Orang Kelainan Upaya (OKU)
harus diberi peluang untuk berjaya. Bincangkan
pendapat anda tentang kewajaran OKU diberi peluang yang sama untuk hidup.
Di suatu lorong deretan kedai
kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang menadah
tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula
kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang sedang
lalu lalang membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif
mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang
senario Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan
OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus
diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak
pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga ke hari ini masih
dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang penuh hambar.
Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang menuntut
mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup.
Takrif OKU ialah insan yang kurang
bernasib baik kerana mengalami kecacatan kekal sama ada dalam bentuk kecacatan
fizikal atau mental. Kecacatan fizikal seperti buta, pekak, cacat anggota,
manakala cacat mental seperti ‘sindrom down’ dan tergencat akal. Mereka
terpaksa mengharung suatu perjalanan sukar untuk hidup sempurna seperti
golongan normal dek kecacatan yang dialami. Mereka mengalami perasaan rendah
diri, tersisih daripada arus perdana masyarakat, dan sukar menghadapi kehidupan
hari-hari mendatang tanpa sokongan ahli keluarga terdekat. Pada hari ini jumlah
OKU di negara ini dalam semua kategori telah meningkat sehingga 4000 orang. Hal yang demikian, menunjukkan
golongan tersebut tidak boleh dibiarkan meneruskan kehidupan dalam kedaifan.
Mereka sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan hidup atas kudrat yang ada
pada mereka atau dengan perkataan lain mereka harus berdikari.
Anggapan lapuk masyarakat bahawa OKU
tidak mampu menguruskan kehidupan mereka sendiri hendaklah dikikis daripada
minda masyarakat. Pada hari ini, atas kudrat dan motivasi yang tinggi, golongan
tersebut telah berjaya malah ada yang menjadi golongan profesional. Kemampuan
personaliti seperti Allahyarham Dato Dr Ismail Ibrahim menjadi penasihat kepada
beberapa syarikat korporat dan menjadi motivator kepada beberapa firma
membuktikan golongan tersebut boleh hidup sendiri dan membina kerjaya yang
baik. Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa individu yang sudah berjaya itu,
masih banyak OKU yang terbiar dan terpaksa bertarung dengan segala kepayahan
untuk meneruskan hidup. Mereka bukan sahaja tidak mendapat pembelaan daripada
masyarakat dan agensi tertentu yang ditugaskan, malah mereka tersisih juga
daripada keluarga dan saudara mara sendiri.
OKU bukan tidak berkemampuan. Malahan
mereka lebih berkemampuan mengatasi orang-orang yang normal. Mereka berjaya
menjadi pengusaha kraf seperti barangan rotan, buluh, kulit, dan kemahiran
tangan. Malang sekali semua usaha untuk mendaki kejayaan tersebut adalah atas
kudrat untuk ikhtiar hidup yang dilakukan secara bersendirian. Dalam usaha
membela nasib golongan yang lemah tersebut amat sedikit bantuan yang diberikan
sama ada oleh orang perseorangan mahupun agensi-agensi tertentu. Sekiranya
orang normal pun memerlukan latihan yang intensif sebelum mereka boleh
memberikan sumbangan, sudah tentu golongan OKU perlu diberikan perhatian yang
lebih serius lagi. Malahan OKU perlu
menerima latihan dan bimbingan yang lebih terancang memandangkan mereka
terpaksa berhadapan dengan risiko hidup yang lebih berat jikalau dibandingkan
dengan golongan normal.
Pada asasnya, OKU telah dikurniakan
dengan keistimewaan tertentu. Allah yang maha berkuasa mentakdirkan mereka
demikian, namun dalam situasi yang terselindung mereka memiliki sesuatu yang
cukup istimewa. Bayangkanlah betapa kuatnya daya ingatan orang-orang buta yang
mampu menghafal berjuzuk-juzuk ayat al-Quran dan demikian pula betapa mahirnya
golongan cacat pendengaran melakukan kerja-kerja grafik seperti melukis,
pertukangan tangan, dan melakukan literasi komputer. Kecacatan yang dialami
bukan menjadi penghalang untuk mereka maju dalam semua perkara. Sebaliknya
kecacatan tersebut memberi dorongan kepada mereka untuk menumpukan dalam aspek-aspek
yang tertentu pula.
Sikap memandang lekeh masyarakat
terhadap OKU harus dikikis. Sikap jahil seperti itulah yang menjadi penghalang
kita mengambil pendekatan berhemah untuk menyediakan kemudahan prasarana kepada
OKU. Sehingga ke hari ini tiada sebuah institusi pun yang benar-benar memiliki
kemudahan latihan yang mesra OKU. Jikalau adapun sekadar menumpang kemudahan
sedia ada yang digunakan oleh golongan normal. Dalam bidang kemahiran dan
profesional, semua IPT di negara ini tidak memiliki prasarana khusus untuk OKU.
Bagi golongan pekak pula tiada suatu pun IPT dan institusi kemahiran yang
menyediakan perantara khas bahasa isyarat untuk mereka. Walaupun Politeknik
Johor Baharu telah dipilih sebagai institusi kemahiran untuk melatih OKU dalam
kategori pekak, namun hingga ke hari ini IPT tersebut belum memiliki
penterjemah bahasa isyarat yang profesional.
Bagi membolehkan golongan tersebut
tidak terus bergantung kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan, usaha
bersepadu haruslah dijalankan segera untuk membantu mereka. Pihak berwajib
terutama Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat hendaklah
mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke kabinet sebagai
usaha mewujudkan suatu program khas bersepadu untuk golongan tersebut. Sudah
tiba masanya, golongan tersebut sudah memiliki sebuah institut khusus yang
menyediakan pelbagai latihan kemahiran dan profesional untuk mereka. Dengan
wujudnya institusi seumpamanya baharulah golongan tersebut tidak perlu bersusah
payah menumpang di institusi lain yang tidak mesra OKU.
Sesungguhnya, tiada seorang insan pun
yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari.
Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang
takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu
golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan,
mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita
TEMA
2: DIMENSI KELUARGA DAN MASYARAKAT
Soalan
1:
Semangat
patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan
ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Rangka
isi: Tugasan : Peranan ibu bapa
1.
membawa
anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah
2.
membeli
buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan
semangat patriotik dan semangat cinta akan negara
3.
menjadi
‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak
4.
meluangkan
masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan
dengan sejarah
5.
membawa
anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31
Ogos, Hari Malaysia pada 16 September
Jawapan
lengkap
Setiap negara
mempunyai sejarah yang tersendiri. Di
Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara
kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India,
Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu
sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat
yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka
mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau
bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia
sehingga mengabaikan kepentingan
semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa
masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil
perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman,
Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan
dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh sebab itu, pelbagai usaha
perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam
jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah
peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya
tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam
menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa
anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat
pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan
dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul
pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota
Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan.
Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang
dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi
juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga.
Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali
cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu
bapa juga hendaklah membeli buku-buku
yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat
patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian
kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak
perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut
mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas
menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk
anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku
yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat.
Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik
dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut
hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat
patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi
penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’
atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala
perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh
anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan
sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh
mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan
sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap
negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar
anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh sebab itu, ibu bapa
harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Misalnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak
menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau
lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati
agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan
bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada
anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk
bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah
kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak
kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya,
sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai
pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman,
Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang
Inggeris. Ibu bapa perlu menceritakan
sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa
zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat
membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan
maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan
mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan
setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah.
Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik
dalam jiwa mereka. Oleh sebab itu, ibu
bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan
pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik
berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Amalan seperti haruslah dilaksanakan
dengan berterusan kerana alah bisa tegal
dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati
setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara.
Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk
jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak
menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari
Malaysia pada 16 September dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari
kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai
contohnya, apabila anak-anak dapat
bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang kesengsaraan para
pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri
kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab
sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan
dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka
bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat
Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga,
kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan
berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara
kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat
patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut
hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat
dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis
Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa
‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain
tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa
besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti
anak-anak. Tuntasnya, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan
bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan
berwawasan.
Soalan
2:
Peranan
ibu bapa mengawal kegiatan anak-anak agar
melayari Laman sosial secara berhemah.
Rangka
isi: Peranan ibu bapa
1.
mengehadkan
waktu penggunaan
2.
memantau
aktiviti anak-anak di laman sosial
3.
memberi
nasihat tentang kebaikan dan keburukan laman sosial.
4.
mengisi
masa lapang anak-anak dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah
5.
memastikan
bahawa laman sosial yang dikunjungi oleh anak-anak tidak mempunyai sebarang
unsur negatif
Jawapan
lengkap:
Dalam era kemajuan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK), penggunaan laman sosial semakin meningkat dari
semasa ke semasa. Laman sosial ini mula
menjadi kegilaan remaja sejak Mantan Perdana Menteri ke-4 memperkenalkan dasar
langit terbuka yang membawa kepada kewujudan MEASAT 1 dan MEASAT II. Hal ini telah menyebabkan kemasukan teknologi
internet ke Malaysia. Laman sosial dapat
didefinisikan sebagai satu medan perhubungan yang menggunakan teknologi
internet. Sebagai contoh, laman sosial
seperti facebook, Twitter dan Instagram menjadi kegemaran segenap
lapisan masyarakat. Hal ini paling
membimbangkan apabila golongan kanak-kanak dan remaja menjadi pengguna laman
sosial paling kerap. Bagi menangani keadaan ini, ibu bapa harus
bertindak sebagai orang yang paling akrab dengan anak-anak untuk memastikan
mereka menggunakan laman sosial dengan berhemat.
Salah satu peranan ibu bapa bagi
menghalang anak-anak menyalahgunakan laman sosial dalam perhubungan sosial
ialah mereka haruslah mengehadkan waktu
penggunaan. Kebanyakan kanak-kanak
dan remaja menggunakan internet dengan berleluasa disebabkan kebebasan waktu
yang diberikan oleh ibu bapa. Anak-anak
akan menggunakan kemudahan laman sosial dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, jika ada penetapan waktu
dilakukan oleh ibu bapa, anak-anak akan lebih berhemah menggunakannya. Sebagai contoh, ibu bapa memperuntukkan masa
selama satu jam bagi anak-anak bersosial di laman-laman tersebut. Ibu bapa juga memberi syarat bahawa penggunaan
laman sosial hanyalah bertujuan untuk mencari bahan-bahan yang berfaedah atau
untuk kebaikan sahaja. Hal ini supaya
anak-anak menggunakan masa terhad itu secara berhemah dan tidak melekakan
mereka. Tujuan tersebut supaya mereka
menghargai masa kerana masa itu emas.
Selain itu, ibu bapa perlulah
sentiasa memantau aktiviti anak-anak di
laman sosial. Hal ini kerana
kanak-kanak dan remaja masih setahun
jagung dan berada dalam tempoh peralihan ke alam dewasa. Caranya, ibu bapa boleh membuka akaun facebook, twitter dan Instagram,
atau menjadi pelayar di internet.
Tujuan ibu bapa berbuat demikian agar senang mengikuti perkembangan
anak-anak semasa mereka melayari laman sosial tersebut. Kanak-kanak dan remaja masih belum matang
menyebabkan mereka kurang arif dalam membuat penilaian. Ibu bapa merupakan insan yang bertanggungjawab
memastikan kegiatan anak-anak tidak melampaui batas dan tidak terjerumus ke
kancah jenayah siber. Hal ini perlu agar
nasi tidak menjadi bubur. Ibu bapa perlu meneliti senarai kenalan
anak-anak bagi memastikan mereka tidak tersilap dalam memilih kawan. Perkara ini perlu diberi penekanan kerana
kanak-kanak dan remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Ibu bapa seringkali memandang remeh akan hal
ini kerana berpendapat kenalan atau rakan anak-anak di laman sosial tidak
akan dapat mempengaruhi anak-anak mereka
kerana tidak wujud hubungan secara empat mata.
Namun, terdapat kes-kes yang melibatkan kanak-kanak dan remaja lari dari
rumah atau kegiatan gejala sosial kebanyakannya berpunca daripada pengaruh
rakan yang dikenali mereka di laman sosial.
Kejadian ini menjadi bukti yang jelas bahawa kegiatan qanak-anak di
laman sosial perlu dipantau oleh ibu bapa dengan serius agar penggunaan laman
sosial itu dilakukan secara berhemah.
Hal ini perlu supaya jangan nanti sudah
terhantuk baharulah hendak terngadah.
Di samping itu, ibu bapa perlu memberi nasihat tentang kebaikan dan
keburukan laman sosial. Sebagai
orang yang lebih matang dan lebih berpengalaman, ibu bapa haruslah meluangkan
masa dengan memberitahu serta berbincang dengan anak-anak tentang kebaikan dan
keburukan laman sosial dan kesan-kesannya kepada individu yang terlibat dalam
proses melayari laman sosial tersebut.
Melalui pendekatan ini, anak-anak akan memahami dan mampu menbezakan
antara perkara yanga baik dan buruk.
Pendekatan ini juga akan menjadi kanak-kanak dan remaja berasa mereka
diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa.
Nasihat yang diberikan oleh ibu bapa akan membantu proses perkembangan
potensi diri yang positif bagi anak-anak.
Ibu bapa boleh menggunakan isu-isu yang timbul melibatkan remaja hasil
daripada pengaruh buruk laman sosial bagi memberi kesedaran kepada
anak-anak. Tegasnya, melalui cara ini,
para remaja dan kanak-kanak akan lebih berhemah dan berhati-hati menggunakan
laman sosial.
Seterusnya, ibu bapa mesti sentiasa
mengisi masa lapang anak-anak dengan
pelbagai aktiviti yang berfaedah agar mereka tidak hanya menghabiskan masa
menjadi pelayar internet sahaja.
Pelbagai kegiatan berfaedah boleh dirancang oleh ibu bapa seperti
mengajak anak-anak ke taman permainan, ke tempat-tempat rekreasi untuk
beriadah. Aktiviti beriadah dan bersukan
boleh dilakukan oleh ibu bapa bersama-sama anak-anak. Ibu bapa juga boleh mendaftarkan anak-anak
untuk menghadiri kelas-kelas yang menjalankan aktiviti seni seperti seni muzik,
tarian, seni lukis ataupun mempelajari ilmu agama. Bagi anak-anak yang bakal menduduki
peperiksaan awam, ibu bapa boleh menghantar mereka ke pusat tuisyen. Hal ini bagi memastikan kanak-kanak dan
remaja akan mengisi masa lapang dengan aktiviti lain dan mengurangkan penggunaan
masa melayari laman sosial. Kesibukan
menjalani aktiviti lain akan mendorong penggunaan laman sosial dalam tempoh
terhad dan lebih berhemah.
Langkah berikutnya, ibu bapa perlu memastikan bahawa laman sosial yang dikunjungi oleh anak-anak tidak
mempunyai sebarang unsur negatif.
Jika terdapat perkara-perkara yang tidak sesuai untuk anak-anak dalam
laman sosial itu, ibu bapa perlulah menyekat penggunaan laman sosial
tersebut. Akses kepada sesuatu laman
sosial dapat disekat menggunakan bantuan pihak terbabit seperti Suruhanjaya Keselamatan Multimedia (SKMM)
bagi menapis kandungan yang tidak bermoral.
Laman sosial yang menyiarkan perkara yang tidak bersesuaian dengan kanak-kanak
dan remaja harus disekat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan aktiviti
tidak bermoral. Jelaslah bahawa, ibu
bapa perlu menyekat pengaksesan laman sosial yang menyiarkan unsur negatif bagi
memastikan anak-anak menggunakan internet dengan berhemah.
Kesimpulannya, penggunaan laman
sosial mampu membawa unsur positif dan negatif dalam diri kanak-kanak dan
remaja. Oleh sebab itu, ibu bapa
haruslah melestarikan pemikiran anak-anak agar mereka lebih berhemah. Remaja dan kanak-kanak perlu dibentuk dari
awal lagi, bak kata pepatah, melentur
buluh biarlah dari rebungnya agar mereka dapat menjadi insan yang
berkualiti dan mempunyai minda kelas pertama.
No comments:
Post a Comment