Keluarga yang sempurna menjadi impian setiap insan. Nyatakan 'Keluarga
Impian Saya'
Seperti pohon yang berdiri teguh, Kerana akarnya yang
kukuh, Akibat sikap manusia yang angkuh, Kemandiriannya jatuh, Rentetan sikap suka mengeluh, Hingga iman
menjadi luluh, Keluarga impian jadi penyuluh, Iman di dada tak pernah rapuh.
Begitulah kata-kata yang sering terungkap di bibir
para ibu bapa waima pihak bertanggungjawab dalam membentuk keluarga impian bagi
menjamin kehidupan yang sejahtera. Sejajar dengan perkembangan arus
globalisasi, banyak bangunan pencakar langit didirikan di bandar-bandar besar.
Namun demikian, di celah-celah bangunaan dan kepesatan pembangunan, rumah orang
tua-tua dibina 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan'. Kemelut yang melanda
negara kita ialah kebanjiran penghuni rumah orang-orang tua. Peningkatan jumlah
warga tua di rumah-rumah kebajikan ini membuktikan bahawa betapa buruk dan
melaratnya sikap anak-anak pada alaf baru ini sehingga terbantutnya institusi
keluarga untuk melahirkan keluarga impian. Oleh itu keprihatinan kerajaan dalam
mewujudkan program keluarga impian amat penting kerana institusi keluarga
merupakan medium penggerak terhadap kemandirian dan kemajuan sesebuah negara.
Namun, realitinya kini institusi keluarga sering mengalami masalah kepincangan
rumah tangga rentetan ingin mengejar kekayaan dan kerjaya bagi meneruskan hidup
di dunia yang serba moden ini.
Seperti yang kita sedia maklum, keluarga impian yang
bahagia dapat menjamin generasi yang gemilang. Rasionalnya, sesebuah keluarga
impian yang bahagia akan
melahirkan anak-anak yang berbudi pekerti dan berakhlak
tinggi. Hal ini kerana, anak-anak yang lahir dalam sesebuah keluarga impian
yang harmoni akan diterapkan dengan nilai-nilai murni dan tatasusila yang baik
dan mereka akan membesar dengan jati diri yang kental serta sahsiah diri yang
unggul. Tambahan lagi, anak-anak yang dilahirkan dalam sesebuah keluaraga
impian yang bahagia dan sejahtera akan terhindar daripada konflik rumah tangga
dan senantiasa dilimpahi kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada
kedua-dua ibu bapa. Anak-anak yang membesar dengan penuh kasih sayang keluarga
juga dapat memupuk rasa kasih dan berperikemanusiaan dalam dirinya sendiri.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika kita katakan anak-anak yang membesar
dalam institusi keluarga impian yang bahagia akan menjadi masyarakat yang
unggul sahsiahnya.
Tambahan pula, bimbingan agama dan moral akan
dibekalkan oleh institusi keluarga impian yang misali. Para ibu bapa
yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia akan mendidik anak-anak mereka dengan
hal-hal keagamaan di rumah selain menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan
yang menyediakan pelajaran dan pendidikan keagamaan contohnya kelas fardhu ain.
Anak-anak merupakan amanah paling berharga daripada Allah. Sebagaimana
firmannya di alam al-Quran ada menyebut "anak-anak ibarat kain putih dan
ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakannya". Ayat tersebut izhar
sekali menunjukkan kepada kita bahawa ibu dan bapa merupakan orang yang paling
penting untuk membentuk peribadi anak-anak seterusnya mewujudkan keluarga
impian . Oleh hal yang demikian, ibu bapa yang beriman kepada Allah s.w.t akan
bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak tidak kira pendidikan rohaniah
mahupun intelektual. Faktor ini menjadi salah satu jawapan kepada cara-cara
untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia selaras dengan impian mewujudkan
keluarga impian yang harmoni.
Generasi gemilang yang wujud daripada keluarga impian
yang bahagia dapat mengurangkan kadar kes jenayah di negara kita. Individu yang
berakhlak mulia sudah pasti menjauhi perkara-perkara yang mendatangkan
kemungkaran. Prinsip hidup 'amal maaruf nahi mungkar' yang bermaksud menyeru
kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran sudah menjadi sebati dalam diri.
Individu yang berpegang teguh pada prinsip ini adalah individu atau mereka yang
berasal daripada keluarga impian yang bahagia. Individu yang mempunyai nilai
sahsiah yang tinggi pasti berasa malu untuk melakukan kebobrokan dalam masyarakat
seperti yang kerap terpampang di rubrik-rubrik akhbar. Niat untuk melakukan
jenayah seperti ragut, bunuh, rogol dan sebagainya mungkin terlintas dalam
fikiran orang yang tidak rasional. Oleh hal
yang demikian, individu yang baik dan berakhlak mulia
dapat menjamin kesejahteraan hidup yang aman dan sempurna dengan wujudnya
keluarga impian yang bakal merintis kepada terbentuknya masarakat yang
sejahtera.
Akhir sekali, keluarga impian yang bahagia seharusnya
dijadikan contoh keluarga bahagia terdekat yang kita boleh ambil ialah keluarga
kita sendiri. Tanya kepada diri anda sendiri, adakah anda pernah melakukan jenayah
dan kemungkaran? Apakah ada ahli keluarga anda yang pernah melakukan sebarang
jenayah? Jika tidak, anda ialah golongan bertuah yang lahir dalam asas keluarga
impian yang bahagia serta mampu mewujudkan masyarakat ayng harmoni.
Konklusinya, jelas sekali kepada kita peri pentingnya
peranan keluarga bahagia dalam usaha membentuk sebuah masyarakat madani yang rukun dan
harmoni. Yakinlah kita bahawa kehidupan yang baik dan keluarga impian yang
bahagia membawa kepada masarakat yang sejahtera. Ingatlah "binasa bumi
jika tidak berkerak, binasa rumah jika tidak bertiang, dan binasa pertiwi jika
tiada keluarga impian dan masyarakat yang gemilang".
kepada khor yin shiang
No comments:
Post a Comment