Sunday, October 12, 2014

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak(Sampel jawapan peperiksaan Akhir Tahun Jit Sin Tingkatan 4 2014)

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bincangkan.
          Disiplin ialah suatu sistem tatacara mengurus diri yang menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan kita. Justeru, disiplin ialah jurupandu untuk melunaskan rutin harian kita kerana mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, kata berpangkal. Ibu bapa pula merupakan sumber inspirasi atau pelindung kepada anak yang diibaratkan kain yang suci kudsi, ibu bapalah yang menentukan zuriatnya menjadi majusi atau nasrani. Dengan jurupandu yang berdisiplin, anak yang dilahirkan akan menjadi galang ganti nakhoda yang bakal mengendalikan bahtera rumah tangga selepas menuju ke alam kedewasaan. Anak-anak ibarat harta, bak kata gurindam:
Anak itu umpama sepohon yang rendang,
Lebat daun tumpang teduhannya,
Berbatang sasa teguh teras kayuannya,
Berakar serat berkhasiat majorabat,
Berbuah lebat manis madu aromanya,
Ibarat benih yang baik,
Sebiji jatuh ke laut menjadi pulau,
Sebiji terlontar ke udara menjadi kejora,
Sebiji jatuh ke darat menggunung sasa.
          Sesungguhnya, ibu bapa mestilah menyelami ilmu keibubapaan dan kursus perkahwinan semasa menuju ke hidup berumah tangga. Ibu bapa yang peka mengurus permasalahan isi rumah akan pandai berkomunikasi dengan ahli keluarga sekalipun dirundung dengan pelbagai kekangan dalam kehidupan yang akan menggugat keteguhan ikatan kekeluargaan. Ibu bapa ialah pakar kaunseling kepada anak. Walhasil, anak remaja pada era pascamodenisasi ini berada dalam fasa peralihan yang terserlah, mereka mengalami krisis kecelaruan identiti dan konflik jiwa kerana masyarakat kini seakan-akan berada dalam zaman jahiliah yang dahsyat dengan penjajahan minda oleh budaya globalisasi. Tanpa bimbingan dan dorongan yang sewajar, anak akan mencari-cari budaya yang berkiblatkan fahaman liberalisme dan hedonisme. Ibu bapa mestilah mendisiplinkan anak supaya pandai mengurus masa. Masa yang disia-siakan dengan budaya negatif bukan sahaja membejatkan akhlak malahan menggelapkan masa depan pelapis generasi muda. Masa ini seperti mata pedang, kita tidak memancung masa tetapi masa akan memancung kita. Bertangguh itu pencuri masa. Jikalau anak remaja tidak memahami kepentingan pengurusan masa, hidup kita akan bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu. Tanpa disiplin diri yang pandai mengurus masa, hidup kita akan ketinggalan malahan kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Sebagai ibu bapa, jadual berkeluarga juga mesti ditetapkan untuk mengimbangi sesi pembelajaran dengan masa bersantai bersama ahli keluarga. Ijmalnya, ibu bapa yag mementingkan ilmu keibubapaan akan menghasilkan anak yang mementingkan ilmu juga.  Sesungguhnya, tanpa ilmu, hidup kita akan jumud bagai katak di bawah tempurung. Segala kekusutan tidak dapat dirungkai tanpa pemikiran yang waras dan kebijaksanaan yang kental. Bersuluh di tengah hari bahawa pendisiplinan penting untuk melahirkan anak yang pandai menghargai masa supaya rajin menuntut ilmu.  Kepentingan ilmu kepada ahli keluarga terbayanglah dalam syair pendeta Za’ba;
Ilmu alat berguna,
Idaman orang yang bijaksana,
Hamparannya luas terbentag saujana,
Sempadan ajal tepian fana.

          Dari skop pengurusan kawalan dalaman seseorang individu, ibu bapa mestilah melatih anak supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan. Hal yang demikian itu amatlah penting kerana sifat takwa akan meneguhkan jati diri dan menenteramkan jiwa yang bergelodak. Segala tuntutan agama dan amalan ibadat meruapakan wahana untuk melahirkan insan yang istiqamah dengan akal budi yang analitis. Ibu bapa mestilah menjadi cermin perbandingan kepada anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi atau bapa borek anak rintik. Ibu bapa mestilah menunaikan solat sekurang-kurang lima kali sehari dan selepas bersolat, ahli keluarga mestilah bermusyawarah supaya selalu mendengar luahan hati masing-masing. Bahawasanya, tekanan emosi dan bebanan kewangan pada zaman ini semakin sengit melanda jiwa setiap individu.  Tanpa iman, diri akan hilang pedoman malah menjadi manusia nanar umpama layang-layang yang terputus talinya. Justeru, sifat takwa juga bakal mengajar kita erti kesabaran dan pengawalan emosi atau tingkah laku. Ibu bapa mestilah memantau dan mengawasi tingkah laku dan pengawalan emosi anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendek kata, pendisiplinan diri akan menzahirkan sikap yang mempunyai kawalan dalaman yang kental.

          Dari dimensi berkenaan penjagaan imej, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak. Ibu bapa mestilah menerapkan program 3K di keluarga, iaitu ketenangan, keselamatan dan keceriaan dalam keluarga. Pendisiplinan anak tentang tabiat yang suka mesra alam amatlah penting agar memastikan kesiambungan tamadun bangsa. Ibu bapa mestilah memastikan anak bukan sahaja menjadi kebersihan dari segi lahiriah, malahan kebersihan dari segi batiniah supaya memastikan segala tingkah laku akan membahagiakan setiap komuniti di sekelilin kita. Ibu bapa seyogia meluangkan masa menemani anak menjalankan aktiviti amal seperti berjinak-jinak dengan aktiviti Rukun Tetangga, Pasukan Sukarela dan Majlis Amal Kebudayaan Warisan dan Seni yang memastikan kebersihan, keceriaan, dan keselamatan di kawasan setempat. Muktasarnya, kebersihan di keluarga akan melatih anak agar mementingkan pemuliharaan alam sekitar semasa meneuju ke alam kedewasaan. Ibu bapa juga perlu memastikan anak menjaga imej dan harga diri agar perbuatan yang mencerminkan air keruh dijauhi sama sekali. Sudah terang lagi bersuluh, pendisiplinan yang sewajar akan melahirkan anak yang bukan sahaja menjaga imej diri malahan keluarga, masyarakat dan negara kerana air yang bening akan terpancar bayang yang jernih.

          Dalam sudut sosial, hubungan harmonis sesama manusia atau alam sekitar seyogia digarisbawahi oleh ibu bapa. Ibu bapa merupakan guru terdekat kepada anak mestilah menaburkan nilai kasih sayang kepada anak dengan bijaksananya. Sifat kasih sayang merupakan limpahan rahmat daripada Tuhan kepada ciptaan-Nya. Tegal itu, kasih sayang merupakan sifat Tuhan yang seyogia menjadi anutan manusia supaya meluaskan nilai kasih sayang kepada semua makhluk di buana ini. Sewajarnya, ibu bapa mestilah memahami bahawa hukuman dan tohmahan hanya akan memporak-perandakan rumah tangga dan terpesong akidah. Kasih sayang akan mengeratkan talian ukhuwah dan menjadi teras kekuatan masyarakat supaya melahirkan keturunan yang bertamadun dan penyayang. Keluarga bahagia akan mewujudkan masyarakat penyayang yang bukan sahaja mensejahterakan rakyat Malaysia malahan meneruskan kesinambungan tamadun nusa dan bangsa. Izharnya, hubungan intim dan hubungan mawaddah antara ahli keluarga akan melahirkan anak yang memahami bahawa setiap makhluk di buana ini adalah hidup secara simbiosis umpama lagu dengan irama yang saling bergantungan demi membentuk suatu tempo yang artistik serta estetik. Pendisiplinan daripada ibu bapa akan memastikan anak yang menerapkan budaya hormat-menghormati dan menjalinkan hubungan harmonis sesama umat manusia.

            Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, ibu bapa merupakan pengemudi untuk menerapkan amalan gaya hidup sihat dalam jiwa raga anak. Displin ialah peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi. Ibu bapa mestilah menggalakkan anak berkecimpung dalam aktiviti kesukanan atau aktiviti kokurikulum di sekolah. Untuk berhadapan dengan cabaran dunia tanpa sempadan, anak remaja hendaklah bersedia memperlengkap diri dengan pakej jasmani, intelek, emosi dan rohani yang sempurna. Semua pakej asas tersebut amatlah penting dalam hal membina ketahanan diri dari segi fizikal dan mental yang teguh agar tidak tewas dalam mengharung cabaran kerana usia yang masih muda ibarat darah baru setampuk pinang usia baru setahun jagung. Ibu bapa seyogia membawa anak menyertai aktiviti yang bermanfaat seperti ABIM, Rakan Cops, RELA, MERCY, Yayasan Belia, Rakan Muda dan persatuan keagamaan yang dianjurkan oleh pihak NGO atau swasta. Dorongan ibu bapa yang positif akan membina jati diri anak yang ampuh supaya menangani tekanan hidup yang semakin mencabar. Keputusan akademik bukan sekadar menjadi kayu ukur untuk menilai tahap kejayaan diri seseorang remaja, namun sahsiah diri yang ampuh sama ada mempunyai nilai karisme atau tidak merupakan pengaruh utama untuk menentukan kejayaan generasi muda pada masa hadapan. Jelaslah, pendisiplinan boleh dibentuk melalui pelibatan dalam aktiviti sihat sejak kecil lagi.  

          Sebagai penghias penutup birai bicara, memetik sepotong kata hadis,  Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging.  Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota.  Apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, daging itulah hati.” Sebagai ibu bapa mithali, pencorakan disiplin diri anak bergantung pada akal budi dan inisiatif mereka. Jiwa raga anak yang sewarna pelangi atau segelap mendung terpulang pada budaya pendisiplinan ibu bapa dari segi gaya hidup sihat, pengurusan masa, perancangan kehidupan, penyelenggaraan personel, serta pengawalan emosi dan tingkah laku anak mereka. Pendek kata, anak remaja yang berdisiplin diungkapkan dalam lirik lagu nasyid oleh Unic;
Ingatlah masa depan mu
Janganlah kau terleka
Di usia remaja

Kenanglah
Jasa ibu dan ayah mu
Susah payah mereka
Membesarkan kita

Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara

Waspada
Jangan mudah terpedaya
Oleh hasutan dunia
Yang bisa merosakkan hidupmu. 

No comments: