Kelulusan akademik semata-mata tidak lagi
menjadi penentu kejayaan seseorang pelajar setelah mereka meninggalkan
institusi pendidikan formal. Berikan
pandangan anda tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang
pelajar sebagai pelengkap diri memasuki alam pekerjaan.
Dalam persaingan global yang semakin
sengit ini, negara kita perlu memaksimumkan keberhasilan sistem pendidikan
supaya memastikan kebolehpasaran pelajar dalam bidang kerjaya selepas tamat
persekolahan. Kerajaan telah memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada
bajet negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran.Walau bagaimanapun, pentafsiran
dalam Programme for International Student
Assessment atau PISA 2012, Malaysia berada pada kedudukan ke-52 bagi
penguasaan Matematik manakala Sains(kedudukan pada ke-53) dan bacaan (kedudukan
ke-59) daripada 65 buah negara yang
dinilai. Sesungguhnya, tidak ada tongkat
ajaib atau azimat yang boleh menjelmakan impak maksimum dalam sekelip mata.
Bertitik tolak daripada kesedaran ini, Pelan Pendidikan Pembangunan
Malaysia(2013-2025) telah menyasarkan pelajar yang bercirikan aspirasi seperti
pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika
dan kerohanian, serta identiti nasional.
Anjakan paradigma dominan pelan ini ialah
menyediakan pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Hakikatnya, seseorang
pelajar mestilah memenuhi ciri-ciri kemahiran
berfikir aras tinggi sebagai pelengkap diri memasuki
alam pekerjaan. Menurut Benjamin Franklin, “Genius yang tidak dididik adalah ibarat
permata tenggelam di dalam lombong.” Maka, pelajar mestilah dilatih
mempunyai kecekapan berfikir yang luar biasa semasa melayan pelbagai kerenah
dalam kehidupan. Sesungguhnya, perkembangan kognitif termasuk berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara
kritis, serta mengaplikasi ilmu secara kreatif. Sebagai contoh
menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan
berbentuk pemikiran aras tinggi. Untuk menjamin akses pendidikan bertaraf antarabangsa kepada semua pelajar, Dato’
Sri Najib Tun Razak telah menyasarkan 60 peratus daripada pelajar memilih
pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM (Sains,
Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) supaya mencapai status negara yang berdaya
saing tinggi. Ijmalnya, kemahiran berfikir aras tinggi dalam pelbagai bidang
merupakan kerangka untuk menebusi pasaran global selepas tamat persekolahan.
Dari segi penguasaan bahasa, program
LINUS bertujuan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dengan melatih 70,000
orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dan sekali gus memperkenalkan
modul Sastera Inggeris kepada murid sekolah menengah. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad berkata, kegagalan seseorang individu untuk meningkatkan ilmu
pengetahuan pada masa ini disebabkan ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris.
Beliau juga pernah menyifatkan bahawa pembubaran PPSMI pada tahun 2012 adalah
satu kesalahan memandangkan penguasaan pelbagai bahasa
adalah untuk memenuhi keperluan era globalisasi sejagat masa kini. Dalam era
dunia tanpa sempadan sekarang, pelbagai bahasa utama dunia seperti Inggeris,
Mandarin, Arab, Perancis dan Jepun perlu dikuasai untuk memudahkan seseorang
itu merebut peluang pekerjaan. Walau bagaimanapun, Dasar MBMMBI yang digubal
pada tahun 2011 bertujuan untuk melahirkan anak watan yang berupaya menguasai
bahasa Inggeris tetapi masih mempunyai identiti nasional atau integrasi yang
tinggi. Prakarsa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewajibkan
setiap pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lulus dalam kursus
Bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian memanglah perlu kerana kemampuan berbahasa yang terhad akan menyebabkan kita tertinggal daripada
arus perdana bak kata peribahasa, sepuluh
jong masuk pelabuhan, anjing tetap bercawat ekor.
Dalam melestarikan dunia tanpa sempadan kini, setiap individu yang memiliki kemahiran mengakses internet dan literasi
komputer sudah tentu akan lebih kompetensi semasa memasuki pasaran kerja. Di bawah Dasar Langit Terbuka,
teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT merupakan wahana untuk memacu agenda
pembangunan negara. Sebagai contohnya, Program Pemangkin Kebolehpasaran Graduan
menyediakan pelajar ke alam pekerjaan di Cyberjaya dengan memberikan latihan
dan pendedahan kepada pelajar yang celik komputer. Sesungguhnya, usaha
melahirkan lebih ramai modal insan bertaraf antarabangsa dalam segala bidang
terutama teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan kerangka ke arah
status negara maju. Pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet dan akses kepada rangkaian 4G di sekolah memastikan kementerian
akan memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kemahiran
ini memanglah penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan serta sentiasa
berada pada landasan yang betul dalam memenuhi perubahan landskap berkaitan usaha melahirkan lebih ramai tenaga
kerja berkualiti serta memenuhi permintaan industri.
PPPM juga menggarisbawahi ciri-ciri kemahiran memimpin. Ilmu dan kemahiran berfikir sebagai pelengkap untuk meningkatkan kemahiran memimpin pelajar. Sistem pendidikan negara akan menggilap potensi diri pelajar supaya bakat kepimpinan terbina. Nilai kepimpinan merangkumi empat dimensi iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan. Tegal itu, pemimpin harus memiliki nilai etika yang tinggi dan mampu menyantuni cabaran yang semakin kompleks. Daya kepemimpinan ini bakal menjadi uswah hasanah kepada yang lain. Kualiti kepimpinan kini terserlah dalam aspek kesukarelaan dan fahaman yang merentasi global. Seyogianya, kemahiran berkomunikasi memberi ruang kepada individu memperluas rangkaian pasaran global dan bakal menembusi peluang kerjaya.
Selain itu, perhiasan diri atau kemahiran penampilan diri adalah menjadi sebahagian daripada perkara yang dinilai sama ada individu tersebut berketrampilan atau tidak. Pakej keterampilan diri amatlah penting kepada seseorang sejajar dengan kata-kata Imam al Ghazali, “Ingin mengenal wajah lihatlah cermin, ingin mengenal diri bercerminlah pada wajah, yakni cerminan peribadi seseorang adalah daripada penampilannya. Sehubungan dengan itu, sebagai penjawat profesional, diri kita bukan dinilai hanya pada kualiti kerja semata-mata, sebaliknya personaliti yang meyakinkan turut menjadi pertimbangan. Oleh itu, sebelum melamar sesuatu pekerjaan bersiaplah diri supaya dapat meyakinkan pihak yang menilai diri kita. Wajar sekali diambil perhatian, dalam alam pekerjaan seseorang itu bukan hanya bertanggungjawab terhadap bidang tugasnya sahaja, sebaliknya perlu berkomunikasi dengan pelbagai peringkat klien. Sejajar dengan itu, agar kita senang untuk berkomunikasi dengan semua pihak perihal kekemasan diri sangatlah penting diambil kira kerana nilai peribadi kita akan dinilai dalam aspek rohani dan jasmani, bak kata peribahasa indah rupa dengan hiasnya, indah budi dengan bahasanya.
Intihannya, Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bertujuan memaksimumkan kualiti pendidikan dan
pentingnya kebolehpasaran tenaga kerja selepas tamat persekolahan. Ijmalnya, aspek latihan kemahiran dan vokasional sangat relevan dalam lonjakan
transformasi ke arah sebuah negara yang mempunyai tenaga pekerja yang
berpendapatan tinggi. Sebagai pelajar, anjakan paradigma mengikut peringkat
amatlah perlu supaya melahirkan barisan modal insan yang berfikir secara global
tetapi bertindak secara lokal.
No comments:
Post a Comment