglah kepada ahli keluarga yang mencernakan bakat dan potensi ini menjadi sewarna pelangi atau segelap mendung. Ijmalnya, bakat dan potensi anak akan tenggelam dalam perlimbahan tanpa usaha yang dilakukan oleh ibu bapa sejak azali lagi.
          Dari segi warisan atau keturunan genetik, ahli keluarga merupakan uswah hasanah atau cermin perbandingan kepada anak sejak kecil lagi. Sebagai buktinya, Dato’Sri Najib Tun Razak berbakat dalam kemahiran memimpin kerana mengikut jejak bapanya. Begitu juga dengan keluarga Misbun Sidek yang berbakat dalam bidang badminton. Menurut laporan Biogenetik, anak-anak mewarisi 70% daripada bakat dan potensi ibu bapa. Namun, selepas kelahiran, persekitaran akan menentukan perkembangan jiwa dan minat anak. Oleh itu, ahli keluarga mestilah berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif di rumah. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi akan mengeratkan talian darah daging dan akar kekeluargaan. Sesungguhnya, kasih sayang merupakan fitrah kepada semua manusia supaya hidup secara simbiosis dan saling bergantungan umpama lagu dan irama yang didendangkan serentak untuk menghasilkan tempo yang estetik. Dalam keluarga bahagia, ibu bapa sanggup memerah otak dan membanting tulang empat kerat untuk menghantar anak ke pusat muzik, pusat latihan fizikal atau pusat bahasa walaupun menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Ada segelintir keluarga yang sanggup mengikat perut semata-mata hendak membeli peralatan atau perisian kepada anak. Hal ini demikian disebabkan sifat kasih sayang antara ahli keluarga akan menzahirkan nilai pengorbanan dan keprihatinan demi kesejahteraan hidup dalam keluarga. Mukhtasarnya, hubungan intim dan hubungan mawaddah akan menyerlahkan bakat atau potensi anak kerana air yang bening akan terpancar baying yang jernih.
          Dari perspektif kerohanian jiwa, ibu bapa mestilah mendorong anak bergaul dengan ikon yang berjaya dalam pelbagai kerjaya. Rakan sebaya merupakan sumber inspirasi dan harapan kepada anak yang masih berusia setahun jagung. Pemantauan ibu bapa tentang latar belakang rakan taulan anak amat penting untuk memastikan bakat dan potensi anak menuju ke arah yang cemerlang. Tamsilannya, sahabat handai yang mempunyai minat dan hala tuju yang sealiran akan mencernakan kemahiran anak dalam bidang yang sama seperti persatuan robotik, persatuan orkestra dan permainan catur. Manakala pertubuhan yang mengakultasi pelbagai budaya kesenian seperti Pertubuhan Senamrobik, Persatuan seni pertahanan diri dan sebagainya juga mampu mencungkil bakat dan potensi anak yang terpendam. Tegal itu, ibu bapa mestilah sanggup berkorban untuk meluangkan masa dan menemani anak-anak menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak NGO atau pihak swasta. Setiap pengorbanan keluarga akan menghasilkan anak yang bijak mengurus perancangan hidup sebelum kecundang di medan perjuangan. Pendek kata, perumpamaan kawan baik seperti penjual minyak wangi, kawan buruk seperti tukang besi. Hanyalah persekitaran yang beretika dan harmoni mampu mengelakkan anak terkandas dalam perjalanan.

          Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, pembudayaan disiplin dalam kalangan keluarga juga dapat mengembangkan bakat dan potensi anak. Disiplin merupakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan kita. Segala kejayaan bukan sekadar takdiran tuhan, tetapi memerlukan suatu sistem atau tatatertib yang betul. Ibu bapalah yang merupakan jurupandu anak supaya bakat dan potensi dilatih sehingga menuju ke arah kejayaan. Ahli keluarga mestilah menggalakkan anak  supaya berjinak-jinak dengan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Kesanggupan berkorban untuk membawa dan menghantar anak ke sekolah atau pertandingan di pelbagai peringkat amatlah penting untuk menentukan pengurusan masa, perancangan kawalan dalaman serta penyelenggaraan personel dengan semua orang di sekelilingnya. Pelbagai bakat dan potensi yang dicungkil dalam pelbagai bidang akan menjadi kerjaya selepas meninggalkan alam persekolahan. Datuk Lee Chung Wai, Datuk Nicole David merupakan antara tokoh yang berjaya. Izharnya, ibu bapa mestilah memotivasikan anak supaya menumpukan perhatian dalam bidang yang diminati dan sekali gus sering kali menilai tahap disiplin diri anak supaya bakat dan potensi akan terus mekar di peringkat global.

           Sebagai penghias penutup bicara, keluarga ialah unit asas masyarakat. Anak yang mempunyai bakat dan potensi bukan sahaja mampu menempa kejayaan dalam kehidupan sendiri, malahan merupakan pengemudi untuk mengendalikan bahtera rumah tangga pada masa depan. Kerjasama antara ahli keluarga akan mendapat berkat daripada Tuhan kerana muafakat membawa berkat. Bakat dan potesi anak tidak wajar disia-siakan atau dipandang enteng oleh ibu bapa kerana usia remaja hanya sekali sahaja.