Amalan berjimat cermat merupakan amalan
yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia,
apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat. Ramai
daripada kita boros dalam berbelanja. Sikap berbelanja tanpa kawalan ini
akhirnya akan menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang
sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan
masyarakat. Amalan menabung wajar diterapkan dalam kalangan kanak-kanak bagi
memberi pendedahan sejak usia awal terhadap pengurusan kewangan.
Sebenarnya amalan berjimat cermat dalam
sesebuah keluarga banyak bergantung pada sikap ibu bapa. Mereka haruslah
menyediakan belanjawan kewangan keluarga. Melalui belanjawan kewangan,
perbelanjaan dapat dikawal. Ketiadaan belanjawan kewangan akan menyebabkan ibu
bapa membeli apa-apa sahaja yang difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan
semakin berkurangan. Malah, ibu bapa perlu merancang kewangan untuk masa depan
anak. Ramai daripada kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk
bekerja. Amalan tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada. Oleh itu,
ibu bapa dicadangkan masak sendiri di rumah untuk makanan keluarga. Air tangan
ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga dan lebih terjamin
kebersihannya.
Selain itu, ibu bapa harus menyediakan
bekalan makanan untuk anak-anak ke sekolah. Makanan yang disediakan oleh ibu
bapa lebih terjamin kebersihannya. Hal ini dapat mengelakkan anak-anak daripada
terkena keracunan makanan. Justeru, duit yang dijimatkan oleh anak-anak itu
boleh dijadikan simpanan pada masa hadapan dan digunakan ketika kecemasan.
Dalam pada itu, ibu bapa juga boleh berkongsi kenderaan ke tempat kerja.
Walaupun harga minyak telah turun, namun amalan berjimat cermat akan sentiasa
menguntungkan kita. Secara langsung, amalan berkongsi kereta itu dapat
mengurangkan pencemaran udara dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,
terutamanya di kawasan bandar.
Ketika membeli-belah pula, kita perlu
membuat perbandingan harga terlebih dahulu. Amalan ini amat penting kerana
kadangkala terdapat perbezaan harga di kedai- kedai walaupun barang yang dijual
adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Dalam situasi ekonomi
yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira
tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Sebaik-baiknya kita mengelakkan
daripada membeli barangan berjenama. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar
memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita
setiap masa tanpa mengira peringkat umur.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana
"Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan”, oleh Jami’ah
Shukri, Berita
Harian, 23 Mac 2010
No comments:
Post a Comment