Wednesday, October 15, 2014

Peranan ibu bapa memupuk amaln membca dlm klngn anak2..



Peranan ibu bapa memupuk amaln membca dlm klngn anak2..
1.     Sebagai ikon/ uswah hasanah
2.     Sebagai perunding atau guru pertama. Amalan perkongsian ilmu/ bercerita sebelum tidur/ amalan membawa kitab atau sunah
3.     Sebagai pelindung / menyediakan persekitaran di rumah yang menyerapkan budaya membaca
4.     Sebagai pendorong dan penyuntik semangat – kasih sayang dalam bentuk motivasi dan hadiah
5.     Sebagai pencetus minda – menyertai program satu bulan satu buku, Kempen Membaca Kebangsaan, Hari Buku Sedunia, perpustakaan,
6.     Sebagai penjana kreativiti dan inovatif anak – mengakses ilmu melalui transformasi pendidikan



          Intisari wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasullulah merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kejahilan kepada cahaya keilmuan. Amalan membaca sinonim dengan masyarakat madani yang berdaya intelektual untuk bersaing dalam pasaran global. Buku merupakan jendela pengetahuan yang menanti untuk dibuka. Apabila terpancar sinaran keilmuan yang menerangi kotak minda kita, pemikiran akan terbentang luas justeru mendapat ketenangan dan petunjuk untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Ibu bapa merupakan pembina karakter anak yang tiada galang ganti kerana mereka merupakan guru pertama kepada anak. Memetik sepotong kata hadis, anak ialah kain yang suci kudsi, ibu bapalah yang mencorakkan anak menjadi Majusi atau Nasrani. Sewajarnya, anak ialah anugerah yang diamanahkan oleh Tuhan supaya memastikan kesinambungan tamadun bangsa dan nusa, bak kata gurindam
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.

          Nafkah dan ilmu adalah dua perkara wajib yang perlu dilaksanakan ibu bapa kepada anak-anak. Ibu bapa merupakan mursyid kepada anak dalam hal pembinaan karakter yang mencintai ilmu. Sebelum tidur, selain bercerita, ibu bapa boleh mengumpulkan anak-anak supaya membaca kitab suci seperti Surah al Fatihah, Surah Yassin untuk ketenangan jiwa. Melalui pembacaan kitab sebelum tidur, anak-anak akan membiasakan diri dalam dunia buku yang akan sebati dengan hidup mereka selepas menuju ke alam kedewasaan. Memetik kata pakar motivasi Datuk Dr Fadzilah Kamsah, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Sebelum tidur, ibu bapa boleh mengamalkan budaya bercerita untuk menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita adalah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung mengukuhkan pemahamam minda bawah sedar mereka, dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa berperanan sebagai mursyid atau pelipur lara yang penting untuk membudayakan amalan membaca dalam lubuk kalbu anak.
          Selain kaedah penceritaan dan pendakwahan sebelum tidur, ibu bapa juga berperanan sebagai uswah hasanah yang penting untuk menentukan keperibadian dan minat anak. Sesungguhnya, hanya orang yang menghargai nilai ilmu pengetahuan sebagai kunci kekuasaan tidak akan mengabaikan amalan membaca dalam rutin kehidupannya. Walaupun kesibukan menjalankan tugas bagi memenuhi keperluan asas isi rumah tangga, ibu bapa mestilah menjadi pembaca tegar sepanjang hayat. Sebagai contohnya, ibu bapa mestilah mencontohi ikon membaca sebagai inisiatif untuk menanam sikap mencintai ilmu, seperti kata pepatah-pepatih, bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik, air cucuran atap, jatuhnya ke pelimbahan. Dalam usaha membudayakan amalan membaca, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bermula pada 2009 telah menobatkan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai Ikon Membaca Kebangsaan, Datuk Michelle Yeoh (2010), Tun Dr. Mahathir Mohamad (2012) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sebagai Ikon Membaca Kebangsaan 2014. Ijmalnya, tokoh-tokoh ikon ini perlu dijadikan pemangkin utama dalam mencorakkan pemikiran masyarakat yang suka mengisi masa lapang dengan amalan membaca, baik buku ilmiah mahupun buku picisan seperti kartun dan fiksyen.
          Selain itu, ibu bapa juga merupakan pemantau dan penguat kuasa peraturan di rumah. Dalam konteks pembudayakan disiplin dalam diri ahli keluarga, satu jadual waktu berkeluarga yang sistematik boleh dirangka demi memotivasikan minat membaca dalam kalangan ahli keluarga. Amsalnya, ibu bapa mestilah bijak membuat perancangan masa supaya meluangkan masa untuk menemani anak mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung setiap tahun. Sementara itu, Hari Buku Sedunia yang diilhamkan oleh UNESCO mestilah diraikan bersama sebagai hari sambutan kekeluargaan setiap tahun. Manakala Bulan Membaca Kebangsaan yang berlangsung pada bulan Julai sebagai alternatif lain untuk diraikan bersama oleh ahli keluarga. Sempena Bulan Membaca ini, ibu bapa boleh bertindak sebagai rakan baik kepada anak untuk menyertai pelbagai acara yang dianjurkan seperti pameran, sayembara menulis , Konvensyen Bercerita Asean, Program Take A Break Read@Putrajaya dan sebagainya. Jelaslah, ular yang menyusur akar pokok tidak akan hilang bisanya. Perancangan jadual waktu berkeluarga dan pelibatan dalam pelbagai acara akan mencernakan potensi anak dalam amalan membaca.
          Dari sudut keagamaan, Rasulullah pernah berfirman  “ sesiapa yang menuntut ilmu, pintu syurga akan terbuka untuknya.” Secara fitrahnya manusia memerlukan hubungan kasih sayang yang mengikat akar kekeluargaan yang teguh. Kasih sayang merupakan sifat tuhan yang menjadi anutan manusia supaya disuluhi cahaya keilmuan. Ibu bapa yang penyayang akan menanam budaya membaca dalam lubuk kalbu anak demi kesejahteraan anak pada masa hadapan. Amsalnya, amalan pemberian hadiah buku sempena hari jadi anak merupakan pendorong untuk menyemarakkan semangat membaca terutamanya pada fasa pembentukan jati diri seseorang anak dari usia satu hingga ke enam. Sebagai pelindung anak, ibu bapa juga berperanan untuk menentukan masa depan anak. Ibu bapa merupakan kaunselor kepada anak, sesi diskusi dan perkongsian ilmu selepas pembacaan amatlah berkesan untuk mencambahkan perkembangan kerohanian anak supaya berfikir secara rasional, kritis dan analitikal. Muktasarnya, kemahiran berfikrah anak akan ditanam secara tidak langsung melalui hubungan intim dan hubungan mawaddah dalam persekitaran yang kondusif di rumah tangga.  
          Dari perspektif keilmuan, ibu bapa mestilah menyelami pelbagai disiplin ilmu supaya tidak ketinggalan bagai katak di bawah tempurung. Memetik kata mutiara Cina, hidup setahun tanamlah jagung, hidup sepuluh tahun, tanamlah pokok. Hidup sepanjang hayat, tanamlah manusia. Oleh itu, ibu bapa pada zaman pascamodenisasi ini mestilah berinovatif dan berkreativiti seperti berani menerokai pelbagai sumber ilmu dalam media massa. Contohnya, aplikasi dan peranti teknologi mewah telah mendedahkan masyarakat dalam dunia penerbitan buku yang baharu. Ibu bapa mesti memanfaatkan peranti canggih seperti e-book dan pembelajaran maya yang bersifat interaktif dan animasif. Ibu bapa mestilah mendahului transformasi pendidikan supaya anak-anak didedahkan dengan amalan membaca sejak kecil tetapi pada landasan yang terkawal. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan mengasimilasikan inisiatif Library on Wheels iaitu perpustakaan mini yang disediakan dalam bas-bas awam di Putrajaya hasil usaha sama Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn. Bhd. (PAPSB) dan Jabatan Perdana Menteri. Di rumah, perpustakaan mini yang dilengkapi dengan media teknologi maklumat, alat pendingin hawa, dan perabot yang selesa merupakan aura yang penting untuk membudayakan minat membaca.
          Intihanya, Menurut kajian profil oleh Perpustakaan Negara Malaysia,  kadar bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun bertambah daripada dua buah pada 1996 kepada lapan pada 2010. Sungguhpun kadar bahan bacaan rakyat Malaysia dalam setahun meningkat, namun masih tidak menandingi rakyat di beberapa negara yang berpendapatan tinggi seperti Jepun dan Amerika Syarikat.  Sesungguhnya, kalimah pertama dalam kitab Al - Quran ialah Iqra, bermaksud “Bacalah Kamu”. Sebagai umat manusia, membaca merupakan amanah yang pertama dilaksanakan demi melestarikan kesinambungan tamadun bangsa, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.  Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.




No comments: