Saturday, November 1, 2014

TIP 2



MEMANFAATKAN LAMAN SESAWANG SOSIAL 
       Pada zaman serba moden sekarang, tanpa telefon bimbit dan komputer riba, hidup bagaikan tidak sempurna. Malah tiada hari yang berlalu, tanpa menghantar atau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun tanpa menjengok laman sosial. Laman web rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat. Laman sesawang sosial seperti Friendster, Myspace, Facebook, dan Twitter kini semakin tersohor dan meluas penggunaannya lantaran rata-rata masyarakat pelbagai lapisan usia sudah celik teknologi maklumat. Terkini dikatakan terdapat 600,000 blogger dan 12 juta pengguna laman sosial yang sangat popular iaitu Facebook di seluruh Malaysia. Semua lapisan masyarakat baik golongan pemimpin, golongan profesional sehinggalah ke peringkat kanak-kanak boleh dikatakan majoriti mempunyai laman web rangkaian sosial sendiri. Oleh itu, kesan penggunaan laman sesawang sosial tersebut kepada masyarakat yang mewarnai fokus perbincangan yang akan dihuraikan dalam makalah ini. Tegasnya, hidup zaman sekarang diibaratkan tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak keruan, apabila semua gajet itu lenyap tanpa disentuh dalam kehidupan seharian.

       Menurut sumber yang dipetik daripada Persatuan Digital Malaysia (MDA), pada bulan Oktober 2010 sahaja mencatatkan bahawa laman web sosial, Facebook, merupakan laman web paling popular dalam kalangan lapan juta rakyat Malaysia yang menggunakannya. Anggota komuniti adalah yang paling popular adalah antara 15 hingga 30 tahun. MDA berkata laman web berita merupakan kategori pertama yang menarik lebih separuh pengunjung sehari, dengan rakyat Malaysia melawat laman web berita tempatan untuk purata empat kali sehari. Namun, belakangan ini isu membabitkan laman sosial seperti Facebook hebat diperkatakan apabila laman sosial itu dilihat sebagai ancaman keselamatan terhadap masyarakat. Hal ini disebabkan kewujudan golongan tidak bertanggungjawab yang menjadikan laman itu untuk memfitnah dan menipu, selain menyamar menjadi individu tertentu bagi tujuan menjatuhkan reputasi seseorang. Ada sesetengah laman web yang cuba menarik perhatian dengan membangkitkan isu sensitif seperti agama, budaya, dan kaum. Laman sosial dan blog yang mengambil kesempatan terhadap isu sebegini wajar dipantau supaya lebih terkawal.

       Kehadiran pelbagai laman sosial dalam alam maya memang amat penting bagi setiap individu mahupun di peringkat organisasi. Pengguna laman sosial juga dapat menambah kenalan yang baharu, di samping hubungan yang telah lama terputus kembali dieratkan. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi menyebabkan mereka terputus hubungan antara satu sama lain kerana ruang dan peluang kerjaya yang berbeza. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu wahana utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus atau mewujudkan alumni. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang diceburi oleh rakan-rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain tanpa sempadan waktu, bahasa, budaya, dan geografi. Gambar yang diletakkan dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan  perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Mereka juga dapat bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu isu yang telah dikemukakan maka dengan penggunaan laman sesawang tersebut. Fenomena ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi, jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial dapat menambah kenalan yang baharu sama ada yang jauh mahupun yang dekat.

       Selain itu, penggunaan laman sosial tersebut juga dapat dimanfaatkan sebagai wahana untuk mengembangkan perniagaan atau memasarkan produk secara percuma tanpa seseorang itu bersemuka untuk kali pertama. Orang ramai dapat membeli sesuatu barangan seperti tudung, jubah, kasut, barang perhiasan, kosmetik, buku, dan sebagainya dengan menggunaan laman sosial tersebut. Mereka juga dapat menjadikan laman sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambah pendapatan bulanan mereka. Hal ini demikian kerana pada waktu pagi dan petang seseorang itu terlibat secara langsung dengan kerjaya masing-masing. Pada waktu lapang mereka dapat memasarkan sesuatu barangan yang dapat menarik perhatian orang ramai. Harga yang ditawarkan adalah berbaloi dengan pasaran semasa dan kualiti barangan tersebut. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Sesiapa yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam akaun bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Hal ini dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat beli-belah untuk membeli sesuatu barangan. Tegasnya, laman sosial seperti itu bukan sekadar mencari kenalan baharu, tetapi dapat mewujudkan perniagaan di hujung jari tanpa had dan mampu melahirkan banyak usahawan yang berjaya.

       Di samping itu, laman sosial turut memberi ruang dan peluang untuk pengguna menyuarakan apa-apa sahaja yang terlintas dalam fikiran masing-masing. Hal ini dapat dilakukan sesama rakan, antara guru dan murid, media massa dan orang awam, artis dan peminat, malah antara pemimpin dan rakyat sebagai medan berkomunikasi. Dengan adanya medium komunikasi baharu itu, secara tidak langsung membolehkan para peminat mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat apabila mereka berpeluang membaca apa-apa juga komen yang ditulis oleh setiap artis. Malah, sebagai pemimpin negara nombor satu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut gemar melayari laman web sosial Facebook dan Twitter. Selain beliau, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy antara pemimpin yang turut menggunakan Facebook. Beliau merupakan seorang daripada jutaan manusia di seluruh dunia terpanggil untuk menyertai rangkaian laman web sosial bagi berhubung dengan orang ramai terutama rakyat Malaysia dengan harapan untuk merapatkan jurang politik antara generasi baharu dan lama. Kegemaran itu jelas membara kerana beliau teruja menjawab sebarang pertanyaan dan cadangan yang dikemukakan dalam kedua-dua laman sosial berkenaan, sekali gus sebagai medan untuk mendekati hati rakyat bagi mengetahui masalah yang dihadapi mereka. Tegasnya, dengan jaringannya yang begitu meluas menjadikan hubungan antara insan semakin mesra, rapat, dan dekat.

       Penggunaan laman sesawang sosial tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif, malah mendatangkan kesan negatif, apabila fungsi dan peranan bahasa sebagai agen penting dalam menyatupadukan rakyat turut terjejas. Kebimbangan ini berasas kerana sekiranya ayat dan perkataan ditaip terlalu ringkas, perkara ini pasti merosakkan kemurnian bahasa. Ada kalanya perkataan yang diminimumkan itu menjadi sukar difahami dan disalahtafsirkan maksudnya. Kelaziman menggunakan perkataan pendek dan akronim di laman sosial jika dibiarkan berpotensi memungkinkan penggunaannya menular dalam penulisan khas terutama dalam tugasan dan kerja sekolah pelajar. Perkembangan ini membawa kesan buruk terhadap masyarakat. Fenomena pelajar sekolah menulis karangan menggunakan bahasa singkatan SMS dan bahasa sembang siber, semakin serius selepas kemunculan pelbagai laman interaktif, serta laman sosial di internet seperti Facebook dan Twitter. Kebiasaan menggunakan bahasa singkatan itu menyebabkan pelajar terbawa-bawa ketika menulis karangan subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan, sekali gus menjejaskan mutu karangan dan mempengaruhi jumlah markah. Jika dibiarkan berterusan, secara tidak langsung kualiti penulisan dan kecekapan mengeja akan berkurangan. Malah, paling menyedihkan apabila penggunaan bahasa standard dan tepat tidak dititikberatkan, sebaliknya mereka terpengaruh menggunakan bahasa komunikasi harian sekali pun dalam hal-hal berkaitan dengan urusan rasmi.
         Pada masa yang sama, di sebalik keghairahan segala macam kelebihan pada ruang maya, pelbagai jenayah dan masalah sosial juga dilaporkan meningkat ekoran ketiadaan kawalan dalam melayari laman sesawang, sekali gus menyumbang kepada keruntuhan akhlak individu dan institusi rumah tangga. Bermula dengan berkenal-kenalan sebagai kenalan sembang, sehingga membawa kepada keinginan untuk bersua muka dengan kawan yang tidak dikenali tanpa mengetahui keperibadian menyebabkan kes jenayah seperti rogol dan perceraian berleluasa. Selain itu, amat mengejutkan juga apabila kegiatan merompak juga boleh dilakukan secara maya. Penjenayah mengambil kesempatan atas maklumat peribadi yang didedahkan secara rela oleh sebahagian pengguna Facebook dan bebas menggunakannya dalam pemalsuan identiti, peras ugut, atau 'mencuri' wang daripada pengguna. Hal ini amat mengecewakan apabila wang yang banyak dalam akaun bank hilang begitu sahaja atau lesap sedikit demi sedikit gara-gara kegiatan jenayah siber melalui perbuatan jahat mereka. Kegiatan jenayah siber seumpama ini mampu mengaburi mata orang ramai apatah lagi mereka menggunakan alamat e-mel seolah-olah dihantar daripada pihak bank secara sah. Banyak pengguna menjadi mangsa penipuan identiti, gangguan, peras ugut, dan kehilangan wang menerusi pelbaga penipuan beroperasi menerusi laman web tersebut. Mereka akan meminta pelanggan yang memiliki akaun memasukkan nombor akaun serta kata laluan atau mengklik alamat URL disediakan bagaikan transaksi biasa dilakukan melalui perbankan dalam talian. Oleh itu, penggunaan laman sesawang sosial perlu dipantau dengan teliti sama ada oleh ibu bapa mahupun pihak berwajib kerana manfaatnya boieh bertukar kepada keburukan sekiranya tidak digunakan secara betul.
Kesimpulan
Secara tuntas, populariti laman sosial itu terus berkembang pesat sehingga menjadi sebahagian daripada denyut nadi kehidupan masyarakat celik teknologi maklumat apabila setiap saat ada pengguna baharu mendaftar. Oleh itu, diharap semua pengguna laman sosial berkenaan dapat memanfaatkannya secara berhemah dan bijak.

No comments: