Friday, October 17, 2014

formula



Kepentingan PLKN/ kok-/ DAsar 1M1S/ pasukan sukarela/ seni pertahanan diri/ sukan lasak
1.           Pi( pengalaman-ilmu)
2.           BM-badan sihat minda cerdas
3.           Mai-kemahiran insaniah
4.           Sasimi-sahsiah – sikap berpasukan/ karisma
5.           Jadi – jati diri bangsa+perpaduan
6. Di – displin




Penglibatan murid -murid dalam bidang kokurikulum mendatangkan pelbagai faedah. Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada aktiviti kokurikulum tersebut.

       Aktiviti kokurikulum merupakan pelengkap kepada kurikulum di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Dasar 1M 1S yang selaras dengan Dasar Sukan Negara merupakan satu pendekatan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan aktiviti kokurikulum dalam kalangan murid. Perkembangan sains dan teknologi yang pesat telah menatijahkan kemalasan murid untuk bergerak di gelanggang padang dan kelembapan dalam penaakulan akal budi. Oleh itu, penekanan perkembangan seimbang fizikal dan mental dalam kalangan murid adalah penting supaya anak watan kita mampu berdiri teguh dan berwawasan tinggi untuk bertanding dengan barisan pemuda-pemudi dari negara maju. Kemaslahatan aktiviti kokurikulum bagai serampang dua mata, bukan sahaja membangunkan modal insan yang berminda kelas pertama, malahan merupakan wahana untuk menjulang prestig negara di persada dunia.


1.Pi-da sai-mai-kualin-gaul


Sesungguhnya, murid akan menambah pengalaman dan menimba ilmu melalui pelibatan dalam aktiviti kokurikulum. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025) menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan. Pengetahuan merupakan wahana untuk membina masyarakat yang berdaya intelektual dan melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam pasaran global supaya setanding dengan negara-negara maju. Contohnya, Persatuan Bulan Sabit Merah melatih pelajar tentang disiplin ilmu seperti perubatan dan kemahiran rawatan kecemasan. Kelab Cinta Alam akan memberikan ilmu pengurusan baja atau kompos dalam bidang teknologi mesra alam. Kelab Keusahawaan atau Kelab Kepenggunaan akan melatih pelajar berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan pengurusan kewangan sebagai persediaan untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan selepas waktu persekolahan. Lebih-lebih lagi, penyertaan dalam aktiviti kokurikulum merupakan pelengkap kurikulum untuk menambah markah semasa memohom kemasukan institusi pengajian tinggi awam. Pendek kata, ilmu tentang sosiolinguistik melalui pelibatan dalam pelbagai persatuan akan menambah teknik pergaulan pelajar justeru menguasai pelbagai teknik untuk meningkat kualiti hidup selepas tamat alam persekolahan. Ijmalnya, ilmu itu perisai yang penting untuk mengemudi bahtera di tengah-tengah samudera, kepentingan ilmu telah diungkapkan oleh Nabi Muhammad, “tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad”. 


2.BM-bang bang sofitmen – ps iii – sipeme – betah - kuto

Dari sudut gaya hidup sihat, aktiviti kokurikulum seperti sukan penting untuk mencergaskan badan dan mencerdaskan minda seseorang murid. Pembangunan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek dan kerohanian selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara amatlah penting supaya memastikan kesinambungan tamadun bangsa. Melalui aktiviti kesukanan, perkembangan seimbang dari segi sosiologi, fizikal, mental, dan psikometrik akan melahirkan modal insan yang mampu menongkah arus globalisasi yang pantas berubah bagai belut diketil ekor. Secara implisitnya, daya ingatan dan daya imunisasi pelajar akan meningkat supaya mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Melalui pelibatan dalam aktiviti bersukan, seseorang individu akan mempunyai sistem peredaran darah dan proses metabolisme yang lancar, maka bahan kumuhan dan toksik akan disingkir daripada tubuh badan melalui pepeluhan. Pendek kata, aktiviti kesukanan merupakan benteng ketahanan untuk menghadapi kekangan dalam hidup supaya menangani tekanan emosi dengan ceria dan tabah.


3. Mai = kemahiran insaniah
Pada era globalisasi tanpa sempadan ini, selain pencapaian akademik yang cemerlang, seseorang pelajar juga mestilah mempunyai pelbagai kemahiran supaya mempunyai kebolehpasaran dalam alam kerjaya selepas tamat waktu persekolahan.  Pelibatan dalam persatuan akademik, seseorang murid akan dilatih mempunyai kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikrah, kemahiran inovatif dan sebagainya. Sebagai tamsilannya, Persatuan Komputer akan melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif untuk menjanakan kesinambungan tamadun bangsa. Inisiatif pihak kerajaan untuk memajukan aplikasi ICT jelas diperlihatkan dalam Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia dengan memajukan makmal internet dan pembangunan projek 1Bestari Net. Murid yang kreatif dan inovatif akan menyerlahkan bakat dan potensinya melalui keberanian untuk meneroka sesuatu yang baharu. Sebagai contohnya, pelajar dari USM yang mencipta  teknik mengitar semula kertas dengan penyahwarnaan telah diiktiraf oleh pertubuhan Geneva dari luar negara. Kemahiran ini merupakan bekalan untuk melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang, khasnya daam bidang inovasi Pembangunan dan Penyelidikan, atau Sains, Matematik, Teknologi dan Inovasi.

4. Sasimi fiti kkr
Dari segi etika dan nilai integriti, aktiviti kokurikulum akan membentuk sahsiah diri yang ampuh dalam kalangan murid. Memetik kata Sukarno, “lihat masa depan negara lihatlah remaja hari ini.’ Murid merupakan perintis dan pelapis yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Sikap karisme seseorang pemimpin mestilah menonjolkan nilai-nilai integriti seperti amanah, keberanian dan budi pekerti. Melalui aktiviti kokurikulum, murid akan dilatih untuk menjadi pemimpin seperti pengerusi, setiausaha, bendahari atau ahli jawatankuasa sejak bangku sekolah. Kepimpinan melalui teladan merupakan satu prasyarat untuk memastikan murid mencapai kecemerlangan, kegemilangan, dan keterbilangan pada masa hadapan. Pendek kata, pelajar akan mematangkan minda dan berintelektual supaya berfikir serta bertindak dengan kreatif, kritis dan rational.

5. jadi pa
Sebagai agen perpaduan, aktiviti kokurikulum akan melahirkan murid yang mempunyai jati diri bangsa dan bersemangat patriotik. Gagasan 1Malaysia yang diwara-warakan menekankan agenda perpaduan supaya membentuk masyarakat yang dinamik dan pragmatik. Memetik kata Dato’ Sri Najib Tun Razak, “ kita berdiri, kita berfikir, kita bertindak satu bangsa.” Oleh itu, sebagai murid yang bakal menggalas tanggungjawab untuk membangunkan negara, agenda perpaduan merupakan salah satu obligasi yang perlu dipertahankan. Melalui aktiviti barisan perarakan semasa menyambut hari Kebangsaan, semua murid akan berbaris tanpa mengira latar belakang, sosioekonomi, etnik dan kepercayaan. Aktiviti perkhemahan yang terdiri daripada bangsa yang berbeza juga akan menjalinkan hubungan silaturahum justeru wasilah ini akan mengikis perasaan dendam kesumat, curiga dan prasangka antara murid yang berbilang etnik, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Pendek kata, budi pekerti seperti kasih sayang, kerjasama, dan hormat-menghormati akan terserlah dalam jiwa raga setiap murid kerana aktiviti berpasukan akan memahamkan murid bahawa rambut sama-sama hitam, hati lain-lain.

6. Disiplin
Dari dimensi lain, aktiviti kokurikulum seperti sukan, persatuan akademik dan pasukan seragam mampu membudayakan disiplin diri dalam kalangan murid sejak bangku sekolah. (AJ) Disiplin ialah jurupandu untuk melunaskan rutin harian kita kerana mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, kata berpangkal. (M) Contohnya, aktiviti kokurikulum seperti aktiviti berkawad, perkhemahan dan kem bina jati diri akan melatih murid dari segi perancangan masa, pengurusan kawalan dalaman, serta penyelenggaraan hubungan harmonis dgn semua orang dalam sesebuah organisasi. © Secara langsungnya, murid tidak akan membazirkan masa dalam aktiviti yang menghanyutkan diri dalam dunia hedonisme dan liberalisme. Masa ini memang penting kerana masa yang berlalu tidak kembali lagi, khasnya dalam usia remaja yang amat berharga. (K) Ijmalnya, murid yang berdisiplin akan berhati-hati dengan parasit yang akan mengancam konsentrasi. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Tegasnya, aktiviti kokurikulum dapat membentuk murid yang berdisiplin.

Sebagai penghias penutup bicara, murid berperanan untuk menentukan masa depan sesebuah negara. Sejak bangku sekolah, murid mesti dididik supaya memahami isi tersirat di sebalik peribahasa, hidup pokok biar berkayu, hidup manusia biar berjasa. Oleh itu, murid mesti memahami bahawa setiap tingkah laku dan pemikiran mestilah berbakti kepada nusa dan bangsa. Rasullulah pernah mengatakan bahawa anak watan yang mencintai negara ialah sebahagian daripada keimanan. Jelaslah, aktiviti kokurikulum sebagai pelengkap kepada kurikulum di sekolah pentingkan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua segi kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

No comments: