Sunday, November 2, 2014

TIP 6



PENGUKUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Institusi kekeluargaan ialah asas dominan dalam membentuk masyarakat bersatu padu, sejahtera dan harmoni.Kekuatan institusi kekeluargaan perlu dipertahankan agar tidak hanyut sehingga mendatangkan kehancuran kepada masyarakat. Elemen itu menjadi pemangkin kepada pembangunan individu yang idealistik dan prihatin. Tanpa program pengukuhan institusi kekeluargaan yang terancang, fenomena keruntuhan institusi kekeluargaan akan memberi impak besar kepada Malaysia yang memerlukan modal insan yang berilmu dan berwawasan pada masa depan.

       Menurut Perdana Menteri, Dato Sri’ Najib Tun Razak, berdasarkan data Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan tahap Indeks Kesejahteraan Keluarga Negara kini berada pada paras 7.55 daripada skala 10. Institusi kekeluargaan ialah asas kepada kesejahteraan negara. Dengan kata lain, kemajuan tanpa asas kekeluargaan yang kukuh hanya meranapkan tamadun kemanusiaan, sekali gus mengundang bahaya kepada generasi muda.

       Dalam usaha memperkukuh institusi Kekeluargaan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah antaranya mengumumkan bulan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia bermula tahun 2012. Sebagai komitmen berterusan, setiap majikan digalakkan mengadakan sambutan itu. Kerajaan akan menggalakkan sektor swasta dan awam untuk menganjurkan acara hari keluarga bagi kakitangan mereka melalui pengecualian cukai dan inisiatif lain. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, langkah itu dibuat untuk memberi keutamaan kepada perspektif keluarga dalam pembangunan sosioekonomi negara. Hal ini selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)yang dilancarkan pada 17 Jun 2012 menerusi pelaksanaan Dasar Keluarga Negara. Kementerian amat menitikberatkan pengukuhan institusi kekeluargaan kerana merupakan kunci kepada kejayaan sesebuah negara. Selain itu, cuti bersalin untuk isteri dan suami, subsidi penjagaan anak kakitangan awam, taska di tempat kerja, dan Dasar Rumah Pertamaku.

       Menyedari bahawa keluarga merupakan penentu utama bagi negara yang sihat, dinamik, produktif, dan berdaya saing, program yang menyumbang ke arah pengukuhan unit kekeluargaan akan terus diberikan penekanan. Memandangkan berlakunya perubahan terhadap struktur kekeluargaan seperti ditunjukkan oleh pertambahan peratusan keluarga yang mempunyai dwipendapatan, usaha yang lebih gigih akan diambil untuk memastikan peranan keluarga dikekalkan sebagai asas perhubungan sosial, dan penstabil, serta agen penjagaan kepada golongan muda dan tua. Bagi tujuan tersebut, Dasar Keluarga Negara digubal dan diluluskan oleh Kabinet pada 17 Disember 2010 dan dilancarkan bekas Menteri Pembangunanan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 19 Mei 2011 untuk memperkukuh institusi kekeluargaan. Dasar tersebut akan memastikan kesejahteraan keluarga akan diambil kira dalam semua penyediaan dasar, undang-undang, program, kemudahan dan perkhidmatan di negara kita. Contohnya, pemaju yang membina pusat beli-belah mesti mengambil kira faktor keluarga seperti menyediakan tandas atau lorongan untuk golongan OKU atau warga emas.

       Dalam aspek pekerjaan pula, majikan perlu menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak, waktu kerja anjal, cuti kecemasan untuk menjaga anak sakit kerana semua hal ini merangkumi perspektif keluarga. DKN juga mendukung aspirasi kerajaan sebagai pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan(GTP). DKN berfungsi untuk menyediakan sumber tenaga yang berperibadi mulia melalui pengukuhan institusi kekeluargaan.
LPPKN mengadakan siri jelajah di seluruh negara dan  bual bicara yang membabitkan kerajaan negeri, agensi kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat setempat.

       Anak merupakan permata yang tidak ada galang ganti bagi setiap pasangan suami isteri sehingga sanggup berkorban apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak sihat dan selamat. Atas sebab itulah ramai wanita profesional menarik diri daripada sektor pekerjaan bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan anak-anak di depan mata. Perkembangan ini sudah tentunya merugikan kerana kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk pendidikan, iaitu sebanyak 68 peratus kepada pelajar wanita di peringkat universiti, namun hanya 46 peratus sahaja wanita yang tinggal dalam pasaran kerja. Oleh itu, bagi membendung masalah itu kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk sektor swasta menubuhkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak. Bagi Pengerusi Persatuan Pengasuh Berdaftar(PPBM)Malaysia, Shamsinah Che Shariff, langkah ini merupakan usaha kerajaan
bagi membawa kembali kaum wanita ke dalam dunia pekerjaan. Satu kelebihan kepada kaum ibu untuk bekerja dengan tenang dan lapang apabila anak mereka diasuh di tempat jagaan yang berkualiti dan selamat. PPBM yang juga turut serta dalam perbincangan berhubung pembukaan taska ini, menggalakkan bukan sahaja syarikat-syarikat swasta,malah jabatan, dan agensi kerajaan turut sama membuka taska di tempat kerja.

       Sebenarnya, bukan perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah. Malahan, bukan
juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Dato Sri’ Najib Tun Razak, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar
ibu menyertai pasaran kerja. Kajian oleh LPPKN mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal. Hal ini berlaku terutamanya dalam kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun,iaitu sebanyak 71 peratus apabila mencapai peringkat umur sebegini yang merupakan kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu. Kemudahan taska ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya. Dalam mengharungi
kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh. Jadi, sudah tentunya soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang sering diperlekeh oleh majikan apabila pekerjanya memberi
alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak.

       Meninjau pelbagai gejala sosial yang melanda remaja kita hari
ini, pengukuhan institusi kekeluargaan dan menggalakkan nilai-nilai murni telah menjadi semakin penting berbanding dengan zaman dahulu. Institusi kekeluargaan menjadi mangsa pertama apabila anak-anak tidak mendapat perhatian dan bimbingan yang secukupnya telah mengakibatkan kemunculan pelbagai gejala sosial yang mempengaruhi remaja kita. Tambahan pula,
gaya hidup moden dan cabaran semasa adalah antara punca hubungan keluarga menjadi longgar. Kerukunan rumah tangga mula tergugat apabila ibu bapa lebih mementingkan tanggungjawab mencari rezeki sehingga mengabaikan hubungan kekeluangaan. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya mereka dan tidak mampu untuk menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak mereka. Lantaran itu, tidak menghairankan jika mereka akan mencari bimbingan daripada rakan sebaya mereka. Kewujudan tekanan persekitaran rakan sebaya yang negatif akhirnya akan menghasilkan pelbagai gejala sosial. Anak-anak yang
membesar dalam persekitaran sedemikian akan berakhir dengan menjadi mangsa gejala sosial seperti ponteng sekolah, keganasan di sekolah, penyalahgunaan dadah, dan juga jenayah juvenil.

       Peranan ibu bapa bukan terbatas kepada memberikan perlindungan, pendidikan dan keperluan asas sahaja, malah mencakupi soal pembentukan akhlak yang sempurna, serta keperibadian yang unggul agar menjadi generasi sempurna dari setiap sudut. Ibu bapa perlu lebih prihatin tentang kualiti kehidupan keluarga dan perlu sentiasa mengambil inisiatif untuk menanamkan nilai-nilai moral ke dalam diri anak-anak mereka yang diperlukan sebagai asas sebuah masyarakat yang kukuh, stabil, dan bersatu padu. Keadaan ini tidak membawa apa-apa makna untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang dinamik dengan taraf hidup dan pendapatan per kapita yang tinggi jika tidak diimbangi dengan perkembangan nilai-nilai moral, kualiti hidup, dan pembangunan keluarga. Musim cuti persekolahan amat sesuai sekali digunakan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan kerana ketika itu anak-anak berada sepenuhnya di bawah jagaan ibu bapa. Ibu bapa digalakkan membawa anak menemui ahli keluarga atau waris supaya mereka mengenali saudara dan dapat mengukuhkan hubungan sedia terjalin. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk merapatkan hubungan dalam kalangan anak sejak kecil lagi supaya kita dapat melahirkan sebuah masyarakat penyayang.

       Secara tuntas, keruntuhan moral dan akhlak remaja menjadi penyumbang kepada gejala sosial di seluruh negara dapat ditangani dengan berkesan apabila institusi kekeluargaan diperkasakan dengan oleh semua pihak termasuk ibu bapa menyedari peranan masing-masing. Tanpa institusi kekeluargaan yang menjadi tunjang kepada pembangunan modal insan usaha mengawal gejala sosial dalam kalangan remaja tidak dapat dijayakan secara efektif. Biarpun banyak program telah dilaksanakan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memberikan didikan dan kesedaran kepada golongan berkenaan, namun tetap gagal apabila institusi kekeluargaan tidak menjalankan peranannya. Usaha mendidik ini mestilah selari, bukan hanya memberikan didikan dan kesedaran kepada golongan remaja, malah aspek itu juga perlu ditekankan kepada ibu bapa supaya mereka tahu peranan masing-masing dalam usaha menangani krisis yang berlaku dalam keluarga.

No comments: