CARA-CARA
UNTUK MENCERIAKAN KAWASAN SEKOLAH
Sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya alam sekitar kawasan sekolah yang kondusif akan mempengaruhi pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran. Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Bak kata peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah.
Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah
mengadakan program bergotong-royong. Aktiviti bergotong royong
harus diadakan berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu
melibatkan seisi warga sekolah. Gotong-royong bertujuan untuk memastikan
setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain
itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah,yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung
minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya,
pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.
Tindakan yang seterusnya adalah mengadakan taman bunga di sekolah. “Program
Sekolah dalam Taman” patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga dan
tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran
sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini,
pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di
kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan
gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih
selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada
bangunan konkrit yang kaku.
Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. Mengecat
bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk
datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan , “sekolahku
syurgaku.” Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pihak sekolah
boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding
bangunan sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan
melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan,
lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih
cantik dan lebih sesuai untuk belajar.
Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu.
Melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing
untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu
lantai dan mengemaskan meja dan kerusi. Guru bertugas harian akan
memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Kelas terbersih dan terkotor
akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan sijil
penghargaan. Sebaliknya kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan
pembersihan pada petang, seperti mencuci tandas dan kantin. Secara
anjakan paradigma, pelajar akan mengamalkan tabiat menjaga kebersihan
dalam kehidupan sehari-harian mereka.
Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan Program 3K. Program 3K
bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dalam program
ini, pihak sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih,
indah dan selamat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah sentiasa
mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih
lagi, pihak Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah
tersebut. Hal ini akan memangkinkan semangat pihak sekolah
untuk memastikan program berjaya diadakan. Sebagai impaknya,
program 3K perlu diadakan di sekolah.
Intihanya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah.
Dalam hal ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah perlu bersama-sama
menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.
No comments:
Post a Comment