Tuesday, October 14, 2014

Percubaan SPM 2014 - 14 - kelantan



Percubaan Kelantan
2.Sokongan dan dorongan perlu diberikan oleh keluarga terhadap anak-anak yang mempunyai bakat dan potensi dalam bidang tertentu seperti akademik, sukan, dan kesenian. Berikan hujah-hujah anda untuk menyokong pernyataan di atas.

Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia(2013-2025) merangka pembangunan modal insan yang seimbang dari semua segi. Pelajar dilatih supaya memiliki empat sifat utama iatu mempunyai pengetahuan, kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikrah, kemahiran memimpin, dan beretika dan beragama. Kesemua sifat ini merupakan bakat dan potensi dalam bidang tertentu. Tanggungjawab untuk mengesan dan mengembangkan bakat ini  mestilah digalas bersama antara guru, ibu bapa dan komuniti. Sememangnya, keluarga merupakan urat nadi dan nuklues untuk melahirkan zuriat dan keturunan yang bertamadun. Memang tidak dapat dipertikaikan lagi, anak dilahirkan bagai kain yang suci kudsi, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi majusi atau nasrani. Oleh itu, sokongan dan dorongan daripada keluarga merupakan penggerak untuk menggerakkan momentum anak supaya membuahkan putik-putik bakatnya dalam bidang yang diidamkan, bak kata gurindam di bawah
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.

          Sesungguhnya, usaha untuk menyerlahkan bakat dan potensi anak mestilah dilakukan pada fasa yang awal. Menurut kajian psikososial, perkembangan anak dari segi linguistik, biogenetik, atau kesenian adalah semasa berada dalam peringkat embrio. Pada peringkat usia satu ke enam, anak-anak berada dalam persekitaran yang meniru dan menyerap segala informasi yang didedahkan. Oleh itu, sokongan dan dorongan daripada keluarga memanglah merupakan perencah untuk meyakinkan anak-anak supaya mengorak langkah untuk menentukan hala tuju dengan beraninya. Ibu bapalah yang mesti memasang tekad anak supaya menentukan impian  mengikut minat dan kemampuan, bak kata mengukur baju pada badan sendiri. Bakat dan potensi perlulah bertakhta dalam jiwa raga anak agar digilap dan dicungkil menjadi kerjaya pada masa kelak. Pelbagai inisiatif perlu dilakukan oleh ahli keluarga supaya selalu menemani anak melakukan aktiviti kesenian yang bersesuaian dengan minat mereka. Jelaslah impian yang disasarkan berkenaan dengan bakat dan potensi yang dicungkil oleh ahli keluarga sejak kecil lagi.
          Selain sokongan dan dorongan, ahli keluarga mestilah melengkapkan anak supaya menjadi insan yang  beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Melalui pelaksanaan segala tuntutan agama dan amalan ibadat, anak akan melahirkan nilai kesyukuran kepada kurniaan Tuhan dari segi kecerdasan minda atau kecergasan badan. Pakej asas dari segi jasmani, emosi, kerohanian dan intelek akan membentuk sahsiah diri dan ketahanan teguh untuk meneruskan bidang yang diminati seperti sukan, akademik atau kesenian. Oleh itu, selepas menunaikan solat jemaah, ahli keluarga mestilah bermusyawarah untuk mendengar luah hati sambil menyelami akal budi masing-masing. Bakat dan potensi anak lazimnya akan terpendam dalam jiwa yang memerlukan kefahaman daripada ahli keluarga. Memetik kata Granham Bell, “ Tuhan yang menutup sebelah pintu, akan membuka pintu di sebelah yang lain. “ Maka, terbuktilah bahawa Tuhan adalah adil kepada semua makhluk-Nya, segala bakat dan potensi yang dikurniakan kepada anak-anak sebenarnya adalah sama, cuma terpulanglah kepada ahli keluarga yang mencernakan bakat dan potensi ini menjadi sewarna pelangi atau segelap mendung. Ijmalnya, bakat dan potensi anak akan tenggelam dalam perlimbahan tanpa usaha yang dilakukan oleh ibu bapa sejak azali lagi.
          Dari segi warisan atau keturunan genetik, ahli keluarga merupakan uswah hasanah atau cermin perbandingan kepada anak sejak kecil lagi. Sebagai buktinya, Dato’Sri Najib Tun Razak berbakat dalam kemahiran memimpin kerana mengikut jejak bapanya. Begitu juga dengan keluarga Misbun Sidek yang berbakat dalam bidang badminton. Menurut laporan Biogenetik, anak-anak mewarisi 70% daripada bakat dan potensi ibu bapa. Namun, selepas kelahiran, persekitaran akan menentukan perkembangan jiwa dan minat anak. Oleh itu, ahli keluarga mestilah berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif di rumah. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi akan mengeratkan talian darah daging dan akar kekeluargaan. Sesungguhnya, kasih sayang merupakan fitrah kepada semua manusia supaya hidup secara simbiosis dan saling bergantungan umpama lagu dan irama yang didendangkan serentak untuk menghasilkan tempo yang estetik. Dalam keluarga bahagia, ibu bapa sanggup memerah otak dan membanting tulang empat kerat untuk menghantar anak ke pusat muzik, pusat latihan fizikal atau pusat bahasa walaupun menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Ada segelintir keluarga yang sanggup mengikat perut semata-mata hendak membeli peralatan atau perisian kepada anak. Hal ini demikian disebabkan sifat kasih sayang antara ahli keluarga akan menzahirkan nilai pengorbanan dan keprihatinan demi kesejahteraan hidup dalam keluarga. Mukhtasarnya, hubungan intim dan hubungan mawaddah akan menyerlahkan bakat atau potensi anak kerana air yang bening akan terpancar baying yang jernih.
          Dari perspektif kerohanian jiwa, ibu bapa mestilah mendorong anak bergaul dengan ikon yang berjaya dalam pelbagai kerjaya. Rakan sebaya merupakan sumber inspirasi dan harapan kepada anak yang masih berusia setahun jagung. Pemantauan ibu bapa tentang latar belakang rakan taulan anak amat penting untuk memastikan bakat dan potensi anak menuju ke arah yang cemerlang. Tamsilannya, sahabat handai yang mempunyai minat dan hala tuju yang sealiran akan mencernakan kemahiran anak dalam bidang yang sama seperti persatuan robotik, persatuan orkestra dan permainan catur. Manakala pertubuhan yang mengakultasi pelbagai budaya kesenian seperti Pertubuhan Senamrobik, Persatuan seni pertahanan diri dan sebagainya juga mampu mencungkil bakat dan potensi anak yang terpendam. Tegal itu, ibu bapa mestilah sanggup berkorban untuk meluangkan masa dan menemani anak-anak menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak NGO atau pihak swasta. Setiap pengorbanan keluarga akan menghasilkan anak yang bijak mengurus perancangan hidup sebelum kecundang di medan perjuangan. Pendek kata, perumpamaan kawan baik seperti penjual minyak wangi, kawan buruk seperti tukang besi. Hanyalah persekitaran yang beretika dan harmoni mampu mengelakkan anak terkandas dalam perjalanan.

          Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, pembudayaan disiplin dalam kalangan keluarga juga dapat mengembangkan bakat dan potensi anak. Disiplin merupakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan kita. Segala kejayaan bukan sekadar takdiran tuhan, tetapi memerlukan suatu sistem atau tatatertib yang betul. Ibu bapalah yang merupakan jurupandu anak supaya bakat dan potensi dilatih sehingga menuju ke arah kejayaan. Ahli keluarga mestilah menggalakkan anak  supaya berjinak-jinak dengan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Kesanggupan berkorban untuk membawa dan menghantar anak ke sekolah atau pertandingan di pelbagai peringkat amatlah penting untuk menentukan pengurusan masa, perancangan kawalan dalaman serta penyelenggaraan personel dengan semua orang di sekelilingnya. Pelbagai bakat dan potensi yang dicungkil dalam pelbagai bidang akan menjadi kerjaya selepas meninggalkan alam persekolahan. Datuk Lee Chung Wai, Datuk Nicole David merupakan antara tokoh yang berjaya. Izharnya, ibu bapa mestilah memotivasikan anak supaya menumpukan perhatian dalam bidang yang diminati dan sekali gus sering kali menilai tahap disiplin diri anak supaya bakat dan potensi akan terus mekar di peringkat global.

           Sebagai penghias penutup bicara, keluarga ialah unit asas masyarakat. Anak yang mempunyai bakat dan potensi bukan sahaja mampu menempa kejayaan dalam kehidupan sendiri, malahan merupakan pengemudi untuk mengendalikan bahtera rumah tangga pada masa depan. Kerjasama antara ahli keluarga akan mendapat berkat daripada Tuhan kerana muafakat membawa berkat. Bakat dan potesi anak tidak wajar disia-siakan atau dipandang enteng oleh ibu bapa kerana usia remaja hanya sekali sahaja.

No comments: