ISI:
1.Ikon (a) :
program + mencontohi Ikon Membaca Malaysia
Saya akan menyertai program yang berkaitan dengan
budaya membaca( Program Nilam) –
mengikut jejak ikon membaca seperti Mantan Perdana
Menteri, Michelle Yeoh, ( rujuk nota saya dalam blog)-
2. Iman dan
takwa kepada Tuhan supaya menjadikan membaca kitab yang dituruni oleh Tuhan
sebagai minat membaca sejak azali lagi.
- saya akan membiasakan diri dengan aktiviti solat jemaah – membaca
kitab, sunah dan al-Quran sejak kecil sehingga khatam- setiap malam mesti
mendekatkan diri dengan kitab – Rasulluah pernah mengatakan “ tuntutlah ilmu
sehingga ke negera Cina.” – wahyu pertama yg diterima oleh Rasullulah ialah
membaca. ( terangkan kepentingan iman untuk menguatkan pendirian) – selepas
solat berjemaah, sesi bermusyawarah dengan ahli keluarga tentang sesebuah buku
yg telah dibaca
3. mendisiplinkan
diri dengan amalan membaca sejak kecil lagi. – Perancangan masa dengan
waktu membaca - motivasi diri – menjadualkan
bilangan buku yang hendak dibaca
4. ikon (b) –
mencari rakan sealiran yang suka membaca – membentuk kumpulan perkongsian –
berkongsi cerita dalam sesebuah novel – membiasakan diri dengan pertandingan
menulis – mengunjungi pameran buku – perpustakaan -
5. impian _+
inisiatif + gaya hidup sihat
Menentukan hala tuju dan memasang tekad untuk menjadi
insan yang berilmu – memahami kepentingan membaca dalam kehidupan spy menjadi
insan yang bersahsiah tinggi dan dihormati oleh semua orang – mengambil inisiatif
spy rajin membaca – membaca ialah gaya hidup sihat – bersenam dpt mencergaskan
badan membaca mencerdaskan minda – menjauhi kegiatan yg akan membejatkan akhlak
Soalan : ‘MENYUBURKAN
BUDAYA MEMBACA’. Bincangkan
Saban
tahun lautan pengunjung dan ulat buku
yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, sekali gus membuktikan
rakyat negara ini sememangnya masyarakat yang cinta akan buku. Perkembangan ini
mampu memberi impak positif kepada industri buku dalam memupuk minat membaca yang tinggi, di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi
negara pada masa hadapan. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan
Statistik Negara 2008, kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah
tinggi berbanding dengan negara Asia Tenggara lain. Statistik ini berkemungkinan
besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang
dilaksanakan. Di samping itu, kewujudan Dasar
Buku Negara turut meningkatkan tabiat membaca rakyat Malaysia. Secara tidak
langsung, fenomena ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan, namun usaha berterusan perlu dilakukan bagi
meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di
dunia.
Sebenarnya, indikator bagi sebuah
negara maju ialah rakyatnya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku
setahun dan kebanyakan negara maju seperti Jepun telah melepasi tahap berkenaan.
Sebuah negara yang sedang menuju ke tahap negara maju seharusnya memiliki
generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju
banyak bergantung pada kemampuan ilmu
pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Akan tetapi, kadar membaca di negara kita masih
rendah dan belum menjadi budaya hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia
yang pernah dilaporkan media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah buku
setahun menunjukkan negara masih berada di belakang. Namun, kadar itu dilihat
petanda positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca ialah
dua buku setahun ketika itu. Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti
pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi
memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah
pembentukan sebuah negara maju. [*kepentingan1-menjadi
negara maju]
Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar
membaca. Membaca bukan sahaja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di
segenap peringkat, tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca
ada semacam kekosongan dalam hidup dan sebab itu mereka mampu menempa kemajuan
dan perubahan. Jika diambil contoh negara Jepun, purata rakyatnya membaca 40
buah buku setahun, manakala di Amerika kajian dilakukan Pusat Kajian Pew
mendapati rakyat negara itu yang berusia 16 tahun ke atas membaca 17 buah buku
setahun. Teras Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia adalah untuk menjadikan
masyarakat Malaysia kaya dengan ilmu dan maklumat. Pemimpin yang menjadikan
buku sebagai teman ialah pemimpin yang berfikiran matang, berfikiran jauh,
berilmu luas. Dengan kata lain, di negara-negara maju budaya membaca dalam
kalangan warga negara mereka sudah berada pada tahap tinggi. Kita dapat melihat
banyak orang yang memegang buku ketika beratur, membaca di dalam kapal terbang,
membaca sambil menunggu bas apabila ada sahaja masa terluang. [*kepentingan-melahirkan pemimpin berwawasan]
Sebenarnya pesta buku sungguhpun
diadakan setiap tahun, namun budaya membaca masih lagi rendah. Keadaan ini
berbeza dengan pesta tahunan di Edinburgh,
London dan Frankfurt yang diadakan pada Mac dan Oktober yang bukan sahaja
membabaitkan jualan buku terlaris, bahkan mengekalkan suasana pembacaan. Mereka
juga mesra buku terpakai, karya terbuang yang dibaik pulih. Pesta Buku Edinburg tidak pernah sunyi
dengan maklumat ‘Bookstart’, iaitu kempen pembacaan untuk kanak-kanak. Kempen Bookstart diiktiraf oleh organisasi
perbukuan seperti International Board on
Books for Young People (IBBY) dan diguna pakai di pelbagai negara untuk
melatih dan menggalakkan ibu bapa mendidik anak membaca sejak bayi. Mereka juga
mempunyai Oxfam – peruncit buku lama
yang terbesar di Eropah dengan jualannya lebih 11 juta buah buku setiap tahun.
Ada 750 buah kedai Oxfam di seluruh United Kingdom menjual buku dan lebih 100
daripadanya kedai buku atau kombinasi kedai buku dan muzik. Buku dijual hasil
daripada derma orang ramai. Petugasnya pula terdiri daripada tenaga sukarela.
Sementara itu, di Jepun pula budaya membaca sehangat sukan judo dan bola sepak
dalam kalangan rakyatnya. Di mana-mana sahaja buku menjadi teman sejati
termasuk di dalam tren selaju 250 kilometer sejam. Budaya membaca diamalkan
seawal kanak-kanak di ‘Hoiku-en atau ‘Yochi-en’ (tadika). Mereka disogokkan
dengan buku cerita dilengkapi halaman khas (lazimnya di kulit belakang)
dipenuhi gambar berulang sebagai info ulang kaji kanak-kanak awal persekolahan.
Setiap kali selesai membaca, kanak-kanak diarahkan mewarna gambar sebagai latihan minda.
Fenomena tersebut jelas menunjukkan
bahawa membaca juga sering dihubungkaitkan dengan kesempatan membaca. Keadaan
ini menunjukkan kita masih berada di belakang jika kita ingin memastikan
masyarakat negara ini menjadi rakyat yang bermaklumat serta mampu menyumbang
kepada kemajuan negara bangsa. Cara hidup kita berbeza dengan masyarakat negara
maju walaupun kita sering klise
dengan Wawasan 2020. Hal ini demikian kerana budaya membaca belum lagi menjadi
rutin dalam kalangan kita. Kajian membuktikan banyak orang yang membaca
semata-mata untuk mendapatkan sijil atau ijazah , tetapi meninggalkan bahan
bacaan apabila sudah berkerjaya. Ironisnya, di pusat pengajian tinggi negara kita
budaya membaca hanya pada musim peperiksaan sahaja. Perpustakaan akan kembali
lenggang apabila musim peperiksaan berakhir dan kebanyakan buku di dalamnya
tidak tersentuh oleh generasi hari ini. Mungkin banyak orang yang sudah lupa
akan program NILAM yang dianjurkan di peringkat sekolah satu ketika dahulu bagi
meningkatkan jumlah buku yang dibaca oleh pelajar. Sesetengah pihak pula
berpendapat bahawa setelah tamat persekolahan atau pengajian, membaca sudah
tidak perlu lagi. Banyak masa mereka dihabiskan di hadapan media elektronik
bagi mendapatkan bahan-bahan yang bercorak hiburan, picisan malah kadang-kadang
melalaikan. Tanggapan sebegini perlu dikikis daripada persepsi masyarakat yang
menuju status negara maju kerana pengetahuan tidak hanya sampai di peringkat
sekolah mahupun universiti sahaja.
Seperti yang kita sedia maklum bahawa
budaya membaca menjadi salah satu kayu pengukur yang membezakan sesebuah negara
itu maju atau mundur kerana tahap intelektual rakyat yang berbeza di negara
berkenaan. Kemajuan dan pembangunan pasat sesetouah negara itu tidak bermakna
jika jiwa rakyatnya 'kosong' tanpa diisi dengan pengetahuan melalui budaya
membaca. Hal ini demikian kerana rakyat di kebanyakan negara maju menjadikan
amalan membaca sebagai cara hidup kerana bagi mereka biarpun berpeluang belajar
tinggi, ilmu pengetahuan perlu terus ditimba. Kini, membaca bukan lagi merujuk
kepada bahan bacaan konvesional seperti buku dan majalah, tetapi boleh
dilakukan dengan menggunakan media elektronik. Lambakan bahan bacaan digital
seperti surat khabar elektronik turut membantu masyarakat mengakses maklumat
secara percuma serta mudah diakses di Internet dengan pantas. Masyarakat hari
ini seharusnya tiada alasan untuk tidak membaca kerana selain bahan bacaan yang
ada di serata tempat, teknologi yang ada turut memberi banyak kemudahan untuk
mendapatkan bahan bacaan. Semakin banyak bahan bacaan yang ditelaah, semakin
banyak maklumat diperoleh dan dengan maklumat itu pelbagai kemajuan dan cabaran
dapat diatasi lebih berkesan. Oleh itu, budaya membaca perlu disuburkan dari
semasa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan
dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini. Maka dengan
itu, objektif pengembangan budaya membaca dalam kalangan rakyat wajar dilihat
dari aspek memperkasakan agenda nasional untuk membina tamadun negara, bangsa
dan pembangunan modal insan yang berilmu pengetahuan.
Sehubungan dengan itu, penglibatan
semua pihak termasuk institusi kekeluargaan haruslah memainkan peranan dalam memupuk
budaya membaca kepada anak-anak seawal mungkin supaya mereka membesar dengan
membawa bersama amalan itu. Menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat
bukanlah tugas kerajaan atau pemimpin sahaja, tetapi yang paling banyak
memainkan peranan ialah ibu bapa di rumah.Untuk menyemai budaya suka membaca,
ibu bapa dan keluarga harus memainkan peranan memastikan hobi dan tabiat
anak-anak mereka terhadap pembacaan adalah kekal dari mula mereka mengenal apa-apa
itu buku sehingga dewasa. Anak-anak akan berasa senang berjinak dengan buku
sekiranya melihat ahli keluarga terutamanya ibu dan bapa mereka membaca di
rumah pada masa lapang. Oleh itu, amalan pembacaan dalam kalangan ibu bapa
perlu dijadikan contoh kepada anak-anak untuk membiasakan diri mereka menjadikan
buku rakan karib mereka. Berdasarkan hakikat ini, setiap keluarga perlu mengadakan
sudut perpustakaan keluarga untuk menyemai tabiat suka membaca dalam kalangan
keluarga, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga. Sudut
perpustakaan keluarga adalah ruang, sudut ataupun bilik bagi menempatkan bahan
bacaan, rujukan serta bahan elektronik seperti komputer, televisyen, alat
rakaman atau video yang mengandungi maklumat serta pengetahuan yang boleh
dijadikan khazanah ilmu terkumpul untuk dimanfaatkan oleh seisi keluarga.
Tegasnya, penglibatan ibu bapa turut membaca bersama anak-anak diyakini mampu
memberikan dorongan kepada mereka untuk menerapkan budaya berkenaan pada masa
hadapan.
Pepatah Melayu ada mengatakan melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah tradisi memupuk budaya membaca. Budaya
ini harus bermula dari alam persekolahan, alam pendidikan tinggi sehinggalah ke
alam pekerjaannya. Dalam konteks pendidikan formal, sudah pasti alam
persekolahan menjadi destinasi terbaik untuk menyuburkan tradisi budaya
membaca. Usaha Kementerian Pendidikan khususnya BahagianTeknologi Pendidikan
(BTP)melalui pelaksanaan program NILAM atau ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca’ dalam memupuk
budaya membaca berterusan di peringkat persekolahan merupakan suatu usaha murni
yang cukup bermakna dalam konteks membina budaya ilmu masyarakat Malaysia
sejajar dengan harapan Falsafah Pendidikan Negara. Melalui program NILAM yang
terangkum dalamnya rancangan memupuk budaya membaca secara terancang dan
berterusan melalui aktiviti galakan membaca di sekolah. Program NILAM yang mula
dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sejak 1999.
Pihak BTP setiap tahun menganjurkan Anugerah Nilam Kebangsaan dan Tokoh Pembaca
Kebangsaan. Pemberian anugerah ini merupakan petanda kukuh sebagai penghormatan
terpuji kepada para pelajar yang komited dengan dunia pembacaan yang dinilai
berdasarkan buku rekod pembacaan, penghayatan, apresiasi pembacaan, kebolehan berhujah, dan berfikir kritis, serta
kemahiran menulis. Anugerah peringkat kebangsaan sedemikian merupakan yang
pertama di Asia dan usaha BTP tersebut merupakan langkah yang jauh ke hadapan
dalam konteks membina budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia secara
terancang dan sistematik.
Jika dilihat daripada falsafah
tersirat program NILAM bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang mengamalkan
budaya membaca bukan sahaja selepas tamat persekolahan tetapi berterusan ke
alam pekerjaan. Hal ini merupakan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan
kerana kita sering mendengar keluhan bahawa para pelajar yang meninggalkan
persekolahan dan pendidikan tinggi akan menurun minat membacanya apabila
memasuki alam pekerjaan. Kalau membaca pun hanyalah yang berkaitan dengan
bidang mereka, samalah seperti mereka membaca hanya untuk tujuan peperiksaan. Jadi, kita tidak dapat melahirkan pembaca yang
holistik dan pembacaannya merentas pelbagai disiplin ilmu. Dengan kata lain,
apa-apa yang diinginkan daripada tujuan akhir NILAM termasuk melahirkan 'ulat
buku’, atau 'pencinta buku’ yang perlu disemai dan diusahakan. Oleh itu,
barangkali kejayaan terbesar program NILAM adalah apabila kita dapat melahirkan
Nur Amalina Che Bakri sebagai Tokoh Pembaca Kebangsaan yang pertama pada tahun
2004 dan daripada kategori sekolah kawasan luar bandar. Sementara itu, Nur
Amalina akhirnya muncul sebaga pelajar keseluruhan terbaik SPM tahun 2004. Hal
ini dengan jelas menunjukkan amalan membaca berterusan memberi impak yang besar
kepada keputusan akademik walaupun budaya membaca itu bukan sekadar untuk
memenuhi keperluan akademik tetapi memenuhi makna kehidupan itu sendiri.
Pada umumnya, tabiat membaca adalah
suatu amalan yang baik untuk mendedahkan diri seseorang kepada ilmu pengetahuan
dan peristiwa. Tabiat membaca seperti orang memakan nasi dan tanpa makanan,
ibarat tidak lengkap hidup ini. Tanpa membaca ibarat tidak sempurna kehidupan
hariannya. Pembacaan merupakan santapan minda dan bahan santapan yang baik akan
menghasilkan minda yang berkualiti. Sehubungan dengan itu, Lord Bacon, seorang
ahli falsafah Inggeris pernah mengatakan bahawa “membaca menjadikan seseorang
itu berisi”. Maksudnya manusia yang berisi dengan ilmu pengetahuan; berisi
dengan cara berfikir dan pandangan hidup yang luas, kritis, rasional; berisi
dengan kemampuan untuk membezakan sesuatu yang buruk dan yang benar. Seseorang
yang mempunyai tabiat membaca yang baik bukan sahaja mempunyai minat yang
tinggi terhadap pengetahuan, maklumat dan ilmu,
tetapi menyebabkan dorongan untuk membaca tidak boleh disekat. Mereka
akan membaca di mana-mana sahaja dan kadang-kadang membaca apa-apa sahaja bahan
yang ada. Tanpa bahan yang dibaca mereka menjadi resah kerana membaca bagi mereka
suatu kepuasan. Menerusi pembacaan seseorang itu dapat menambah maklumat ,
meluaskan pengetahuan, meningkatkan penguasaan ilmu, dan memahami sesuatu
peristiwa yang berlaku.
Dari perspektif agama pula, Islam
sentiasa menganjurkan manusia membaca. Ayat yang pertama daripada Allah kepada
Nabi kita ialah ‘iqra’ atau ‘Bacalah’. Al-Quran juga mengingatkan manusia
tentang kepentingan akal untuk membolehkan manusia berfikir dan jalan
mengembangkan pemikiran adalah menerusi membaca. Amalan membaca yang tinggi
menjadikan seseorang itu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih. Allah juga
memberikan pedoman bahawa tidak sama darjat orang yang berilmu dengan orang
yang tidak berilmu. Darjat ilmu boleh didapati menerusi pembacaan dan begitulah
pengaruhnya dalam kehidupan diri seseorang itu. Sementara itu, masyarakat yang
miskin ilmu akan terus ketinggalan kerana ilmu pengetahuan adalah asas bagi
pembentukan masyarakat dan negara yang makmur.
Kesimpulan
Secara tuntas,
amalan membaca perlu sentiasa disuburkan sebagai budaya masyarakat di negara
ini bagi mewujudkan sebuah negara yang maju. Lantaran itu, asas untuk membawa
sebuah negara dan bangsa ke hadapan ialah rakyatnya perlu dipupuk dengan amalan
membaca sejak kecil lagi. Kita semua maklum bahawa untuk membudayakan membaca
dalam kalangan masyarakat bukanlah satu perkara yang mudah.Tidak ada jalan
pintas untuk menjadikan seseorang itu berilmu dalam sekelip mata, tetapi kita
hanya boleh mendapat pengetahuan dengan selalu membaca dalam jangka masa yang
panjang. Tegasnya, budaya membaca wajar mendarah daging dalam diri setiap
individu selaras dengan matlamat membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
Rakyat Malaysia masih ketinggalan dalam amalan membaca
berbanding negara-negara maju yang lain. Pada pendapat anda, mengapakah
wujud keadaan seumpama ini, apakah implikasinya dan bagaimanakah
masalah ini boleh diatasi?
Mengapa
hanya dua buah buku secara purata dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun?
Tentunya bersebab. Namun perkembangan ini bukanlah satu perkara yang sihat
lebih-lebih lagi dalam dunia ledakan maklumat hari ini. Tanpa maklumat (yang
terkini), manusia akan ketinggalan, masyarakat akan menjadi lemah dan negara
akan mudah dikuasai secara neokolonialisme atau dijajah secara mental oleh
kuasa-kuasa asing. Segala bentuk kemajuan memerlukan modal insan yang
berkualiti, berilmu, matang dan mempunyai mentaliti kelas pertama. Tidak dapat
dinafikan bahawa negara seperti Korea Selatan begitu pesat membangun dan kian
dihormati dalam hampir segenap bidang kerana minat membaca dan budaya buku yang
subur di negara itu. Namun, mengapa orang kita tidak mahu membaca? Marilah kita
sama-sama mencari jawapannya.
Rata-rata
orang Malaysia kurang membaca kerana mereka tidak sedar akan perkara-perkara
yang ada dalam buku-buku. Sebenarnya, semua hal dan pengetahuan yang kita
perlukan sudah ditulis dan dicetak serta diterbitkan sebagai bahan bacaan.
Apa-apa sahaja yang ingin kita cari sudah ada dalam buku-buku di bawah pelbagai
judul yang unik lagi menarik. Misalnya, anda mebuka perniagaan baru dan tidak
tahu akan cara membuat program pemasaran atau pengiklanan. Hakikatnya, anda
tidak perlu pergi ke universiti untuk belajar pemasaran, sebaliknya anda boleh
pergi ke kedai buku, beli buku-buku berkaitan pemasaran, baca dan amalkan ilmu
yang diperoleh. Lambat-laun anda akan menjadi pakar pemasaran yang lebih baik
daripada pensyarah di universiti ! Namun, ada orang Malaysia yang masih mengadu
bahawa tidak mempunyai maklumat atau ilmu dalam sesuatu hal. Mereka tidak dan
belum sedar bahawa jawapan untuk semua soalan mereka ada di kedai-kedai buku
atau di perpustakaan. Kekurangan kesedaran inilah yang menjadi hambatan utama
dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Membaca
tidak menjadi budaya orang Malaysia. Faktor ini mungkin didorong oleh kesibukan
masa yang diperuntukkan untuk bekerja. Sekurang-kurangnya dua jam atau lebih dihabiskan
di atas jalan raya untuk pergi ke tempat kerja dan kembali ke rumah. Apabila
sampai di rumah, penat dan letih. Mungkin juga kerana semasa di bangku sekolah,
tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Mungkin juga
kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya
membaca. Tidak pernah dihadiahkan buku, dan tidak pernah terfikir bahawa buku
itu penting dan membaca itu penting. Mungkin juga kerana pengaruh media massa
yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku, sebaliknya menjadikan artis
itu sebagai idola utama mereka.
Selain
itu, pengaruh suasana dan faktor sekeliling amat besar dalam hal ini. Mungkin
telah menjadi amalan kita untuk membaca dalam keadaan sunyi. Seperti yang
seringkali menjadi amalan di dalam sesebuah perpustakaan, disuruh diam. Memang
amalan itu tidak salah tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut
terpengaruh untuk membaca dalam keadaan sunyi. Kerana itulah agak sukar untuk
kita membaca di dalam LRT, bas atau di tempat-tempat awam. Malah mungkin
persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca (terutamanya di tempat-tempat
awam) adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan memberikan gambaran 'negatif' bahawa
pembaca itu 'ulat buku' yang tidak boleh dibuat kawan (kerana hanya berkepit dengan
buku). Ulat buku mungkin dianggap antisosial atau antisukan. Persepsi-persepsi
sedemikian amat berbahaya kerana ia akan menjauhkan buku dengan masyarakat.
Di
samping itu, harga buku di negara kita dianggap mahal. Mungkin ini juga antara
faktor utama untuk tidak membaca. Harga buku yang mahal mungkin disebabkan oleh
beberapa faktor lain seperti kadar tukaran wang asing yang tinggi yang
menyebabkan harga buku import menjadi mahal, kos penerbitan dan percetakan yang
tinggi, dan keengganan kita sendiri untuk mengeluarkan wang dari saku untuk
membeli buku. Kos kehidupan yang kian meningkat akibat kenaikan harga minyak
menyukarkan keadaan lagi. Jika harga terus naik maka sukarlah amalan membaca dibudayakan di negara kita. Namun,
dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, maka perbelanjaan perlulah dirancang
dengan memasukkan elemen buku sebagai belanja wajib seperti mewajibkan makanan
dan lain-lain. Yang perlu disedari ialah membaca tidak akan merugikan sesiapa !
Banyak
orang kita juga berasakan membaca tidak penting. Mungkin sifat untuk merasakan
tidak ada kepentingan untuk membaca merupakan antara faktor utama rakyat
Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas mahasiswa universiti
atau bekas pelajar sekolah, kebanyakan daripada kita tidak mahu memegang buku
apatah lagi membacanya. Hal ini juga satu kemungkinan. Hasil pemerhatian
penulis, didapati amat kurang daripada mereka yang mahu membaca. Dan tidak ada
satu perasaan gembira dan keseronokan untuk membaca. Sehingga seterusnya
memberikan alasan kerana pengaruh masa (kerja) yang membatasi mereka daripada
membaca. Mungkin kerana memikirkan bahawa buku tidak akan memberi sebarang
faedah secara langsung kepada mereka, jika dibandingkan dengan perkara-perkara
lain. Bagi mereka buku gagal memberi bonus emosi yang dapat diperoleh melalui
cara-cara lain. Misalnya, dengan membeli kereta (atau bertukar-tukar kereta),
secara langsung memberikan kepuasan kepada mereka dari segi nilai estetika dan
kemewahan. Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu dalam
usaha kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya.
Walau
bagaimanapun, remaja kita sebenarnya gemar membaca. Kajian yang dibuat oleh
Perpustakaan Negara Malaysia, berasaskan Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan
Membaca) yang telah 10 tahun berjalan. Lambakan bahan bacaan yang disasarkan
kepada golongan remaja juga menjadi tarikan minat membaca dalam kalangan
remaja. Namun soalnya bagaimana kualiti bahan bacaan tersebut? Adakah mesej
yang ingin disampaikan benar-benar sesuai untuk santapan minda dan imaginasi
remaja? Hasil pemerhatian mendapati ramai remaja terutama remaja golongan
pertengahan dan rendah, terdorong untuk membaca majalah-majalah hiburan. Seawal
usia 12 tahun juga remaja sudah mula pandai membaca novel-novel cinta yang berkait
rapat dengan kehidupan remaja yang warna-warni. Tidak dapat dinafikan, ada
mesej yang ingin disampaikan oleh novel-novel ini, namun selalunya cerita
cintanya juga terlalu mempengaruhi dan mengghairahkan emosi remaja. Mereka akan
lebih mudah berkhayal serta kurang menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Kegilaan membaca novel-novel dan majalah hiburan ini mungkin boleh menimbulkan
situasi yang tidak sihat untuk minda dan emosi remaja.
Pembacaan
adalah santapan minda. Bahan santapan yang baik akan menghasilkan minda yang
berkualiti. Sahsiah remaja yang baik boleh dibentuk melalui bahan pembacaan
yang betul. Oleh itu, menjadi tanggungjawab remaja untuk bijak memilih bahan
bacaan yang berkualiti dan dapat membantu meningkatkan kecekapan berfikir
masing-masing. Jika di negara luar kewujudan kedai buku terpakai merupakan
suatu pemandangan biasa tetapi di sini kedai pakaian terpakai yang lebih
mendapat perhatian terutama daripada anak-anak muda. Akibat malas membaca
kebanyakan daripada kita begitu sukar berhujah dan memberi pandangan tentang
isu-isu semasa yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan budaya di
dalam mahupun luar negara. Sering kali juga pendapat dan perbincangan kita
cetek dan berbaur sentimen emosi bukannya secara rasional dan meyakinkan kerana
saiz cakerawala minda yang masih sempit. Permasalahan berkaitan diri, keluarga,
organisasi dan negara tidak dapat dicari jalan penyelesaian secara tuntas.
Mungkin atas sebab inilah graduan kita dikatakan tidak berfikiran kritis kerana
budaya berfikir yang hanya wujud secara semula jadi melalui pembacaan
berkualiti itu sendiri masih jauh panggang daripada api. ‘Kemiskinan' etika dan
sikap budi bahasa bangsa sekarang adalah kesan daripada faktor rendahnya tahap
pembacaan merupakan satu fakta yang perlu diterima oleh semua pihak.
Tidak
keterlaluan jika dikatakan, bangsa yang membaca mencorakkan pemikiran dan
perilaku yang sopan, berakal budi dan menghormati orang lain. Bagi membudayakan
amalan membaca di negara ini semua pihak haruslah memainkan peranan
masing-masing dengan lebih kreatif dan kritis. Kerajaan perlu mencari jalan
bagi mengawal harga bahan bacaan. Media massa pula wajarlah memberi keutamaan
untuk program-program ilmu. Sistem pendidikan mesti lebih holistik, tidak harus
terlalu bermatlamatkan peperiksaan. Guru-guru wajib menjadi contoh yang boleh
dicontohi kerana ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Justeru, sikap
tidak gemar membaca yang menjadi hambatan untuk memperkasa bangsa yang
intelektual dan berakal budi terpuji perlu dikuburkan. Membaca membolehkan kita
keluar daripada kepungan kongkongan dan kejumudan pemikiran serta tingkah laku.
Bangsa Malaysia yang matang, rasional, analitikal, berjiwa patriotik serta maju
fizikal dan mentalnya hanya akan menjadi kenyataan jika budaya membaca menjadi
amalan segenap lapisan masyarakat. Hanya budaya membaca akan membolehkan kita
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju di dunia
ini.
No comments:
Post a Comment