PENDAPAT/PERBINCANGAN- Amalan Berjimat Cermat
Tikar
pucuk tikar mengkuang,
Alas
nikah raja Melayu;
Ikan
busuk jangan dibuang,
Buat
perencah si daun kayu.
Pantun warisan di atas
mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri
rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan
hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai
ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak
untuk dinikmati. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar
sentiasa berjimat cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian
khususnya. Walhasil, banyak faedah yang dapat diperoleh seandainya kita
menjadikan amalan berjimat cermat sebagai satu agenda dalam kehidupan kita.
[AJ] Amalan berjimat
cermat, tidak dapat dinafikan, dapat
menyumbang kepada tabungan. [AH] Dengan berjimat cermat dalam perbelanjaan,
wang yang dapat dijimatkan itu boleh ditabung untuk kegunaan masa depan.
[AC]Misalnya, jika ibu bapa mengamalkan kesederhanaan, seperti membeli
barang-barang buatan tempatan dan menjamu selera di rumah, bukan sahaja wang
yang dijimatkan itu dapat ditabung, bak kata pepatah sedikit-sedikit lama jadi bukit, bahkan wang simpanan itu boleh
dimanfaatkan untuk membiayai pendidikan anak tanpa bergantung pada Pinjaman
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ataupun biasiswa JPA. [AP]Lagi terang lagi bersuluh, amalan
berjimat cermat ini amat penting bagi memastikan kita tidak menghadapi masalah
kewangan dan memastikan anak mencapai tahap pendidikan tertinggi
[AJ]Amalan berjimat cermat juga merupakan satu langkah proaktif untuk
menghadapi kecemasan. [AH#1]Sebagai hamba-Nya, manusia tidak dapat menduga
musibah mahupun kecemasan yang bakal menimpa kita; kata orang geruh tak berbunyi, malang tak berbau.
[AC]Sebagai tamsilan, pada zaman yang penuh dengan tantangan dan stres
ini, macam-macam boleh menimpa kita; baik penyakit kronik, kemalangan,
kebakaran, dan bencana alam. [AH#2]Sehubungan dengan hal ini, amalan berjimat
cermat dan menabung dapat meringankan ataupun meminimumkan masalah serta
penderitaan. [AP]Dengan erti kata lain, kita perlu senantiasa berpegang pada prinsip
“sediakan payung sebelum hujan”
dengan berjimat cermat kerana kalau-kalau disangka
panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari.
[AJ] Akhir sekali dan
tidak kurang pentingnya, amalan berjimat cermat dapat melestarikan kehijauan
dan
kebersihan alam sekitar. [AH]Dalam
konteks alam sekitar, kita perlu mengamalkan 3R— “Reduce, Reuse, dan Recycle”,
yakni pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula. [AC] Jika kita
mengurangkan penggunaan kertas dan penggunaan semula bekas atau beg plastik,
misalnya, kita bukan sahaja dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar bahkan
menyelamatkan hutan belantara daripada kemusnahan. [AP]Rumusnya, amalan
berjimat cermat dapat memelihara keseimbangan ekosistem, sementelahan
mengurangkan kesan rumah hijau ataupun pemanasan global.
[R]Akhirulkalam, amalan
berjimat cermat menjamin kesejahteraan umat manusia, lebih-lebih lagi
mewujudkan keharmonian dengan alam sekitar. [C/H]Jadi, sebagai hamba-Nya yang
berakal dan berfikiran rasional, kita perlulah menghayati firman Allah yang
berbunyi “...janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros. Sesungguhnya orang
yang boros itu ialah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula ialah makhluk
yang sangat kufur kepada Tuhannya”. [C/H]Seperkara lagi, kita perlu berpegang
pada pesanan orang tua-tua kita bahawa beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis agar kita hidup bahagia sepanjang
hayat.
No comments:
Post a Comment