Ibu
bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak agar berjimat
cermat. Huraikan pendapat anda.
(Selangor
2012 Percubaan)
Pada zaman inflasi ini, amalan
berjimat cermat merupakan nilai mahmudah untuk menyelesaikan masalah kesuntukan
wang. Negara kita kini sedang memacu arus kemodenan, namun kadar inflasi yang
melambung tinggi akibat harga minyak yang mendadak tinggi telah membebani
kebanyakan isi keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah. Situasi ini
bagai telur di hujung tanduk telah merimaskan pelbagai pihak kerana keadaan
hutang sekeliling pinggang dan masalah bankrap telah mencerminkan citra
masyarakat negara Malaysia yang dilanda krisis ekonomi yang halimun. Oleh itu,
ibu bapa memainkan peranan yang bukan alang kepalang agar mendidik anak mereka
agar menerapkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian.
Memang tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa perlu
memberikan pendidikan tentang pengurusan kewangan kepada anak-anak sedari
kecil. Golongan remaja sedang memikirkan hala tuju dalam kehidupan. Oleh itu, pendidikan tentang pengurusan dan perancangan
kewangan seperti mengitar semula bahan buangan, mencatat perbelanjaan harian,
membuat perbandingan harga barangan sebelum pembelian secara tidak langsung
akan menyuntik nilai mahmudah ini dalam lubuk kalbu anak.
Ingatlah kata-kata pujangga,”segalanya bermula di
rumah’ kerana rumah ialah tempat berteduh dan tempat membesar anak muda.
Sekiranya corak pendidikan ibu bapa yang mementingkan amalan berjimat cermat
diberikan sejak kecil lagi, anak akan mengurus kewangan dengan sistematik dan
berhemat. Tanpa amalan berjimat cermat, keselesaan keluarga tidak akan terjamin
justeru mengalami kepincangan kewangan atau kemuflisan. Tegasnya, ibu bapa
perlu melengkapkan diri dalam bidang kewangan agar anak-anak akan dilatih agar
memahami bahawa hendak kaya berdikit-berdikit,hendak tuah bertambah ura atau
hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tambah.
Demi menerapakan amalan berjimat cermat, ibu
bapa perlu menjadi suri teladan atau uswah hasanah kepada anak. Ibu bapa ialah
idola anak-anak kerana anak akan mewarisi sebahagian besar pembawaan dan fiil
ibu bapa.Contohnya, ibu bapa mengaturkan program perancangan kewangan atau
membawa anak mengunjungi institusi kewangan sejal kecil lagi agar persekitaran
yang mempropagandakan iklan tentang berjimat cermat akan menyelami isi hati
mereka. Sekiranya contoh negatif seperti perbelanjaan memboros, mengghairahkan
barangan berjenama, memajak gadai harta pusaka, berhutang kepada ceti haram dan
sebagainya ditunjukkan, maka perkembangan jiwa anak akan terjejas.Sebaliknya,
jika ibu bapa bersikap kesederhanaan dan mementingkan sikap menghargai setiap kurniaan Tuhan, anak akan
meneladani fiil ibu bapa kerana bapa borek anak rintik. Situasi ini persis
sabda Rasulullah bahawa anak ialah kain
putih, ibu bapa yang mencorakkannya.
Memetik
kata Dr Fadzillah Kamsah, tabiat seseorang insan akan ditetapkan selepas
berulang kali dilatih sebanyak 1000 kali. Perbuatan berjimat cermat perlulah
diulangi sebanyak 1000 kali juga dalam kehidupan anak. Tidak lain dan tidak
bukan, ibu bapa perlu menghulurkan galakan dan bimbingan
tentang sikap berjimat cermat dalam sanubari anak mereka. Sesungguhnya, anak muda mendambakan perhatian
selain galakan dan bimbingan daripada orang tua. Tamsilannya, ibu bapa mesti
merancang belanjawan keluarga bagi memenuhi keperluan asas. Peruntukan khas
untuk perbelanjaan harian yang asas seperti menghadiri kelas tuisyen, membaca
buku dilengkapi sepenuhnya. Ironinya, kehendak seperti membeli telefon mobile,
gadget yang canggih dan barangan kemewahan perlulah ditegah sama sekali.
Sekiranya anak membesar dalam suasana yang berjimat cermat, maka anak akan
mengawal hawa nafsu dan bukan sekadar berfikiran liberalisme.
Maka,
contohilah Rasulullah mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Setiap kesalahan
mesti dibetulkan agar anak akan menanamkan sifat mahmudah dalam atma mereka.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kata-kata pujian perlu
diberikan sekiranya didapati anak sanggup berjimat cermat dan menabung.
Selain itu, ibu bapa perlu menerapkan
didikan agama dalam kehidupan seharian.
Agama
ialah penawar untuk segala duka lara atau benteng ketahanan yang kukuh.
Sebagai
makhluk-Nya, kita perlu bersolat agar diredai-Nya. Contohnya, peraturan agama
dididik kepada anak setiap kali bersolat. Memang diketahui bahawa berjimat
cermat ialah tuntutan agama kerana perbuatan memboros ialah kawan syaitan. Dalam erti kata lain,
solat akan mendisiplinkan anak agar membezakan intan daripada kaca dan memahami
nilai bertakawal dan pasrah kepada tuntuan agama. Sekiraanya nilai-nilai murni
seperti penghargaan, kesyukuran, berhemat diterapkan, nescaya usaha ibu bapa
membentuk anak yang berjimat cermat akan menjadi realiti. Marilah kita menopang
dagu merenung kata-kata hadis Rasulullah ” suruhlah anakmu bersolat sejak
berusia tujuh tahun.”
Sebagai penghias penutup bicara,
amalan berjimat cermat wajar dijadikan pedoman hidup dalam kalangan masyarakat.
Penggemblengan kudrat bagai aur dengan tebing diperlukan agar semua strata
komuniti dididik untuk memegang prinsip berhemat sebelum habis, bercermat
sebelum kena supaya membangunkan negara menjelang ambang 2020. Jangan
sekali-kali nafsu-nafsi bagai raja di mata, sultan di hati kerana ikut hati
mati, ikut suka duka, ikut mata leta, ikut rasa binasa. Persekitaran hedonisme
dan mengejar barangan kemewahan bukan sekadar api kecil tetapi akan meranapkan
pembangunan negara. Dengan itu, kita perlu bersyukur dan berjimat cermat agar
membendung masalah inflasi yang semakin melanda negara.
No comments:
Post a Comment