Saturday, November 1, 2014

TIP 1 - SEMANGAT KEJIRANAN



                Jiran sepakat membawa berkat. Itulah peribahasa yang sinomin dengan kehidupan masyarakat di luar bandar dalam tradisi hidup bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di bandar, budaya hidup berjiran kian pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya. Realiti kehidupan manusia kini mencapai tahap ketamadunan yang tinggi tetapi pada masa sama manusia kadangkala tergelincir daripada hakikat kehidupan sebenar. Bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing, perumpamaan itu semakin sinomin dengan masyarakat bandar walaupun pada hakikatnya rumah mereka hanya bersebelahan. Ada sebahagiannya yang tidak mengenali jirannya secara dekat atau tidak mempedulikan mereka, atau juga sekadar bertegur sapa tanpa mengetahui asal usul jirannya. Mereka bukan dalam kalangan yang tidak berpelajaran, malah ada antaranya mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai cabang ilmu. Namun, apabila menyentuh soal kejiranan dan kemasyarakatan, mereka tidak merasakan itu satu keperluan dalam hidup. 

       Amalan hidup berjiran dulu dan kini amat berbeza sama sekali. Masyarakat hari ini mengabaikan hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan. Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan hal demikian berlaku. Antara puncanya termasuklah faktor kesibukan bekerja dan persekitaran tempat tinggal mereka. Sememangnya tidak dapat dinafikan kehidupan di bandar banyak cabarannya berbanding di desa. Masyarakat bandar hidup dalam keadaan tertekan kerana perlu bergegas ke tempat kerja seawal jam 6 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, dan mereka juga terpaksa pulang lewat malam kerana ingin mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu petang. Ada antara mereka juga bekerja keras untuk menampung kehidupan kerana kos sara hidup di bandar tinggi. Tidak hairanlah kebanyakan masyarakat di bandar membuat dua pekerjaan dalam satu masa untuk terus menampung kehidupan mereka. Cara hidup seumpama ini menyebabkan keadaan rumah sering sepi tanpa penghuni dan bagi mereka yang mampu mengambil pembantu rumah, yang selalu kelihatan hanyalah bibik menguruskan rumah dan menjaga anak kecil. [punca]

       Akibat kesibukan keluar bekerja dan kehidupan yang terlalu tertekan, masyarakat bandar tidak kisah terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka mahupun di sebelah rumah. Apabila ini menjadi rutin kehidupan mereka bertahun-tahun lamanya, secara tidak sedar tertanamlah sikap individualistik yang tebal dalam jiwa serta sikap tidak boleh berlebih kurang kerana mereka tidak mengenali jiran dan sukar untuk berkomunikasi bagi memahami jiran secara lebih dekat. Hubungan kemasyarakatan kian renggang dan kemungkinan tanpa gangguan. Nikmat kemewahan yang dikecapi rnenyebabkan individu merasakan mereka tidak perlu bergantung pada orang lain. Begitu juga soal perbezaan bangsa, agama, adat dan budaya tidak seharusnya dijadikan sempadan untuk memisahkan atau membina benteng daripada amatan hidup sesama jiran tetangga. Tidak ketinggalan juga, aktiviti membudayakan semangat kejiranan semakin berkurangan akibat peredaran zaman. Aktiviti bergotong-royong jarang-jarang diamalkan. Soalnya apakah arus pemodenan menuntut masyarakat berkelakuan sedemikian,sedangkan dalam agama hidup berjiran ialah kewajipan perlu dipenuhi bagi menjamin kerukunan dan keharmonian hidup? Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian kehidupan.[punca2]

       Ungkapan “Jiran sepakat membawa berkat” pernah menjadi cogan kata bagi aktiviti kemasyarakatan lebih dua dekad yang lalu. Pada masa itu, konsep kejiranan amat ditekankan dalam masyarakat supaya mereka dapat saling membantu dan memahami jiran tetangga tidak kira bangsa dan agama. Rukun Tetangga berkonsepkan satu bentuk kawalan keselamatan yang dilakukan masyarakat setempat secara bergilir-gilir bagi menjaga keamanan jiran tetangga dan kawasan petempatan masing-masing. Namun, dalam era siber yang serba canggih, konsep kejiranan juga mengalami perubahan amat ketara. Kepesatan teknologi melunturkan konsep kejiranan, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar. Ketaksuban masyarakat dalam era ini membuatkan mereka lebih senang berinteraksi atas talian berbanding mengamalkan interaksi secara interpersonal atau komunikasi secara muka ke muka. Kawalan di kawasan perumahan juga diswastakan kepada pengawal keselamatan yang dibayar penduduk manakala majlis kenduri-kendara lebih mudah menggunakan khidmat katering. Jika hendak memberitahu jiran sesuatu perkara atau mengundang jiran untuk majlis-majlis tertentu, mereka lebih gemar menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), bercakap melalui telefon bimbit, disampaikan melalui e-mel atau laman sosial seperti facebook. Disebabkan budaya baharu berkomunikasi menggunakan SMS dan Internet, ada antaranya yang tidak mengenali jiran sebelah rumah, anak atau keluarga mereka.[punca3]

       Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu dan menjadi kewajipan kita untuk mengetahui, serta memahami segala perkara yang berlaku kepada jiran tetangga. Hubungan intim membolehkan jiran meminta bantuan apabila menimpa kesusahan. Kehidupan berjiran ghalibnya dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan. Selain tuntutan agama, keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya yang heterogen.  Rakyat bersatu mewujudkan negara maju. Oleh itu, usaha ini tidak harus dipandang ringan dan sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara. Hal ini demikian kerana pemuafakatan yang kuat antara jiran tetangga dapat membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi nasional seperti usaha mencegah jenayah yang merupakan teras kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara(NKRA) . Seyogia diingatkan bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula daripada hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. [kepentingan/usaha1]

       Kempen menggalakkan keharmonian hidup berjiran seharusnya diperkenalkan semula khususnya kepada masyarakat bandar. Antara usaha yang dilakukan oleh pihak agensi kerajaan termasuk Program Kenali Jiran Kita yang dilancarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di kawasan perumahan di bandar telah menghidupkan kembali amalan dan tradisi semangat kejiranan. Selain mewujudkan suasana harmonis dan mengeratkan pemuafakatan pelbagai kaum, program itu juga menyemarakkan semangat perpaduan, setia kawan, serta budaya gotong-royong. Ibarat pepatah Melayu. ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’, menjelaskan betapa pentingnya nilai muafakat dalam masyarakat terutama dalam hidup berjiran di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Program Kenali Jiran Kita juga amat relevan bagi menghidupkan kembali nilai tradisi kejiranan yang diamalkan generasi terdahulu selain menjadi platform ideal sebagai penghubung pihak kerajaan dan masyarakat setempat. Sebenarnya program seperti ini penting kepada masyarakat majmuk seperti Malaysia untuk menghidupkan budaya hidup berjiran, selain memberi kesedaran mengenai tanggungjawab dalam hal ehwal kemasyarakatan. Program ini disemarakkan dengan pelbagai akitiviti bagi menggalakkan jiran tetangga berinteraksi secara bersemuka seperti bergotong-royong, penglibatan dalam akitiviti kesukarelawan dan khidmat sosial. Perancangan berterusan sedang dibuat untuk memperluas program ini termasuk kawasan perumahan mewah dan elit, berikutan maklum balas memberangsangkan yang diterima dari akar umbi.[usaha2]

       Satu lagi usaha untuk mengukuhkan semangat kejiranan dalam masyarakat majmuk termasuk mengadakan rumah terbuka semasa musim pelbagai perayaan yang sudah menjadi satu budaya di Malaysia sejak sekian lama. Acara itu sama ada diadakan di rumah masing-masing atau ditaja parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang diadakan secara besar-besaran sebagai simbol perpaduan dan keharmonian yang masih mekar di Malaysia. Apa-apa yang menarik dan unik tentang budaya di negara ini ialah rakyat pelbagai kaum mengambil peluang bersama-sama menyambut Hari Raya, Deepavali, Krismas dan Tahun Baharu Cina. Rakyat tidak mengira kaum dan anutan agama mengambil peluang tersebut untuk bersama-sama menyambutnya sambil mengetepikan ideologi politik masing-masing untuk semata-mata meraikannya tanda hormat dan toleransi terhadap kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini. Konsep rumah terbuka yang diadakan secara besar-besaran itu hanya dilakukan oleh rakyat Malaysia dan tidak di negara-negara lain walaupun jumlah penduduk lslamnya besar. Pada awalnya, konsep rumah terbuka  diadakan berikutan kebanyakan orang bandar bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menerima kunjungan tetamu setiap hari dan kerana itu mereka menetapkan hari tertentu bagi membolehkan semua yang dikenali datang pada masa yang ditetapkan. Apabila konsep rumah terbuka ini mendapat sambutan, kini seakan-akan sudah menjadi salah satu budaya yang diterima segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.[usaha3]

       Sebagai intiha, sudah tiba masanya kita merenung kembali dan menghayati konsep kejiranan yang semakin dilupakan dalam masyarakat khususnya di bandar. Keghairahan mengejar dunia materialistik akan memberi kesan amat mendalam kepada institusi kemasyarakatan kita. Skap individualistik, tidak berlebih kurang dan tidak boleh berkompromi dengan jiran tetangga jika berlarutan boleh mengundang persengketaan yang membabitkan seluruh ahli keluarga. Secara tidak langsung semua ini akan menyebabkan kualiti kehidupan terganggu. Tegasnya,hakikat kehidupan ini tidak dapat lari daripada amalan kejiranan. Oleh itu, jadilah jiran yang baik dan carilah jiran yang baik.

Langkah : Kugo Ha RuRuRu Ra(kunjung-gotong-hari keluarga – rukun negara – rukun tetangga- rumah terbuka - perayaan

1Pasejike – perpaduan-sekitar-kejiranan-kerjasama/kerja berat menjadi ringan, kerja ringan dipercepat
2SARI – santai – sukaneka – riadah – rekreasi
Rukun Tetangga merupakan program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan dan keselamatan masyarakat setempat. Rukun Tetangga menganjurkan kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan. Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut. Selain itu, setiap KRT digalakkan menganjurkan kegiatan berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan selain program meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.
Kepentingan –pepsi(penyayang-ekonomi-perpaduan-selamat-identiti)
3Sasiminifiti kkr – sahsiah – sikap – minda – intelektual – kritis – kreatif - rasional




Punca kelunturan semangat kejiranan
SKPP


5sinai=sikap bernafsi-nafsi, individualistik, apati, materialistik,
6PSL=provokasi/pronografi-sadis/sadam-lucah

Bahagian A



Kebaikan Hidup Berjiran
       Jiran merupakan orang yang tinggal paling dekat dengan rumah kita. Agama Islam mendefinisikan jiran sebagai orang yang tinggal dalam deretan empat puluh buah rumah di kiri, kanan, depan, dan belakang rumah kita. Dalam konteks kontemporari, jiran juga boleh terdiri daripada orang yang tinggal di bahagian atas dan bahagian bawah rumah kita iaitu merujuk masyarakat yang tinggal di flat. Nabi s.a.w pernah bersabda bahawa jiran mempunyai tiga hak yang berbeza iaitu sebagai jiran seagama, jiran sesama insan, dan jiran yang mempunyai ikatan kekeluargaan. Kerajaan pernah mengadakan kempen ‘semangat kejiranan’ supaya amalan ini menjadi darah daging masyarakat. Persoalannya, apakah kebaikan hidup berjiran?
       Hidup berjiran dapat mengurangkan kes jenayah. Sejak belakangan ini, peningkatan kes jeinayah amat ketara. Keadaan ini amat membimbangkan masyarakat. Walaitpun anggota polis sering mengadakan rondaan di setiap tempat strategik, namun penjenayah begitu licik mengatur gerak sehingga menyukarkan pihak berkuasa memerangkap mereka. Oleh sebab itu, pihak polis telah meminta kerjasama orang ramai supaya berganding bahu bagi mengatasi masalah jenayah dengan cara pengamalan semangat hidup berjiran. Sebagai contohnya, seseorang boleh menjadi mata dan telinga jiran sekiranya mereka tiada di rumah. Seseorang boleh melaporkan keadaan yang mencurigakan kepada pihak polis atau terus menghubungi jiran tersebut. Dengan pendakatan mesra jiran ini, masalah jenayah dapat dikurangkan1.
       Selain itu, dengan hidup berjiran kita dapat membantu jiran atau mendapat bantuan mereka ketika sakit. Walaupun seseorang sememangnya mempunyai darah daging sendiri tetapi kemungkinan mereka tinggal berjauhan. Oleh itu, jiranlah yang akan menjadi pembantu paling awal sebelum ketibaan pihak lain. Hubungan baik dengan jiran menyebabkan kita tidak kekok untuk membantu seperti saudara mara sendiri. Sebagai contohnya, jika jiran kita tiba-tiba rebah dan pengsan, kitalah yang akan berusaha untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan menghubungi saudara mara yang lain. Keadaan yang sama akan berlaku sekiranya kita pula yang ditimpa musibah. Jadi, kehidupan berjiran akan memudahkan seseorang mendapatkan, bantuan terutama ketika kecemasan.
Dalam perspektit yang lain, kehidupan berjiran dapat memastikan keselamatan anak-anak. Hidup berjiran bererti seseorang mengenali antara satu sama lain termasuk anak-anak kecil. Anak-anak kecil memang gemar bermain di luar rumah. Ibu bapa akan berasa risau sekiranya anak-anak kecil mereka hilang daripada pandangan mata mereka. Dengan adanya jiran yang baik, kerisauan tersebut akan berakhir kerana ibu bapa yakin bahawa anak-anak mereka akan dipantau bersama oleh jiran-Jiran. Sebagai contohnya, jika ibu bapa mempunyai banyak urusan di dalam rumah, mereka boleh meminta bantuan jiran untuk memberi perhatian kepada anak- anak yang bermain di luar rumah. Jadi, anak-anak dijamin keselamatan dengan adanya semangat hidup berjiran.
Berdasarkan huraian yang telah dinyatakan, terbuktilah bahawa hidup berjiran mempunyai banyak kebaikan. Seorang aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye yang juga Pengerusi Kelab Pencegah Jenayah Malaysia pernah berkata bahawa, langkah paling bijaksana untuk memastikan kewujudan masyarakat madani adalah dengan mengamalkan kehidupan berjiran. Masyarakat tidak boleh sama sekali hidup bagai enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jika keadaan ini berlaku, para penjenayah akan merajalela dani kehidupan masyarakat mungkin menjadi huru-hara. Masyarakat diseru supaya mengamalkan semangat kejiranan agar kebaikan yang akan dijelmakan melalui semangat tersebut dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Kesimpulannya, muafakat membawa berkat dan hidup berjiran membawa jutaan rahmat.
 

No comments: