Saturday, October 18, 2014

Percubaan SPM 15



Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
1.   KS – cinta akan negara/ sokong barangan / jaga persekitaran
2.   BB – KKH-imej-perpaduan
3.   Ilmu – sejarah jasa tokoh pejuang
4.   Iman – mendoakan kesejahteraan
5.   Ikon – suri teladan/ melawat ke muzium/hari kebangsaan

Semangat patriotik merupakan nilai mahmudah yang lahir daripada hati nurani supaya berbakti dan berkhidmat kepada negara dan bangsa. Kejayaan negara Jepun selepas peristiwa pengeboman atom di Hirohisma dan Nagasaki tidak melunturkan semangat rakyat negara Jepun untuk terus berjaya dan mekar di persada global, ironisnya dalam masa yang singkat, negara ini telah berjaya dan menggembleng kudrat seluruh rakyat untuk membuktikan keagungan mereka dalam bidang sains dan teknologi. Dasar Pandang Ke Timur yang dipelopori oleh mantan Perdana Menteri telah mengingatkan rakyat Malaysia supaya buang keruh ambil jernih. Kejayaan sesebuah negara bukan berasaskan sumber asli yang dikurniai rahmat oleh Pencipta Alam, tetapi berdasarkan penggemblengan kudrat dan minda daripada seantero strata komuniti yang cinta akan negara, bak kata hujan emas di negara lain, hujan batu di negara sendiri. Anak merupakan kain putih yang suci kudsi, keperibadian dan hati budi anak dicorakkan oleh peranan ibu bapa. Sebagai pelindung dan pembina karakter anak, ibu bapa menggalas obligasi mutlak untuk menerapan semangat patriotik dalam jiwa raga anak mereka sejak azali lagi.
        Sesungguhnya, kasih sayang merupakan cinta yang mendalam dan lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Sudah menjadi fitrah kepada manusia bahawa perasaan kasih sayang sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada mereka.  Ibu bapa yang memberikan kasih sayang kepada anak akan mendidik anak supaya mengasihi orang lain di sekelilingnya. Sememangnya, kasih sayang ialah sifat tuhan yang menjadi anutan manusia supaya meluaskan kasih sayang kepada semua makhluk di buana ini. Secara implisitnya, anak yang penyayang akan memahami perasaan cinta akan negara dan kasih sayang kepada keluarga adalah umpama lagu dan melodi yang saling bergantungan untuk membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik. Oleh itu, ibu bapa mestilah menunjukkan sikap yang menyokong barangan buatan tempatan dan menyokong setiap dasar yang dirangka oleh pihak kerajaan. Sejak kecil lagi, prinsip Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara mestilah diselami dalam akal budi dan lubuk kalbu anak supaya menzahirkan perasaan yang ikhlas terhadap pembangunan negara. Contohnya, kritikan terhadap pemimpin negara dan pertikaian Perlembagaan Persekutuan antara hak asasi bangsa berlainan tidak wajar wujud dalam pertuturan seharian. Ijmalnya, Iman Al-Ghazali pernah mengatakan bahawa anak yang dididik nilai kasih sayang akan belajar mencintai orang lain. Tanpa struktur keluarga yang penyayang, perasaan cinta akan negara yang kental tidak akan terwujud dalam sanubari setiap anak.
        Dari dimensi lain, ibu bapa mestilah menerapkan kepentingan budi pekerti dan nilai moral dalam diri anak sejak kecil lagi. Sebagai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan kepercayaan, perasaan saling memerlukan, membantu dan merasai adalah penting supaya semangat patriotik yang disemarakkan dapat menangani sebarang masalah dalam masyarakat kita. Oleh itu, ibu bapa mestilah mengingatkan anak bahawa budi pekerti pakaian keperibadian dan akal fikiran pakaian insani. Memetik kata Imam Al-Ghazali, ‘mengenal diri lihat pada cermin, mengenal peribadi lihat pada wajah.’ Maka, ibu bapa mestilah menzahirkan hati yang bermurah untuk bertegur sapa sesama bangsa yang berbeza dan sudi meluangkan masa untuk menyambut hari perayaan kebangsaan yang tertentu. Ibu bapa boleh membawa anak menghadiri aktiviti gotong-royong, kunjung-mengunjung jiran tetangga yang berbilang etnik dan rumah terbuka supaya memahami nilai kerjasama, kasih sayang, hormat-menghormati dan bantu-membantu supaya mengeratkan perpaduan kaum dalam masyarakat kontemporari ini. Izharnya, perasaan cinta akan negara terzahir daripada perpaduan teguh supaya memastikan kesinambungan tamadun manusia di negara kita.
        Dari segi pendidikan, ibu bapa merupakan guru terdekat kepada anak sejak dilahirkan. Ibu bapa mestilah mementingkan pendidikan informal di rumah tangga, perkongsian cerita tentang kisah perjuangan tokoh-tokoh pada zaman penjajahan selama 446 tahun amatlah penting untuk mengingatkan anak watan tentang penghinaan yang pernah dialami oleh rakyat negara kita. Ilmu memerlukan santapan jiwa untuk menjanakan kelangsungan bangsa dan nusa. Anak yang dididik untuk mencintai negara tidak sanggup mengkhianati pentadbiran negara seperti memfitnah, merosakkan harta benda awam, menyebarkan isu kontrovesi dan provokasi yang akan menghuru-harakan negara. Peristiwa darurat pada 13 Mei 1969 perlulah dijadikan iktibar dan meniti dari bibir ke bibir ahli keluarga tentang betapa pahit maung yang ditempuhi. Jelaslah bahawa, kekuatan sesebuah ikatan keluarga merupakan asas perpaduan dan kejayaan struktur sesebuah negara supaya terus cemerlang, gemilang dan terbilang di persada antaranagsa dengan identiti nasional yang tersendiri.
Selain sebagai pendidik, ibu bapa juga berperanan sebagai mursyid yang pertama kepada anak. Sejak kecil, anak mestilah dididik supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Segala tuntutan agama telah mentarbiah penganut supaya mewujudkan perasaan cinta akan negara dan pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat jelata. Taat kepada negara merupakan amalan ibadat yang amat dituntutkan dalam taufik dan hidayah-Nya. Sebagai ibu bapa yang bertakwa, setiap solat jemaah mestilah mengumpulkan anak dan bermusywarah selepas menunaikan solat jemaah. Semasa bermusyawarah, ahli keluarga mestilah mendoakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara di bawah rahmat Tuhan yang Maha Esa. Sebagai rakyat Malaysia, kita telah dilimpahi rahmat yang menjauhi segala bencana alam dan peperangan yang akan meranapkan sesebuah negara. Tanpa negara, di manalah kita? Oleh itu, amalan bersyukur dan bertaubat amatlah penting supaya kita terus dikurniai restu dan keredaan daripada Tuhan, seperti yang termaktub dalam prinsip Rukun Negara, kepercayaan kepada Tuhan. Lirik lagu Negaraku jelas menunjukkan bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah bersyukur dan terus berbangga dengan keamanan negara.
        Akhirnya, ibu bapa juga berperanan sebagai uswah hasanah dan rakan terdekat kepada anak. Jurang generasi antara ibu bapa dengan anak mestilah dirapatkan melalui aktiviti kekeluargaan dan perkongsian bersama. Tamsilannya, pada waktu cuti sekolah, pengunjungan ke muzium negara, monumen yang termaktub nilai sejarah, gelanggang perjuangan kemerdekaan, bangunan bersejarah perlulah dijadikan satu aktiviti yang biasa dijalankan. Yang pentingnya, penjagaan kebersihan di sekeliling kawasan bersejarah ini perlulah diamalkan kerana kebersihan sebahagian daripada keimanan. Ibu bapa juga perlu menyambut hari kemerdekaan dan hari tokoh perjuangan bersama dengan memberikan sumbangan kepada negara. Sesungguhnya, jalur gemilang bukan sekadar kain yang berwarna-warni, tetapi satu lambing kecintaan yang mendalam terhadap keamanan dan kemakmuran yang dijalani oelh negara kita selama 56 tahun ini. Sekiranya perasaan patriotik telah lenyap ditelan arus perdana, bayangkanlah segala usaha untuk memelihara kedaulatan negara akan menjadi sia-sia bagai mencurahkan air ke daun keladi. Sikap bagai kacang lupakan kulit perlulah dikikis tetapi sikap yang integriti dan etika perlulah ditanam dalam sanubari anak sejak kecil lagi agar negara kita akan bebeas daripada segala penjajahan baik dari segi penjajahan fizikal atau penjajahan minda yang makin ternampak melalui arus perdana yang melanda minda generasi kita. Mukthasarnya, ibu bapa pencorak masa depan anak, bahkan penentu masa depan sesebuah negara yang terus megah di persada dunia atau bankrap dari segi kewangan atau akhlak.
Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara

Keranamu kami bebas merdeka
Keranamu myawa dipertaruhkan
Keranamu rela kami berjuang
Demi bangsa kedaulatan negara
        Lirik lagu KeranaMu mestilah didendangkan dalam sesebuah keluarga. Perasaan cinta akan negara susahlah dizahir tanpa inisiatif dan kefahaman ibu bapa tentang erti sumbangan negara kepada kita. Memetik kata Johny Kennedy, “ jangan Tanya apa yang diberi oleh negara, tetapi tanyalah apakah sunbnagan yang boleh kita berikan kepada negara.”

No comments: