Sesungguhnya,
disiplin ialah suatu sistem tatacara mengurus diri yang menatijahkan kejayaan
dalam setiap urusan kita. Sebagai contohnya, kita mestilah menetapkan jadual
belajar atau jadual ke perpustakaan. Jadual yang sistematik amatlah penting
untuk membuat pengurusan masa, perancangan belajar dan penyelenggaran personel
bersama dengan semua orang. Semasa di perpustakaan, kita akan dilatih memiliki
kawalan dalaman diri seperti tidak melanggar peraturan yang ditetapkan, justeru
mengawal tingkah laku yang suka mengikut hawa nafsu semata-mata. Jelaslah,
disiplin ialah asas kejayaan.
Dari skop
lain, setiap pelajar mestilah mempunyai ikon yang baik. Memetik kata hadis,
perumpamaan kepada kawan baik seperti penjual minyak wangi, manakala kawan
buruk seperti tukang besi. Maka, kita mestilah mencari kawan yang sealiran
seperti membentuk kumpulan perbincangan. Melalui sesi bermusyawarah, perasaan
antagonis seperti salah faham, dendam kesumat dan sikap bersultan di hati,
beraja di mata akan dikikis sesama kawan. Ijmalnya, aktiviti ini bukan sahaja
mewujudkan sifat setia kawan, malahan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan
kemahiran berfikir supaya meningkatkan pencapaian akademik, bak kata pepatah
bagai sambil menyelam minum air, atau muafakat membawa berkat.
Jikalau
meninjau dari akar umbinya, sikap kegigihan dan kerajinan merupakan prasyarat
untuk meningkatkan prestasi akademik. Sebagai contohnya, setiap pelajar mestilah memahami isi tersirat di
sebalik peribahasa, tak pecahkan ruyung, masakan dapat sagu. Oleh itu, setiap
pelajar mestilah rajin mengulang kaji pelajaran sebelum waktu peperiksaan,
kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Tegasnya, setiap
pelajar mestilah menetapkan cita-cita untuk mendapat 10A dalam peperiksaan SPM.
Memetik kata Sukarno, “ .Gantunglah
cita-cita di langit sekalipun kaki di perlimbahan.” Cecil B DeMille(pengarah filem terkenal di Amerika Syarikat) juga
pernah berkata, tetaplah hala tuju dan tidak akan menyimpang lagi sebelum
berjaya.
Sebagai
penghias penutup bicara, setiap pelajar mestilah bertawakal kepada Tuhan,
justeru menjalinkan hubungan harmonis dengan guru. Sikap yang berani bertanya sebarang permasalahan dengan guru amatlah
penting kerana segan bertanya sesat jalan, malas berkayuh perahu hanyut. Keinginan untuk berjaya dalam akademik mahupun sahsiah
amatlah penting untuk memastikan kesejahteraan dan kecerahan hidup pada hari
muka.
No comments:
Post a Comment